Artikel "Semasa" Terkini
Berlesen, 'Aktif' Baru Layak Terima Elaun
KUALA NERUS, 30 Januari - Pemilik lesen khas nelayan sampan perlu aktif menangkap ikan bagi membolehkan golongan terbabit menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Beliau berkata, ramai yang menganggap bahawa dengan memiliki lesen tersebut ESHN akan terus diberikan secara automatik.
"Ramai yang marah, kata lesen dah dapat tetapi masih tidak menerima elaun, apabila ditanya sama ada turun atau tidak ke laut katanya jarang-jarang menangkap ikan, hasil laut pula tidak diisytiharkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Bila tidak isytihar hasil tangkapan maka tidak cukup syarat, kena betul-betul faham ESHN akan diberikan kepada nelayan tulen yang aktif turun ke laut paling kurang 120 hari setahun, kalau hanya turun pada hujung minggu itu dikenali sebagai nelayan rekreasi, tidak cukup syarat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan, di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Untuk rekod, pada tahun 2021, sekitar 600 orang nelayan telah mendapat kelulusan khas lesen telah diserahkan oleh kerajaan negeri
Dalam pada itu katanya, Kuala Nerus merupakan antara kawasan lautnya yang diberikan tumpuan khas bagi menjayakan program melabuhkan unjam dan tukun.
"Jangan sampai ada yang memonopoli sehingga menjadi hak peribadi, kerana ia merupakan milik kerajaan yang diperuntukkan kepada semua nelayan negeri ini, sebaliknya tukun dan unjam ini adalah milik bersama," katanya.
30 Jan 23
657
Projek Hakisan Pantai RM73.5 Juta Beri Perlindungan Jangka Panjang
KUALA NERUS, 30 Januari – Projek Pengawalan Hakisan Pantai yang bernilai RM73.5 Juta di Pantai Tok Jembal di sini memberi perlindungan jangka panjang.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia juga memberi manfaat kepada penduduk dan para nelayan di kawasan ini.
“Projek di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu telah dimulakan sejak 2010, siap sepenuhnya pada 24 Julai 2019.
“Projek itu dilaksanakan susulan keadaan pantai yang mengalami hakisan terutama ketika musim Monsun Timur Laut dan terdedah kepada ombak kuat dengan ketinggian maksimum sehingga tiga (3) meter sekitar November hingga Mac.
Beliau berkata demikian ketika Lawatan kerja YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Tapak Projek Perlindungan Hakisan bertempat di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
Tambah Nik Nazmi, hakisan semakin kritikal selepas tahun 2010 berikutan terdapat pembangunan dan penebusgunaan tanah pesisir pantai dengan kehilangan kawasan pantai selebar 60m setiap tahun.
Justeru, kementerian mengambil langkah segera bagi mengawal dan melindungi pengunduran garis pantai daripada terus terhakis.
“Usaha ini juga merupakan salah satu projek jangka panjang yang memberi manfaat kepada kawasan sekitar yang terjejas teruk iaitu Kampung Tok Jembal, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Kubang Badak,” ujarnya.
30 Jan 23
875
Bank Susu Patuh Syariah Selamatkan Bayi Pramatang
KUALA NERUS, 29 Januari – Bank Susu Patuh Syariah akan membantu menyelamatkan nyawa bayi pramatang dan menjaga kesucian keturunan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA, Prof Madya Dr Normadiah Daud berkata, inisiatif itu selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam menjaga nyawa (hifz nafs) dan keturunan (Hifz Nasl).
Katanya, peningkatan kelahiran bayi pramatang di Malaysia adalah seramai 64,620 orang yang dilaporkan pada tahun 2015 dan 30 peratus daripada jumlah tersebut menderita dengan penyakit Necrotizing enterocolitis (NEC).
“Kajian juga menunjukkan, sebanyak 50 peratus dari jumlah bayi yang dijangkiti NEC akan melalui pembedahan yang boleh menggugat nyawa bayi pramatang.
“Sehubungan itu, melalui kajian yang dibuat oleh pakar-pakar penyusuan di seluruh dunia, ternyata dengan penggunaan susu ibu boleh berlakunya penurunan sebanyak 50 peratus jumlah bayi pramatang yang dijangkiti NEC,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pejabat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak di sini baru-baru ini.
Tambah Prof Normadiah, susu ibu merupakan susu terbaik dan kandungan nutrisinya memenuhi keperluan bayi pramatang.
Di samping itu katanya, susu ibu juga mengandungi pelbagai jenis khasiat dan antibodi yang mampu mencegah bayi pramatang daripada jangkitan kuman dan penyakit.
"Bank susu patuh syariah adalah inisiatif terbaik untuk membekalkan susu ibu yang bersih kepada bayi yang sangat memerlukan.
