Artikel "Semasa" Terkini
Beri Komitmen 100 Peratus Banteras Rasuah
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen 100 peratus terhadap sebarang usaha daripada mana-mana pihak bagi memerangi rasuah sekali gus bagi memastikan Terengganu bebas rasuah.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata menerusi usaha berkenaan menzahirkan pendirian Kerajaan Terengganu yang sekali tidak akan berkompromi dengan gejala berkenaan.
"Rasuah dihina, maruah dibina. Sebagai Menteri Besar, saya akan memberi komitmen dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras jenayah rasuah dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook rasminya, selepas menerima kunjungan SPRM di Kediaman Seri Iman, di sini, semalam.
Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah SPRM, Tuan KPKJ Hazrul Shazreen Abd Yazid bersama rombongan di atas kunjungan tersebut bagi memperkukuhkan kerjasama dalam usaha memastikan amalan rasuah dapat dicegah dengan efektif.
Sebelum ini Dr Ahmad Samsuri menjadi Menteri Besar pertama yang menerima kunjungan Rasuah Busters pada tahun lalu.
Menurut pemimpin nombor satu itu Rasuah Busters membawa misi penting bagi membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.
Menerusi kunjungan berkenaan, Rasuah Busters dan Kerajaan negeri telah memeterai kerjasama dimana kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan julung-julung Kali yang diadakan pada Ogos 2022.
28 Jan 23
244
Hujan Berterusan Tahap Bahaya Melanda Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya melanda Terengganu.
Katanya, amaran tersebut dijangka melanda seluruh kawasan di Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, ia berkuatkuasa bermula 27 hingga 30 Januari dan dijangka berlangsung selama empat hari.
"Luruan angin timuran juga dijangka berterusan sehingga tarikh tersebut.
“Ia membabitkan lapan daerah di negeri ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap bahaya ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia.
27 Jan 23
245
Hayati Peristiwa Agung Israk Mikraj Dalam Kehidupan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Bulan Rejab membawa umat Islam untuk menyelami peristiwa agung Israk dan Mikraj dalam kehidupan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan peristiwa besar dan membawa mesej yang penting ertinya kepada umat Islam.
Katanya, iaitu apabila berlaku pensyariatan ibadah solat kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.
“Kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat Peringkat Negeri Terengganu yang dilaksanakan secara tahunan sejak beberapa tahun yang lepas.
“Melalui bulan penghayatan ini, kerajaan negeri ingin mewujudkan kesedaran dan keperihatinan kepada seluruh anggota masyarakat untuk terus menjaga solat terutamanya secara berjemaah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri bertempat di Masjid Kubang Ikan, Chendering di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali, dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Seri Bijaya Raja.
Tambah Dr Samsuri, solat juga berupaya mencegah kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat.
Di samping, solat juga menjadi penghalang kepada kerosakan akhlak dalam individu rakyat.
“Keadaan ini sekaligus dapat mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni, berkat dan sejahtera.
Sementara itu, pelbagai aktiviti yang dirangka seperti Wacana Solat dan sains, Kursus Tahsin Solat dan Santuni pesakit di hospital sepanjang bulan Rejab ini.
“Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan sempena Program Penghayatan Ibadah Solat peringkat negeri ini,” katanya.
26 Jan 23
354
Bulan Rejab Dihiasi Program Keagamaan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Bulan Rejab dihiasi dengan program serta aktiviti keagamaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata rakyat Terengganu dijemput melibatkan diri dengan program keagamaan yang disediakan sepanjang bulan Rejab ini.
Katanya, program penghayatan ibadah solat ini telah dilaksanakan setiap tahun dan merupakan program lanjutan daripada hasil cetusan idea daripada beberapa ulama’ terdahulu.
“Program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa Jawatankuasa Masjid yang terlibat.
“Dalam menghayati bulan Rejab iaitu sebagai satu bulan yang besar dan penuh dengan peristiwa penting di dalamnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri bertempat di Masjid Kubang Ikan, Chendering di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Mohd Nor, Israk dan mikraj merupakan satu peristiwa yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran.
Di samping, peristiwa tersebut diceritakan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis-hadisnya.
“Salah satu peristiwa besar yang berlaku di dalam Israk dan mikraj iaitu pensyariatan ibadah solat.
“Maka diingatkan kepada semua masyarakat supaya mengingati ibadah yang menjadi tiang agama iaitu solat,” katanya.
