lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kuala Berang Diiktiraf Antara Lima Bandar Komuniti Bahagia Terbaik
Kuala Berang Diiktiraf Antara Lima Bandar Komuniti Bahagia Terbaik
HULU TERENGGANU, 21 Mac - Penduduk daerah ini boleh tersenyum bangga apabila Bandar Kuala Berang diiktiraf antara lima bandar di seluruh negara sebagai ‘Bandar Komuniti Bahagia Tahun 2022’. Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lukema Meri Salleh@ Abdul Latif, berkata penilaian itu berdasarkan tiga komponen utama yang dinilai melalui Indeks Kebahagiaan Bandar Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022. Katanya, ia tidak akan dikecapi tanpa kerjasama daripada rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan. "Syukur kepada Allah SWT kerana anugerah itu adalah komitmen daripada semua, bukan daripada pihak majlis (MDHT) sahaja, sebaliknya komitmen masyarakat juga. “Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan semoga kita semua dapat mengekalkan rasa bahagia, sentiasa tenang, berhemah dan terus saling membantu demi daerah tercinta,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Katanya lagi, pemilihan ini juga  berlandaskan  14 kriteria Indeks Kebahagiaan yang dilaksanakan melalui Sistem Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInet) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).  "Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal. "Antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur," jelasnya. Justeru itu, bagi memastikan pengiktirafan itu dikekalkan pada masa hadapan, beliau mengharapkan agar perkhidmatan MDHT dipertingkatkan selain berkolaborasi dengan agensi berkaitan  supaya perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat daerah itu.      
21 Mar 23
618
Kakitangan INSTEP Sumbang  RM8,000 Bantu Persiapan Murid
Kakitangan INSTEP Sumbang  RM8,000 Bantu Persiapan Murid
KUALA NERUS, 20 Mac - Kakitangan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menyumbangkan RM8,000 bagi membantu persiapan murid-murid  sempena Program Kembali ke Sekolah 2023. Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, sumbangan menerusi Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022 itu merupakan hasil kolaborasi antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di kawasan Batu Rakit, Terengganu. Katanya, bantuan ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP. “Sekolah yang terpilih bagi bantuan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan dan SK Bukit Wan, dari daerah Kuala Nerus. Manakala dari daerah Setiu, ialah SK Lembah Bidong dan SK Merang. “Antara sumbangan tersebut ialah peralatan bantu mengajar untuk kegunaan kakitangan sekolah seperti mesin pencetak, mesin projektor LCD, mesin lamina dan papan putih.  “Selain daripada itu, turut disampaikan peralatan alat tulis untuk kegunaan pelajar serta bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu dalam satu majlis ringkas, Pengurus Kanan Perundingan Pembelajaran INSTEP, Muhammad Asri Omar menyampaikan sumbangan kepada guru besar lapan sekolah terlibat dalam majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus. Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Kamarudzaman Daud dan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Jawahil Abdullah.  Idris juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2023 disamping menyokong agenda kemenjadian murid sempena permulaan sesi persekolahan kali ini. Tambah beliau, pihaknya juga menyerahkan sumbangan berbentuk peralatan sukan seperti bola sepak dan bola keranjang disamping jersi sukan dan seluar trek sukan lengkap dengan kit pertolongan cemas untuk kegunaan pasukan sekolah. “Kami berharap supaya sumbangan ini dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus mencipta kecemerlangan di dalam bidang pendidikan dan ko-kurikulum,”katanya.