“Keadaan ini mungkin terjadi disebabkan ibu kandung tidak mampu menyusui disebabkan faktor-faktor yang tertentu seperti sakit, meninggal dunia dan lain-lain,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Bank Susu Patuh Syariah yang dibangunkan oleh penyelidik UniSZA ini juga telah mendapat perakuan dan kelulusan daripada pihak Jawatankuasa fatwa Negeri Terengganu yang telah bersidang pada 5 Oktober 2020.
Sehubungan itu, Keputusan fatwa ini menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengharuskan penubuhan bank susu patuh syariah dengan syarat yang tertentu.
“Antara ciri utama bank susu patuh syariah iaitu setiap bayi pramatang hanya akan menerima empat kali penyusuan sahaja dari seseorang ibu,” ujarnya.
Manakala jelas beliau, bayi yang menerima susu lima kali penyusuan ke atas, mereka ini akan dipertemukan antara anak dan ibu susuan serta diberi sijil daripada badan yang berwajib.
“Ciri ini adalah bertujuan untuk menyelamatkan nyawa bayi pramatang dan menjaga kesucian keturunan sekaligus selari dengan keputusan Fatwa kebangsaan 2011.
“Muzakarah Fatwa Kebangsaan 2011 juga memutuskan adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain”, katanya.
29 Jan 23
2072
JPKKP : Terengganu Kekalkan JPKK
KUALA NERUS, 29 Januari - Kerajaan Terengganu tetap akan mengekalkan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) biarpun kerajaan Persekutuan menubuhkan JPKK Persekutuan (JPKKP) di negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu mampu menguruskan sendiri segala perbelanjaan JPKK termasuk menyalurkan peruntukan dengan ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Saya telah memaklumkan dalam mesyuarat baru-baru ini bersama dengan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (Datuk Seri Zahid Hamidi), Terengganu akan kekal dengan JPKK sedia ada tidak akan berganjak dengan akan terus dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu.
"Apabila jadi dua orang 'driver' dalam satu kampung harapan kita tidak akan berlaku pertembungan di tengah jalan, jadi itu sahajalah yang kita kita harapkan.
"Sebenarnya di Terengganu ini memang kita telah lama mengambil perjalanan untuk membiayai sendiri JPKK termasuk menyediakan geran JPKK kita sendiri yang melaluinya disalurkan peruntukan, jadi kita tidak bergantung kepada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan, di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Dr Azman, pelantikan JPKKP itu menjadi fokus ketika hadir dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu.
"Kita dimaklumkan mengenai keputusan kabinet yang telah ada dan proses pelantikan sedang diuruskan, dalam konteks Negeri Terengganu, JPKKP ini akan diuruskan oleh Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah negeri.
"Manakala urusan pembayaran elaun serta peruntukannya pula akan disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)," ujarnya.
29 Jan 23
6250
107 Produk Tamat Tarikh Luput Dirampas
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Sebanyak 107 produk tamat tarikh luput dirampas dalam satu operasi khas Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata sebanyak 40 premis perniagaan melibatkan pasaraya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong bahan mentah telah diperiksa.
Katanya, kesemua produk itu dirampas oleh anggota penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam operasi tersebut.
"Terdapat juga 50 bungkusan produk yang melibatkan tin kemek dan pembungkusan bocor dan rosak turut berjaya dirampas.
“Kesemua nilai sitaan berjumlah RM 1,177.31 dan jumlah berat keseluruhan produk dirampas ialah sebanyak 67.8 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita daripada Utusan Malaysia dan Kosmo pada hari ni.
Tambah Dr Kasemani, sebanyak empat notis kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b) Pengkompaunan Kesalahan 2017 turut dikeluarkan kepada peniaga yang masih ingkar menjual produk yang telah tamat tarikh luput.
“Dua notis kesalahan turut dikeluarkan di bawah Peraturan 35 kerana menjual produk makanan berkaleng (tin) yang telah kemek pembungkusan bocor dan rosak dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun ditawarkan berjumlah RM19,500.
“Operasi ini dijalankan bertujuan untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan dan mematuhi keperluan perundangan makanan sebagaimana ditetapkan,” ujarnya.
29 Jan 23
231
ACP Tuan Suffian Ungguli Kategori VIP Kejohanan Kuda Lasak PDRM
SETIU, 29 Januari- ACP Tuan Suffian Sulaiman, penunggang pasukan Kelab Sukan Berkuda Polis Terengganu, mengungguli pencabar lain untuk menjuarai kategori 15 KM (VIP) Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2023 apabila mencatat masa 58 minit 14 saat di kejohanan itu yang berakhir, hari ini.
