Artikel "Semasa" Terkini
Imbuhan Bukan Objektif Sebenar
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Imbuhan yang dimenangi bukan objektif sebenarnya sebaliknya kemenangan pertandingan ini menyampaikan mesej disebalik video.
Hanim Sophia Mohd Sohor, 25, berkata, kemenangan ini membuatkan beliau lebih yakin dan semangat untuk mengajak para muslimat menutup aurat dengan sempurna.
"Ia membuka pintu untuk saya terus mengajak orang melakukan kebaikan melalui bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO).
"Selepas diumumkan pemenang, banyak NGO mengajak saya menyertai aktiviti kerja amal seperti memberi tudung, handsock dan sebagainya," jelasnya.
Beliau yang menetap di Kampung Kijing Marang, Terengganu yang juga dikenali Ratu Penyu berkata demikian ketika dihubungi, pada hari ini.
Menurutnya, Hanim anak kelima daripada tujuh orang adik beradik merupakan lepas pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan Di UITM kota bharu, kelantan.
Katanya, beliau sangat teruja kerana ini kali pertama menyertai pertandingan Terengganu Hijab Day (THD).
"Sempena Terengganu Hijab Day 2023 saya baru beranikan diri santuni orang ramai.
"Saya ambil peluang guna duit 'gift' daripada Tiktok dan agihkan tudung kepada orang Terengganu supaya mereka mendapat ganjaran pahala yang berterusan disamping menyokong Terengganu Hijab Day.
"Objektif utama saya biar masyarakat luar tahu bulan Februari adalah bulan menyambut Terengganu Hijab Day sbb masih ramai yang tahu," ujar beliau.
Justeru itu, beliau berharap pempengaruh (influencer) perlulah jadi role model menutup aurat sempurna kerana majoriti sekarang anak muda menggunakan media sosial.
"Saya berharap semoga wanita terus istiqamah berhijab dan manfaatkan ilmu yang dapat di THD mengenai hijab yang sempurna.
"Jika tidak mampu memakai tudung labuh cukuplah menutup aurat dengan sempurna.
"Biasakan pakaian harian dengan pakaian yang boleh bawa solat supaya selesa dan bebas melakukan aktiviti tanpa pandangan dahsyat ajnabi," tambah beliau.
23 Feb 23
381
Filem Pulau Disekat Kerana Langgar Batasan Islam
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Filem Pulau disekat daripada ditayangkan di pawagam seluruh negeri ini kerana mempunyai kandungan yang dilihat dalam 'trailer' telah melebihi batasan dalam agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pelaksanaan syariah di atas kaedah 'Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Jalluhu’ iaitu apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya.
Katanya, dalam konteks memberi kelulusan filem untuk ditayangkan bukan dalam bidang kuasa negeri melainkan bidang kuasa federal.
“Namun, kerajaan negeri mempunyai kuasa bagi menghalang filem terbabit untuk ditayangkan di pawagam yang ada dalam negeri Terengganu.
“Perlu difahami bahawa Islam tidak menghalang untuk kita berhibur,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Dr Khalil, Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan kejadian manusia yang suka kepada hiburan.
Oleh itu, Islam mendidik kita supaya berhibur dengan panduan dan cara yang betul serta tidak bercanggah dengan landasan Islam.
“Pelik bagi saya beberapa pihak yang mengambil pendekatan membuat filem yang seolah-olah berkiblatkan kepada barat.
“Justeru, sehingga boleh menyebabkan kontroversi sekali gus boleh merosakkannya minda generasi pada masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak filem kualiti yang tidak perlu kepada unsur yang meniru barat seperti filem Mat Kilau pada tahun 2022 yang menjadi sejarah dalam negara kita.
“Bahkan banyak lagi filem-filem lain mendapat tempat di luar negara yang menceritakan tentang budaya masyarakat dan negara masing-masing,” ujarnya.
Beliau berharap, karyawan seni di negeri ini dapat membuat filem tanpa meniru budaya dan gaya hidup barat kerana tidak sesuai dengan masyarakat kita.
