lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Taman Eko Rimba di Terengganu Dibuka Semula Mac Ini
Taman Eko Rimba di Terengganu Dibuka Semula Mac Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan membuka semula tujuh Taman Eko Rimba di bawah seliaanya bermula Mac depan Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Helmy Tariq Othman berkata, ia  membabitkan Taman Rekreasi Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Payung (Setiu); Air Menderu (Kemaman); Chemerung dan Rimba Bandar Bukit Bauk (Dungun); Lata Belatan dan Lata Tembakah (Besut) yang ditutup kepada orang ramai. Namun katanya, pembukaan itu bagaimanapun bergantung keadaan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini. “Sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, kawasan terbabit akan dipertimbangkan dibuka dengan lebih awal kepada pengunjung. "Setakat ini Taman Eko Rimba di bawah kita masih belum dibuka kepada pengunjung kerana didapati MTL masih belum berakhir di negeri ini. "Justeru, kita mahu memastikan kawasan terbabit selamat dikunjungi dan dijangkakan Mac ini akan dibuka kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti pendakian dan perkelahan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. Tambahnya, pemantauan dari semasa ke semasa di kesemua kawasan terbabit dilakukan bagi mengelak orang ramai menceroboh masuk ke kawasan itu. "Setakat ini, kita belum menerima apa-apa laporan orang ramai melakukan aktiviti ke kawasan terbabit dan kita harap semua pihak mematuhi arahan ditetapkan," ujar beliau. Pada 1 November lalu, semua Taman Eko Rimba di Terengganu ditutup kepada semua pengunjung ekoran hujan lebat berterusan dan banjir yang melanda negeri ini.  
09 Feb 23
789
Sasar Tanam 500,000 Pokok Sepanjang 2023
Sasar Tanam 500,000 Pokok Sepanjang 2023
KEMAMAN, 8 Februari – Terengganu meletakkan sasaran sebanyak 500,000 pokok yang akan ditanam sepanjang tahun 2023 ini. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Terengganu adalah negeri yang menawarkan destinasi pelancongan berasaskan flora dan fauna. Justeru itu katanya, penanaman pelbagai spesies pokok menerusi kempen ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini. “Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini bertujuan untuk memperkayakan kawasan hijau dan khazanah hutan kita.  “Di samping, kerajaan negeri sentiasa komited menyokong usaha positif untuk memastikan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Kick-Off Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 Bertempat di Dewan Darul Iman Training Centre (DITC), Pantai Teluk Kalong, Kemaman baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar Dan Perancangan) Dato’ Zahari Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Tambah Bijaya Raja, tema bagi kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini adalah “Pokok Kita Kehidupan Kita” atau “Our Trees Our Life”. Beliau turut melahirkan rasa teruja apabila dimaklumkan bahawa beliau akan menanam pokok yang ke-800,000 pada program itu. Pada tahun 2022, beliau yang merasmikan majlis yang sama seumpama ini telah diberi peluang untuk enanam pokok yang ke-330,000 di Seberang Pintasan, Dungun.  “Semoga pokok yang ditanam akan terus kekal subur serta memberi manfaat kepada bumi Terengganu sekaligus dapat membantu mencapai 1 juta pokok menjelang akhir tahun 2023,” katanya. Beliau berharap, melalui kempen ini dapat menaikkan semangat rakyat negeri ini dalam menyemarakkan usaha menanam pokok di Negeri Terengganu. “Semoga semua pihak dapat mengambil cakna dalam meningkatkan kesedaran serta kepentingan hutan bagi kesejahteraan hidup manusia,” ujarnya.        
09 Feb 23
303
Terengganu Mahu Luaskan Penjanaan Hasil Minyak
Terengganu Mahu Luaskan Penjanaan Hasil Minyak
KUALA LUMPUR, 8 Februari - Kerajaan Terengganu berhasrat untuk meluaskan penjanaan hasil berkaitan minyak dan gas demi kesejahteraan rakyat di negeri terbabit. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah berkenaan bakal diambil bagi menambah hasil dan pendapatan negeri. Katanya, ia juga bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada wang royalti semata-mata. "Selain kebergantungan negeri ini kepada royalti minyak, kita juga ingin meluaskan lagi penjanaan hasil berkaitan industri minyak dan gas," katanya. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama ahli Majlis Petroleum Terengganu (TPC) di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai perkara bagi mencari formula terbaik demi menjayakan misi itu.