20 Mar 23
584
Maahad Tahfiz Jalin Kerjasama Strategik Dengan Kolej Komuniti
Maahad Tahfiz Jalin Kerjasama Strategik Dengan Kolej Komuniti
KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Komuniti Kuala Terengganu dalam memastikan pelajarnya terus mendapat kemahiran lain untuk menjamin kebolehpasaran apabila tamat pengajian kelak. Acara menandatangani MoU itu berlangsung pada Majlis Mini Konvokesyen Kursus Tahfiz vokasional 2022 di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sambil disaksikan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Abdullah Suhaimi Zakaria. Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman diwakili Mudirnya, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal manakala Kolej Komuniti Kuala Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Ts. Ali Mamat. Sempena majlis mini konvokesyen itu, seramai 52 pelajar maahad tersebut dianugerahkan sijil selepas berjaya menamatkan kursus pendek Program Peningkatan Kemahiran PSH Bermodul dan Bermodul (kredit) dalam bidang pendawaian elektrik dan jahitan pakaian wanita di bawah kelolaan Kolej Komuniti Kuala Terengganu. Sementara itu, Muzaihar Kamal merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Komuniti Kuala Terengganu yang menawarkan kerjasama untuk melatih pelajar mereka dengan kemahiran yang diperlukan. “Diharapkan dengan termeterainya MoU ini, jalinan kerjasama sebelum ini akan berterusan. “Ini kerana gabungan pendidikan agama dan kemahiran amat penting kerana ia bukan saja memberikan ilmu agama berterusan kepada pelajar tetapi juga ilmu kemahiran yang pastinya mampu dipraktikkan sepanjang hayat. “Kesinambungan antara bidang tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang muslim. Justeru, gabungan bidang kemahiran dan bidang tahfiz di Kolej Komuniti mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit,” ujarnya.  
20 Mar 23
745
Individu Bergejala Disaran Pakai Pelitup Muka Di Masjid, Surau
Individu Bergejala Disaran Pakai Pelitup Muka Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta Individu yang berisiko tinggi digalakkan memakai pelitup muka di Masjid dan Surau di negeri ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, menjunjung titah perintah dan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam Negeri Terengganu. Katanya, selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19. “MAIDAM melalui Kenyataan Media pada 15 Mei 2020 yang lalu telah menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di masjid dan surau dalam negeri Terengganu adalah diwajibkan dan arahan tersebut masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini. “Walau bagaimanapun, melihat kepada perkembangan semasa kes positif Covid-19 di Negeri ini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menunjukkan kadar kemasukan pesakit kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi (ICU) yang rendah dan semakin berkurangan. “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas perkembangan semasa yang semakin baik,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Shaikh Harun, selaras dengan perkembangan semasa dan juga dengan Kenyataan Media Menteri Kesihatan Malaysia pada 7 September 2022 berkaitan Semakan Semula Keperluan Pemakaian Pelitup Muka MAIDAM. Beliau berkata, selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu. "Dengan ini mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju menetapkan bahawa semua para jemaah masjid dan surau diberi pilihan untuk memakai pelitup muka," jelasnya. Walau bagaimanapun, kepada individu yang bergejala dan yang berisiko tinggi pemakaian pelitup muka amat digalakkan. “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyeru supaya rakyat jelata agar terus menjaga dan meningkatkan kebersihan diri dan juga keluarga lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan Al-mubarak nanti. “Baginda mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat dan berdoa semoga semua rakyat jelata sentiasa berada di dalam kerahmatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala. “Arahan ini berkuat kuasa mulai 1 Ramadhan 1444H bersamaan 23 Mac 2023M,” ujarnya.          
20 Mar 23
316
Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Norway
Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Norway
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Besar Norway ke Malaysia, TYT Morten Paulsen. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedatangan TYT Morten Paulsen bertujuan mewujudkan kerjasama antara dua pihak yang mengembalikan manfaat kepada rakyat. "Negeri Terengganu ingin mencontohi Norway dalam Pengurusan hasil petroleum dan gas agar lebih terancang. "Serta mengurangkan kebergantungan syarikat-syarikat berkait Kerajaan (GLC) terhadap Dana daripada Kerajaan pusat semata-mata, " ujarnnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini. "Terima kasih kerana sudi bertandang ke negeri kami, mudah-mudahan Terengganu indah di mata dan hati," ujarnya lagi.
