lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Dahului Perkembangan JENDELA
Terengganu Dahului Perkembangan JENDELA
MARANG, 23 Mac – Terengganu menjadi negeri terawal berbanding negeri lain di seluruh negara yang melepasi perkembangan positif inisiatif JENDELA sejak dimulakan pada tahun 2020. Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Zahari Ismail berkata, hal itu dibuktikan dengan pengoperasian menara telekomunikasi lebih awal berbanding sasaran awal. “Daripada 65 buah menara baru bagi inisiatif ini, sebanyak 46 telah kita ‘hand-over’ bagi kerja pengoperasian. “Garis masa JENDELA terbahagi kepada dua bahagian iatu bahagian satu dan dua. Bagi bahagian satu sasaran kita adalah pada Oktober 2022 bagi menyiapkan Menara itu.Bagi bahagian dua pula adalah menyediakan peralatan bagi operasi dalam Julai 2023,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan ke Menara JENDELA bawah seliaan MCMC di Kampung Padang Limau Nipis, Marang di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman Menara komunikasi tersebut beroperasi secara ‘Multi Operator Core Network’ (MOCN) dengan kerjasama Theta Edge Berhad, CelcomDigi, Terengganu Communications Sdn Bhd (TCOMM) dan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT). Sehingga kini, capaian komunikasi di negeri ini telah mencapai sekitar 97.4 peratus berbanding 96 peratus sebelum ini dengan jaminan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengatasi masalah liputan di seluruh Terengganu.  
23 Mar 23
585
JHEAT Bantu Urusan Perkahwinan Masyarakat Pulau Perhentian
JHEAT Bantu Urusan Perkahwinan Masyarakat Pulau Perhentian
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turun padang dengan mengadakan Klinik Khidmat Nasihat Kekeluargaan Islam dan Nikah Cerai Rujuk (NCR) di Pulau Perhentian di sini. Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Undang-Undang Keluarga) JHEAT, Moktar Salleh berkata inisiatif turun padang itu diambil kerana mendapat maklumat bahawa masyarakat Pulau agak sukar untuk ke pejabat agama daerah sekiranya ada masalah keluarga dan terdapat kemusykilan berkaitan nikah, cerai dan rujuk. Katanya, mereka lebih gemar bertanya kepada orang sekelililing dan menjadikan mereka sebagai rujukan sedangkan ada antara mereka telah memberikan maklumat yang salah kepada mereka dan mereka berpegang kepada pemahaman yang salah tersebut. “Klinik kaunseling dan khidmat nasihat kekeluargaan Islam ini diadakan bertujuan bagi memberi pemahaman dari segi hukum dan juga undang-undang kekeluargaan sekali gus mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut. “Antara masalah yang dikenalpasti adalah ada yang beranggapan bahawa isteri yang melakukan tuntutan cerai tidak dapat buat tuntutan nafkah anak sehinggalah anak membesar tanpa nafkah daripada bapa,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di sini hari ini. Tambah Moktar, pihak JHEAT juga telah membuka booth khidmat nasihat selama dua hari iaitu pada 19 hingga 20 MAC bermula jam 2.30 petang hingga 5.30 petang. Di samping, aktiviti malam diselitkan dengan kuliah maghrib dan pengisiannya berkaitan kekeluargaan serta isu nikah, cerai dan rujuk berdasarkan hukum dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Terengganu. Moktar Salleh berkata JHEAT juga membantu penduduk yang ingin berkahwin melalui isi borang perkahwinan, pendedahan ilmu perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, ada juga mereka yang mendapat kefahaman salah mengenai perkahwinan ibu hamil luar nikah adalah tidak sah. "Apabila kefahaman salah ini merebak, maka tertangguh perkahwinan yang perlu disegerakan. "Perkara ini menyebabkan si ibu melahirkan anak tanpa ditemani suami dan seterusnya berlaku pengabaian tanggungjawab terhadap anak kecil yang tidak berdosa.  "Pihak JHEAT berharap masyarakat tidak memulau apabila berlaku kes sebegini," katanya. Begitu juga, pihak keluarga terutamanya wali dapat memberi kerjasama supaya perkahwinan ini dapat disegerakan agar perkara yang lebih utama perlu difikiran iaitu menyelamatkan anak tidak berdosa daripada terhukum sama dalam kes ini," katanya. Beliau berkata, sepanjang program ini diadakan masyarakat Pulau Perhentian memberikan maklum balas dan kerjasama yang baik ditunjukkan oleh mereka. “Antara pengisian yang diadakan adalah Klinik Kaunseling Kekeluargaan Islam, Soal Jawab NCR, menyantuni penduduk Pulau Perhentian Kecil dan Turun Padang ke rumah penduduk dan Klinik Kesihatan. “Program ini anjuran bersama JHEAT dan Pejabat Agama Daerah Besut dan Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Pulau Perhentian Kecil,” ujarnya.            
