Artikel "Semasa" Terkini
PPR Kuala Nerus Dijangka Siap 25 Februari
KUALA NERUS, 20 Februari- Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad memaklumkan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerus dijadualkan siap sepenuhnya 25 Februari ini.
Menurut beliau, kelewatan menyiapkan projek itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
“Sepatutnya projek ini siap pada 16 April 2021 namun tarikh siap sebenarnya jatuh pada 25 Februari 2023 setelah mendapat beberapa keputusan.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara berkuatkuasa 18 Mac 2020 lalu telah menganggu kelancaran perjalanan projek kerana pihak kontraktor terpaksa memberhentikan kerja-kerja di tapak.
“Mereka telah dapat mulakan kembali kerja tapak pada 14 April 2020, namun sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan menyebabkan pihak kontraktor menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja di samping kelewatan menerima barang binaan daripada pihak pembekal,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat Kuala Nerus, hari ini.
Pada sesi menandatangani dokumen penyerahan projek sempena majlis tersebut, beliau telah mewakili Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.
Katanya, PPR Kuala Nerus yang dibangunkan di Kampung Bukit Nanas, Tepoh itu mempunyai enam blok bangunan setinggi lima tingkat dengan bilangan 500 unit kediaman dengan saiz setiap unit rumah berukuran 700 kaki persegi.
“PPR Kuala Nerus ini adalah sebuah projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah dirancang untuk membantu Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan kediaman kepada penduduk di kawasan sekitar Kuala Nerus.
“Saya berharap dengan penyerahan projek ini dapat memberikan impak positif dan kemajuan kepada rakyat dalam memastikan agenda negara tercapai iaitu menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat,” ujarnya.
20 Feb 23
2931
Peserta 'Himpunan Kontroversi' Bina Rumah Rakyat Secara Percuma
HULU TERENGGANU, 20 Februari - Beberapa peserta Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang dipalit kontroversi berjaya membina dan menyiapkan sebuah rumah keluarga kurang bernasib secara percuma semalam.
Salah seorang peserta terbabit, Mohd Hafizuddin Ramli, 31 berkata, sejurus selepas majlis perasmian pembukaan Himpit 2023 berakhir, dia terus ke Kampung Durian Kasim di sini bagi membantu membina rumah itu.
"Ini misi kami kali keenam, sebelum ini kami membina rumah mangsa banjir di Kampung La, Besut, Pahang dan Kedah.
"Segala keperluan pembinaan kami cari sendiri dengan wang sumbangan orang ramai melalui Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dan GTN Care, alhamdulillah kami siapkan dalam masa tiga hari.
"Selepas siap bina, kami masukkan perabot asas seperti sofa, mesin basuh, peti sejuk dan kelengkapan bilik tidur, tuan rumah hanya masuk dan menginap tanpa perlu bayaran apa-apa," ujarnya.
Mohd Harun (belakang, dua dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah.
Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan replika kunci rumah oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa dan Pengerusi Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar.
Sementara, menurut Mohd Asmawi yang bertindak sebagai pengarah pembinaan rumah itu, masa tiga diberikan kepada petugas untuk menyiapkan rumah itu.
Katanya, proses pembinaan bermula pada pagi Jumaat dan diteruskan sehingga lewat malam.
"Sebuah rumah ini menelan kos lebih RM40,000, petugas pula tidak dibayar sebarang upah, masing-masing atas kerelaan sendiri.
"Usaha ini bagi meringankan beban tujuh beranak yang tidak ada tempat berteduh, ketua keluarga pula hanya 'kerja kampung', kami juga mendapat kerjasama baik daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim," katanya.
Hafizuddin (kanan).
Bagi, Mohd Hasmizan Mohd Nor, 23, dia berkata pengalaman membina rumah memang mengujakan apatah lagi tanpa sebarang bayaran dan perlu disiapkan dalam masa singkat.
"Pada awalnya saya tak percaya juga nak siapkan rumah dalam masa singkat, namun alhamdulillah, diri sendiri jadi saksi, dengan bantuan lebih 50 sukarelawan ahli persatuan, kami berjaya," ujarnya.
Ditanya mengenai kontroversi yang melanda Himpit, dia berkata ia hanyalah mainan pihak tidak bertanggungjawab yang ketandusan isu.
