Artikel "Semasa" Terkini
Suri Rumah Jual Kerepek Sara Suami, Dua Anak
Oleh : Aqilah Mohd Jafri/Nurul Adilatul Akmal/Fatimah Din
MARANG, 16 Februari - Seorang suri rumah mengambil inisiatif menjual kerepek pisang buatannya sendiri bagi menyara keluarga dan suaminya.
Nurul Suhada Mohd, 30, berkata, dia berbuat demikian untuk meringankan beban keluarga selepas suaminya, Ahmad Azmi Ismail, 36, tidak dapat bekerja.
Katanya, mereka hilang mata pencarian selepas Ahmad Azmi disahkan tidak dapat melihat sepenuhnya kerana masalah saraf mata bermula pada tahun 2018.
“Pada mulanya saya berniaga kerepek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu sekitar 2020 bagi mengisi lapang sahaja,
Namun tidak menyangka ia membawa hasil kepada keluarga kecil saya, sekarang saya masih menjual kerepek itu bergantung kepada permintaan.
“Saya pada awalnya hanya ingin membantu suami yang tidak dapat bekerja ketika itu, tetapi Allah kurniakan rezeki yang lebih untuk kami, dapatlah tampung kami sekeluarga, di samping pendapatan lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Bukit Payong, baru-baru ini.
Nurul Suhada menunjukkan kerepek buatannya untuk dijual.
Menurut Nurul Suhada lagi, sebagai memenuhi tanggungjawab ketua keluarga, bapa kepada dua anak itu bekerja menjaga tandas awam di Taman Rekreasi Bukit Payong sejak 2021.
“Saya membantu menguruskan dia berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap hari.
"Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hantar Azmi pula ke tempat kerja, begitulah rutin kami setiap hari,” ceritanya.
Tambah Nurul Suhada, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada hasil pendapatannya dan Azmi.
“Kami juga menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara bulanan.
“Tetapi, adakalanya kami juga merasa tersepit dengan kewangan yang ada,” katanya.
Bagi yang berminat untuk membeli kerepek pisang Nurul Suhada boleh menghubunginya di talian 019-3066105.
16 Feb 23
727
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
MARANG, 15 Februari - Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada pihak melakukan tuntutan dua kali mengakibatkan proses pemutihan senarai nama yang berdaftar sebagai mangsa terpaksa dilakukan agar yang benar-benar layak sahaja menerimanya.
"Saya terpaksa jelaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat dan setiap anggota masyarakat mengambil cakna dan bersifat amanah di antara satu sama lain supaya yang benar-benar layak sahaja menerimanya.
"Masalah timbul apabila ada kalangan mangsa-mangsa ini yang telah membuat 'double claim', isteri mengaku sebagai mangsa banjir di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala suami pula pergi ke DUN yang satu lagi turut mendaftar nama sebagai mangsa juga, malah ada yang tidak terlibat cuba 'register' sebagai mangsa.
"Sebab itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya jujur dan beramanah tidak membuat tuntutan dua kali kerana ini merupakan wang negeri juga merupakan wang rakyat untuk diagihkan kepada yang memerlukan serta seharusnya dibantu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyempurnakan penyampaian bauncer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di DUN Rhu Rendang, di Dewan Komuniti, Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, semalam.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha untuk mengesahkan kesemua senarai nama penerima.
"Kita sedang menunggu, ada dua daerah lagi yang belum menghantar senarai nama yang telah melalui proses pemutihan, setelah kita menerima kesemua senarai nama yang telah disahkan itu barulah kita akan sampaikan bantuan sebagaimana yang telah dijanjikan.
"Saya menyeru kepada seluruh anggita masyarakat pada masa akan datang terutamanya mangsa banjir perlu jujur, tidak melakukan tuntutan dua kali, bersikap benarlah dalam membuat tuntutan ini,"ujarnya.
16 Feb 23
1257
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
MARANG, 15 Februari - Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tekanan politik kerana tidak berpihak kepada kerajaan sangat bercanggah dengan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan dalam negara demokrasi.
