Artikel "Semasa" Terkini
Thailand Sedia Kongsi Kepakaran Cantuman Anak Pokok
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Beberapa pengusaha tapak semaian (nurseri) di wilayah Narathiwat, Thailand sedia membantu kerajaan Terengganu dengan memberi khidmat nasihat serta berkongsi kepakaran mengenai kaedah cantuman anak pokok yang betul.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kesudian kerjasama tersebut memandangkan industri anak pokok semaian mampu memberikan pulangan ekonomi yang sangat memberangsangkan.
Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) diberi kepercayaan untuk menguruskan tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta daripada geran dana Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, kesemua tujuh projek itu kini sedang berjalan mengikut jadual yang telah dirancang dan salah satunya adalah nurseri anak-anak pokok bernilai tinggi yang diusahakan di Kemaman, Setiu dan Marang.
“Industri anak-anak pokok ini terutama anak-anak pokok bernilai tinggi seperti durian Musang King sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dan memberikan pulangan ekonomi yang sangat baik.
“Dan bila TADC buat nurseri, tentu sekali kita perlu contohi pencapaian negara jiran seperti Thailand yang lebih kehadapan dari segi cantuman anak pokok,” ujarnya ketika bersiaran di TV Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut katanya, dalam lawatan kerja beliau bersama pasukan TADC ke beberapa nurseri di Narathiwat minggu lalu, pengusaha nurseri disana menunjukkan reaksi positif untuk menjalin kerjasama pintar antara kedua-dua negara.
“Mereka akan kongsi kepakaran untuk bantu kita bagi kita menghasilkan anak-anak pokok yang bernilai tinggi dan sektor ini sebenarnya turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat untuk bekalkan anak pokok penanti.
“Dalam masa yang sama, kita ambil pencantum-pencantum yang akan buat proses cantuman mata tunas untuk bekerja bagi membolehkan anak-anak pokok ini dijadikan tanaman buah-buahan bernilai tinggi,” jelasnya.
01 Feb 23
199
24 Pelajar UniSZA Terima Komputer Riba
KUALA NERUS, 1 Februari - Seramai 24 pelajar dari 11 fakulti di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terpilih menerima komputer riba jenama Asus melalui manfaat wakaf UniSZA dari hasil Wakaf dan Infaq Syarikat Leos Technology.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani, Nur Syamiha Aqwa Mazlan, 20, berkata, pemberian itu dapat memudahkan dia untuk membuat tugasan dan belajar secara dalam talian.
Dia yang juga anak yatim piatu melahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima komputer riba percuma daripada pihak UniSZA.
“Sebelum ini, saya berkongsi komputer riba dari kakak saya dan tidak mampu untuk membeli kerana wang tidak mengcukupi.
“Alhamdulillah, hari ini saya lega dan berterima kasih atas keprihatinan memberi komputer riba ini,” katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.
Nur Syamiha berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023, di Pejabat Naib Canselor, UniSZA
Penyerahan komputer riba itu disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Lieos Technology Sdn. Bhd., Azli Abdul Aziz.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Hussin Mohd Ilias, 22, berkata pemberian itu sekali gus meringankan beban emaknya yang juga ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit
Katanya, dia sangat memerlukan komputer riba bagi menyelesaikan tugasan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.
“Sepanjang belajar saya guna komputer riba kakak saya yang sudah uzur. Jika ada tugasan yang memerlukan aplikasi yang canggih, saya akan pinjam komputer rakan atau ke makmal untuk menyiapkan tugasan.
“Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya hari ini saya menerima komputer riba yang bersesuaian dengan jurusan saya daripada UniSZA, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.
01 Feb 23
329
PMINT Sasar Peroleh Pendapatan RM100 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) melalui sembilan anak syarikatnya menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM100 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman,berkata PMINT optimis dapat mencapai sasaran itu berdasarkan perolehan pendapatan kesemua anak syarikatnya sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM60 juta.
Katanya, sebahagian besar perolehan pada tahun lepas disumbangkan oleh anak syarikatnya iaitu PB Hotel Management Sdn Bhd.
Justeru itu, pada tahun 2023, pihak PMINT sedang menjalankan penyusunan semula operasi dan strategi beberapa syarikat yang berpotensi menjana keuntungan termasuk P-Excell Management Sdn Bhd, Pertima Terengganu Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd.
"Penyusunan semula strategi dan operasi beberapa syarikat yang memang sudah mendapat keuntungan akan ditingkatkan bagi menjana pendapatan kepada kumpulan PMINT tahun ini.
“Contohnya, pemilihan TTI Management Sdn Bhd sebagai hub pelancongan ke Pulau Redang menampakkan keuntungan walaupun sebelum ini bergelut untuk menghasilkan keuntungan disebabkan kos operasi yang agak tinggi.
