lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat
Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat
KUALA NERUS, 19 Mac - Orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab dengan menyalurkan aduan di saluran yang tepat  jika berlaku penipuan jualan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata rentetan daripada peningkatan kos sara hidup, sebagai pengguna perlu tahu memainkan peranan untuk membuat aduan dan tahu untuk membuat tuntutan. Katanya, terdapat sembilan saluran yang boleh mereka kemukakan salah satunya menerusi aplikasi WhatsApp. “Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang maupun berkaitan dengan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan yang diberikan mempunyai maklumat yang lengkap dengan nama premis yang dinyatakan.  “Sebarang maklumat pengadu adalah sulit… oleh itu, jangan teragak-teragak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan samada dengan meletakkan harga yang tidak munasabah, menyorok bekalan dan membuat penyelewengan barang-barang subsidi,”ujarnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam. Sementara itu, satu kajian indeks pemerkasaan pengguna Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama KPDN pada tahun 2020, Terengganu mencapai 68.80 peratus lebih tinggi berbanding dengan indeks nasional iaitu 63.10 peratus. “Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna negeri Terengganu adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan peringkat kebangsaan,”katanya.  
19 Mar 23
215
Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi
Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi
KUALA NERUS, 19 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu agar tidak menjual makanan dan kuih muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap  peniaga yang menjual makanan basi dan tercemar  sekali gus membahayakan kesihatan orang ramai yang membeli makanan daripada mereka di bazar Ramadan. Menurut beliau, pihaknya  tidak mahu  kejadian kes keracunan makanan yang berlaku setiap tahun sehingga ada mengakibatkan kematian berulang dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda dan gerai perniagaan mereka akan  ditutup serta merta. “Kalau kesalahan besar, kita akan arahkan tutup serta merta dan jika ada yang boleh dinasihat… kita nasihat sebab kita  pun nak jaga  juga lagipun  masing masing  nak cari rezeki. “Mungkin dia buat tanpa sedar jadi  kita nasihat untuk  perbaiki  kesalahan  tu tapi kalau nampak ada orang dah terpaksa masuk wad kerana makan di kedai dia itu maka terpaksa  tutup 14 hari untuk pulih balik kebersihan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam. Katanya , makanan lebihan pada hari sebelumnya tidak sepatut dijual semula bagi mengelak mereka menjual makanan basi dan tercemar  Tambah  beliau peniaga yang didapati bersalah menjual makanan basi boleh didenda maksimun RM10,000 dan dua tahun penjara di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Dr Alias  turut mengingatkan pengusaha gerai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan makanan dijual kepada pengguna dengan memastikan makanan mereka tidak basi.   
19 Mar 23
340
Berita Gembira Untuk Rakyat Dalam Manifesto Akan Datang
Berita Gembira Untuk Rakyat Dalam Manifesto Akan Datang
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Kerajaan Negeri menjanjikan berita gembira untuk rakyat dalam manifesto pada pilihanraya akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu rakyat tidak mengira peringkat umur dan latar belakang. Katanya, melalui hasil perbentangan bajet untuk tahun ini, pelbagai bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri semata-mata untuk memberi manfaat kepada rakyat. “Antaranya adalah baucar pakej ibu berpantang sebanyak RM200 seorang yang memakan peruntukan sebanyak RM1 Juta bagi tujuan tersebut. “Di samping, membela kebajikan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak dengan nilaian RM200 seorang dengan peruntukan RM5 juta serta pelbagai bantuan lagi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Darul Iman bertempat Dataran Ko Khidmat di hadapan Pasaraya Mydin Kuala Ibai di sini semalam. Tambah Mohd Nor, terdapat banyak pencapaian dan pengiktirafan oleh pihak luar kepada kerajaan Terengganu sepanjang mentadbir negeri ini. “Baru-baru ini Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam mengurus bajet dan kewangan negeri. “Justeru, terbukti bahawa kerajaan sekarang cemerlang dalam mengurus tadbir dan menjadikan ekonomi di negeri ini semakin membaik berbanding dahulu,” katanya.