Katanya, adalah tidak menjadi masalah jika kritikan yang diberikan bersifat jujur dan berfakta serta tidak melampau.
"Tidak ada apa-apa isu sebenarnya di kalangan 'TikTokers' ini, sekiranya ada tindakan perlu diambil mengikut saluran yang sepatutnya bukan dengan melakukan ugutan kepada mereka dan keluarga mereka.
"Mengugut, menghalang dan sebagainya itu merupakan cara lama pada tahun 70-an dahulu, ia tidak patut diamalkan pada zaman langit terbuka seperti sekarang ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyampaian baucer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Komuniti Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau tidak faham dengan sikap pihak ahli-ahli politik pemerintah yang cuba memberikan tekanan kepada pengguna medium berkenaan.
"Saya ada mengikuti beberapa 'TikTokers' yang menerima ugutan, 'harassment' dan sebagainya, sedangkan apa yang mereka paparkan adalah secara berfakta sekiranya ada perkara-perkara dianggap mengancam keselamatan dan berbaur fitnah, kita ada undang-undang di peringkat negara.
"Jadi kenapa perlu buat 'harassment' dan 'body shaming' kepada 'TikTokers' ini. Saya menyeru kepada semua anggota lapisan masyarakat terutamanya pengguna TikTok, beranilah kerana benar dan itulah peranan mereka untuk membuat teguran dalam sesebuah negara dan negeri," ujarnya lagi.
15 Feb 23
414
Terengganu Tumpu Bidang Pembuatan, Farmaseutikal
KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Kerajaan Terengganu mahu memberi tumpuan kepada bidang pembuatan serta farmaseutikal yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang di rantau ini sekaligus mampu menarik minat pelabur.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kediaman rasminya di Seri Setia semalam, mereka ada berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Negeri Terengganu.
“Dalam pertemuan itu saya dimaklumkan bahawa beliau (Tengku Zafrul) akan mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengadakan misi pelaburan ke luar negara dan mungkin akan dijemput negeri-negeri untuk turut sama ke negara tertentu dalam waktu terdekat ini.
“Kita tunggu maklumat dari pihak kementerian dan kami juga berbincang tentang apakah bidang-bidang industri yang boleh dibawa ke Terengganu.
“Saya fokuskan kepada bidang di luar minyak dan gas supaya kita ada kepelbagaian bidang lain seperti pembuatan dan farmaseutikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tersebut selepas menyempurnakan Majlis Meet & Greet Menteri Besar Terengganu bersama Penerima Biasiswa Master & PhD Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bidang pembuatan dan farmaseutikal masih kurang diberi tumpuan walaupun Terengganu sudah memiliki Bio Polimer Park di Kerteh yang mengfokus kepada bidang-bidang yang berkaitan biologi dan seumpamanya.
“Kalau boleh kita mahu supaya dipertingkatkan mengenai farmaseutikal dan lain-lain yang berkaitan di negeri ini,” ujarnya.
15 Feb 23
398
Pendidikan, Pelaksanaan Syariah Islam Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Pendidikan dan Pelaksanaan Syariah Islam menjadi keutamaan dalam masyarakat di negeri ini.
Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh pimpinan Terengganu dalam mencorakkan pendidikan ke arah lebih baik.
Katanya, pelaksanaan syariah Islam juga perlu diberikan pujian yang lebih kerana telah berjaya menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mementingkan Islam dalam semua perkara.
“Bahkan, dalam bidang sukan juga turut menitikberatkan kaedah dan etika Islam apabila pihak Mufti juga turut terlibat menjadi ahli Jawatankuasa Sukan di negeri ini.
“Inisiatif ini merupakan langkah terbaik, bagi membimbing cara berfikir atlet Terengganu supaya menjaga adab dan tingkah laku terutamanya dari sudut pemakaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Di Tingkat 1, Pejabat Jabatan Mufti Terengganu, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.
Tambah Prof Sabri, dari sudut keagamaan, kerajaan negeri juga sangat mengambil perhatian yang serius.