“Anak syarikat lain, Pertima walaupun telah menjana keuntungan, tapi dengan penyusunan balik semula strategi pemasaran disamping menembusi pasaran luar negara, saya yakin syarikat ini memperolehi keuntungan yang membanggakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam Kumpulan PMINT 2022 di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, PMINT melalui P-Excell Management Sdn Bhd sebagai agensi utama menerajui industri perumahan akan meninjau peluang lain dalam pembinaan bandar-bandar baru dan kekal sebagai peneraju sektor hartanah utama di negeri ini.
Tambah beliau, sektor hartanah dan perumahan dijangka mampu memberi pulangan sebanyak 40 peratus kepada syarikat tahun ini.
“Antara projek yang berpotensi besar adalah di Bandar Baru Kerteh membabitkan pembangunan kira-kira 500 unit rumah bertingkat dan kita boleh kerjasama dengan kawasan industri minyak dan gas yang telah maju seperti di Teluk Kalong, Kemaman.
"Sekarang ini kita lihat tidak ada satu bandar satelit yang menyokong perkembangan residensi di Kertih dan projek ini adalah peluang untuk syarikat menerajui sektor perumahan dan pembangunan hartanah dengan berjaya di situ," katanya.
01 Feb 23
622
Azizulhasni Terima Anugerah Olahragawan Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Atlet berbasikal negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, 35, sekali lagi dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2021 hari ini.
Beliau yang juga dikenali sebagai The Rocket Pocketman menerima anugerah itu dalam majlis Majlis Anugerah Sukan Negara sekali gus menjadikan anugerah kelima buatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan penghargaan buat atlet kelahiran Dungun itu.
“Kejayaan yang diperoleh ini menjadi satu penghargaan dan kejayaan buat seluruh rakyat Terengganu khususnya buat Kerajaan Negeri.
“Kerajaan sentiasa komited dalam memberi sokongan serta komitmen terhadap Dato’ Azizulhasni dalam sukan berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Sukairi mewakili kerajaan negeri menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
31 Jan 23
318
Pusat Sains Semarak Edu-Tourism di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) cemerlang dalam menyemarakkan industri pelancongan sekali gus menepati penanda aras kualiti perkhidmatan kerajaan dalam bidang terbabit.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PSKT merupakan sebuah agensi yang berteraskan edu-tourism dengan konsep fun learning.
“Justeru apabila telah merangkul dua anugerah iaitu ‘Gold Award Kids Edutainment Centre' dan ‘Best Edu-tourism Program' pada tahun 2022 dan secara tidak langsung memberi impak yang positif terhadap industri pelancongan Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) PSKT bersama Rakan Strategik di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Kerajaan Negeri, Dato' Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Tambah Ahmad Samsuri, usaha yang dilakukan oleh PSKT amat bertepatan dengan saranan kerajaan negeri.
“Inisiatif ini berdiri kukuh sebagai salah sebuah organisasi yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat di samping sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, kerajaan negeri melalui PSKT turut berperanan dalam mengadakan pelbagai inisiatif dan peluang kepada masyarakat dan pengunjung.
“Iaitu mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Semoga jalinan kerjasama ini menjadi manfaat dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
31 Jan 23
777
Sasar 150,000 Lawat Pusat Sains Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) meletakkan sasaran seramai 150,000 pengunjung pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pada tahun lepas PSKT telah mencapai rekod apabila menerima pelawat seramai 100,000 orang.
Katanya, ia meningkat berbanding pada tahun sebelumnya yang hanya menerima kunjungan seramai 10,000 orang sahaja.
“Pencapaian ini menjadikan kutipan pendapatan tiket pelawat melebihi RM850,000 pada tahun 2022.
“Manakala kutipan tahun sebelumnya sebanyak RM82,000 sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) PSKT bersama Rakan Strategik bertempat di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Tambah Mohd Huzairil, PSKT berdiri kukuh sebagai salah sebuah organisasi yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat .
Katanya, di samping itu pusat terbabit akan mempelbagaikan sumber maklumat dan ilmu mengenai sains persekitaran.
"Kini, PSKT sedang mengorak langkah mengejar impian menjadikan salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang bertaraf antarabangsa.
“Iaitu dalam kapasiti pendidikan berpelancongan dan memfokuskan elemen kreativiti, inovasi, sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
31 Jan 23
554
Amalan ITQAN Menuju Keseimbangan Kerja
KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Gagasan ITQAN yang disusun Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) memberi panduan dalam menghasilkan seorang penjawat awam yang seimbang dalam melaksanakan tugasan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata akronim ITQAN (Ihsan, Takwa, Qawwiy, Amin, Najah) melengkapkan produktiviti bagi seorang kakitangan.
“Itqan Insani sebagai garis panduan oleh i-MITS bagi penjawat melaksanakan tugasan berlandaskan nilai-nilai Islam dalam menghasilkan kualiti kerja yang baik.
