lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Jumpa Segera Kontraktor Perumahan Gong Cempedak
Kerajaan Jumpa Segera Kontraktor Perumahan Gong Cempedak
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri akan berjumpa kontraktor penyelamat dan pemaju asal Perumahan Gong Cempedak dengan kadar segera bagi memastikan projek terbengkalai lebih 10 tahun lalu itu dapat diteruskan pembinaan dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil bagi membela nasib pembeli rumah berkenaan walaupun ia merupakan projek swasta sepenuhnya yang tidak melibatkan peruntukkan kerajaan negeri. "Kerajaan negeri sudah mencari kontraktor penyelamat bagi memudahkan perbincangan dengan pemaju asal dalam konteks memberikan sub projek dan sebagainya untuk diselesaikan, insya-Allah selepas persidangan Parlimen nanti saya akan berjumpa semula dengan pihak terbabit. "Sebelum ini telah berjumpa sebanyak dua hingga tiga kali pertemuan bersama kontraktor penyelamat, namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak pemaju asal, jadi terpaksa kita panggil semula bagaimana dia hendak serahkan projek ini kepada 'kontraktor penyelamat'. "Tetapi kita tidak boleh berjanji sebab pemaju ini banyak masalah, jadi tunggulah perjumpaan saya di Kuala Lumpur nanti bagaimana untuk diselesaikan. Saya mewakili pihak kerajaan negeri akan cuba, di samping tindakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berjalan," ujarnya. Beliau berkata demikian ditemui pihak media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Hotel Primula, di sini hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan sebelum ini telah mengambl langkah melaporkan 'projek sakit' itu kepada pihak KPKT melalui unit khas kementerian terbabit bagi mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan isu berkenaan. "Sementara itu kita berunding dengan pemaju yang terlibat, jadi saya difahamkan pemaju ini mengalami masalah kewangan sehingga dia hendak buat pinjaman sekali lagi, namun pihak bank tidak boleh lagi memberikan pinjaman. "Itu merupakan antara masalah yang dihadapi oleh pemaju asal ini," ujarnya lagi.
12 Feb 23
728
Kerajaan Negeri Iktiraf 586 Anak Terengganu Cemerlang Akademik
Kerajaan Negeri Iktiraf 586 Anak Terengganu Cemerlang Akademik
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu mengiktiraf serta menghargai kecemerlangan 586 anak Terengganu yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang di peringkat institusi pengajian tinggi termasuk Sijil Peperiksaan Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia Tahun 2021. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif tersebut menunjukkan pendidikan merupakan satu perkara penting di Terengganu malah disambut baik di negeri ini. “Sehingga kini, kita sedia  maklum  bahawa Terengganu sentiasa  mengungguli pencapaian PT3, SPM, STPM, STAM dan berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan buat masa hadapan. “Besar harapan Kerajaan negeri  untuk melihat anak-anak Terengganu dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi selepas pada hari ini kerana anda semua generasi pelapis yang akan mencorak masa depan negeri dan negara kita pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini. Pada majlis kali ini, seramai 586 orang pelajar anak Terengganu iaitu enam orang penerima Anugerah Sarjana Terengganu(graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Dengan Kepujian); empat orang penerima Anugerah Pingat Emas beserta seorang penerima Anugerah Khas. Sementara itu, dua lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM dan STAM ;dan seramai 573 orang penerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM & STAM. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedia melihat keperluan untuk menambah nilai jumlah bantuan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi.
12 Feb 23
361
EPIC 'Back To School' Suntik Semangat Murid Ke Sekolah
EPIC 'Back To School' Suntik Semangat Murid Ke Sekolah
KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC atau Kumpulan EPIC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri menganjurkan program 'EPIC Back to School 2023' bagi mengagihkan bantuan barangan persekolahan kepada murid-murid sempena sesi baru persekolahan yang bakal tiba. Berlangsung di Sekolah Kebangsaan Getang (SK Getang), Kuala Berang, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) di bawah inisiatif 'EPIC Celik' itu memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di Negeri Terengganu. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, ir Muhtar Suhaili berkata, Kumpulan EPIC menyasarkan murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu 2023 yang akan bermula bulan hadapan melalui program yang dianjurkan. “Tahun ini kami kembali meneruskan program dengan harapan dapat meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa penjaga yang gigih membanting tulang demi memenuhi keperluan keluarga dan anak-anak pada zaman serba mencabar ini. "Pihak syarikat telah memilih dua buah sekolah iaitu SK Getang dan juga sebuah lagi sekolah di Kemaman, melibatkan 80 orang pelajar terpilih untuk menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berbentuk baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman dan juga beg sekolah. “Pihak EPIC mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan membakar semangat dalam menghadapai musim persekolahan yang baharu. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat. Dalam program berkenaan, EPIC juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada SK Getang untuk kegunaan pihak sekolah yang sebelum ini terjejas teruk ekoran bencana banjir luar jangka, baru-baru ini. Selain itu, beberapa aktiviti pengisian interaktif dan agihan makanan dilaksanakan barisan warga kerja EPIC yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan, Rusdi Ngah.  