23 Mar 23
400
Hasil Kebun Warga Majlis Daerah Marang Dikongsi Bersama
Hasil Kebun Warga Majlis Daerah Marang Dikongsi Bersama
MARANG, 23 Mac - Inisiatif pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Marang manfaatkan ruang tanah terbiar di jabatan itu bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan pejabat malah turut membantu mengawal impak karbon.  Yang Dipertuanya, Zuwislan Awang berkata, pelaksanaan projek menghijaukan kawasan berkenaan secara tidak langsung juga menjimatkan perbelanjaan dapur warga jabatan. “Ketika bertukar ke sini pada Mac 2022, saya lihat ada ‘pocket land’ atau tanah-tanah yang tidak besar ruangnya berpotensi untuk dimajukan dengan pelbagai tanaman yang boleh mendatangkan hasil dan dalam masa yang sama ia merupakan salah satu usaha menjadikan daerah ini sebagai bandar rendah karbon. “Kawasan ‘pocket land’ ini kemudiannya dibahagikan kepada empat zon iaitu laman meranti, tembesu, cengal dan jati. Kita ada Bahagian Landskap yang membekalkan baja dan benih. Pegawai dan kakitangan yang ditugaskan diberi kebebasan untuk menanam apa jua sayur-sayuran dan buah-buahan yang mereka mahu. “Alhamdulillah sejak usahakan setahun lalu, sudah beberapa kali hasil tanaman seperti kangkung, terung, bayam, cili, bendi, kacang panjang, tomato, pudina dan lain-lain dituai dan ada zon yang boleh jual hasil sayur-sayuran yang ditanam dan mendermakan keuntungan yang diperolehi kepada tabung-tabung kebajikan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, semalam. Katanya, setiap pagi Khamis, warga jabatan akan manfaatkan waktu tersebut untuk mengindahkan laman masing-masing selain mengutip hasil tanaman untuk dikongsi bersama. Zuwislan berkata, memandangkan kawasan majlis agak terhad beliau berhasrat untuk kembangkan projek tersebut kepada sekolah dan komuniti setempat. “Setakat ini, kita telah mengadakan perbincangan bersama beberapa sekolah, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Kawasan Rukun Tertangganu (KRT) dan ada yang menunjukkan minat. Insyaallah lepas Aidilfitri kita akan laksanakan,” ujarnya.   
23 Mar 23
588
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu tidak bermaksud mereka bermusuh. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai alasan tertentu apabila membuat tindakan tersebut. "Saya tidak mahu sebut sebab-sebanya itu, kerana ia akan menyentuh parti-parti lain, tetapi sudah tentu ada hujan-hujah tertentu kenapa tidak diterima. "Bukan bermakna (kita) hendak bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini tetapi sebab-sebab yang berkait dengan (strategi) pilihan raya dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off  kepada 141 imam dan bilal di negeri ini, di bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu juga tidak bermakna pintu rundingan ditutup sampai bila-bila, sebaliknya perbincangan di masa akan datang boleh dipertimbangkan kembali. "Saya rasa lebih baik bertanya kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memberikan jawapan yang lebih baik (kenapa menolak Pejuang). "Kita (buat keputusan) bersama dalam mesyuarat, tidak membuat kenyataan yang berbeza di luar mesyuarat melibatkan seluruh kepimpinan PN,"ujarnya lagi.
22 Mar 23
309
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri berpegang kepada janji Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) akan dibayar seperti biasa dan optimis diberi sebelum berakhir Mac. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, janji telah dimeterai hasil pertemuan antara beliau dan Anwar sebelum ini. "Dalam proses, Mac tidak berakhir lagi, jadi kita sama-sama berdoa supaya tiada apa-apa masalah. Mungkin malam ini (terima), mungkin esok, masih belum diketahui. "Tengok saya senyum sahaja, sebagaimana biasa kita berharap (akan) dapat sebagaimana keputusan yang telah dibuat dan (perkara ini) telah disebut dalam buku bajet," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off Kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas mengenai bantuan imam dan bilal menerusi Skim Mubaligh itu, beliau berkata seramai 141 orang individu telah menerimanya. "Melalui peruntukan sebanyak RM28,200 setiap orang menerima RM200," ujarnya.
