Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Jalin Hubungan Dua Hala Dengan Ulama Selatan Thailand
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan telah mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Selatan Thailand, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan hormat itu diharap memberi impak ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan negeri dan daerah Selatan Thailand yang pernah menjadi Tanah Melayu zaman pra kemerdekaan terdahulu.
“Bumi Pattani, Narathiwat dan Selatan Thailand seluruhnya penuh susur sejarah dan tradisi keilmuan Islam dengan jaringan ratusan pondok Pengajian Islam dan ribuan para ulama serta asatizah tersohor nusantara.
“Lawatan kerja ini menandakan bahawa jalinan antara Terengganu dan Selatan Thailand tidak pernah terputus sekalipun berpisah antara sempadan dua negara.
Antara intipati program yang disusun sepanjang berada sana adalah program menyantuni dan menggabung jalin bersama pelbagai pondok-pondok negara gajah putih tersebut.
"Kita juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menelusuri tempat bersejarah dan mempunyai simbol budaya Melayu Islam. Tambahan juga, kunjungan hormat Kerajaan Negeri Terengganu ini adalah dalam rangka meneruskan program Haflah Ihya Ilmu Terengganu bersama Tuan Guru Pondok buat rakyat Terengganu", ujarnya.
Tambah beliau, wakil kerajaan negeri tidak ketinggalan mengambil ibrah dan taujihat mutiara kata berharga oleh tuan-tuan guru pondok. Antara destinasi jaulah ialah Pondok Tepus Baba Abu Qutaidah Rashidi, Pondok Dala Baba Karim, Pondok Hutang Hangus Baba Abdulkadir Dan juga Pondok Bendang Rahman, Madrasah Rahmaniah, Wilayah Narathiwat.
"Ulama' Selatan Thailand ini kaya dengan khazanah ilmunya yang banyak mentahqiq dan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penuntut ilmu bukan sahaja seluruh nusantara malah seantero dunia.
“Saya yakin dengan kolaborasi ini boleh menjadi agenda besar dan inilah kunjungan kasih sayang yang dapat merealisasikan semangat bersaudara antara wilayah Selatai Thailand dan negeri Terengganu seterusnya menyebarluaskan lagi dakwah Islamiyyah,” katanya.
26 Feb 23
1033
Kuasai Internet Secara Positif - Titah Tunku Azizah
KUALA NERUS, 26 Februari – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet.
Seri Paduka Baginda yang juga merupakan penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertitah, ini terutamanya pada zaman sekarang semua maklumat boleh dicapai melalui hujung jari sahaja, terserah kepada masing-masing untuk menapis dan membuat penilaiannya.
“Oleh itu, pendedahan terhadap Program Surf Smart perlu dikongsikan seluas-luasnya dalam kalangan pemimpin dan ahli pandu puteri kita.
“Bagi memastikan persekitaran dunia yang damai, ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet.
“Ini termasuk memperkasakan dan menggalakkan penggunaan internet dengan bertanggungjawab selain menyampaikan nasihat dan memberikan bimbingan, memanfaatkan internet sepenuhnya serta memastikan ahli pandu puteri sentiasa dapat menavigasi laman sesawang sambil kekal selamat dalam talian,”titah baginda ketika berkenan merasmikan Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis tersebut, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu.
Berangkat sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Perak;Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datuk Jeyadhevi Subramaniam.
Titah baginda lagi, justeru itu pemimpin-pemimpin pandu puteri diharapkan dapat membimbing ahli masing-masing dengan pelbagai program Pandu Puteri yang dapat memberikan manfaat yang terbaik dan pengalaman yang berkesan bagi membantu membina karakter ahli pandu puteri dengan nilai murni yang terbaik.
26 Feb 23
298
Bajet Dibentang Anwar Tiada Faktor 'Wow' Untuk Anak Muda
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia Madani' membabitkan peruntukan besar RM388.1 bilion tidak memiliki faktor 'wow' untuk anak muda Terengganu.
Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, bajet yang menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad disifatkan tiada mesra belia.
"KIta memandang bajet tersebut tidak ada nilai 'wow' walaupun kita tahu ia merupakan antara bajet yang paling besar diumumkan tetapi peruntukan untuk rakyat Terengganu semakin kurang tidak sebagaimana yang diharapkan, diantaranya usaha untuk membantu rakyat tiba-tiba antara perkara yang diumumkan adalah pemberian lesen percuma.