12 Feb 23
801
Terengganu Inc Serah RM275,000 Zakat Perniagaan Buat Rakyat
Terengganu Inc Serah RM275,000 Zakat Perniagaan Buat Rakyat
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Syarikat milik Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) baru-baru ini menyalurkan sebahagian daripada zakat perniagaan dengan jumlah RM275,000 kepada golongan asnaf, fakir dan penerima layak lain. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pengagihan zakat perniagaan bagi syarikat tersebut telah bermula sejak pertengahan tahun 2022. "Penyerahan yang dilakukan kali ini adalah melibatkan penerima-penerima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan juga dari beberapa DUN lain. “Hasil kerjasama bersama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu ini telah diadakan bagi meringankan beban kos harian dalam menghadapi kehidupan sebagai pemimpin keluarga,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Zakat Kepada Ibu Tunggal Desa Keluarga Kuala Terengganu di Kompleks Ibu Tunggal, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah YPKT, Zahanapi Sagaf. Terengganu Inc menerusi inisiatif Jejak Ramadhan turut mengagihkan bakul makanan serta wang zakat kepada 50 buah keluarga asnaf di sekitar DUN Ajil serta penerima layak yang mempunyai anak ‘Cerebral Palsy’ (terlantar) di Kuala Terengganu. Pada masa yang sama, pihaknya melakukan penyerahan zakat kepada 45 orang ibu tunggal di Perumahan Desa Keluarga Kuala Terengganu di DUN Batu Buruk.
12 Feb 23
416
Seni Gamelan Bakal Berkembang Di Terengganu
Seni Gamelan Bakal Berkembang Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Seni Alatan Muzik Gamelan bakal dikembangkan dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat di negeri Terengganu. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria berkata, Kampung Budaya Terengganu (KBT) di sini bersedia menjadi pusat perkembangan Gamelan Tradisional Melayu. Katanya, JPNT juga telah membekalkan empat set alatan gamelan yang berharga RM25 ribu kepada sekolah terpilih bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai. “Pendekatan ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang seni tersebut, sekali gus dapat mencungkil bakat dalam kalangan pelajar sekolah. "Di samping, dapat memartabatkan seni muzik warisan bangsa dan penyerlahan daya kreativiti melalui teknik pembelajaran,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Konsert Gamelan Cilik 2023 bertempat di Kampung Budaya, Muzium Terengganu semalam.. Tambah Fadli Yusof, program seumpama itu dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Seni Tradisi Istana Negeri Terengganu. "Pada masa yang sama, memastikan kesenian ini sentiasa dipulihara dan melahirkan generasi pelapis dan pewaris seni gamelan ini," katanya. Jelas beliau, Kampung Budaya Terengganu juga menawarkan kursus dan bengkel Seni Muzik dan Tarian Gamelan Melayu Tradisional percuma. “Ia terbuka kepada guru-guru, para pelajar, kakitangan Jabatan dan badan-badan korporat," katanya. Selain itu, JPNT juga bersedia membawa sekolah yang aktif dalam seni gamelan ke peringkat yang lebih jauh di dalam mahupun di luar negara.  
