lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pulau Tenggol, Bidong Diwartakan Taman Negeri Marin
Pulau Tenggol, Bidong Diwartakan Taman Negeri Marin
SETIU, 5 Februari – Pulau Tenggol dan Pulau Bidong bakal diwartakan sebagai Taman Negeri Marin pada tahun ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penambahan dua taman negeri itu akan meningkatkan lagi jumlah keluasan kawasan yang dilindungi. “Ia akan diletakkan di bawah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) yang bertanggungjawab mengurus serta mengawal selia seluruh taman di negeri ini. “Kedua-dua pulau tersebut akan dijadikan sebagai kawasan konservasi bagi memelihara dan memulihara flora dan fauna yang sedia ada,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan World Wetlands Day 2023 bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu di sini semalam. Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, 10 ekosistem sekitar Setiu Wetlands perlu dipelihara bagi kelangsungan manfaat komuniti serta menstabilkan perubahan iklim. “Pulau Tenggol diwartakan di kawasan daratan sahaja manakala Pulau Bidong pula diwartakan keseluruhan kawasan daratan serta perairan satu batu nautikal dari gigi air surut. "Kawasan tanah bencah pula mempunyai nilai yang tinggi sekiranya dipelopori secara berkesan dan berterusan, dengan aktiviti komersial dan sebagainya," katanya. Untuk rekod, Pulau Tenggol merupakan ‘dive spot’ pilihan komuniti bagi diver dengan adanya Penyu Yu. Manakala, Pulau Bidong pula adalah pulau bersejarah yang dahulunya merupakan pulau yang menjadi penempatan bagi pelarian Vietnam. Di samping, terdapat tinggalan orang vietnam yang pernah duduk di situ suatu ketika dahulu.  
05 Feb 23
526
Kartunis Legenda Dari Dungun Meninggal Dunia
Kartunis Legenda Dari Dungun Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kartunis legenda berasal dari Dungun yang cukup terkenal di tanah air ini, Abdul Fatah Ngah, 70, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 1.45 pagi hari ini. Fatah Ngah yang cukup sinonim dengan karyanya A.Mahmud dan Lagak A. Mamud menerusi Majalah Gila-Gila merupakan nama besar dalam arena kartun negara dan merupakan antara generasi awal mempelopori dunia berkenaan yang sebelum ini terlantar sakit akibat saraf sejak sekian lama. Perkembangan itu telah dikongsikan adiknya, Manan Ngah yang juga merupakan komposer terkenal tanah air menerusi hantaran di laman facebooknya kira-kira jalam 10 pagi tadi. Menurut Manan, jenazah abangnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Syed Yahya, di Dungun kira-kira jam 11 pagi tadi. "Semoga beroleh pengakhiran yang baik-baik buat abang kandungku Fatah Ngah @ lagak A.Mamud (70 tahun). Beliau (Allahyarham) telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi sekitar 01.45 pagi "Kepada yang mengenali maafkanlah segala kesalahan beliau (Allahyarham) terhadap anda sekiranya ada," tulisnya. Fatah Ngah ketika hayatnya, pernah memenangi Anugerah kartunis Malaysia 2015. Terdahulu, pada Oktober 2011, pameran dan jualan amal untuk kartunis negara itu telah diadakan di Lana Wau, Kompleks Kraftangan, Kuala Lumput bertujuan mengumpul dana bagi membantu kos rawatan dan perubatannya yang mengidap penyakit berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu.    
05 Feb 23
4468
LEGASI Perkukuh Hubungan Antara Masyarakat
LEGASI Perkukuh Hubungan Antara Masyarakat
HULU TERENGGANU, 4 Februari - Program Lepak Santai Cergas (LEGASI) merupakan inisiatif serta usaha mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan negeri serta menjadi medium merapatkan hubungan antara masyarakat terutamanya golongan belia dan beliawanis. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program yang diadakan di Taman Rekreasi Kuala Berang itu merupakan kali ketiga dianjurkan oleh Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT). Ujarnya, sebelum ini program berkenaan telah diadakan di Bukit Maras, serta di Lata Changkah. "Kita berhasrat mengadakan program ini di semua daerah dalam Terengganu, tujuan utamanya adalah untuk merapatkan hubungan diantara masyarakat khusnya golongan anak muda melalui agensi UBSNT melalui program-program yang diadakan secara santai, beriadah serta adanya pengisian yang bermanfaat. "Hari ini kita telah mengundang pendakwah selebriti, Ustazah Asma Harun dan juga menampilkan  'influencer' terkenal, Sukri Sulaiman bersama 'Medang', alhamdulillah mereka telah berkongsi pengalaman dan juga pengetahuan mereka bagaimana mendekati masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di program berkenaan, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan setelah melihat sambutan yang cukup baik daripada anggota masyarat setiap kali ia diadakan. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS sangat menitikberatkan kebajikan membabitkan seluruh masyarakat. "Dalam tempoh hendak masuk lima tahun, dapat dilihat perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan dari hari ke hari, di mana pelbagai program terutamnya membabitkan kebajikan, majlis ilmu, pembangunan modal insan dan sebagainya sangat subur di negeri ini. "Kerana itu kerajaan yang ada pada hari ini perlu dikekalkan, bukan sahaja program yang bermanfaat untuk rakyat terus diadakan, tetapi akan dapat dilakukan penambahbaikan," ujarnya lagi.