"Perkara ini telah lama dilaksanakan di negeri, dalam harapan untuk kita melihat bantuan yang lebih baik diberikan di bawah kerajaan sekarang termasuk berkait berkenaan royalti, Terengganu sangat terkesan walaupun selama ini menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan tetapi ia lebih besar daripada apa yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan hari ini.
"Tindakan mengecilkan had sempadan maritim negeri hanya tiga batu nautika sahaja, lebih daripada itu tidak akan diberikan (royalti) ini merupakan suatu perkara yang sangat mengecewakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' di Dataran Awam Batu Buruk, semalam.
Tambah beliau, antara perkara yang turut mengundang kekecewaan rakyat, adalah permintaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dipenuhi.
"Ini menjadi harapan rakyat, kerana antara yang lantang bersuara dahulu adalah Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri. Bagi pandangan saya dia (Anwar) ke belakang, tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya anak muda jadi kita sifatkan 'sangat mendung'," ujarnya.
26 Feb 23
229
Bina Islam Dalam Keluarga
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Para Ibu bapa diajak untuk membina Islam di dalam keluarga masing-masing supaya setiap anggota dapat mengenali lebih dekat kehebatan ajaran agama samawi itu.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar menjelaskan ini memandangkan untuk membina sebuah negara Islam adalah sukar.
"Jadi kita cuba dalam lingkungan keluarga kita dulu, suami, isteri dan anak-anak," katanya lagi.
Dato Tengku Hassan berkata demikian ketika berucap di Program Jemputan Hi-Tea Asatizah DUN Ladang yang dianjurkan di sebuah restoran di sini semalam.
Menurutnya, Islam mengajar kita bertimbang rasa dan menghormati setiap anggota keluarga dan masyarakat sekeliling.
"Kalau ikutnya kita hendak parkir kereta pun, kena fikir orang lain, jangan parkir lintang pukang," katanya lagi di program anjuran Urusan Ulama DUN Ladang dengan kerjasama DUAT DUN tersebut.
26 Feb 23
220
Jual Roti Canai 50 Sen, Berniaga Sambil Sedekah
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Seorang peniaga di Chendering, di sini nekad menjual roti canai serendah 50 sen dengan niat mahu membantu masyarakat setempat.
Seorang peniaga, Rohaizal bin Hassan, 52 berkata, terdetik untuk menjual roti canai harga murah selepas menonton sebuah rancangan televisyen yang memaparkan sebuah gerai di Kedah yang menjual roti canai pada harga yang tidak masuk akal.
“Selepas menonton rancangan itu menimbulkan persoalan dalam diri saya dan membuatkan saya ingin menjual roti canai dengan harga yang murah.
“Di samping, roti canai 50 sen itu merupakan sebahagian daripada saham akhirat saya kerana mahu membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang," jelasnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, Chendering di sini baru-baru ini.
Katanya, rata-rata pelanggannya adalah penduduk kampung, pekerja kilang dan pelajar-pelajar yang mempunyai pendapatan tidak menentu dan masih belajar.
Di samping katanya, dia tidak pernah menyesal menjual hidangan itu pada harga 50 sen meskipun berdepan peningkatan harga kos bahan mentah.
Katanya, orang berniaga hendaklah banyak bersedekah, kerana rezeki orang berniaga luas.
“Terdapat juga komen daripada beberapa pihak mengenai harga murah namun saya tetap kekalkan harga ini kerana rezeki masing-masing.
“Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi jam 8.30 hingga tengahari pada setiap hari itu turut menyediakan beberapa menu lain bermula pada harga 50 sen hingga RM1.50," katanya.
Antara menu yang dijual di gerainya ialah pelbagai jenis roti canai, samosa dan kuih keramat.
26 Feb 23
501
Lebih 6,000 Pemilik Skuter Sertai Scooterian Mega Gathering
KUALA NERUS, 26 Februari- Lebih 6,000 pemilik dan peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering Vol 1.0 yang berlangsung di Taman Tasik, Kuala Nerus selama dua hari berakhir semalam.
Pengarah Program, Wan Mohd Zulhafeeza Wan Mohd Yusof berkata, perhimpunan julung kali diadakan itu terbuka kepada pelbagai jenis jenama dan model skuter.
Katanya, untuk acara autoshow sebanyak 11 kategori dipertandingan dimana tiga kategori bagi skuter moden dan selebihnya vespa.