23 Feb 23
667
Guna Duit 'Gift' TikTok Beli Tudung Untuk Masyarakat
MARANG, 23 Februari - Seorang Tiktokers muda dari Marang dikenali sebagai Ratu Penyu tular apabila dia secara solo melakukan dakwah jalanan dengan mengagihkan tudung secara percuma yang dibeli menggunakan duit (gift) hasil video di TikTok.
Usaha itu yang disunting menjadi video berjaya menambat hati juri pertandingan video pendek Terengganu Hijab Day (THD) dan membolehkan dia terpilih sebagai johan pertandingan terbabit.
Ratu Penyu atau nama sebenarnya Hanim Sophia Mohd Sohor berkata, tudung yang dibelinya itu dibungkus cantik dengan menampalkan kata-kata hikmah berunsur dakwah dengan harapan agar mesej mengenai kepentingan berhijab dengan sempurna sampai kepada penerima.
"Sempena THD 2023, saya menjalankankan kempen sendiri antaranya kerana ingin gemakan lagi THD sepanjang Februari dengan insiatif diri saya sendiri. Walaupun THD merupakan program kerajaan negeri, saya sebagai rakyat juga turut tidak mahu ketinggalan untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan ini.
"Saya mengambil kesempatan untuk menggunakan semua duit 'gift' hasil sepanjang saya berkreativiti di laman TikTok dengan mudah-mudahan saya mendapat ganjaran pahala yang berterusan termasuk follower saya. Ini juga tanda sokongan penuh saya terhadap program THD," katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima hadiah di Sambutan THD 2023 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Gadis yang baru berusia 25 tahun dan menetap di Kampung Kijing ini turut meluahkan perasaan terujanya dapat memenangi tempat pertama dalam penyertaannya sulung di Pertandingan Video Pendek THD sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500.
"Doakan saya agar lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meneruskan dakwah terutama perihal aurat dan wanita. Jika memakai hijab menutupi dada membuat saya tidak hebat, maka daripada itu saya memilih untuk tidak hebat," katanya.
23 Feb 23
632
Ustaz Azhar Sokong Kerajaan Terengganu Sekat Filem Pulau
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu yang mengharamkan tayangan filem pulau di negeri terbabit.
Ujar Ustaz Azhar, kerajaan negeri membuat keputusan tepat demi menjaga kepentingan awam termasuk menggelakkan rakyat terpengaruh dengan perkara mungkar yang ada dalam filem terbabit.
“Kalau saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya tak akan benar (ditayangkan) kerana kita akan menanggung kemurkaan Allah.
“Selagi mana kita ada kuasa untuk menyekat perkara mungkar kita perlu sekat, jadi tahniah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam program Terengganu Hijab Day (THD) di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus kelmarin.
Menurut Ustaz Azhar, pihak penerbit juga tiada hak untuk memarahi kerajaan Terengganu atas tindakan ‘mengharamkan’ filem itu di pawagam negeri terbabit.
“Mereka mahu menayangkan filem yang melanggar peraturan kerajaan negeri (tak wajar), nak masuk rumah orang kena ikut peraturan tuan rumah.
“Jadi saya nasihatkan kepada pengarah-pengarah filem supaya menghasilkan filem yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu membuat keputusan menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
“Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa.
“Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.
22 Feb 23
883
60 Kanak-Kanak Seberang Takir Khatan Percuma
KUALA NERUS, 21 Februari - Bersempena musim cuti sekolah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir sekali lagi mengambil langkah mempermudahkan urusan syariat dengan mengadakan Program Khatan Percuma buat kanak-kanak di kawasan itu.
Seramai 60 kanak-kanak yang layak diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir.
Para peserta terlebih dahulu dimandikan beramai-ramai dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program ini.
Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program tersebut diadakan bagi mengurangkan beban kewangan para penjaga yang kurang berkemampuan.
"Kita dimaklumkan, kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat kebelakangan ini sehingga ia membebani bagi segelintir ibu-bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Pusat Khidmat kita buat lagi pada kali ini.
"Selama dua tahun berturut-turut kita adakan program di klinik kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kali ini kita kembali buat terbuka dengan mengekalkan elemen tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini
Sementara itu, ibu salah seorang peserta, Norbaizura Zainal Abidin, 42, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan turut mengalami kenaikan pada masa kini.
