Artikel "Semasa" Terkini
'Influencer' Sebagai Pendidik
DUNGUN, 6 Mac- Pempengaruh (Influencer) digesa untuk menyediakan kandungan yang berjaya mendidik pengikut mereka menjadi lebih positif dan berpengetahuan.
Mengulas lanjut, pelakon 'Pok Ya Cong Codei', Sabri Yunus berkata, merekalah yang sepatutnya menjadikan media sosial lebih beretika walaupun tiada sekatan dan penapisan sebagaimana televisyen dan tayangan di pawagam.
"Influencer salah satu perniagaan, adalah bagus kita menjana pendapatan dengan media sosial,
"Zaman sekarang jika tidak ada ilmu media sosial untuk berniaga akan menimbulkan masalah" katanya.
Sabri yang memegang watak utama dalam sebagai Pok Ya menerusi drama bersiri Pok Ya Cong Codei Mencari Siti itu berkata demikian di Slot Bicara Santai Orang Muda sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera(TMBS) DUN Sura di Dewan Medan Arena, di sini baru - baru ini.
Program bual bicara tersebut turut menampilkan pempengaruh 'TikToker' , Dr Tengku Fakhruddin Tengku Fauzi sebagai Moderator dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(IMiTS), Kamaruzaman Abdullah, sebagai ahli panel kedua.
Ujarnya lagi, sekarang anak muda mencari pendapatan tanpa bekerja. Mereka mahu bekerja sendiri, tidak suka makan gaji disebabkan pendapatan menerusi media sosial sangat lumayan.
"Akan tetapi bahayanya ialah kita menjadi sangat bebas tanpa siapapun boleh menyekat,
"Sepatutnya kita sebagai influencer mengajak orang semakin berfikir ke hadapan tapi sebaliknya kandungan (content) kita mundur ke belakang," jelasnya lagi.
05 Mar 23
337
Didik Masyarakat dengan Hiburan Selari Syariat
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Masyarakat perlu dididik dengan hiburan yang berlandaskan panduan ditetapkan dan bersesuaian dengan agama serta adat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mempersoal sesetengah pihak yang merosakkan cara berhibur dengan membawa masuk hiburan kebaratan.
Zuraida hairan mengapa diperlukan hiburan ala hedonisme yang menampilkan artis yang terkinja-kinja menari di pentas dengan pakaian yang mencolok mata, sedangkan negara kita majoriti penduduknya adalah Melayu-Islam.
Beliau dalam masa yang samamemuji penganjuran program hiburan yang mengambil kira garis panduan syariat dan lebih bertepatan dengan adab sopan setempat misalnya seperti penganjuran Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini.
"Di saat ada belahan dunia yang lain, subur dengan konsert hiburan yang tidak berlandaskan syariat, kita bawa hiburan yang sesuai dan selari dengan syariat.
"Pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, tidak gagal memberi hiburan kepada kaum majoriti muslim.
"Bahkan hiburan sebeginilah yang sewajarnya buat kita yang dididik dalam suasana penuh kesopanan berkat agama Islam dan adat ketimuran itu sendiri," ulasnya lagi.
Zuraida berkata demikian dalam satu hantarannya di media sosial Facebook, semalam.
Jelasnya, baru-baru ini, Terengganu mengadakan Pertandingan Tadarus & Hafazan Al-Quran di Dataran Pejabat Tanah dan Daerah Marang dan ia mendapat sambutan ramai.
"Ini bukti bahawa masyarakat kita sokong dan hadir sahaja majlis yang sebegini, majlis yang selari syariat," tambah beliau lagi.
04 Mar 23
199
Restoran Milik MAIDAM Tawar Harga Murah
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Restoran Infaq Lil Wafi, Wakaf Tok Pelam yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menawarkan menu makanan dengan harga murah
Yang Dipertua MAIDAM, Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, harga ditawarkan serendah RM5.00 di sini.
Katanya, sebanyak lapan kiosk yang menjual menu tersebut daripada pelbagai jenis makanan dan minuman di restoran ini.