08 Feb 23
537
Sedia Tong RORO Percuma Atasi Longgokan Sampah
Sedia Tong RORO Percuma Atasi Longgokan Sampah
KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil inisiatif menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma dalam usaha mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat di DUN terbabit.  Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd, tong tersebut diletakkan di dua lokasi sebagai percubaan bermula bulan ini. "Kami sedang membuat percubaan dalam mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat dengan meletakkan tong sampah RORO dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd. “Setiap Rabu dan Sabtu pada awal dan akhir bulan kami akan tempatkan tong roro ini di dua lokasi iaitu di sebelah kandang sampah Taman Permint Makmur/Taman Mahathir dan sebelah kandang sampah berhadapan Padang Bola Sintetik Tok Jiring,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Katanya, pemilihan hari tersebut dibuat berikutan menjadi kelaziman penduduk bergotong-royong membersihkan halaman rumah ketika itu. “Jadi sampah pukal buangan boleh ditempatkan dalam tong sampah RORO yang disediakan untuk mengelakkan ia berlonggok," katanya. Tambah beliau, penduduk dalam kawasan tersebut dimohon merancang untuk memastikan aktiviti pembersihan laman rumah dan pembuangan sampah pukal dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.  “Sampah pukal ialah barangan selain sisa makanan seperti perabot, tilam, barang elektronik, tayar buruk, batu, kayu atau pokok dan yang seumpamanya.  “Manakala sampah domestik meliputi sisa makanan daripada penduduk atau perumahan. Sampah domestik boleh ditinggalkan di tong sampah yang disediakan di kawasan kandang sampah berkenaan,” ujarnya. Menurut Hishamuddin, penduduk juga diharapkan dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha tersebut. “Pihak kami akan memantau kerjasama penduduk dan kesan percubaan ini untuk bulan Febuari dan Mac. Semoga terdapat kesan yang positif atas usaha ini,” katanya.      
08 Feb 23
798
Amin, Hidayah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
Amin, Hidayah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
SETIU, 7 Februari - Qari dari Kampung Bukit Mundok, Mohd Amin Ismail dan qariah dari Kampung Ladang Bari, Nor Hidayah Abd Rahman dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1444H/2023M di Masjid Kampung Rahmat, Chalok malam tadi. Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, selain piala iringan, plak dan sijil penyertaan. Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Setiu bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Dewan Majlis Marang pada 28 Februari hingga 2 Mac depan. Tempat kedua pula dimenangi qari dari Tahfiz Assobur Bukit Kemudu, Rozali Muhammad dan qariah dari Kampung Chalok Kedai Dr. Shayuti Mohamed Adnan. Mereka membawa pulang hadiah RM 2,000, cenderamata dan sijil penyertaan. Tempat ketiga dimenangi qari dari Kampung Pak Kancil, Md Ayoub Hamzah dan qariah dari Kampung Chalok Kedai, Halimah Ibrahim. Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Setiu, Encik Ahmad Rizal Mamat diiringi Penyelaras DUN Langkap, Encik Azmi Maarof bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Tuan Zalizan Sulong dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Tuan Mohd Faiz Azuan Marzuki. Terdahulu Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoniti dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dr. Azman Ibrahim selepas solat Maghrib.  
07 Feb 23
555
RMM Dendong : Langkah Segera Diambil Elak Projek Tergendala
RMM Dendong : Langkah Segera Diambil Elak Projek Tergendala
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Kerajaan negeri sudah mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan Perumahan Mampu Milik (RMM) di Dendong, Besut diteruskan seperti biasa dan tidak tergendala. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, projek itu mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal kerana kontraktor utama, Wanland Sdn Bhd mengalami masalah kewangan kerana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Katanya, susulan itu pihaknya sudah mengenalpasti beberapa jalan penyelesaian untuk dilaksanakan bagi memastikan RMM itu berjalan seperti biasa. “RMM Dendong tergendala daripada jadual asal kerana syarikat terbabit mengalami masalah kewangan ketika PKP. Semua faham bahawa hampir seluruh pemain industri pembinaan di negara terkesan akibat wabak. “Projek ini tetap akan diteruskan dalam masa terdekat dan telah mendapat kelulusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada bulan lepas dengan beberapa pindaan yang dicadangkan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.  Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut berkata cadangan pindaan pelan projek itu sudah diluluskan bagi memudahkan penyerahan projek itu kelak.  “Pindaan atas permohonan Pejabat Daerah dan Tanah Besut adalah berkaitan kaedah pelupusan tanah bagi kemudahan dan utiliti tapak projek tersebut, ia sudah diluluskan,” tambahnya.  Mengulas lanjut mengenai video di media sosial bertajuk ‘Perumahan Alam Sebalik Mata’, Dr Alias menyifatkan ia sebagai bahan politik pihak lawan bahkan kerajaan sentiasa berusaha menyiapkan semua projek perumahan termasuklah projek terbengkalai ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).  Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi menyediakan 20,000 unit rumah buat rakyat berdasarkan manifesto yang dibawa PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
07 Feb 23
864
Terengganu Kembali Banjir
Terengganu Kembali Banjir
KEMAMAN, 7 Februari - Beberapa kawasan di daerah ini kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada Isnin. Menurut  laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, , seramai 28 mangsa daripada sembilan keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih di sini sehingga jam 8 pagi. "PPS SK Lembah Jabor yang dibuka jam 12 malam tadi menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga. "Manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih turut diaktifkan bagi menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga," menurut kenyataan tersebut. Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sebatang sungai masing-masing direkodkan melepasi paras bahaya dan amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada. Setakat jam 8 pagi, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80 meter (m) berbanding paras normal 15 m. Sementara itu, di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping  melepasi paras amaran dengan bacaan 19.21 m. Dua lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman masing-masing dengan bacaan 11.35 m dan 12.92 m.