04 Feb 23
359
TFC Perkenal Jersi, Pemain 17 Februari
TFC Perkenal Jersi, Pemain 17 Februari
HULU TERENGGANU, 4 Februari - Majlis pelancaran jersi dan barisan pemain Terengganu Football Club (TFC) 2023 akan diadakan pada 17 Februari ini. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah semalam. "Program itu akan dibuat selama satu hari bermula dari pagi sehingga ke petang dengan pelbagai pengisian yang menarik. "Pada kali ini akan diadakan di lokasi yang berlainan dari sebelum ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat hadir beramai-ramai, ia dilangsungkan di Dataran  Jambatan Angkat Terengganu. "Di majlis itu nanti akan diperkenalkan barisam pemain termasuk penaja dan juga jersi baru, jadi saya menyeru kepada semua rakyat untuk hadir beramai-ramai pada 17 Februasi nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini. Dalam pada itu, penyokong TFC, Muhammad Haizat Kama, 32, sudah tidak sabar untuk hadir ke majlis itu. Dia yakin dan percaya program sepanjang hari itu akan diselitkan dengan program keagaaman sebagaimana yang diadakan sebelum ini. "Sudah tentu rakyat Terengganu, terutamanya penyokong setia akan berhimpun pada program yang akan diadakan itu, saya akui sudah tidak sabar untuk hadir," katanya.  
04 Feb 23
368
Slogan Tiada Politik Dalam Sukan Perlu Diperluas
Slogan Tiada Politik Dalam Sukan Perlu Diperluas
HULU TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan Terengganu berharap agar slogan 'tiada politik dalam sukan' diperluas serta diselaraskan kepada semua terutamanya membabitkan Kementerian Pendidikan supaya polisi itu terpakai di premis-premis kerajaan persekutuan termasuk sekolah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia bagi mengelakkan insiden program yang dijadualkan dirasmikan olehnya telah dibatalkan hanya kerana terdapat perbezaan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan. Namun katanya, beliau telah diberi penjelasan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa itu merupakan polisi lama yang ada dalam kementerian terbabit. "Saya tidak menyalahkan Menteri Belia dan Sukan, mahupun kementerian berkenaan atas kegagalan program di sebuah di Padang Midin bagi merasmikan Akademi Hoki Terengganu, jadi saya telah memaklumkan perkara ini kepada menteri agar dapat berbincang dalam kabinet supaya hasrat 'tiada politik dalam sukan' dikongsi bersama kementerian-kementerian yang lain. "Kita telah sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan dan juga sekolah ini merupakan pemegang taruh yang paling utama untuk mencungkil bakat-bakat baru, kalau kita tidak boleh masuk ke sekolah kerana birokrasi yang diamalkan itu akan timbul masalah untuk membangunkan sukan, bukan sahaja untuk kepentingan negeri, tetapi untuk manfaat negara. "Sebagaimana dua hari lepas di acara penganugerahan sukan negara, menyaksikan Dato' Muhamad Azizulhasni Awang telah merangkul anugerah olahragawan jadi sebagaimana kita tahu banyak atlet berjasa dan berbakat dari Terengganu ini telah mengharumkan nama negara," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas  (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini, hari ini. Ujarnya lagi, ketika menghadiri mesyuarat pelarasan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Exco sukan di setiap negeri, Menteri KBS telah menegaskan komitmen kerajaan adalah untuk menguruskan sukan di negara ini secara profesional serta tidak melibatkan politik kepartian. "Jadi kita harap komitmen untuk membangunkan sukan dalam negara dapat didukung bersama diantara Persekutuan dan Kerajaan negeri untuk berkoborasi demi kebaikan bersama untuk terus melahirkan atlet yang bertaraf dunia," ujarnya lagi.
