Artikel "Semasa" Terkini
Premis Menu Rahmah Dijangka Meningkat Menjelang Ramadan
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Jumlah premis yang menawarkan Menu Rahmah dijangka meningkat menjelang Ramadan tahun ini.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia berdasarkan tinjauan dari sudut penerimaan pengusaha mahupun pelanggan terhadap menu Rahmah ini.
Katanya, sehingga hari ini sebanyak 1,142 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.
“Inisiatif itu turut diperluaskan ke Restoran Infaq, Wakaf Tok Polam yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam terdiri daripada lapan buah kiosk yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di MajlisPerasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah bertempat di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam di sini hari ini.
Tambah Salahuddin, kesemua kiosk tersebut menawarkan menu Rahmah sekali gus menjadikan lapan hidangan Menu Rahmah yang ditawarkan di restoran itu pada harga RM5.00.
Pada program yang sama, Salahuddin turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 penerima dengan setiap bakul bernilai RM150.
“Inisiatif Bakul Rahmah dilaksanakan bertujuan bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini,” katanya.
Selain itu, dijangka seramai lebih 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan akan mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
01 Mar 23
356
Kalau Kerajaan Jatuh Lagi, Jangan Salahkan Kami - Abdul Hadi
MARANG, 28 Februari - Pemimpin kerajaan hari ini diingatkan agar tidak menyalahkan pihak pembangkang jika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tumbang sekali lagi sebaliknya berpunca daripada kerajaan sendiri.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata jika kerajaan sekarang jatuh sekali lagi, pemimpin mahupun penyokong PH tidak boleh mengatakan dek kerana 'tebuk atap' tetapi hakikatnya kerana berlaku 'atap bocor'.
"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah", ucapnya ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau lagi, kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudahan melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara.
"Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai.
"Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.
"Kayu tengkawan dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan di bawa ke mahkamah,
Kalau mengampu menjadi menteri.
Demikian petikan ucapan beliau yang disampaikan dalam versi pantun kiasan.
01 Mar 23
1086
Anak Syarikat Terengganu Rekod Pendapatan Tertinggi Sepanjang Masa
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad melakar sejarah apabila merekodkan pendapatan tertinggi syarikat sejak 1995.
TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kewangan syarikat yang berakhir pada 31 Disember 2022 mencatatkan pendapatan sebanyak RM614.2 juta.
Jelas kenyataan itu, ia meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, RM511.6 juta.
"Pendapatan Bahagian Perladangan meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM335.4 juta.
"Manakala hasil daripada bahagian Penjagaan Kesihatan pula meningkat sebanyak 24 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM278.7 juta," ujar TDM.
Mengulas lanjut, TDM berkata walaupun mengalami penurunan pendapatan sebanyak lima peratus bagi suku keempat 2022, ia tidak menjejaskan kenaikan pendapatan keseluruhan.
"Bahagian Perladangan merekodkan pendapatan sebanyak RM78.5 juta, menyusut sebanyak 24 peratus berbanding tahun lepas.
"Walau bagaimanapun, ini diimbangi dengan pertumbuhan hasil bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 28 peratus yang berjumlah RM79.3 juta daripada RM61.9 juta sebelumnya," kata kenyataan itu.
TDM juga aktif dalam bidang penajaan sukan apabila menjadi penaja pasukan TSG.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin teruja dengan kemajuan yang dicapai oleh bahagian penjagaan kesihatan.
"Matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terkemuka dan kos efektif kepada masyarakat kekal teguh dan dalam pada waktu yang sama.
"Kami akan terus berusaha untuk mengembangkan penawaran serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kami," tambah beliau.
28 Feb 23
1843
Jana Pelaburan RM717 Juta Daripada Gedung Pengeluaran Makanan
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Projek Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 dijangka mampu menjana pelaburan daripada awam dan swasta berjumlah RM716.96 juta.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 18 projek baru dan sedia ada telah dikenalpasti berupaya meningkatkan pendapatan rakyat.
"Agenda utama GPMT adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan kita mensasarkan lebih ramai golongan belia berminat untuk menceburi bidang ini.
"Sememangnya, kita optimis mampu mengangkat martabat sektor pertanian di negeri ini, lebih-lebih lagi apabila kita mula mewujudkan GPMT ini, insya-Allah," ujarnya menerusi facebook rasminya, semalam.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Samsuri berkata Setiu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan mengikut potensi dan kelebihan yang dimiliki.