“Nilaian kerja yang dilaksanakan dengan penuh kesungguhan apabila penerapan sifat Ihsan dipatuhi dengan sempurna, maka pekerjaan sebagai ibadah itu mendekatkan kita dengan Allah,” katanya ketika merasmikan Halaqah Unit Tubuh Sejahtera di Wisma Darul Iman hari ini.
Halaqah Unit Tubuh Sejahtera menjadi program bulanan bagi pegawai dan kakitangan kesemua unit tubuh bakal membincangkan buku Fiqh Harakah tulisan mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan pengisi yang berbeza.
Semua lima unit tubuh yang terlibat adalah i-MITS, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT).
31 Jan 23
261
AKRAB Terengganu Bawa 100 Murid Beli Kelengkapan Sekolah
KUALA TERENGGANU, 31 Januari- Program ‘Back To School’ anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu diteruskan lagi dengan 100 murid daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar daerah ini diberi peluang membeli-belah kelengkapan sekolah di Mydin Mall, Gong Badak.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) AKRAB SUK Terengganu dan turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, PUSPANITA Negeri Terengganu serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.
“Setiap murid yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun daripada 25 buah sekolah terpilih diberikan wang tunai RM300 bagi membeli kelengkapan sekolah di pasaraya Mydin dengan dibantu ibu bapa angkat yang terdiri daripada ahli AKRAB SUK Terengganu, PUSPANITA dan juga pihak Maidam.
“Tujuannya adalah untuk meringankan beban keluarga anak-anak ini disamping meraikan silaturrahim di antara pelajar dan ibu bapa angkat dalam suasana santai,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut, di Dewan teater, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Anuar Awang; Yang Dipertua Majlis Daerah Marang merangkap Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA Negeri Terengganu, To’ Puan Nor Zaini Abd Latiff.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maidam yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi menjayakan program tersebut.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Maidam yang sentiasa membantu kita menjayakan program tahunan ini.
Katanya, menerusi program tersebut juga membuka peluang kepada para peserta untuk mendekatkan diri dengan komuniti luar dan dalam masa yang sama melatih diri untuk sentiasa membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Program ‘Back To School’ yang bertemakan “Kami Ada” ini juga diharapkan memberikan semangat dan keceriaan kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi dengan memakai pakaian seragam dan kelengkapan alat tulis baharu,” ujarnya.
31 Jan 23
580
'Sikap Profesional Kerajaan Terengganu Wajar Dicontohi' - Belia Malaysia
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Kerajaan Terengganu disifatkan sebagai sangat profesional dalam membantu Majlis Belia Malaysia mengerakkan setiap program pembangunan belia dan beliawanis.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, walaupun berbeza ideologi politik dengan kerajaan Persekutuan, sikap yang ditonjolkan negeri pantai timur itu wajar dicontohi semua pihak.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah selalu memberikan kerjasama yang baik kepada persatuan belia.
"Contoh terbaik bagi saya kerajaan Terengganu dan Kelantan walaupun kita tahu ada perbezaan politik dan sebagainya, EXCO belia Terengganu sentiasa turun dalam apa jua program yang membabitkan belia, selalu bersama dan memberikan komitmen yang terbaik," ujarnya.
Beliau berkata demikian di 'The International Youth Centre (IYC), Cheras yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu Wan Sukairi menyatakan penghargaan atas kenyataan itu sambil memaklumkan ia sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.
"Kami di peringkat kerajaan negeri sentiasa optimis dalam berganding bahu bersama pertubuhan belia bagi melakar masa depan belia Terengganu yang lebih dinamik,"ujarnya.
30 Jan 23
811
Mahkamah Tetapkan 12 Februari Bagi Keputusan Bantahan Awal
KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan 12 Februari bagi tarikh keputusan terhadap bantahan awal yang dikemukan PAS sebagai responden dalam berdepan petisyen UMNO bagi parlimen Marang.
Peguam yang mewakili diwakili Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua pihak diberi masa sehingga 6 Februari bagi memasukkan hujah tambahan terhadap tuduhan ini.
“Hari ini adalah hari pendengaran untuk bantahan awal apabila petisyen ini dimasukkan terhadap Ahli Parlimen Marang bagi mempersoalkan beberapa perkara berkaitan persoalan undang-undang dan sebagainya.
“Jadi setelah mendengar dari pihak kami sebagai responden dan juga hujahan balas daripada pihak pempetisyen, mahkamah menetapkan untuk kedua pihak memasukkan hujah tambahan dalam perkara tertentu sebelum 6 Februari ini.
“Dan mahkamah akan membuat keputusan sama ada bantahan kami ini diterima atau tidak pada 12 Februari sama ada perbicaraan akan diteruskan atau tidak,” katanya kepada media selepas selesai prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Sesi pendengaran hujah bantahan awal bermula pada jam 11 pagi di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani.
Terdahulu, UMNO Terengganu menfailkan petisyen pilihan raya bagi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap PAS di tiga kawasan di negeri ini melibatkan Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
30 Jan 23
778