20 Mar 23
317
Ustaz Azhar Idrus Dibenarkan Pulang, Perlu Berehat Sementara
Ustaz Azhar Idrus Dibenarkan Pulang, Perlu Berehat Sementara
KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah dibenarkan pulang ke rumah semalam setelah lima hari menjani rawatan di Hopital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Isterinya, Rogayah Sulong, 52 berkata keadaan kesihatan suaminya berada dalam keadaan baik dan sudah beransur pulih. Katanya, Alhamdulillah, UAI telah dibenarkan pulang dan terima kasih pada pihak HSNZ atas layanan yang baik diberikan. “Terima kasih juga kepada semua kru Ustaz Azhar Idrus serta kepada semua yang mendoakan kesihatan UAI. “Semoga UAI cepat sembuh seperti sediakala agar dapat meneruskan dakwahnya seperti biasa,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya malam tadi. “Khamis lalu, media melaporkan bahawa Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke HSNZ selepas mengadu tidak sihat dan disyaki mengalami masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung. Sepanjang berada di wad, beliau telah dikunjungi beberapa orang pemimpin, antaranya Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Menurutnya, tahap kesihatan penceramah itu bertambah baik selepas menjalani rawatan di hospital berkenaan.          
20 Mar 23
267
Anak Terengganu Hasil Karya Seni Luar Biasa
Anak Terengganu Hasil Karya Seni Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Seni penghasilan 'airbrush' oleh seorang pelukis di Kampung Raja Barang, Chendering di sini tarik perhatian orang ramai sehingga tular di media sosial. Mohd Rozamil Mohd Yatin, 38, berkata hasil karya menconteng menggunakan 'airbrush' ini telah menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Katanya, dia aktif sebagai pelukis ‘air brush' sejak 2005 dengan melukis karyanya di vespa-vespa ketika itu. “Karya melukis ini juga telah diberi pendedahan kepada dua orang anak saya kerana minat dan bakat mereka terhadap seni lukis ini dapat dilihat sejak kecil lagi. “Mereka juga telah membantu saya di tempat kerja sepertimana yang tular di video Tiktok baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.  Dia yang juga dikenali sebagai Zameer Pentbrush berkata, sebenarnya teknik lukisan ini telah lama popular di luar negara cuma di negara ini popularitinya agak perlahan. Mohd Rozamil berkata, harga bagi 'borderline' bermula RM4,500 untuk lukisan kekal manakala RM 400 bagi lukisan sementara bergantung kepada permintaan pelanggan. “Tempoh lukisan bagi dakwat sementara tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan hanya sekitar satu hingga dua jam manakala lukisan bagi dakwat kekal memakan masa sehingga dua minggu untuk disiapkan," katanya. Tambah Rozamil, kali pertama karyanya mula viral apabila penghasilan lukisan wira-wira negara pada helmet yang tular di media sosial sewaktu musim Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. "Harapan saya agar dengan karya seni yang dihasilkan terutamanya oleh anak tempatan ini dapat membuka mata orang ramai untuk bersikap positif dan terbuka terhadap kreativiti dan cabang seni yang ada di negara kita," ujarnya.  
19 Mar 23
469
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
SETIU, 19 Mac - Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot lewat petang semalam. Mangsa Mahamad Harun, 63 nelayan tempatan dikatakan turun ke pengkalan bot Kampung Baru Penarik untuk memeriksa serta menguji keadaan bot untuk keluar menangkap ikan. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan 9.52 malam tadi. Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula malam tadi dan diteruskan pagi ini dengan penglibatan jabatan dan agensi lain dengan melibatkan agensi penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahan Awam, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA). Serta unit anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat. Sementara itu, Isteri mangsa, Kamariah Ali, 65 ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, tiada sebarang petanda pelik ditunjukkan sebelum kejadian dan suaminya turun ke pengkalan bot seperti biasa.    