"Dengan kewujudan tanah-tanah yang berskala komersil dan ekosistem pertanian serta kewujudan petani-petani dan tenaga kerja sedia ada.
"Oleh itu, potensi ini perlu dimanfaatkan dan dimaksimakan bagi menjana pendapatan rakyat dan memacu pembangunan Daerah Setiu,"ujarnya.
28 Feb 23
728
Tanah Bris 8,000 Hektar Peluang Rakyat Tanam Kelapa
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan negeri membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk rakyat negeri ini bagi mengusahakan tanaman kelapa yang memberikan pulangan sangat lumayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu masih memiliki sekitar 8,000 hektar tanah bris yang sangat sesuai untuk tanaman tersebut diusahakan serta dimanfaatkan oleh rakyat.
"Pengusaha cuma perlu jelas tujuan kelapa ditaman untuk apa samada hendak memasarkan produk kelapa tua atau muda, kepelbagaian apa yang hendak ditanam, juga boleh menghasilkan produk hiliran seperti air nira.
"Di Terengganu ini alhamdullilah memang kita tidak dengar aduan menyatakan produk kelapa tidak boleh dipasarkan, ini mengambarkan ia menerima permintaan yang tinggi dimana kalau ditanam tidak perlu fikir lagi mengenai pasaran kerana ia sangat diperlukan oleh rakyat kita.
"Kerana kedudukan Terengganu yang berada di negeri pesisir pantai yang paling panjang di semenanjung menyebabkan kita masih memiliki tanah bencah yang berpotensi untuk pembukaan kebun-kebun baru ataupun untuk kita pulihkan kebun-kebun yang sudah terlalu tua serta tidak lagi produktif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan Program Seminari Kelapa Terengganu 2023, di Dewan Permata, Hotel Permai, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, menerusi Pelan Strategik Pertanian 2019-2023 permohonan tanah baru kerajaan tidak lagi dipertimbangkan untuk tanaman komoditi seperti sawit atau getah, sebaliknya untuk tanaman kelapa sangat dialu-alukan.
"Antara rangka utama kita untuk memajukan industri kelapa ini adalah untuk mencapai kepada satu tahap sehingga Kadar Sara Diri (SSR) adalah mencukupi bagi penggunaan kelapa untuk rakyat kita.
"Setakat ini kita mencakap kadar SSR 67 peratus masih lagi jauh hendak cukup, dan penggunaan kelapa kalau mengikut purata standard kebangsaan adalah 23 kilogram (kg). Namun di Terengganu penggunaannya melebihi standard kebangsaan," ujarnya.
Dalam pada itu menurutnya, pengeluaran kelapa per hektar di negeri ini adalah antara yang tertinggi dalam negera dengan 7.12 metrik tan mengatasi standard kebangsaan 6.6 metrik tan per hektar.
Justeru katanya, tindakan yang dilakukan oleh rakyat sebelum ini yang mengantikkan tanaman kelapa dengan sawit perlu dikaji semula.
"Kerana hasil kelapa lebih besar daripada kelapa sawit iaitu 1 hektar kelapa memberikan pulangan hasil 10 hektar kelapa sawit dengan teknik yang betul bagi setiap hektar boleh menghasilkan keuntuntungan RM1,400 lebih tinggi daripada kelapa sawit," ujarnya lagi.
28 Feb 23
1099
BISE Angkat Ikon Belia Berjaya
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Program Belia Saing kite (BISE) menampilkan ikon belia berjaya akan didiadakan di setiap daerah di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tujuan program berkenaan adalah untuk memberi inspirasi kepada belia untuk berjaya sebagaimana ikon-ikon yang ada.
Ujarnya, idea untuk melaksanakan inisiatif tersebut tercetus setelah beliau mengikuti program bersama belia dan mendapati ramai yang berjaya serta berbakat.
"Malahan ada yang turut berjaya mencapai kejayaan dengan pelbagai anugerah serta pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Kebolehan serta kejayaan mereka ini perlu dibugarkan serta dikongsikan kepada generasi belia yang lain agar ia dapat dijadikan contoh dan motivasi," ujarnya melalui facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Bise, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pelbagai pihak juga akan turut bekerjasama dalam memastikan program yang akan diadakan di setiap daerah itu dapat mencapai matlamatnya dalam memastikan pembangunan belia di negeri ini terus rancak berjalan.
"Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang akan turut serta dalam program ini bagi membantu memberikan pencerahan serta penerangan, insya-Allah semoga apa yang direncanakan ini akan berjalan dengan lancar,"ujarnya.
28 Feb 23
427
Operasi Pengerukan Pelabuhan Chendering Bakal Dimulakan
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Proses pengerukan akan dimulakan segera bagi mengatasi masalah pemendapan pasir yang selama ini menjadi punca Pelabuhan Chendering cetek dan menyukarkan proses mendaratkan ikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini proses pengeluaran tender sedang dilakukan pihak berwajib.
"Walaupun Pelabuhan Chendering ini merupakan hak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri mengambil tanggungjawab mengatasi masalah yang berlaku ini.
"Melalui Belanjawan Terengganu 2023 telah diperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tujuan ini kerana telah dikenalpasti antara masalah utamanya adalah pemendapan pasir yang selama ini mengakibatkan kawasan pendaratan bot nelayan jadi sempit dan banyak kawasan yang cetek.
"Oleh kerana itu kita perlu keluarkan pasir dan proses untuk keluarkan tender untuk kerja-kerja pengerukan sedang berjalan dan kita yakin dalam tempoh seberapa segera ia boleh dimulakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Seminar Kelapa Terengganu 2023, di Dewan Permata, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Azman berkata, projek mendalamkan Pelabuhan Chendering di yang membabitkan penaiktarafan infrastruktur pelabuhan serta operasi menaik taraf benteng pemecah ombak pula adalah di bawah Kerajaan Persekutuan.
27 Feb 23
1084
Mangsa Lemas di Lubuk Tampin, Air Putih Ditemui
KEMAMAN, 27 Februari - Mangsa lemas yang dilaporkan hilang di Sungai Lubuk Tampin, Air Putih kelmarin ditemui pagi tadi.
Jenazah bapa kepada tiga orang anak, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 300 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam sekitar jam 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 7 pagi tadi membabitkan seramai 51 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Amal, polis bantuan dan penduduk kampung.
Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter dari tempat mangsa terjatuh.
"Mayat mangsa dipercayai tenggelam di dasar sungai terbabit yang dianggarkan sedalam lima hingga tujuh meter.
"Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kaedah kocakan air dengan menggunakan bot dan tindakan itu berhasil apabila mayat mangsa timbul di permukaan air," katanya.
Hanyan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke daratan sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang berkelah disitu bersama keluarga dikatakan cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di sungai terbabit, kira-kira jam 1.45 petang.
Arwah merupakan salah seorang daripada kakitangan EPIC Berhad yang bertugas dengan Tubex Sdn. Bhd. di Kemaman Supply Base (KSB).
27 Feb 23
364
Hujan Berterusan Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu.
Katanya, amaran tersebut dijangka melanda seluruh daerah di negeri ini.
MetMalaysia memaklumkan, ia berkuatkuasa bermula 27 hingga 1 Mac dan dijangka berlangsung selama tiga hari.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia
27 Feb 23
538
Edar Stokin Percuma Galak Wanita Tutup Aurat
BESUT, 27 Februari - Inisiatif Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') mengedarkan stokin percuma di Pasar Malam Kampung Raja sempena kempen Terengganu Hijab Day adalah untuk menggalakkan kaum wanita menutup aurat.
Ketua Nisa' Kawasan Besut, Nor Rafidah Razak berkata, program dikelola Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu itu dijayakan di peringkat daerah bagi meneruskan gelombang Terengganu Hijab Day.
Katanya, ia juga bagi memastikan rakyat di bawah merasai impak program tersebut.
Edaran stokin dan risalah.
"Sebenarnya program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha dakwah untuk mendekati masyarakat dan menggalakkan masyarakat umum khususnya kaum wanita untuk bertudung dan menutup aurat dengan lebih sempurna mengikut syariat islam.
"Pemakaian hijab ini bukan hanya untuk wanita yang faham agama sahaja, tapi adalah kewajipan bagi setiap wanita yang mengaku dirinya muslim," jelasnya.
Beliau beliau berkata demikian selepas selesai membuat edaran stokin dan risalah di Tapak Pasar Malam Kampung Raja semalam.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
27 Feb 23
716