"Himpit dah lama diadakan, perarakan atau replika dibina berdasarkan tema dan sejarah Islam, himpunan pula tak ajar kami jadi pengganas, sebaliknya ajar kami buat baik dengan semua orang atas nama Islam, macam kami buat rumah ini untuk rakyat," katanya.
Antara peserta Himpit yang turut terlibat membina rumah keluarga miskin.
Terdahulu, program Himpit dilanda kontroversi apabila wujud pihak tertentu yang mengatakan aktiviti tersebut berunsur keganasan.
Polis Terengganu pula mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.
20 Feb 23
3073
Terengganu Tambah Bantuan ‘One-Off’ OKU
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan Terengganu terus membela nasib rakyat kurang berkemampuan apabila menaikkan bantuan 'one-off' golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri terbabit.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini penerima OKU hanya menerima bantuan RM150 seorang.
“Pada tahun 2022, kita perkenalkan bantuan tunai kepada OKU. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah bersetuju meningkatkan bantuan ‘one-off’ kepada OKU sehingga RM200 seorang.
“Kerajaan juga berusaha memberikan pendidikan kepada OKU penglihatan melalui pengajian Al-Quran dan hafazan. Setakat ini dua pusat Al-Quran braille diwujudkan di Besut dan Paka.
“Dua institusi ini akan terus diperkasa membolehkan seramai mungkin OKU penglihatan mendapatkan pendidikan ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, di sini semalam.
Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri bakal wujudkan pusat pengajian Al-Quran bagi OKU kategori pekak dan bisu selain usaha intervensi awal kanak-kanak autisme.
Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran akan dibuat selewat-lewatnya selepas Aidilfitri tahun ini.
Karnival OKU tersebut berlangsung selama tiga hari mengumpulkan sekitar 800 pelajar dari seluruh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Terengganu.
19 Feb 23
915
'Hanya Perarakan Pakaian, Replika Senjata dan Warisan Islam' - Polis
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Polis Terengganu mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ia berlaku pada 17 Februari di sebuah resort di daerah Setiu.
"Perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
"Pertandingan itu melibatkan semua daerah, namun hanya satu daerah sahaja yang mengenakan pakaian dan replika senjata Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis mengetahui tentang penganjuran program terbabit tidak mendapat gambaran keseluruham aktiviti.
"Aktiviti tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran di kalangan sesetengah masyarakat.
"Jadi pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti apa-apa kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Terdahulu, bekas calon PH bagi Parlimen Kuala Krai pada PRU15, Sham Ghaz, mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap pemuda PAS terlibat kerana dipercayai membawa senjata merbahaya.
"Nampak seperti ada unsur-unsur menggugat ketenteraman awam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, pemakaian ala perang oleh pasukan yang menyertai perarakan dengan membawa replika senjata dan perlindungan diri sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.
"Ada pasukan menyertai perarakan membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman dan menunggang kuda pada penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang diadakan Jumaat lalu.
"Tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan mengambarkan kreativiti peserta yang mempamerkan idea masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
19 Feb 23
13778
Sekat Filem Pulau Selari Slogan Terengganu Berkat
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Kerajaan Terengganu membuat keputusan untuk menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit adalah kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
“Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa.
“Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak kerajaan bersedia menerima kunjungan pihak penerbitan filem itu bagi sebarang perbincangan rayuan.
“Kita berdasarkan treler yang ada, hujah beliau (penerbit) adalah treler tidak memaparkan keseluruhan filem. Maka tentu ia di luar pengetahuan kami.
“Jadi jika mereka ingin merayu itu adalah hak mereka, kita tiada masalah kerana semua ada ruang untuk merayu,” katanya.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Terengganu mengambil keputusan menyekat tayangan filem itu di tiga buah pawagam di negeri ini dengan mendapat sokongan majoriti rakyat Terengganu.
18 Feb 23
802
Keagungan Israk Mikraj di Luar Batasan Sains
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan luar bisa yang tidak boleh diukur oleh akal manusia dan melebihi batasan Ilmu Sains.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kisah itu adalah peristiwa penting yang dilalui Rasulullah S.A.W pada 27 Rejab.