Manakala Dato’ Yusof Mamat yang juga dari pasukan sama menduduki tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 13 minit 57 saat, diikuti ACP Mohd Zaid Hassan dari kelab Unit Berkuda PDRM di tangga ketiga dengan catatan masa 1 jam 13 minit 59 saat.
Dengan kemenangan itu, ACP Tuan Suffian meraih hadiah wang tunai RM500, tempat kedua (RM400) dan ketiga (RM300).
Bagi kategori Conquer Endurance International (CEI)1* 100KM/100KM, juara dimenangi Muhammad Fuad Hashim dari pasukan State Of Terengganu Endurance Team (STET) dengan catatan masa 5 jam 15 minit 31 saat.
Tempat kedua dengan catatan masa 5 jam 27 minit 9 saat dimenangi Muhammad Aminuddin Ali dari pasukan Royal Kelantan Endurance (RKE) dan tempat ketiga juga dari pasukan yang sama, Mohamad Hafiz Mustafa dengan catatan masa 5 jam 39 minit 47 saat.
Bagi kategori tersebut, juara membawa pulang RM3,000, tempat kedua (RM2,500) dan ketiga (RM1,500).
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Majlis Penutup Kejohanan Kuda lasak Antarabangsa Piala PDRM 2023 di Terengganu International Endurance Park, disini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar serta Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa.
Penganjuran kuda lasak kali kelima oleh PDRM dan julung kali diadakan di Terengganu International Endurance Park, disini turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Royal Terengganu Endurance Stable dan rakan sukan PDRM Kumpulan Shapadu.
Ia bertujuan merakyatkan sukan ekuestrian di kalangan warga PDRM dan masyarakat sekali gus menyemai semangat kesukanan khususnya dalam sukan berkuda.
Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu 40KM Conquer Endurance National (CEN), 80KM CEN dan 100KM CEN/ Conquer Endurance International (CEI).
Manakala acara sampingan turut diadakan bagi menambah kemeriahan iaitu 15KM VIP Ride pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.
29 Jan 23
562
TLHT Kembali Bersaing Dalam Kancah Hoki Malaysia
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bakal kembali ke kancah Liga Hoki Wanita Malaysia 2023 setelah 'berehat' selama dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan wanita tersebut bakal tampil berwajah baru selepas kali terakhir bergelar naib johan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020.
"Tahun ini, pasukan TLHT akan digabungkan bersama pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan keutamaan untuk menggilap pemain-pemain Sukan Malaysia (Sukma) bagi menghadapi kejohanan Sukma 2024 nanti.
"Kerajaan negeri turut menambah penajaan sebanyak RM500,000 menjadikan jumlah penajaan keseluruhan RM2.5 juta bagi sempena penubuhan Akademi Hoki Terengganu (AHT) yang akan dilaksanakan dengan kerjasama MSNT dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Memperkenalkan Pemain, Jersi dan Penaja bagi saingan TNB-MHL 2023 di Hotel Permai, semalam.
TLHT akan dilatih oleh bekas pemain berpengalaman THT dan kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah serta bekas pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Rahmah Othman masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih.
Dalam pada itu, pasukan Hoki Terengganu (THT) berazam mempertahankan kejuaraan disamping memberi cabaran dalam saingan musim ini. THT akan memulakan saingan dalam Piala Sumbangsih menentang pasukan TNB pada 9 Februari ini.
29 Jan 23
284
Kejohanan Kuda Lasak PDRM Tarik Lebih 145 Peserta
SETIU, 29 Januari – Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini meriah apabila menerima penyertaan seramai lebih 145 orang peserta.
KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa iaitu CEI 1*100 KM dan Baginda berkenan memakai jersi nombor sembilan.
Di samping, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengambil bahagian dalam kategori Cen 100 KM dengan jersi bernombor 87.
Turut mencuri perhatian kehadiran dua orang artis terkenal tanah air yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu Faizal Tahir dan Mawar Karim.
Bagi kategori 100 KM dikehendaki melalui empat landasan sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM.
Manakala kategori 80 KM dan 40 KM dikehendaki melalui tiga dan dua landasan iaitu sejauh 25 KM, 30 KM, 25 KM dan 20 KM, 20 KM.
Jumlah kuda bagi Kategori Cen 40 KM dan Cen 80 adalah sebanyak 90 dan 26 ekor.
Manakala bagi kategori Cen 100 KM dan CEI 1*100 KM iaitu sebanyak enam dan 23 ekor.
Sementara itu, Faris Iskandar Mohamad Iskandar, 12 merupakan peserta termuda bagi kejohanan kali ini yang berasal dari Ipoh.
Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala PDRM ini julung kali diadakan di Terengganu dan mendapat tumpuan oleh mereka yang meminati sukan kuda lasak daripada seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, pelbagai hadiah disediakan kepada pemenang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyempurnakan majlis pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pelepasan tersebut pada jam lima petang bertempat di TIEP Lembah Bidong, Setiu di sini semalam.