“Sambutan diterima adalah di luar jangkaan, kita hanya letak sasaran 3,000 penyertaan tetapi yang hadir lebih 6,000.
“Matlamat kita adalah untuk mengumpul anak-anak muda seluruh Malaysia datang bersilaturahim, dan dalam masa yang sama (kami) pihak penganjur menerapkan lebih kepada keselamatan semasa berkonvoi.
“Selain berkumpul dan menggayakan skuter masing-masing, turut diadakan gerai jualan, cabutan bertuah, tidak lupa kita turut selitkan tazkirah disamping hiburan dimana kita mengharapkan event ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada rider yang datang ke Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Scooterian Mega Gathering 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tasik, Kuala Nerus, semalam.
Katanya, penganjuran program tersebut mendapat kerjasama baik dari semua pihak termasuk kerajaan negeri dan penaja.
“InsyaAllah, dengan sokongan kerajaan negeri dan semua pihak, kami turut bercadang untuk mengadakan Scooterian Mega Gathering Vol 2.0 juga di Terengganu pada tahun hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama terbaik terhadap penganjuran program yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.
“Terengganu sentiasa mengalu-alukan kedatangan para rider yang bertujuan mengadakan program gathering seperti ini.
“Selain menguatkan hubungan silaturahim dan juga membina rangkaian pelbagai manfaat dan tujuan, ianya secara tidak langsung memberikan impak ekonomi kepada rakyat Terengganu khususnya di kawasan sekitar tempat penganjuran sesuatu program itu,” ujarnya.
Tambah beliau, selain mudah berurusan dengan pihak kerajaan, Terengganu yang terkenal dengan pelbagai tempat riadah yang cantik turut menarik minat penganjur untuk mengadakan program himpunan kenderaan di Negeri Terengganu sebelum ini.
26 Feb 23
2055
Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
KEMAMAN, 25 Februari- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan kesinambungan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini selama empat hari bermula 23 Februari lalu.
Timbalan Pengerusi (l) Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, penganjuran KBTM kali kedua itu dilihat sebagai platform terbaik kepada penggiat industri pelancongan (players) Terengganu bagi memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.
"Selain dapat memperkenalkan seni warisan budaya yang ada di Terengganu, tujuan utama adalah untuk menjadi paltform bagi memperkenalkan pakej serta perkhidmatan yang berkaitan pelancongan yang disediakan oleh pemain industri kepada pengunjung karnival.
"Kita tampilkan keunikan dengan membawa produk-produk pelancongan dan pakej menarik yang dapat memberi pilihan kepada pengunjung.
"Kita ada 20 gerai pempamer yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung untuk mendapat pilihan perkhidmatan dan pakej pelancongan dengan tawaran harga yang berpatutan," ujarnya ketika berucap merasmikan KBTM 2023 di Padang Astaka, malam tadi.
Menurut Sulaiman, kerajaan negeri mahu mereka (pemain industri) melihat ini adalah satu inisiatif yang bersungguh digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus ingin menjadikan KBTM sebagai peluang yang perlu direbut.
"Ini adalah peluang terbaik untuk memasarkan dan menjual produk, pakej yang ada pada pemain industri di Negeri Terengganu.
"Sekiranya pemain industri di peringkat negeri kurang minat kita bersedia panggil penggiat luar, " ujarnya.
Sementara itu katanya, sektor pelancongan Negeri Terengganu merupakan penyumbang kedua terbesar selepas industri minyak dan gas di negeri ini yang juga menyumbang kepada sosiol ekonomi penduduk.
"Kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dalam menarik jumlah kedatangan pengunjung ke negeri Terengganu.
"Pelbagai usaha dan promosi yang dilakukan oleh kerajaan negeri samada di peringkat dalam dan luar negeri termasuk ke luar negara.
"Salah satu yang kita usahakan ialah KBTM yang kita adakan ini sebagai usaha mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri, " ujarnya.
25 Feb 23
1361
Himpit Manifestasi Semangat Perjuangan Rasulullah
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang berlangsung di Setiu baru-baru ini hanyalah mahu memperlihatkan semangat perjuangan Rasulullah S.A.W.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dalam diri generasi sekarang.
Katanya, program tersebut telah lama diadakan sejak daripada tahun 90-an lagi.