"Antara kiosk yang menawarkan menu Rahmah adalah Has Aneka Nasi-Nasi Putih, Has Yong Tau Fu, Dapor Laki-Bini Nasi Goreng Ikan dan pelbagai lagi.
"Inisiatif ini diambil bagi kemudahan masyarakat setempat terutama golongan yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah bertempat di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam di sini baru-baru ini.
Perasmian tersebut disampaikan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Tambah Syeikh Harun, di samping, mereka yang berkunjung di sini boleh infaq di tabung yang disediakan bagi membantu dari sudut pelaburan ekonomi Restoran.
Justeru, perkhidmatan jualan murah ini sentiasa terjamin dengan cara pelaburan tersebut bagi membantu semua orang.
Pada program yang sama, turut berlangsung penyerahan sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 penerima asnaf dengan setiap bakul bernilai RM150.
03 Mar 23
442
Sultan Mizan Titah Rakyat Cakna Al-Quran
MARANG, 3 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya masyarakat mengambil serius akan urusan Al-Quran bermula dari membaca, memahami serta menghayati seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah bahawa kitab suci Al-Quran merupakan panduan dan dasar bagi umat Islam dalam mengendalikan segenap aspek dan keperluan kehidupan.
“Intipati Al-Quran mestilah diterjemahkan dalam bentuk dakwah untuk memandu ummah khususnya pada zaman sekarang yang sangat memerlukan pendakwah yang benar-benar berilmu serta selari dengan pendekatan Al-Quran dan Sunnah.
“Berdampinglah dengan Al-Quran serta fahami dan hayatilah isi kandungannya tambahan pula mushaf-mushaf mudah didapati di mana-mana,” titah baginda.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/ 2023M di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis berkenaan turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam majlis tersebut.
“Beta berharap semoga kita semua dapat memanfaatkan peluang keemasan berada dalam bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi dengan sebaik mungkin untuk mentadabbur Al-Quran serta memaknai setiap isi kandungannya dalam kehidupan seharian demi meraih redha Allah,” titah baginda.
03 Mar 23
441
Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
MARANG, 3 Mac – Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, 30 dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di sini.
Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 32 yang berasal daripada daerah Setiu.
Pada majlis yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu, Abdul Hadi memperoleh markah 89.2 peratus manakala Nor Hidayah meraih 88.6 peratus.
Sekali gus, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan sijil penyertaan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini semalam.
Turut berkenan berangkat, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan tiga kali dan naib johan tiga kali.
"Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya," katanya.
Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini.
Selain itu, tidak malu untuk membaca Al-Quran dengan berlagu sepertimana di Mesir yang menjadikan tilawah itu sebagai hiburan di setiap tempat dan menjadikan budaya mereka.
“Penganjuran Tilawah ini sangat baik kerana dapat menarik minat orang ramai terhadap kesenian tilawah sekali gus dapat mendekatkan diri masyarakat dengan Al-Quran serta menjadi ikutan," ujarnya.
03 Mar 23
1573
TMBS Bukti Kejayaan Kerajaan Terengganu
DUNGUN, 2 Mac – Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk memaklumkan kepada rakyat tentang kejayaan negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengenai kejayaan pelaksanaan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dari pelbagai sudut mahupun permasalahan sepanjang tempoh empat tahun mentadbir negeri ini.
Katanya, inisiatif ini juga merupakan medan bagi mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat.
“Di samping, medan mendidik, menyampaikan ilmu dan tempat aduan permasalahan yang dihadapi kepada agensi yang berkaitan.
“Sekali gus, memberi ruang bagi rakyat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) DUN Sura bertempat di Dewan Arena Merdeka, Dungun di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Tambah Dr Samsuri, melalui interaksi bertemu mata, maka timbullah rasa kasih dan sayang sesama kita.
“Slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ bukanlah sekadar sebutan di mulut sahaja melainkan satu ikhtiar dan komitmen untuk masa depan yang baik, bukan sahaja di dunia bahkan akhirat jua," katanya.
Mengulas lanjut mengenai program, karnival TMBS peringkat Dun Sura itu yang telah diadakan bermula dari 2 hingga 4 Mac 2023 menerima penyertaan melebihi 5,000 orang.