07 Feb 23
1600
70 Peratus Rakyat Terengganu Terlibat Sektor Pertanian
70 Peratus Rakyat Terengganu Terlibat Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Sebanyak 70 peratus daripada 1.2 Juta rakyat Terengganu terlibat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sektor pertanian merupakan sektor untuk rakyat Terengganu dan terdiri daripada semua golongan. Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tabung bencana pertanian dalam membantu mereka yang terjejas dalam sektor ini. “Pelbagai halangan dan ujian yang ditempuhi bagi mereka yang berada dalam sektor ini dalam menghasilkan sumber makanan untuk negeri dan negara kita. “Semoga kita terus tekun dalam merealisasikan cita-cita yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Negeri Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan sendiri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan bertempat di Dewan Kampung Panji Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof. Menurut Dr Azman, Kuala Terengganu merupakan daerah ketujuh yang diadakan program Seminar Halatuju Sektor Pertanian Terengganu untuk masa hadapan. Ujarnya, daerah Kemaman iaitu daerah terakhir akan berlangsung pada hari esok. “Kuala Terengganu merupakan daerah yang banyak mendapat peruntukan samada bandar mahupun kebun komuniti. “Walaupun daerah ini mengalami isu kekurangan tanah dan tapak pertanian yang menyebabkan kita perlu berfikir satu kaedah lain untuk meneruskan gerak kerja dalam sektor pertanian ini,” katanya.  
07 Feb 23
420
Kejam, Bayi Usia Seminggu Ditinggalkan
Kejam, Bayi Usia Seminggu Ditinggalkan
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu yang masih bertali pusat ditemukan di hadapan sebuah rumah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Kuala Ibai di sini, semalam. Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, yang bekerja di pusat penyelenggaraan kenderaan berkata, dia menemukan bayi lelaki itu ketika pulang dari tempat kerjanya pada pukul 6.05 petang. Menurutnya, pada awalnya, dia tidak perasan bayi tersebut berada di hadapan rumahnya. “Bagaimanapun, kira-kira lima minit selepas memasuki rumah, saya terdengar bunyi tangisan bayi. “Pada mulanya menyangkakan tangisan itu anak jirannya dan selepas itu tangisan bayi itu semakin lama semakin kuat. “Saya yang tidak sedap hati kemudian keluar dari rumah dan terkejut apabila terdapat seorang bayi lelaki yang memakai lampin pakai dan dibungkus dengan kain batik berwarna merah,” katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini, malam tadi. Ahmad Fauzi berkata, dia kemudian memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut. “Bayi tersebut telah dibawa pihak berkuasa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan. “Orang yang mempunyai maklumat tentang penemuan bayi itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya. Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.   
06 Feb 23
706
Suami Isteri Maut Kemalangan Dikebumikan Satu Liang
Suami Isteri Maut Kemalangan Dikebumikan Satu Liang
DUNGUN, 5 Februari - Pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam kemalangan maut di kilometer 274 dekat susur keluar Cheneh semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kerteh pagi tadi.  Mangsa Arbain Baharudin, 47, dan Rosmayati Bakar@Lalar, 48, dikebumikan dihadiri keluarga dan warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang.  Salah seorang guru SMAP Kajang, Hasnah Yusof berkata, pemergian pasangan guru terbabit amat meninggalkan kesan kerana SMAPK menjadi sekolah pertama dan terakhir mereka.  “Dulu ketika mereka pertama kali ditempatkan di SMAP Kajang, kami guru senior yang padankan mereka berdua sehingga lebih 20 tahun berkahwin.  “Cuma uniknya mereka, di sekolah seperti guru profesional yang lain kerana mereka sibuk dengan tugasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Kerteh.  Mangsa, Arbain (kiri) dan Rosmayati Kehilangan mereka dalam tragedi maut itu memberi kesan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah tersebut kerana Arbain merupakan satu-satunya guru subjek Fizik di sekolah terbabit.  Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi mengatasinya sekali gus mengekalkan semangat para pelajar.  Semalam, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian badan manakala tiga anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas. MPV milik mangsa. foto: awam  
05 Feb 23
468