03 Feb 23
459
JPKKP Tak Selari Demokrasi
JPKKP Tak Selari Demokrasi
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masih dikekalkan kerana penubuhan JPKK Persekutuan (JPKKP) tidak selari dengan demokrasi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata negeri ini mengamalkan sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih dalam pemerintahan dan pilihan raya. Katanya, melalui demokrasi yang dilaungkan dalam perlembagaan maka rakyat Terengganu telah memilih Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam pilihan raya yang lalu. “Seandainya terlaksana maka akan menyebabkan terdapat dua pentadbiran dalam satu kampung. “Justeru akan berlaku pertelingkahan pendapat sehingga boleh menyebabkan perbalahan dalam masyarakat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Isu Minggu Ini bertempat di Studio TV Darul Iman di sini semalam. Tambah Mohd Nor, JPKKP tidak perlu dan tidak sewajarnya diwujudkan di Terengganu. “Kerajaan Persekutuan perlu melihat di Terengganu terdapat 96 peratus dan Kelantan 95 peratus orang Islam maka sistem JPKKP ini tidak perlu. “Memandangkan polisi kerajaan Persekutuan dalam melaungkan reformasi iaitu perubahan atau pembaharuan terhadap suatu sistem yang telah ada pada masa lalu,” katanya. Beliau berkata, jika diwujudkan juga sistem JPKKP ini maka diibaratkan berundur ke belakang semula. “Iaitu mengambil balik apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang tidak baik ketika itu. “Seandainya terjadi maka perpaduan tidak berlaku dalam masyarakat melainkan sebaliknya,” ujarnya.
03 Feb 23
377
Hanafiah Nafi i-Bantuan Rasuah PRU
Hanafiah Nafi i-Bantuan Rasuah PRU
KUALA TERENGGANU, 3 Februari- Skim-skim bantuan yang disalurkan kerajaan Terengganu telah dijadualkan lebih awal dan bukan bertujuan menjadi 'gula-gula' ketika Pilihan Raya Umum (PRU). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menafikan agihan bantuan yang disampaikan bertujuan mempengaruhi pengundi. "Ini tiada kena-mengena dengan PRU, kerajaan negeri mulai tahun lepas telah membentuk Skim i-Bantuan yang merangkumi bantuan kepada pelbagai golongan. Kenapa bukan dua tahun dulu. "Ini kerana ketika itu, kerajaan negeri menumpukan gerak kerja dalam menghadapi Covid-19 dan memberikan kewangan bukan sahaja kepada mangsa-mangsa tetapi juga kepada hospital dan pejabat kesihatan untuk membeli kelengkapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di KTCC Mall, hari ini. Jelasnya, setelah habis Covid-19, kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan i-Bantuan merangkumi beberapa sasaran seperti i-Fitri, i-Belia, Pencen Rakyat, i-Ibu Tunggal, i-Mahasiswa dan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyuntik lebihan tunai kepada rakyat dalam pasca pandemik. "Oleh kerana bantuan-bantuan ini di bawah portfolio saya, bermula selepas pembentangan bajet dan diluluskan, sejak bulan Februari tahun lalu saya telah merancang dan telah membentangkan jadual pembayaran yang mana agihan dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober dan November.  "Tiba-tiba Perdana Menteri ketika itu membubarkan parlimen, itu yang nampak kecoh sedikit apabila i-Bantuan diagihkan sedangkan ia sememangnya mengikut jadual asal. "Begitu juga pada tahun ini, insya-Allah i-Bantuan akan bermula dengan i-Fitri dan selepas habis sahaja hari raya, kita akan agihkan Pencen Rakyat kerana kita bimbang sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), jadi sebahagian bantuan perlulah selesai disalurkan," katanya. Dalam majlis berkenaan, KTCC Mall mengagihkan beg kudap-kudapan serta angpau kepada seramai 50 anak-anak yatim dari Asrama Darul Falah dan 20 kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Kuala Terengganu. Majlis diserikan persembahan tarian singa dan persembahan gendang cina yang turut dihadiri Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu; Dr Balachandran Gopal Krishnan, Naib Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Vincent Ng Thian Hock dan Ketua Pemuda Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu; Tan Teck Lee.    