Beliau berharap, program sebegini dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung yang hadir.
02 Mar 23
298
Galeri Khairunnisa’ Bantu Pasarkan Produk Usahawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Penubuhan Galeri Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Bekas Wakil-Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') yang beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir secara tidak langsung membantu usahawan dan komuniti kraf khususnya untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
Pengerusinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, beliau yakin Galeri Khairunnisa’ yang bertindak sebagai pusat aktiviti dan pameran, jahitan dan aksesori serta jualan hasil kraftangan yang memaparkan identiti Negeri Terengganu mampu menarik minat orang ramai untuk melihat barangan yang dijual.
“Idea penubuhan galeri dan pusat aktiviti ini tercetus daripada penganjuran program jejari emas oleh Persatuan Kharunnisa’, di mana kita bersama-sama turun padang untuk ajarkan kemahiran menjahit kepada penduduk di kampung-kampung seluruh Terengganu.
“Justeru, kita ingin lihat adanya satu galeri untuk membantu memasarkan produk dari mereka (orang kampung) tanpa sebarang cas dan penyertaan daripada penduduk yang berminat memasarkan apa sahaja produk yang diusahakan sangat dialu-alukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Galeri Khairunnisa’ yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, hari ini.
Katanya, Persatuan Khairunnisa’ juga bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama Portfolio Pelancongan Negeri bagi menjadikan galeri berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan.
“Kita selalu menerima rungutan daripada orang luar di Terengganu ini tidak ada satu pusat yang menyediakan kepelbagaian produk Negeri Terengganu, kita cuba buka untuk tujuan itu dan bila bila orang datang nak cari produk Terengganu seperti kraf tangan, batik, anyaman dan sebagainya boleh datang ke sini,” ujarnya.
Tambah beliau, pusat aktiviti wanita yang beroperasi di galeri tersebut juga banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk membuka peluang kepada mereka mengikuti kelas yang dianjurkan.
“Antara aktiviti yang disediakan seperti kelas menjahit, dandanan dan masakan. Aktiviti sebegini sedikit sebanyak sebenarnya boleh menjana pendapatan kepada mereka khususnya suri rumah,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan Persatuan Khairunnisa’ menubuhkan gelari dan pusat aktiviti terbabit.
“Tahniah saya ucapkan kepada usaha murni pihak persatuan yang telah menjadi peneraju untuk membantu memasarkan produk usahawan khususnya dalam pembuatan kraf dan seumpamanya.
“Dengan adanya galeri sebegini kita dapat ketengahkan lagi hasil usahawan Terengganu kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.
“Penduduk sekitar juga boleh ambil manfaat untuk pasarkan produk masing-masing kerana ramai yang saya jumpa mereka boleh menghasilkan produk tetapi agak gagal untuk memasarkan dan sayang kerana produk-produk mereka ini sebenarnya berkualiti,” ujarnya.
02 Mar 23
669
Ahmad Maslan Beri Bayangan GST Akan Kembali
KUALA NERUS, 2 Mac - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberikan bayangan bahawa Kerajaan Persekutuan akan kembali melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, walaupun pada pembentangan Bajet 2023 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada pelaksanaan GST pada tahun ini, ia tidak bermakna kerajaan tidak akan menguatkuasakan semula cukai itu pada tahun-tahun akan datang..
Ini kerana katanya, negara perlu mendapatkan hasil yang banyak dan GST adalah baik untuk rakyat.
"Kita tahu bahawa GST ini memberikan (hasil) RM44 billion kepada kerajaan berbanding Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) serta boleh mengurangkan 'the black economy' 'the underground economy' (dan) 'the shadow economy' (yang semuanya) membawa maksud yang sama iaitu penipuan cukai.