"Alhamdullilah dengan urusan perkhidmatan baik dijalankan pusat khidmat serta sambutan yang begitu meriah mengembalikan nostalgia masyarakat kita," jelasnya.
Turut senada, Mohd Rizaman Mohd Sukri sempat mengambil peluang menyertakan anaknya walaupun beberapa pihak juga melakukan program yang sama.
"Acara ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang akan anaknya menangis hilang apabila melihat ramai ibu bapa penjaga bersama anak masing-masing.
"Berbezanya disini kerana ada aktiviti tradisi, meriah tak dapat di tempat lain," katanya lagi
21 Feb 23
278
Pulau Peranginan Terengganu Dibuka Semula
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Semua pulau dan pusat peranginan di seluruh negeri ini akan beroperasi semula secara berperingkat bermula awal Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kawasan terbabit ditutup berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku pada November lepas.
Katanya, semua pengusaha pelancongan telah bersedia menerima kemasukan pelancong ke pulau-pulau di Terengganu.
“Sebenarnya, tiada arahan khusus untuk menutup operasi resort, chalet atau hotel di pulau sepanjang tempoh Monsun Timur Laut berlangsung.
“Justeru, ramai pengusaha masih meneruskan operasi mereka bergantung kepada keadaan cuaca," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Tambah Ariffin Deraman, rata-rata pengusaha sudah faham terhadap lumrah cuaca yang berlaku di Terengganu ini.
"Di samping, kita selalu mengingatkan kepada mereka agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang musim tengkujuh berlangsung.
"Kemeriahan percutian di Pulau Terengganu akan lebih terasa pada Mac depan apabila ramai pengusaha telah menawarkan pakej percutian menarik di tempat masing-masing," ujarnya.
21 Feb 23
682
Kemaman Dipilih Tuan Rumah Karnival Beautiful Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Kemaman telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Karnival Beautiful Terengganu (KBTM) 2023 yang bermula Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata karnival itu dijangka dihadiri lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar.
Katanya, penganjuran itu melalui usahasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
“Penganjuran KBTM 2023 siri kali kedua ini bakal berlangsung di Padang Astaka, Kemaman bermula 23 Februari hingga 26 Februari ini.
“Kemaman dipilih menjadi tuan rumah kerana mempunyai keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadhli Yusof Zakaria
Tambah Affin Deraman, KBTM ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kepada semua bahawa Terengganu kaya dengan pelbagai produk dan destinasi percutian yang menarik.
“KBTM disenaraikan antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu dan menjadi 'kick start' event bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri.
“Penganjuran acara sebegini secara tidak langsung memberi impak ekonomi yang positif kepada penduduk sekaligus rantaian ekonomi itu diperluaskan sehingga semua pihak turut merasai manfaatnya,” katanya.
Sementara itu ujarnya, pelbagai pengisian menarik disajikan kepada pengunjung yang hadir antaranya pertunjukan kebudayaan, demonstrasi kebudayaan, pertunjukan bunga api, permainan rakyat dan sebagainya.
"Turut disediakan 80 gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran intraktif agensi, permainan tradisional, program keagamaan, persembahan kebudayaan, pameran dinosaur, demontrasi seni budaya & warisan dan cabutan bertuah,” ujarnya.
Di samping tambah beliau, sebanyak 10 jabatan kerajaan dan agensi swasta terlibat membuka ruang pameran karnival itu di mana masing-masing tampil dengan aktiviti kreatif, berinformasi dan interaktif.
21 Feb 23
1426
Etika Pemakaian Patuh Syariah Angkat Martabat Wanita
KUALA NERUS, 21 Februari - Usaha kerajaan Terengganu menguatkuasakan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, oleh kerana itu usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Katanya, setakat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara tersebut namun tiada tindakan diambil sebelum ini kerana masih dalam proses mendidik sehingga rakyat di negeri ini mendapat kefahaman yang jelas.
"Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan.
"Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi 'Ops Bonceng' pada Januari yang lalu," ujarnya.
Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din.
Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
21 Feb 23
533
Bajet 2023 : Jangan Biar Suri Rumah Terbeban
KUALA NERUS, 21 Februari - Kerajaan Persekutuan diharap mampu mengemukakan penyelesaian yang mampu mengembirakan hati seluruh rakyat khususnya suri rumah menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan iaitu menurunkan harga bahan mentah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Naisonal negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara tersebut menjadi harapan golongan terbabit demi kelangsungan hidup.
"Saya berharap sangat perkara ini diberikan tumpuan kerana kalau harga barang tidak dapat diturunkan serta diselesaikan ia akan menjadi beban serta masalah kepada golongan ibu yang selama ini bertungkus lumus menyediakan masakan setiap hari.
"Jadi seluruh pengguna mengharapkan agar kerajaan campuran ini dapat memastikan kos barangan keperluan dapat dikurangkan dengan seberapa segera,"ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan Terengganu Hijab Day 2023 bersama Ustaz Azhar Idrus bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.
Dalam pada itu, Hanafiah berharap, Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti juga akan dapat menaikkan bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal.
"Selama ini kerajaan negeri telah memberikan sumbangan bantuan 'one-off' jadi saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menaikkan bantuan bulanan kepada ibu tunggal.
"Manakala yang bekerjaya dalam bidang perniagaan saya mohon tambahkan lagi peruntukan tanpa faedah sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dimana setiap mereka boleh membuat pinjaman sehingga RM20,000," ujarnya.
Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan campuran hari ini menunaikan segala-janji manifesto yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Antarnya memansuhkan hutan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar, secara tidak langsung kebajikan ini akan memberikan kesenangan kepada seluruh rakyat," ujarnya.
21 Feb 23
842
'Pencetus Provokasi Himpit Yang Gusarkan Rakyat'
KUALA NERUS, 20 Februari - Pencetus provokasi program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) adalah individu yang bertanggungjawab menimbulkan kegusaran kalangan rakyat, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Hanafiah Mat berkata segelintir pihak itu memiliki agenda politik dengan cuba mewajahkan perarakan tersebut sebagai 'ganas'.
Katanya, ia merupakan usaha untuk memburuk serta menjatuhkan imej kerajaan Terengganu yang diketuai PAS.
"Itu hanya provokasi politik, saya rasa adalah lebih baik hentikan perkara yang tidak berguna seumpama ini, lebih baik beri tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, lebih sepuluh tahun sebelum ini tidak pernah lagi dijadikan isu, ini kali pertama.
"Ia dicetuskan oleh tangan-tangan ghaib yang tidak beruas hati dan memiliki agenda politik untuk menjatuhkan PAS sedangkan penglibatan parti ini sudah melebihi 60 tahun tidak pernah menyusahkan serta menakutkan rakyat, sebaliknya semakin diterima dan disayangi, buktinya 'gelombang hijau' telah menjelajah semua negeri yang ada dalam Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' 2023 Bersama Ustaz Azhar Idrus, di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.
Menurut Hanafiah, pihak kerajaan negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan secara lebih terperinci.
"Setiap kali penganjuran program ini kita dah maklumkan kepada polis, dan dah dapat permit sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Terengganu, bahawa telah memperolehi maklumat kita mempersilakan siasaran, saya menafikan terselit agenda untuk melakukan sebarang keganasan.
"Kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kerana kecil sangat tidak pada dengan kes, kita tidak ekstrim apa yang dibawa dalam perarakan pada program tersebut hanya replika semata-mata.
"PAS merupakan parti yang telah mewarnai politik tanah air, setiap kali kalah kita teruskan semua, perjuangan kita tidak sebagaimamana parti lain," ujarnya.
Mengulas mengenai penularan program tersebut, beliau berkata ia menjadikan PAS semakin dikenali.
"Tidak memberi kesan dan memusnahkan imej, sebaliknya semakin menaikkan imej, alhamdullilah seluruh agensei media sama ada di TV, akhbar dan sebagainya membuat liputan tentang perkara ini, kalau tidak bila lagi program yang dianjurkan pemuda PAS nak masuk dalam TV.
"Perkara ini juga tidak menjejaskan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka sekitar Jun atau Julai," jelasnya.
20 Feb 23
828