03 Feb 23
334
PAS Sedia Bekerjasama Dengan SPRM Bila-bila Masa
PAS Sedia Bekerjasama Dengan SPRM Bila-bila Masa
KUALA TERENGGANU, 2 Februari- Pemimpin PAS sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes dakwaan ada pengundi menerima wang untuk mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan, mana-mana pemimpin PAS yang dipanggil SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya. Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada pemimpin PAS negeri ini yang dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan tersebut. “Saya tidak pasti (tentang siasatan pengundi didakwa menerima wang tunai) dan siapa yang sudah dipanggil (SPRM) dan sebagainya. “Tapi saya rasa SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus, setakat ini belum ada kepimpinan yang dipanggil dan kita bersedia bekerjasama dengan SPRM dan mana-mana pihak untuk menjalankan siasatan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini. Terdahulu, sebuah portal melaporkan SPRM mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima tunai untuk mengundi PAS di Terengganu pada PRU15, baru-baru ini. Portal berita itu yang memetik sumber SPRM berkata, ia sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap video tular yang menunjukkan orang ramai menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi. 
02 Feb 23
398
Bakar Al-Quran : Umat Islam Wajib Cakna
Bakar Al-Quran : Umat Islam Wajib Cakna
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Orang Islam mesti ada sikap keperihatinan dan mengambil cakna terhadap isu pembakaran al-Quran di Sweden. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata isu ini merupakan sangat penting bagi umat Islam dan seluruh dunia. “Tindakan membakar al-Quran merupakan kejahatan dan kemungkaran terbesar kerana al-Quran merupakan kalamullah. “Justeru al-Quran tidak boleh diperlakukan sembarangan atas tanda mengagungkan kalimah Allah S.W.T,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Isu Minggu Ini bertempat di Studio TV Darul Iman pada hari ini. Tambah Mohd Nor, sikap kecaknaan mengenai isu tersebut hendaklah ada dalam diri individu muslim kerana melibatkan agama Islam yang kita pegang. “Rasulullah S.A.W bersabda, sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah mencegah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman," jelasnya. Mengulas lanjut, antara punca tindakan membakar al-Quran boleh berlaku pada zaman sekarang adalah kerana umat Islam lemah dan tidak mempunyai kekuasaan yang besar. “Selain berlakunya pergaduhan dan pertelingkahan sesama Islam sendiri yang menyebabkan Islam menjadi lemah,” katanya. Terdahulu, seperti zaman kerajaan Abbasyiah, hanya seorang perempuan sahaja yang dihina, boleh menyebabkan berkumpulnya tentera dan berperang dengan kuasa Rom ketika itu. “Para pendakwah hendaklah menerangkan kepada umat Islam terhadap isu ini supaya mereka bangkit dalam membina kekuatan demi Islam yang tercinta. “Orang Islam hendaklah bersatu dalam menyatakan kebencian terhadap perbuatan pembakaran al-Quran itu melalui demontrasi, ucapan dan sebagainya,” ujarnya.  
02 Feb 23
337
TMBS Janjikan Pengisian Menarik, Bakal Gegarkan Kuala Nerus
TMBS Janjikan Pengisian Menarik, Bakal Gegarkan Kuala Nerus
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Karnival Terengganu Maju Berkat Sejatera Dun Bukit Tunggal di sini menjanjikan kelainan dengan pelbagai pengisian menarik ditawarkan.  Ahli Jawatankuasa Penerangan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dun Bukit Tunggal, Mohd Norizu Ismail@Muda berkata anggaran melebihi 10,000 orang pengunjung bakal memeriahkan karnival tersebut.   Katanya, karnival TMBS ini bermula pada hari ini iaitu 2 hingga 4 Februari, khamis, jumaat dan sabtu.  “Turut mencuri perhatian dengan kehadiran artis terkenal tanah air, Ramli Sarip yang akan mengisi slot malam kesenian dan beberapa figura lain juga turut hadir. “Di samping, turut diserikan dengan pameran daripada agensi kerajaan, berkanun dan swasta kepada pengunjung,” jelasnya. Beliau berkata demikian Ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Mohd Norizu, pelbagai aktiviti disediakan iaitu pertandingan memasak, kejohanan liga penalti dan pelbagai lagi. "Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus," katanya. Sementara itu, beberapa hadiah dan cabutan bertuah menarik seperti dua buah motosikal, Televisyen juga turut disediakan kepada pengunjung yang hadir. Mohd Norizu berharap, dengan penganjuran karnival TMBS ini membantu peniaga memasarkan produk tempatan selain memberi penerangan tentang pencapaian kerajaan.  
02 Feb 23
673