"Orang tak bayar cukai akibat daripadanya, kerajaan akan dapat hasil yang kurang daripada sepatutnya dan ia dilaksanakan di 174 negara daripada 194 negara, 20 negara sahaja yang tidak laksana diantaranya Malaysia, adakah 174 negara itu Salah? pasti ia tidak Salah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan 'Academic Sharing Session', di Majlis Makan Malam Sempena The 3rd International Centre & Communication (ICMC) di Raia Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Maslan berpendirian, jika GST kembali semula dilaksanakan masyarakat yang merupakan golongan sasaran perlu diberi pendidikan yang berterusan mengenai dasar dan polisi yang pernah dilakukan pada April 2015.
"Masalah kita tidak ada seorang pun suka bayar cukai, jadi bagaimana elok pun kita menyampaikanya orang (tetap tidak akan suka). Jadi ini satu cabaran yang perlu diatasi, kita perlu menggunakan teknologi media terutama media sosial untuk disampaikan kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu katanya, melalui Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia 499 syarikat menyatakan sokongan padu agar GST dikembalikan semula.
"Kerana GST ini mempunyai satu sistem yang dipanggil 'tax refund' mereka boleh dapat balik sejumlah tertentu. Sebenarnya pendapatan yang diperolehi daripada GST bukan RM44 billion itu hasil bersih, sebenarnya yang diperolehi adalah 62 billion pada tahun kemuncaknya 2017 dan baki itu dipulangkan semula kepada mereka yang bayar," ujarnya.
Justeru katanya, pendidikan mengenai cukai perlu teruskan dilakukan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan di Universiti.
"Bagi memberikan kefahaman kepada rakyat kenapa perlu membayarnya serta bagaimana ia akan dikembalikan semula kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.
02 Mar 23
279
Karnival Beautiful Terengganu Catat Rekod RM1 Juta Hasil Jualan
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri (JPNT) berjaya merekodkan hampir RM1 juta hasil jualan sepanjang penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, jumlah itu dikira berdasarkan kutipan RM820,000 hasil daripada jualan produk usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan promosi pakej pelancongan.
Katanya, manakala pembelian pakej promosi perkhidmatan pula hampir RM80,000 yang ditawarkan oleh 20 syarikat pelancongan yang terlibat.
“Kutipan itu tidak termasuk hasil limpahan ekonomi yang diperoleh pengusaha hotel atau homestay berdekatan, peniaga warung dan peniaga kecil di kawasan sekitar.
“Jumlah pengunjung turut melebihi sasaran di mana pihak JPNT berjaya merekodkan kira-kira 150,000 pengunjung berbanding hanya 100,000 pengunjung yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Fadli, kejayaan penganjuran KBTM 2023 akan menjadi penanda aras bagi penganjuran seterusnya yang dilihat sebagai platform terbaik bagi penggiat industri pelancongan negeri.
Khususnya, dalam mempromosi dan memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.
Sementara itu, pelbagai pengisian menarik dan aktiviti interaktif yang tawarkan oleh para pemain industri, termasuk pelbagai agensi berkaitan sektor pelancongan di negeri ini.
“Pada masa sama dapat membuka ruang kepada usahawan untuk melebarkan sayap perniagaan masing-masing,” katanya.
02 Mar 23
249
Terengganu Sedia Bantu Mangsa Banjir di Johor
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Terengganu akan menghantar pasukan sukarelawannya bagi membantu negeri Johor yang kini sedang berhadapan dengan musibah banjir.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menghubungi Menteri Besar Johor, Dato' On Hafiz Ghazi bagi mendapatkan maklumat semasa mengenai banjir di negeri terbabit pada jam 8.20 pagi ini.
"Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa Terengganu akan mengerakkan pasukan sukarelawan terdiri daripada pelbagai unit seperti T-Volts, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan lain-lain bagi membantu proses pembersihan pasca banjir nanti, insya-Allah," ujarnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Dr Ahmad Samsuri turut mendoakan agar mereka yang diuji bersabar dan bertabah.
"Semoga rakan taulan di Negeri Johor Darul Takzim tabah dan bersabar dengan ujian ini," ujarnya.
Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 25,213 orang setakat jam 8 pagi ini.
Mereka membabitkan 7,013 keluarga yang dipindahkan ke 187 PPS yang dibuka di 10 daerah terjejas banjir.
Keadaan hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.
02 Mar 23
140