“Dengan mengadakan Multaqa Ulama di peringkat nusantara yang merupakan salah satu mekanisme dalam memperkukuhkan akidah Islam dalam masyarakat.
“Pemimpin negeri juga memainkan peranan yang baik dari segi pembahagian tugas masing-masing seperti dakwah, pertanian dan sebagainya," ujarnya.
15 Feb 23
209
Laluan ECRL ke Pelabuhan Kemaman Jangka Siap 2024
KEMAMAN, 15 Februari - Pelan pembangunan fasa pertama Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) bagi pelaksanaan kerja pembinaan laluan kereta api (spur line) dari stesen utama dijangka siap sebelum akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd), Ir Muhtar Suhaili berkata, projek yang menelan kos RM20 juta itu akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan dijangka siap dalam masa 13 bulan.
Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk perlantikan konsultan dan pasukan pengurusan projek (PMT)
“Laluan ini akan menghubungkan stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama media di Pelabuhan Kemaman di Telok Kalong semalam.
Menurut Ir Muhtar, projek pembesaran pelabuhan kemaman akan diteruskan untuk beberapa fasa iaitu fasa kedua yang dijangka bermula pada 2026 dan fasa ketiga pada 2030 dengan anggaran kos RM3 bilion untuk memenuhi permintaan aktiviti yang semakin meningkat.
“Kita sedang berbincang dengan beberapa orang pelabur yang boleh bekerjasama dengan untuk fasa ketiga termasuklah memanjangkan lagi pelabuhan kita dan fungsinya untuk menampung keperluan pengguna pelabuhan dalam masa sekarang dan masa hadapan.
“Pelan ini dimulakan seiring dengan peningkatan kapasiti pegendalian kargo sebanyak 12 juta tan metrik (MT) pada masa ini sehingga 30 juta MT akan direkodkan setelah projek pembesaran ini siap kelak.
15 Feb 23
1385
'MB Terengganu Ada Bakat Terpendam' - Menteri
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai bakat terpendam dalam bidang perkayuan dan seni.
Tengku Zafrul berkata, ketika beliau dalam lawatan kerja di kediaman rasmi Ahmad Samsuri, Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu telah menunjukkan perabot yang dihasilkannya daripada barang terbuang.
"Saya baru tahu Menteri Besar Terengganu ini sebenarnya ada bakat terpendam.
"Kamu semua boleh tengok sendiri perabot yang beliau hasilkan daripada kayu terbuang dan pelbagai bahan lain.
"Bukan setakat perabot, lukisan pun ada. Kalau Dato’ Seri jual kerja tangan ini, mesti ramai nak beli," ujar beliau teruja di Facebook rasminya sebentar tadi.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau berada di Terengganu bagi meneruskan lawatan ke industri-industri tempatan.
Katanya, lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke Seri Setia, kediaman rasmi Ahmad Samsuri.
"Kami telah membincangkan tentang hala tuju pembangunan industri tempatan bagi merancakkan sektor pelaburan di Terengganu," katanya.
14 Feb 23
2109
Dijangka 100,000 Pengunjung Hadir ke Karnival Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Karnival Beautiful Terengganu 2023 yang berlangsung selama empat hari dijangka akan dihadiri lebih 100,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadhli Yusof Zakaria berkata penganjuran karnival tersebut akan diadakan bermula dari 23 hingga 26 Februari di Padang Astaka dalam daerah Kemaman.
Katanya, pelbagai pengisian menarik ditampilkan seperti pertunjukan kebudayaan, demonstrasi kebudayaan, pertunjukan bunga api, permainan rakyat dan sebagainya.
“Tidak ketinggalan juga, sesi 'informative' daripada lapan agensi yang berkaitan bagi mempamerkan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.
“Lebih daripada 20 syarikat dan hotel bersedia untuk menawarkan harga yang sangat berpatutan, dan seramai 90 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut serta dalam karnival itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemubual Di Radio Manis FM bertempat di Konti Manis FM, Kuala Terengganu di sini semalam.