12 Feb 23
685
Kutip 1.6 Tan Sampah Di Muara Kuala Ibai
Kutip 1.6 Tan Sampah Di Muara Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Sebanyak 1.6 tan sampah telah dikutip selama tiga jam program 'EPIC Jom Bersih 2023' yang bermula seawal 7 pagi di Muara Kuala Ibai, hari ini.  Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Rusdi Ngah berkata program itu menekankan kepentingan aktiviti pembersihan dalam memupuk kesedaran serta tanggungjawab yang seharusnya digalas bersama oleh semua anggota masyarakat. "Pihak kami menyambut baik kerjasama 140 orang sukarelawan EPIC Hero, Geng Plastik Ija (GPI), 'Green Ranjer' Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang hadir berganding bahu membersihkan lebih daripada 200 meter kawasan muara dan pesisir pantai di Kuala Ibai,” katanya.  Beliau dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.  Turut hadir bagi menyokong program ialah Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan EPIC, Mohd Sukeri Muhammad, Pengurus Besar Strategi Perniagaan, Prestasi, Perancangan dan Penambahbaikan, Mazlina Md Nor, Ketua GPI, Dr. Mohamad Ariff Hafizi Fouzi, Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Pasukan 'Green Ranger' UMT, Dr. Izan Dato’ Jaafar,  Menurut Rusdi lagi, beliau terharu dengan kerjasama yang dijalin kerana ia membuahkan hasil yang baik, dengan kutipan sampah seberat 1.6 tan.  Namun, beliau terkilan kerana masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga alam sekitar.  "Pihak syarikat berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan bersih," yang turut menyampaikan sumbangan RM4, 000 bagi pihak EPIC kepada GPI. Manakala Dr. Mohamad Ariff pula merakamkan ucapan terima kasih kepada EPIC di atas penganjuran program tersebut. "Hasil kutipan hari ini menunjukkan bahawa kita perlu melipat gandakan program kesedaran masyarakat supaya tiada lagi sampah yg terdampar di pantai," ujarnya.
11 Feb 23
562
Lebih 100 Pelajar Persembahkan 70 Alatan Muzik Seni Gamelan
Lebih 100 Pelajar Persembahkan 70 Alatan Muzik Seni Gamelan
KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Seramai lebih 100 pelajar mempersembahkan 70 jenis alatan muzik seni gamelan di Konsert Gamelan Cilik 2023 di sini hari ini. Pengerusi PUSPANITA Negeri Terengganu, To’ Puan Nor Zaini Abdul Latif berkata pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada lapan buah Sekolah Rendah dan Menengah yang terpilih di negeri ini. Katanya, program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. “Sebanyak 70 jenis alatan muzik gamelan dapat dikumpulkan dalam satu masa untuk beberapa persembahan pada konsert ini. “Dengan menampilkan lagu-lagu dan tarian seperti Lambang Sari, Topeng Togok Nongga dan Ulek Seri Rama,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Konsert Gamelan Cilik 2023 bertempat di Kampung Budaya, Muzium Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. Tambah Nor Zaini, program itu julung kali diadakan di Terengganu dan mendapat sambutan yang baik oleh para peserta dan pengunjung yang hadir. “Ia bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai alat muzik gamelan yang kian lama menyepi. Terdahulu katanya, gamelan merupakan satu tarian yang dipersembahkan di Istana sahaja sehingga menyebabkan ianya makin pupus. Justeru itu, pihaknya telah menerapkan ilmu gamelan ini kepada para pelajar dari segi bermain alat muzik dan tarian supaya seni gamelan ini tidak putus. "Untuk rekod, melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, pihaknya telah dapat membimbing beberapa buah sekolah dalam memartabatkan seni gamelan. “Secara tidak langsung dapat melahirkan pelapis yang dapat menguasai ilmu tersebut. “Hanya dua tahun sahaja masa diperlukan oleh para pelajar untuk mempelajarinya sehingga dapat membuat persembahan dengan baik seperti konsert gamelan cilik pada hari ini,” katanya.      
11 Feb 23
894
THT Juara Piala Sumbangsih 2023
THT Juara Piala Sumbangsih 2023
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan rekod sebagai juara Piala Sumbangsih 2023 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 sebentar tadi. Kemenangan THT tercipta apabila menumpaskan seteru utama, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jaringan 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.  Seawal minit ke-14, TNB terlebih dulu mendahului permainan apabila Azrai Aizad berjaya menampan masuk bola ke dalam gawang gol THT menewaskan penjaga gol kebangsaan, Hafizuddin Othman.  The Turtle kemudian memanfaatkan peluang bermain dengan 10 pemain TNB sehingga ketua pasukan, Fitri Saari berupaya menyamakan kedudukan dengan pukulan ‘high reverse’ pada minit ke-20.  Permainan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan seri 1-1.  Dua minit selepas suku ketiga bermula, TNB tidak perlu menunggu lama menambah jaringan apabila Syed Syafiq menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan Hafizuddin.  Namun, THT pantas menyamakan jaringan 2-2 melalui pakar sudut penalti Korea, Jang Jonghyun di saat seorang pemain TNB dilayangkan kad kuning.  Memanfaatkan 11 lawan 10, THT menambahkan derita TNB melalui jaringan gol padang oleh Shello Silverius apabila berjaya menampan pukulan Marhan Jalil menjadikan jaringan 3-2. Pengadil terpaksa menghentikan perlawanan seketika berikutan hujan lebat di Stadium Hoki Nasional sehingga reda.    Usai permainan diteruskan, pemain TNB Amirul Hamizan merapatkan kedudukan dengan kedudukan 3-3 melalui ‘setpiece’ daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-69.  Jang menjadi wira The Turtle apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit sebelum perlawanan ditamatkan menjadikan jaringan 4-3 kekal sehingga wisel ditiup.  THT memulakan musim dengan langkah kanan apabila mengekalkan Piala Sumbangsih sekali gus mengutip tiga mata bagi permulaan musim 2023.