26 Jan 23
435
Program Biasiswa YT-TI Bantu Lonjak Pendidikan Anak Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tabung Biasiswa GLC akan dijenamakan sebagai Tabung Pendidikan Yayasan Terengganu bagi memperluaskan lagi fungsi tabung berkenaan bukan sahaja kepada penajaan semata-mata tetapi meliputi aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak Terengganu.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Yayasan Terengganu dan bersetuju menamakan Program Biasiswa GLC-Yayasan Terengganu sebagai Program Biasiswa YT-TI atau dikenali Young Talent Scholarship Programme.
Katanya, penubuhan Program Biasiswa GLC-Yayasan Terengganu yang diwujudkan sebelum ini adalah cetusan idea Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui cadangan awal mewujudkan Tabung Biasiswa GLC bagi membolehkan syarikat-syarikat Korporat (GLC) Terengganu memberi sumbangan dengan tujuan penajaan biasiswa kepada anak-anak Terengganu yang cemerlang sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).
“Cadangan tersebut kemudiannya direalisasikan dengan komitmen RM500,000 daripada anak-anak syarikat Kumpulan; TDM Berhad, Golden Pharos Berhad (GPB), GPQ Sdn Bhd, TI Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited dan Permodalan Terengganu Berhad (PTB).
“Hal ini turut membuka peluang mana-mana individu, agensi atau syarikat yang memberi sumbangan atas tujuan kebajikan dan pendidikan diberikan pengecualian cukai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme Tahun 2022 kepada 10 pelajar cemerlang terpilih yang disempurnakan Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman, semalam.
Katanya, sebagai langkah permulaan, penajaan biasiswa tersebut dibuka kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan (Asasi/Matrikulasi) dan STPM yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Ijazah Pertama) di semua Universiti Awam.
“Manakala pemilihan bidang-bidang pengajian telah ditetapkan berdasarkan keperluan yang diputuskan oleh Kumpulan Terengganu Inc. iaitu dalam bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Pentadbiran Korporat, Sains Kesihatan (Fisioterapi) dan Perladangan,” ujarnya.
Menurut Burhanuddin, pihaknya juga bersetuju untuk meneruskan sumbangan bagi tahun 2023 dengan jumlah yang sama dengan dengan harapan program biasiswa ini akan memberi impak yang positif kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu.
26 Jan 23
871
Ubur-ubur Beracun Kini Ditemui Di Marang
MARANG, 26 Januari – Pengunjung Pantai Pulau Kekabu di Marang dekat sini, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o' War atau nama saintifiknya 'physalia physalis', petang semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, obor-obor itu dijumpai sekitar jam 10.30 pagi ketika petugas APM melakukan rondaan rutin harian di sekitar pantai tersebut.
“Hasil tinjauan di sekitar kawasan kemudian berjaya menemukan sebanyak tujuh ekor obor-obor Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ terdampar di pantai.
"Anggota APM telah mengumpulkan semua obor-obor berbahaya ini dan bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung," katanya kepada pemberita.
Mujahid berkata, susulan penemuan itu pihaknya akan meningkatkan rondaan di pesisir pantai terutama di lokasi tumpuan pengunjung.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya memaklumkan sebarang penemuan obor-obor beracun ini kepada petugas pantai supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
"Walaupun obor-obor yang ditemui sudah mati, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh bangkainya kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
"Obor-obor ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera," katanya.
Terdahulu penemuan obor-obor berbahaya jenis Portuguese Man o'War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan kes pertama direkodkan di pantai tersebut pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata, papan tanda amaran perlu dipasang bagi mengingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai.
"Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat dan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kehadiran haiwan terbabit di kawasan berkenaan," katanya.
26 Jan 23
703
Penjawat Awam Perlu Perkukuh Intergriti, Jaga Imej Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa menjaga integriti ketika bekerja agar ketelusan dapat dikekalkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berfungsi secara efektif dan efisien.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, ini bagi memastikan semua penjawat awam sentiasa mengamalkan budaya kerja cemerlang dan menjunjung aspirasi Kerajaan Negeri “Terengganu Maju Berkat Sejahtera” serta diadun bersama aspirasi kerajaan Malaysia iaitu MADANI.
“Seperti biasa, kita sedia maklum bahawa jabatan di Wisma ini sentiasa menjadi perhatian dan rujukan kepada jabatan-jabatan luar.
“Justeru itu, suka untuk saya ingatkan kepada semua, sama ada yang baru atau yang lama berkhidmat di dalam Wisma Darul Iman (WDI) ini agar sentiasa menjaga etika dan mutu perkhidmatan sepanjang bekerja,”ujarnya di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman bertempat di Dewan Besar, WDI.
Dalam majlis tersebut, seramai 37 orang penerima daripada pelbagai jabatan/bahagian/unit menerima anugerah tersebut berupa Insentif Kecemerlangan sebanyak RM500.00 dan Sijil Penghargaan.