Katanya, Baginda dibawa dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis (Israk) seterusnya ke Sidratul Muntaha (langit) bertemu Allah S.W.T (Mikraj).
“Ia berlaku dalam tempoh sebahagian malam sahaja dan Rasulullah S.A.W kembali semula ke Masjidil Haram.
“Peristiwa ini juga bersangkutan dengan kelajuan (masa) dan jarak kerana perjalanan Rasulullah S.A.W melalui suasana itu dalam masa yang amat singkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai teori dikaitkan dengan perjalanan ini sebagai contoh Teori Kerelatifan oleh Albert Einstein, Teori Roger Penrose dan kewujudan lubang cacing atau wormhole oleh Dr. Stephen Hawking.
“Manusia juga sentiasa berfikir cara untuk keluar dari bumi ke angkasa lepas melalui perlumbaan keupayaan teknologi.
“Kapal terbang dan helikopter tidak boleh keluar dari bumi kerana tiada udara dan keupayaan untuk terbang lebih tinggi,” katanya.
Justeru, untuk keluar dari bumi, manusia memerlukan kekuatan penciptaan roket ataupun kapal angkasa lepas.
Jelasnya menurut al-Quran, terdapat tujuh lapis petala langit, tapi keupayaan kajian saintis hanya di bawah lapisan langit pertama.
Beliau berkata, jika difikir logik akal semakin jauh kedudukan, maka faktor masa itu makin lama.
Oleh sebab itu, di syurga atau neraka tidak ada relatif masa sebagaimana yang dikaji oleh ahli fizik seperti Albert Einstein.
"Semakin kita tengok jauh lebih luas daripada itu, maka rasa kecil sangatlah kita ini berbanding dengan kekuasaan Allah S.W.T," ujarnya.
18 Feb 23
372
Sebar Ilmu Berhijab, Bukan Tindas Wanita
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Program Terengganu Hijab Day memberi kefahaman dalam menyebarkan ilmu berhijab bukan untuk menindas kaum wanita.
ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pentingnya program ini diadakan bagi melahirkan generasi wanita yang mengikut syariat Islam dengan berpakaian patuh syariah.
"Kita menyokong program-program yang dilaksanakan oleh Hari Tudung Sedunia (World Hijab Day).
"Ramai lagi kefahaman yang cetek tentang bertudung.
"Kita boleh berhijab dan boleh bergaya berfesyen apa saja tapi masih lagi mengikut landasan Islam serta batasan Islam yang telah ditetapkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Manis FM, semalam.
Menurutnya, sepanjang bulan Februari, negeri Terengganu akan mengadakan program yang menyentuh tentang berhijab.
"Sebenarnya kita bukan kata orang Terengganu tak berhijab, ramai sahaja, hampir majoriti rakyat khususnya wanita berhijab tapi bagaimana kita nak sempurnakan berhijab itu.
"Macam mana kita nak fahamkan berhijab dengan ilmu dan nak bekalkan mereka hijab ini sebagai benteng ataupun satu pertahanan dan hak wanita. Itu kita nak bagi kesedaran sebenarnya," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa, bukan hanya bulan Februari sahaja hanya di kerah bertudung tetapi berterusan.
"Kita manusia sentiasa perlu diberi peringatan, bukan bulan Februari sahaja bertudung, bulan Rejab sahaja bulan Penghayatan Solat, bulan lain tak solat ke, bukan ! Bulan februari bulan kemuncak berhijab.
"Sebenarnya kita nak satu penegasan, satu peringatan yang menyedarkan tentang kewajipan menutup aurat dan kempen ini berterusan," kata Zuraida.
Beliau menambah, gelombang Terengganu Hijab Day akan diadakan di setiap Parlimen dan daerah di Terengganu yang mana masih mengekalkan street dakwah jalanan.
"Kita akan bagi pamplet, demokrasi pakai tudung, tazkirah ringkas tentang kesedaran bertudung aurat.
"Ia lebih konsep santai sebab kita tahu anak muda memang tak boleh dengar ceramah lama-lama, kumpul ramai-ramai, " katanya.
Justeru itu, tanggungjawab menutup aurat bukan hanya wanita sahaja tetapi kesedaran para wali.