09 Feb 23
976
‘Rujuk Rakyat Apabila Laksana Projek’ - MB Terengganu
‘Rujuk Rakyat Apabila Laksana Projek’ - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Projek-projek yang ingin dijalankan di negeri ini mesti mengambil kira pandangan dan idea daripada penduduk setempat atau pengguna, ujar Menteri Besar Terengganu. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, golongan terbabit adalah pakar kerana mereka mempunyai pengetahuan berkualiti dan pengalaman tertentu yang berbeza dengan pihak atasan. “Misalnya, kita nak buat penyelenggaraan Jeti Merang, kita ada standard dan rujukan pada manual, dalam masa yang sama dapatkan juga penyertaan mereka yang pakar (rakyat) ini apabila menjalankan sesuatu projek. “Jika kita tak rujuk kepada pengguna, tentunya akan ada masalah. Pengguna itulah aset sebenar yang perlu kita raikan dan bincang dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya hari ini. Mengulas lanjut, Pakar Aeroangkasa itu berkata, langkah tersebut adalah selari dengan prinsip kedua dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu Insan Berkualiti Sebagai Aset Terpenting Negeri. “Insan berkualiti tidak semestinya mereka yang cerdik pandai. Istilah mudah kita kata, yang berkepakaran. Pakar bahasa, pakar bank, pakar ikan, pakar sawah dan sebagainya. “Bukan semata-mata orang cerdik pandai saja menjadi aset kita tapi semua sebenarnya aset yang perlu kita guna di negeri Terengganu,” katanya. Tambah beliau, contoh terdekat yang boleh dijadikan panduan adalah mengenai seorang penduduk kampung bernama Ayah Ku dan Pemuliharaan Taman Negeri Setiu Wetland. “Dia orang kampung biasa. Apabila saya ke sana, Ayah Ku bercerita tentang tanah bencah ini termasuk spesis-spesis yang ada di situ lengkap dengan nama santifik. “Cara dia bercerita membolehkan kita tengok bagaimana kesungguhan Ayah Ku, dia tak pergi universiti, bukan lulusan Oxford ataupun Harvard. Dia hanya orang biasa tetapi sangat berilmu dan golongan seperti adalah aset kita. “Jadi, dalam apa jua projek dan agenda yang ingin dibuat di semua Pihak Berkuasa Tempatan, pihak berkepentingan perlu dekati dan bercakap dengan mereka, dapatkan pandangan mereka bagaimana ia sepatutnya berlaku,” jelasnya.  
09 Feb 23
381
Kempen 'Masjid Merindui Anda' Bangkitkan Rasa Cinta Solat Berjemaah
Kempen 'Masjid Merindui Anda' Bangkitkan Rasa Cinta Solat Berjemaah
KEMAMAN, 9 Februari – Kempen 'Masjid Merindui Anda' sempena sambutan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) sepanjang bulan Rejab berjaya membangkitkan rasa cinta terhadap solat berjemaah dalam kalangan masyarakat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga solat dan menyemarakkan rasa cinta untuk solat berjemaah di masjid berupaya menarik anak-anak muda. “Kempen ini penting bagi menyemai rasa cinta dengan solat berjemaah. Anak-anak muda mesti berada di saf hadapan. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyemai semangat cintakan masjid sejak dari usia kecil lagi. “Didiklah hati anak-anak kita sejak kecil lagi agar mereka dekat dengan masjid dan mencintai solat berjemaah. Jangan sampai menginjak di usia tua baru nak berjinak-jinak dengan masjid,” katanya. Beliau berkata demikian dalam siri Jelajah BPIS di sekitar Kerteh di sini semalam. Turut serta sepanjang jelajah tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Akademi Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood. Tambah Mohd Nor, pihaknya turut menghadapi beberapa cabaran dalaam mengajak masyarakat memenuhi masjid. "Jadi saya juga menyeru kepada ahli jawatankuasa masjid menggunakan inisiatif dan kreativiti mengikut sosio-budaya masing-masing dalam usaha penduduk setempat terpaut dengan masjid," jelasnya.
09 Feb 23
420