Menurut beliau lagi, perhimpunan bulanan yang dibuat secara berkala ini merupakan medium terbaik untuknya menyampaikan maklumat terkini, teguran-teguran dan beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan.
26 Jan 23
272
Madani Acuan Barat Menuju Kegagalan
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini diramal menempah kegagalan sekiranya menjadikan barat sebagai rujukan pentadbiran.
Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, kalimah Madani perlu diterjemah dengan makna sahih dan amanah yang wajib diamal mengikut perintah Allah.
“Acuan madani selain daripada petunjuk Allah dan teladan Nabi pastinya menterjemah kegagalan seperti yang berlaku kepada tamadun sebelum ini bahkan sedang membakar tamadun sekarang.
“Di negara kita, penjajah sudah keluar namun dasar penjajah masih lagi diamalkan. Islam masih tidak diamalkan sepenuhnya, Islam tidak lagi mentadbir dan memerintah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Negara Madani Acuan Allah’ dalam Program Meet & Greet Halaqah Darul Iman (HaDI)di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Neger, Dato' Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri, Senator Dato' Husain Awang serta seluruh ahli kelab Wisma Darul Iman.
Abdul Hadi yang juga mantan Menteri Besar Terengganu turut mengingatkan Umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman barat yang kian meresap.
“Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea ‘Civil Society’ yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman.
"Lagi malang bagi Ilmuan Islam yang turut terperangkap dan terpengaruh dengan ideologi tersebut,” tambahnya.
HaDI menjadi program bulanan bagi penjawat awam di Terengganu bagi meningkatkan kefahaman tentang Islam sejak dilancarkan awal tahun lepas.
25 Jan 23
855
PAS, PH Bincang PRN Serentak Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, parti itu akan mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) berkait penetapan tarikh pilihan raya negeri (PRN), minggu depan.
Katanya, ia bagi membincangkan supaya PRN dapat diadakan serentak bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir parti itu.
Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, pertemuan itu akan melibatkan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Belum tahu lagi (PRN serentak atau tidak) sehingga kita berkomunikasi dan berbincang dengan negeri-negeri lain. Kita sudah bincang secara tidak formal pada akhir tahun lepas, insyaAllah kita akan bincang lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, proses pilihan raya di enam negeri tersebut diharap dapat diadakan serentak bagi memudahkan pengurusan pelbagai pihak.
“Kemungkinan untuk berlaku serentak ada, kemungkinan untuk tidak berlaku serentak juga ada, tetapi kita harap boleh diadakan serentak bagi memudahkan rakyat (pengundi), dan juga pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan parti itu memberi wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Pandangan saya sama dengan apa yang dijawab oleh Setiausaha Agung PAS, tidak ada pandangan yang berbeza.
“Selebihnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” tegasnya bagi mengulas dakwaan tersebut.
25 Jan 23
754
Elak Aktiviti Pantai Susulan Penemuan Ubur-ubur Beracun
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan segala aktiviti melibatkan pantai buat sementara berikutan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War pada Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, berkait isu itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah disarankan memasang papan tanda amaran di pantai-pantai tumpuan pelancong di negeri ini.
Katanya, walaupun kemunculan ubur-ubur itu adalah perkara biasa yang terjadi setiap tahun namun ia tidak boleh dipandang remeh.
“Hal ini kerana, masih ada pengunjung yang tidak mengetahui tentang bahaya jika tersentuh atau disengat oleh ubur-ubur beracun itu.
“Isnin lalu, seorang kanak-kanak telah disengat ubur-ubur itu ketika sedang berada di Pantai Kekabu, Marang namun keadaannya kini stabil setelah menerima rawatan di sebuah klinik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Pengerusi kepada kakitangan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) Tahun 2023 bertempat di Dewan Besar, Tingkat 3, Menara PMINT di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.
Tambah Dr Azman, ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ itu sangat berbahaya kerana ia masih beracun walaupun sudah mati.
“Lebih merisaukan kerana saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kedamparannya di pantai.
“Oleh itu, dengan pemasangan papan tanda amaran mengenai ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War tersebut untuk memperingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di pantai,” katanya.
Di samping jelasnya, pengunjung dinasihatkan juga tidak melakukan aktiviti di pantai kerana kita masih berada di tempoh musim tengkujuh.
“Walaupun keadaan laut yang tidak bergelora namun bila-bila masa sahaja ombak-ombak besar boleh berlaku sehingga boleh berlaku bahaya kepada orang awam,” katanya.
25 Jan 23
523