19 Mar 23
366
Waran Tangkap Terhadap Exco Terengganu Terbatal
Waran Tangkap Terhadap Exco Terengganu Terbatal
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Waran tangkap terhadap Mohd Nor Hamzah ekoran kegagalan beliau menyambung bicara dalam perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) Parlimen Marang Khamis lalu, terbatal. Peguam responden, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, waran kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu dibatal Mahkamah Pilihan Raya Terengganu setelah Mohd Nor hadir untuk memberi keterangan pada hari ini. Jelas beliau, responden dan pempetisyen bersetuju supaya saksi bagi kedua-dua pihak dipanggil sekiranya terdapat ruang untuk berbuat demikian. "Pihak pempetisyen masih mempunyai tiga saksi yang belum dipanggil tapi mahkamah membenarkan kita memanggil saksi responden dulu. "Ia dipersetujui oleh pihak kita (responden) dan pihak pempetisyen. Bila ada ruang kosong di mahkamah saksi yang berkelapangan boleh dipanggil. Selepas ini mahkamah akan panggil saksi pihak pempetisyen," ujar beliau ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini. Sebelum ini Mohd Nor berkata peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan pada 16 Mac. “Saya memberikan kerjasama dalam perbicaraan pada 14 Mac, namun pada 16 Mac saya terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadiri,” jelasnya. Terdahulu Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Mohd Nor hadir ke bagi memberi keterangan berhubung petisyen PRU15 Parlimen Marang pada jam 9 pagi. Sementara itu, Abdul Hadi yakin keputusan perbicaraan akan berpihak kepada PAS kerana menurutnya, kes tersebut tidak melanggar kesalahan pilihan raya. “Alhamdulillah, tidak ada apa-apa, perbicaraan berlangsung macam biasa, kita jawab soalan yang ditanya peguam dia dan peguam kita. “Insya-Allah (akan berjaya) kerana tidak melibatkan kesalahan pilihan raya, ia lebih kepada ‘perang saraf’ Umno, kerana dia tak menang dalam pilihan raya, tapi nak menang melalui mahkamah,” ujar beliau. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
19 Mar 23
1281
Kerajaan Selesai Pemilikan Kekal RMM Kuala Besut
Kerajaan Selesai Pemilikan Kekal RMM Kuala Besut
BESUT, 19 Mac – Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah pemilikan secara strata bagi 217 pemilik di Rumah Mampu Milik (RMM) Mengabang Besar dan RMM Tok Saboh, Kuala Besut. Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh berkata, dua RMM itu melibatkan 175 unit di Mengabang Besar dan Tok Saboh (47). “Pada awalnya dua RMM ini diberikan hak secara sewaan sehingga satu tempoh termasuklah permintaan penduduk itu sendiri berkenaan hak milik strata. “Namun isu yang berlaku adalah adanya binaan tambahan terhadap beberapa buah rumah yang perlu kita selesaikan sebelum permohonan geran strata itu dibuat. “Maka kita minta tindakan daripada penduduk terlibat agar mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke RMM Mengabang Besar dan Tok Saboh dalam meneliti pemilikan secara strata berkenaan baru-baru ini. Turut hadir, Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan. Rozali turut menyatakan bahawa penduduk yang melakukan binaan tambahan itu sudah menerima beberapa kali notis pagar dirobohkan namun tiada tindakan. “Kita akan bertindak secara berhemah tapi sekiranya perlu kita akan bertindak selaras dengan undang-undang.  “Kita (kerajaan) akan membuat penilaian bagi ‘demolition’, peruntukan akan ditanggung daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuala Besut,” tambahnya. Walau bagaimanapun, ujar beliau lagi, kos tersebut akan dibawa ke pihak kewangan negeri sekiranya memerlukan kos yang besar. "Kerajaan turut meneliti beberapa buah lagi RMM yang menghadapi masalah sama bagi mendapatkan penyelesaian buat semua pihak," jelasnya.  
19 Mar 23
420