18 Mar 23
666
Produk Usahawan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Indochina
Produk Usahawan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Indochina
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan negeri melalui kerjasama Asean Mall bersama  Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal meneroka pasaran produk usahawan Terengganu ke Indochina. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihaknya telah berbincang supaya  kerjasama ini dapat membuka ruang kepada usahawan tempatan yang mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara terutamanya melibatkan negara yang berdekatan. "Usahawan Terengganu mempunyai pelbagai produk menarik dan berpotensi untuk menembusi pasaran Indochina namun mereka kekurangan informasi bagi menjalinkan perhubungan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara. "Jadi salah satu hasrat saya melalui YPU, kita akan cuba memudahkan urusan yang berkaitan terutamanya dalam membina rangkaian untuk memasarkan produk ke negara -negara berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Pengarah Operasi Asean Mall, Mohd Zamri Said. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuti YPU, Mohd Rashdan Muda dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani. Tambah Nurkhuzaini, sehingga kini, YPU banyak membuka ruang kepada usahawan-usahawan Terengganu dalam mengembangkan perniagaan mereka. Menurutnya, namun begitu masih ramai lagi yang tidak memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sediakan oleh pihak YPU oleh mereka. "YPU mempunyai bantuan-bantuan khas yang disediakan dalam membantu mereka untuk menjadikan produk mereka mudah untuk diterima masuk dalam pasaraya-pasaraya antaranya seperti bantuan pembungkusan, pelabelan, barcode dan fakta nutirisi. "Dengan bantuan ini jugalah usahawan-usahawan dapat menembusi pasaran antarabangsa selain mendapatkan bantuan bagi mendapatkan sijil-sijil yang berkaitan seperti Sijil Halal dan GMP/HACCP," katanya.
17 Mar 23
271
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
KUALA NERUS, 17 Mac - Delegasi Kerajaan negeri bertolak ke Turkiye pada semalam bagi menyampaikan sumbangan lebih RM1.3 juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit dan Syria. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kutipan melalui Tabung Terengganu For Turkiye itu amat bermakna sebagai solidariti kerajaan terhadap nasib yang menimpa rakyat di dua buah negara tersebut. "Alhamdulillah selama sebulan tabung ini telah digerakkan ke seluruh daerah, hasil ini berjaya dikumpulkan melalui agensi, Jabatan, masjid-masjid dan juga NGO di bawah PASrelief. "Saya mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperolehi jumlah bantuan yang agak besar untuk membantu rakyat Turkiye. "Melalui sumbangan ini kita akan menyampaikan bantuan berupa pek makanan sebagai persediaan menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, menyediakan dapur rakyat serta yang paling utama sekali akan menyumbangkan kontena bagi dijadikan rumah tumpangan sementara kepada mangsa gempa bumi di sana," ujarnya. Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan negeri, berkata demikian ketika berucap pada Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM). Turut menyertai rombongan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Soud Said. Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, rombongan berkenaan akan berada di sana selama empat malam bagi menjayakan misi bantuan tersebut. "Doakan kejayaan untuk misi pada kali ini, di atas sumbangan yang diberikan ini Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini tanpa henti menghulurkan sumbangan. "Di sini saya ingin turut memaklumkan bantuan ke Syria akan turut disampaikan melalui sempadan antara Negara Turkiye dan Syria," ujarnya lagi.
17 Mar 23
260
Terengganu Sasar Tanam 1 Juta Pokok
Terengganu Sasar Tanam 1 Juta Pokok
SETIU, 17 Mac – Terengganu menyasarkan menanam 1 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari 2021 hingga 2025. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha itu merupakan salah satu cara untuk menzahirkan sokongan kepada kempen ‘Road to 1 Million Trees 2023’. Katanya, mungkin 100 juta itu kedengaran seperti angka yang besar namun bak kata pepatah melayu 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. “Usaha yang mungkin kelihatan kecil pada hari ini akan memberikan impak yang besar pada masa hadapan dan statistik terkini, hampir 59 juta pokok telah pun di tanam di seluruh Malaysia. “Pelbagai usaha di Peringkat Terengganu dalam mencapai misi tersebut melalui program yang dilaksanakan seperti Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan sebagainya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian RELife bertempat di Ladang Tayor di sini semalam. Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, program RELife yang diadakan pada hari ini bertujuan menekankan kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem semulajadi. "Program ini anjuran bersama TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk menyumbang dan memberi impak positif kepada masyarakat dan kawasan persekitaran," katanya. Di samping, usaha ini juga akan membantu mewujudkan kawasan pemuliharaan dan mewujudkan keharmonian biodiversiti di ladang kelapa sawit sekali gus menyokong dan menyumbang kepada inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.  Beliau berkata, menjaga kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak pada bahu sesebuah institusi tertentu sahaja tetapi juga masyarakat secara menyeluruh. “Melalui program RELife ini, dapat memberikan sumbangan yang besar dalam mengembalikan rimbunan hutan dan mengurangkan kesan pemanasan global,” ujarnya. Beliau berharap, program ini menjadi titik permulaan untuk memperluaskan program berbentuk pemeliharaan kelestarian alam sekitar dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kesejahteraan bersama.  