"Masing-masing main peranan jaga maruah dan aurat anak-anak jagaan mereka
"Saya sangat mengharapkan Sokongan orang ramai hadir memeriahkan program ini dan menyambut baik program yang dianjurkan pihak kerajaan," tambah Zuraida.
17 Feb 23
236
Terengganu Lancar Tabung Kemanusiaan Tukiye, Sasar Kutipan RM500,000
MARANG, 17 Februari - Pas Terengganu melalui PASReleif melancarkan Tabung Kemanusiaan Terengganu for Turkiye bermula hari ini dengan sasaran sekurang-kurangnya RM500,000 dari negeri ini.
Tabung tersebut dilancarkan oleh Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Tok Guru Rusila, di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, menjadi kewajipan bagi Muslim membantu sesama umat Islam yang ditimpa musibah dengan sekadar kemampuan.
“Gazientep satu kota yang mempunyai sejarah tersendiri, di situ beberapa orang Nabi diutuskan namun hanya seorang yang beriman.
“Di situ juga pernah berlaku perang saudara yang dilagakan oleh musuh Islam. Maka mari kita sama-sama bantu meringankan beban saudara kita di sana (Turkiye dan Syria),” katanya.
Sebagai rekod, lebih 100,000 mangsa gempa bumi mengalami kemalangan jiwa dengan kematian sekitar 76,000 ribu termasuk yang cedera.
PASReleif Terengganu melancarkan tabung itu melalui lapan kawasan serta kutipan di akaun Bank Islam : Pertubuhan Khidmat Sukarelawan Kuala Terengganu 1301-7018-3058-67.
17 Feb 23
386
Penjawat Awam Diseru Beri Kerjasama Penuh
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Semua penjawat awam diseru untuk memberikan sepenuh kerjasama dengan kepimpinan kerajaan serta membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat hendaklah sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan dan proses kerja.
“Justeru supaya memperolehi penghasilan yang baik dan manfaat kepada semua.
“Penjawat awam juga harus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Tambah Bijaya Raja, laksanakan tugas dengan penuh profesional dan berintegriti, apatah lagi dalam era pasca normal yang mencabar dan penuh dengan ketidaktentuan,” katanya.
"Pada tahun 2023 ini dijangka akan menjadi tahun yang penuh dengan cabaran kepada kita semua.
“Menurut para penganalisis ekonomi dunia, tahun ini dijangka mencatatkan pertumbuhan yang perlahan terutamanya dalam kalangan negara-negara membangun," katanya.
Sementara itu, usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek, penjawat awam adalah dituntut bersikap adil lagi telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rasa tanggungjawab dan patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam diri setiap penjawat awam,” ujarnya.
Sekaligus, menjunjung ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.
16 Feb 23
783
Solidariti Kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' Dilancarkan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Sebagai tanda solidariti terhadap bencana yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria kerajaan Terengganu telah melancarkan tabung 'Terengganu For Turkiye'.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tabung itu merupakan satu inisiatif atas dasar prihatin dan ambil peduli terhadap negara terbabit yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu.
"Juga atas dasar kebersamaan dengan rakyat Turki kerajaan negeri sekali lagi menganjurkan satu program tabung 'Terengganu For Turkiye' sepertimana tabung yang pernah ditubuhkan sebelum ini iaitu 'Terengganu For Yemen', 'Terengganu For Palestine' dan 'Terengganu For Lubnan.
"Bermula dari sekarang kita akan mengadakan 'roadshow' ke seluruh pelusuk daerah dalam negeri Terengganu untuk mengumpulkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan mangsa," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Wan Sukairi, kutipan derma melalui tabung berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 8 Mac.
"Sumbangan itu akan datang daripada pelbagai pihak samda jabatan, agensi kerajaan negeri, anak syarikat, orang perorangan serta ngo-ngo dan juga syarikat-syarikat tertentu yang bersedia untuk memberikan sumbangan.
"Sehubungan dengan itu juga kerajaan negeri insya-Allah melalaui satu rombongan akan menghantar sendiri bantuan tersebut ke Turkiye pada 17 Mac yang akan datang,"katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu beramai-ramai menyumbang ke tabung berkenaan sebagai solidariti terhadap nasib yang menimpa negara terbabit.
16 Feb 23
317