22 Mar 23
616
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Perbicaraan kes petisyen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) membabitkan Parlimen Marang akan bersambung semula pada 17 April nanti. Peguam responden, Mohd Faizi Che Abu menyatakan bahawa proses mendengar keterangan daripada semua saksi telah selesai sepenuhnya hari ini. Peguam Responden, Mohd Faizi Che Abu yang baru keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. "Hari ini tutup kes bagi keterangan saksi, maksudnya semua pihak responden dan pempetisyen telah pun selesai panggil saksi. "Mahkamah akan tetapkan satu keputusan kes iaitu 17 April 2023, sebelum mahkamah memberikan peluang kepada para peguam untuk berhujah," katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini. Menurut beliau, pada tarikh tersebut pengurusan kes ingin melihat nota keterangan bagi tujuan untuk melengkapkan perbicaraan. Faizi turut menjelaskan bahawa sebelum ini tiga saksi melibatkan wakil rakyat telah dipanggil. "Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan), Ariffin Deraman (ADUN Alur Limbat) dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payung), ketiga-tiga mereka telah dilepaskan oleh mahkamah. "Selepas ini sudah tidak ada lagi perbicaraan saksi, hanya berhujah sahaja," jelasnya. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman
21 Mar 23
635
Menara MOCN Pertama Malaysia Beroperasi di Alur Limbat
Menara MOCN Pertama Malaysia Beroperasi di Alur Limbat
MARANG, 21 Mac – Menara JENDELA Celcom di Malaysia yang pertama beroperasi secara ‘Multi Operator Core Network’ (MOCN) kini beroperasi sepenuhnya bagi manfaat penduduk sekitar Alur Limbat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman merakamkan penghargaan buat pihak yang terlibat sehingga merangkul pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini. “Menara JENDELA yang kita saksikan ini mula beroperasi sejak 11 januari lagi dan telah selesaikan aduan masalah capaianinternet dengan memberikan servis liputan komunikasi 4G kepada lebih 1,000 penduduk. “Ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memberikan kerjasama dengan Kerajaan persekutuan dalam memastikan kelancaran projek yang mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan ke Menara JENDELA bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Padang Limau Nipis, Marang di sini hari ini. Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut berkata, kerajaan sentiasa mengenal pasti aduan-aduan yang diterima rakyat bagi mengatasi masalah ini. “Penyelesaian yang kita sedang usahakan adalah liputan 4G bagi kawasan berpenduduk terutamanya di sekitar pedalaman. “Walau bagaimanapun, kita akan merujuk kajian yang dibuat oleh pihak SKMM bagi pembinaan Menara termasuklah di kawasan pelancongan,” tambahnya. Inisiatif JENDELA yang bermula sejak 2020 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan sebanyak 65 buah menara komunikasi bakal dibina di Terengganu sehingga Julai 2023. Sehingga kini, capaian komunikasi di negeri ini telah mencapai sekitar 97.4 peratus berbanding 96 peratus sebelum ini.  
21 Mar 23
485
'Jangan Jual Makanan, Minuman Sebelum 3 Petang' - MBKT
'Jangan Jual Makanan, Minuman Sebelum 3 Petang' - MBKT
KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) melarang sebarang perniagaan menjual makanan dan minum sebelum jam 3 petang sepanjang bulan Ramadan ini. Setiausaha MBKT, Mohd Sukeri Ibrahim berkata ia melibatkan pemilik dan pelanggan beragama Islam. “Peniaga bukan Islam pula dilarang membenarkan pelanggan yang beragama Islam makan dan minum di premis pemilik bukan Islam pada siang hari. “Ia bertujuan untuk menghormati kemuliaan bulan Ramadan yang bermula pada Khamis ini,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini. Tambah Mohd Sukeri, sekiranya mana-mana pengusaha, pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan tersebut mereka akan dikenakan tindakan. “Adalah melakukan suatu kesalahan di bawah UUK (Establisymen Makanan) MBKT 1991 dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit (RM2,000) atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.      
21 Mar 23
212
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana beberapa isu mahkamah. Beliau berkata, desas desus tersebut adalah palsu semata-mata merupakan satu provokasi dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu. "Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut). "Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok..... Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa. "Malam tadi baru sahaja saya  bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS. "PAS masih setia dengan Bersatu....tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti)," ujarnya lagi. Jelasnya, perjumpaan semalam menjurus kepada beberapa perkara kearah Pilihan Raya Negeri (PRN). "Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula," katanya.      
21 Mar 23
997
Terengganu Capai Sasaran Tanam Satu Juta Pokok
Terengganu Capai Sasaran Tanam Satu Juta Pokok
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri berjaya menanam satu juta pokok di seluruh Terengganu menerusi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sejak 2021 sehingga kini. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa komited menyokong usaha positif untuk mengekalkan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara. "Tahniah dan syabas kepada Jabatan Perhutanan kerana berjaya mencapai melebihi sasaran tanaman bagi tahun 2021 dan 2022. "Untuk tahun 2023, kita menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu 500,000 pokok bakal ditanam di Terengganu dalam setahun," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani. Sementara itu, Roslan berkata aktiviti penanaman pokok sentiasa menjadi agenda utama sambutan Hari Hutan Antarabangsa setiap tahun. Tambah beliau, pada kali ini lebih 3,000 pokok telah ditanam di sekitar Muzium Negeri melibatkan lima hektar bermula 18 hingga 20 Mac 2023. "Antara spesies pokok hutan yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Chengal, Balau, Keruing, Meranti Sarang Punai, Meranti Tembaga dan Kelat Paya. "Terdapat juga pokok buah-buahan seperti Manggis, Mata Kucing, Durian Belanda dan Nona," katanya.
21 Mar 23
323