“Namun, baru-baru ini beberapa pihak sengaja menimbulkan isu dengan tomohan yang tidak sepatutnya.
"Pelik kenapa isu ini menjadi kontroversi sedangkan di luar sana lebih banyak lagi perhimpunan dan perarakan ekstrem namun tiada isu dan kontroversi ditimbulkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini baru-baru ini.
Tambah Dr Khalil, perarakan seumpama itu telah banyak diadakan di dalam dan luar negara seperti Viking, perarakan Thaipusam dan lain-lain.
"Ianya bertujuan bagi menaikkan semangat masyarakat mereka dari sudut agama, budaya dan sebagainya.
“Sepatutnya kita kena mempertahankan pendekatan Islam yang sudah menjadi darah daging dalam masyarakat melayu dan Islam dalam negara kita," katanya.
Di samping, kita tidak boleh bertolak ansur dengan agenda yang mahu menjatuhkan cara hidup Islam dalam diri dan masyarakat kita.
Mengulas lanjut mengenai Himpit, pihak di luar sana mahu menggambarkan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan parti yang terlampau dan ekstrem.
Sedangkan, PAS merupakan parti yang paling mengikut peraturan dan demokrasi berbanding parti-parti yang lain.
“Ianya terbukti melalui data-data serta sejarah mengenai PAS itu sendiri.
“Itulah perkara yang dididik oleh PAS bermula daripada menyertai pilihanraya dalam negara kita lagi," ujarnya.
24 Feb 23
269
1,400 Pekerjaan Buat Rakyat Terengganu
SETIU, 23 Februari - Sebanyak 1,400 daripada keseluruhan 2,000 peluang pekerjaan digazetkan khusus buat rakyat Terengganu dalam bidang pertanian lada hitam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kuota itu sudah dimeterai dalam perjanjian awal kerjasama.
“Dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dan McCormick memang dinyatakan secara hitam putih 70 peratus daripada pekerja adalah rakyat Terengganu.
“Pada masa yang sama, syarikat yang telah membuka beribu-ribu peluang pekerjaan ini akan mengambil pekerja secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Antara Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini semalam.
Azman Ibrahim turut berkata, TADC dianggap sebagai ‘vehicle’ bagi memacu agenda pertanian negeri ke arah penghasilan sumber serta keberhasilan usahawan.
“Kerajaan turut menyediakan lot khas bagi 25 peserta yang ingin menanam lada hitam dengan kira-kira 5 ekar setiap peserta supaya teknologi yang dibawa McCormick mampu dikongsi,” katanya.
Turut berlangsung di Sungai Tarom adalah Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu dengan pelbagai reruai daripada agensi kerajaan.
24 Feb 23
2647
20 Peratus KRT Di Terengganu Tidak Aktif
KUALA TERENGGANU23 Februari- Kurang penyertaan daripada golongan muda menjadi antara faktor kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini tidak lagi aktif.
Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, faktor lain dikesan ialah masalah kepimpinan, tidak berminat dan lain-lain.
Justeru katanya, bagi mengatasi masalah tersebut pihak jabatan telah melaksanakan penyusunan semula barisan jawatankuasa KRT.
“20 peratus yang tidak aktif dan kurang aktif itu disebabkan pelbagai faktor termasuk kepimpinan, kita tidak akan menutup KRT ini, tetapi ambil tindakan untuk memulihkan dan mengaktifkan kembali dengan salah satunya kita buat penyusunan balik barisan jawatankuasa KRT terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu KRT yang tidak aktif di negeri ini pada Majlis Penutup Program Harmoni Peringkat Tegeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun di Taman Sinar Harapan, di sini, hari ini.
Rosli berkata, pihaknya menetapkan sasaran untuk menyelesaikan masalah tersebut tahun ini memandangkan peranan KRT begitu meluas termasuk projek meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.
“Sasaran kita untuk selesaikan tahun ini, dua tahun sekali KRT akan dinilai keaktifannya.
“Kita mahu kewujudan rukun tetangga itu dirasai oleh komuniti setempat melalui program-program yang diadakan dimana kalau kita lihat program KRT ini menyeluruh, ia bukan sahaja untuk meningkatkan soal interaksi perpaduan bahkan juga untuk kesejahteraan,” ujarnya.
Katanya, pihak jabatan juga menyasarkan untuk menubuhkan satu KRT baru di setiap daerah tahun ini.
23 Feb 23
529