17 Mar 23
496
Maidam Agih RM11.73 Juta Kepada 22,023 Penerima Zakat
Maidam Agih RM11.73 Juta Kepada 22,023 Penerima Zakat
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM11.73 juta kepada 22,023 asnaf fakir dan miskin di Terengganu sempena  Ramadan tahun ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf agar dapat menyambut Ramadan dengan lebih ceria. Katanya, agihan bermula pada Isnin lalu di Besut dan pengagihan terakhir ialah di daerah Kuala Nerus pada Selasa depan. “Terdapat tiga kategori bantuan iaitu untuk isi rumah tunggal sebanyak RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700). "Ada penerima yang menerima bantuan secara tunai melalui majlis pengagihan yang ditetapkan dan sebahagian besarnya pula dimasukkan secara terus kepada akaun penerima," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan kepada 580 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di perkarangan Kompleks Perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini hari ini. Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata berlaku peningkatan dalam jumlah mereka yang menerima bantuan zakat pada kali ini. “Pada tahun lepas, seramai  21,580 orang penerima  asnaf fakir dan miskin yang melibatkan melibatkan peruntukan RM10.49 juta dan kemungkinan meningkat disebabkan beberapa faktor.  “Antaranya kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai berhenti kerja dan hilang pendapatan..dan kita harap situasi ini akan kembali pulih dan mereka dapat kembali bekerja seterusnya tidak lagi tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin," katanya.  
17 Mar 23
457
Semoga Ustaz Azhar Idrus Cepat Sembuh
Semoga Ustaz Azhar Idrus Cepat Sembuh
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan telah menjani rawatan di sini. Difahamkan bahawa UAI dimasukkan ke HSNZ kerana mengalami batuk dan masalah paru-paru. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kesihatan Murabbi Ummah, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus semakin bertambah baik setelah menjalani rawatan di HSNZ di sini. “Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini. “Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Laman Facebook Rasminya ketika melawat Ustaz Azhar Idrus di HSNZ semalam. Sementara itu, kuliah Maghrib yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung, Terengganu baru-baru ini terpaksa ditangguhkan pada waktu lain. “Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran Facebook Ustaz Azhar Idrus.  
17 Mar 23
475
Hutang Kerajaan Terengganu Terus Berkurang
Hutang Kerajaan Terengganu Terus Berkurang
KUALA LUMPUR, 16 Mac - Hutang kerajaan Terengganu dengan kerajaan Persekutuan terus berkurang ke paras lebih rendah berbanding tahun lalu. Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang merujuk kepada Penyata Pinjaman Kerajaan Persekutuan. "Sehingga 28 Februari 2023 hutang atau baki belum selesai pinjaman berdasarkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia adalah sebanyak RM253.03 juta. "Manakala daripada Mei 2018 sehingga kini, kerajaan negeri sudah membuat bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM478.46 juta," katanya. Shaharizukirnain. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini. Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehingga Julai 2022, Terengganu sudah membayar sejumlah RM472.78 juta hutang dengan kerajaan Persekutuan dalam tempoh tiga tahun pemerintahan. "Pada tahun 2019, jumlah hutang yang ditanggung kerajaan negeri adalah sebanyak RM733.13 juta. Setelah melalui beberapa siri pembayaran, jumlah keseluruhan yang tinggal pada tahun 2022 berjumlah RM267.09 juta,” katanya. Untuk rekod, dengan perkembangan terbaharu ini, Terengganu muncul antara negeri dengan kadar hutang (baki pinjaman belum selesai) paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
16 Mar 23
1259
Waran Tangkap, Ini Penjelasan Exco...
Waran Tangkap, Ini Penjelasan Exco...
KUALA TERENGGANU, 16 Mac- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah menjelaskan, beliau telah disepina untuk menjadi saksi calon Barisan Nasional (BN) dalam petisyen pilihan raya Marang yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sehingga 21 Mac ini. Namun, peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) untuk mengulas waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, di sini hari ini berkata, beliau memberikan kerjasama namun terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadirinya pada pagi ini. "Peguam BN (Barisan Nasional) suruh pergi mahkamah pagi, saya katakan (beliau) lewat sangat beritahu sedangkan saya ada banyak program sebelah pagi, sebelah petang boleh. "Mungkin dia takut saya lari, jadi keluar waran tangkap jika tidak hadir pada perbicaraan 19 Mac ini. "Untuk rekod saya telah hadir pada petang Selasa yang lalu, insya-Allah, saya dah berjanji dengan peguam BN untuk hadir pada Ahad ini, 19 Mac pukul 10 pagi," katanya. Mohd Nor didapati mengiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Majlis Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman sekitar jam sembilan pagi dan kemudian merasmikan Penutup Program Jelajah Ilmuwan bersama Murabbi Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari di Taman Tamadun Islam, hari ini. Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang. Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini melibatkan tiga Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang telah difailkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu, di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.  
16 Mar 23
3063