Kejohanan ini merupakan anjuran PDRM bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Royal Terengganu Endurances Stable (RTES) dan Kumpulan Shapadu yang diadakan selama tiga hari.
28 Jan 23
445
Kerusi PRN, Bincang Secara 'Adik-Beradik'
DUNGUN, 29 Januari - Hasrat Parti Pribumi BERSATU Malaysia Terengganu untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu belum lagi diputuskan oleh PAS namun perkara berkenaan akan dibincangkan secara baik dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan diantara kedua-dua pihak boleh dilakukan secara aman dan saksama seperti 'adik beradik'.
"Kita akan duduk dan berbincang dululah bagaimana untuk menentukan mana dan dimana, munasabah atau tidak kerusi yang akan diberikan itu nanti, semua itu perlukan kepada perbincangan.
"Akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat pada perjumpaan yang belum ada tarikh lagi,"ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS, berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara Majlis Perbandaran Dungun dengan Syarikat Artha Global SDN BHD, di sini, semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Perikatan Nasional(PN) bersedia menerima ahli UMNO yang dibuang keahliannya serta digantung, katanya sebagai sebuah parti gabungan yang berdaftar pihaknya menerima sesiapa sahaja bekas ahli UMNO yang layak.
"Saya percaya kesemua yang dipecat atau digantung pada malam tadi, hari ini sedang berkira-kira untuk melakukan langkah seterusnya jadi kita tunggulah daripada mereka sendiri untuk membuat keputusan seterusnya.
"Apa-apa pun PN sebagai sebuah parti gabungan yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang menerima sesiapa sahaja yang layak, setakat ini belum ada apa-apa perjumpaan dilakukan,"ujarnya.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. menjadi antara pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam,
28 Jan 23
346
Bangunan Perniagaan Islamik Mercu Tanda Baharu Dungun
DUNGUN, 28 Januari - Daerah ini akan menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong menjelang tahun 2025 apabila bangunan perniagaan bercirikan senibina Islam kontemporari moden serta unik akan menjadi mercu tanda terbaharu di Dungun.
Projek berkenaan akan mula dibangunkan bulan depan di Pusat Bandar Dungun berhampiran Pantai Peranginan Teluk Lipat secara usahasama antara Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Syarikat Artha Global Sdn Bhd menelan dengan kos lebih RM20 juta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bangunan yang direka oleh arkitek terkenal negara, Ar Hud Abu Bakar yang sebelum ini telah menyumbang kepakaran dalam membina 'Menara Merdeka 118' diyakini mampu memberi impak besar terhadap bandar Dungun serta menjadi nilai tambah bagi memajukan pembangunan di kawasan sekitar dengan lebih terancang dan teratur.
"Melalui penerapan seni bina Islam Kontemporari, serta moden dan unik dengan adanya Jabatan Penghubung yang akan dibina ditingkat atas (tingkat empat) di antara kedua-dua bangunan menghadap pemandangan laut sudah tentu selayaknya menjadi mercu tanda baharu di bandar ini.
"Saya berharap projek yang direncanakan ini akan memberi impak yang besar terhadap Bandar Dungun, saya yakin momentum ini mampu diteruskan menerusi jalinan kerjasama MPD dengan pihak Artha Global Sdn Bhd dalam menyakinkan pelabur baharu dan juga pelabur sedia ada untuk memilih Dungun sebagai destinasi pelaburan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara MPD dengan Syarikat Artha Global SDN BHD di atas Lot PT 22647 & PT 18106, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan mana-mana pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan, termasuklah di tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagaimana hari ini dalam usaha merancakkan pembangunan di Terengganu.
"Saya yakin dengan kapasiti pembangunan sebanyak 72 unit ruang niaga ini, ia mampu memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk memiliki hartanah tersebut memandangkan penjualannya adalah secara per unit (hakmilik strata) dan seterusnya mampu melibatkan para peniaga dengan berbagai aktiviti peningkatan ekonomi kepada mereka, warga Dungun, serta Majlis Daerah sendiri,"katanya.
Untuk rekod selain mempunyai Jambatan Pautan yang menhadap pemandangan Laut China Selatan, ia juga akan dilengkapi skrin seni bina bermotif Islam, pinggiran hijau serta 'Angular Carpark' berhadapan dengan kedai yang selesa.
Juga akan menjanjikan pengalaman mewah memberi belah di lot komersil di tepi pantai serta menikmati pemandangan yang indah kerana kompleks bangunan berkenaan akan dilengkapi dengan beranda instragrammable atau mesra foto pada jambatan penghubung yang menghadap ke laut.
28 Jan 23
3303