Tambah Fadli, pihak pelancongan memilih daerah Kemaman kerana memastikan setiap daerah di Terengganu mendapat promosi dan publisiti yang sewajarnya.
Beliau berkata, penganjuran Karnival Beautiful Terengganu 2023 cukup bermakna kerana inilah platform yang baik untuk memperkenalkan Terengganu kepada pengunjung luar.
"Antaranya, makanan tradisional, kesenian, kebudayaan, seni warisan dan jenis-jenis permainan tradisional yang hampir di telan zaman.
"Di samping, mempromosikan produk serta perkhidmatan berkaitan sektor pelancongan yang terdapat di negeri ini," jelasnya.
14 Feb 23
1506
Kerajaan Perpaduan Tipu Rakyat, Bukan Madani
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Pakatan Harapan (PH) telah menipu rakyat serta seluruh dunia dengan menubuhkan 'Kerajaan Perpaduan' serta bukan kerajaan 'madani' sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengikut istilah sains politik kerajaan perpaduan yang sebenar tiada pembangkang atau dalam jumlah yang sedikit.
Menurut beliau, PH sebenarnya memimpin kerajaan campuran dengan ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam seramai 50 orang dan 31 daripada kalangan orang Islam serta tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti bagi mendominasi penduduk negara ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis.
"Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan opurtunis.
"Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.
"Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri 'madani' yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan," ujarnya melalui Bicara Media Presiden yang dimuat naik di facebooknya semalam.
Presiden PAS itu turut berkata, kepimpinan negara yang dilantik menerajui negara adalah kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lalu dengan mendapat sokongan bukan muslim.
"Bukannya sokongan kaum muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.
"Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.
"Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka," ujarnya lagi.
14 Feb 23
642
Sahut Seruan Hari Hijab Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Orang ramai diseru agar menyahut seruan program Hari Hijab Terengganu (Terengganu Hijab Day) menggalakkan pemakaian hijab yang sempurna menurut syariat.
Pengarah program, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia adalah inisiatif daripada Kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan Terengganu Hijab Day (THD) di mana sambutannya adalah di seluruh daerah.
“Alhamdulillah tahun ini masuk tahun kelima kempen Terengganu Hijab Day yang kita adakan bersempena dengan sambutan ‘World Hijab Day' yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun di seluruh dunia.
“Terengganu Hijab Day adalah salah satu usaha kerajaan negeri bagi kita merealisasikan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berkata demikian ketika di Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, pada hari ini.
Menurutnya, program Terengganu Hijab Day akan diadakan pada 20 Februari 2023 di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al- Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan merupakan ia adalah anjuran Kerajaan negeri.
Justeru itu, beliau menyeru kepada para wanita di luar sana agar jangan berputus asa dalam berhijrah untuk memperbaiki diri kepada yang lebih baik.
“Muslimin dan muslimat, para ayah, para suami, adik dan abang-abang semua, mari kita memastikan isteri-isteri kita, anak perempuan kita, saudara-saudara perempuan kita berpakaian yang mengikut syariat Islam.
“Daripada pakaian tidak tutup aurat kepada tutup aurat, daripada tidak bertudung kepada terus bertudung dan jangan berputus asa serta terus berusaha membaiki diri kita, insya Allah.
“Kepada seluruh rakyat Terengganu kita kena ingat dalam memastikan dan mencapai kemajuan dari segi kemajuan negeri, ekonomi, kita juga mesti bersungguh-sungguh dalam melaksanakan syariat Allah SWT. insya-Allah semoga negeri dan rakyat kita dilimpahkan rahmat dan kasihnya daripada Allah,” ujar Sakinah.
Beliau menambah, program Hari Hijab Terengganu akan diserikan lagi dengan jemputan Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus pada hari tersebut.
“Jadi mari kita ajak semua keluarga kita, abang, adik, kakak, suami, ayah, isteri, jiran-jiran tetangga dan semua pada ke sambutan Terengganu Hijab Day pada 20 Februari 2023,” tambah beliau.
13 Feb 23
379