Artikel "Semasa" Terkini
500 Keluarga Terima Barangan Keperluan Asas, Wang Tunai
Oleh : Aqilah Mohd Jafri
MARANG – Seramai 500 keluarga terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena program Sinar Ramadan.
Antara barangan yang diserahkan kepada penerima adalah beras, minyak masak, gula, biskut dan kicap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata program itu diadakan setiap tahun hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Bukit Payong.
Katanya, tujuan inisiatif itu adalah bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan.
“Dengan keadaan ekonomi yang tidak terkawal, harga barang keperluan makanan makin meningkat, jadi kita memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka.
"Bantuan yang diterima boleh diguna dan dibelanja sepanjang Ramadan dan juga menjelang perayaan akan datang," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program terbabit semalam.
Menurut Mohd Nor, program Sinar Ramadan dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 2,000 ahli keluarga.
"Saya berharap agar sumbangan yang diagihkan dapat meringankan beban penerima dan memberi keceriaan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba," tambah beliau.
19 Apr 23
149
75,000 Kenderaan Dijangka Guna LPT2 Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 19 April - Polis Terengganu menjangka pertambahan luar biasa sehingga 75,000 kenderaan yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang tempoh musim perayaan Aidilfitri, bermula hari ini sehingga hari raya ketiga.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata peningkatan tersebut dianggarkan lima hingga enam kali ganda dari tahun lepas.
"Pada tahun lepas lebih kurang 15,000 kenderaan yang melaluinya tetapi pada raya kali ini kita menjangkakan lebih kerana lencongan di Gua Musang, Kelantan.
"Kita anggarkan sehingga 75,000 kenderaan akan menggunakan LPT2 untuk pulang ke Terengganu dan Kelantan...satu peningkatan yang berganda dari tahun lepas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Ihya Ramadan anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.
Menurut beliau, keadaan tersebut juga boleh menyebabkan kesesakan kenderaan terutama di jalan Persekutuan dan negeri menuju ke Kelantan iaitu di daerah Setiu dan Besut.
“Kekuatan anggota mencukupi
dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas, hampir 300 anggota trafik akan ditugaskan khususnya di persimpangan lampu isyarat di daerah Setiu dan Besut,” katanya.
Justeru itu, Rohaimi mengingatkan kepada pengguna LPT2 terutama mereka dari luar yang ingin memasuki Terengganu lebih berhemah di musim perayaan ini termasuk merancang perjalanan masing-masing.
Tambahnya lagi, sebanyak 22 kawasan panas dijangka berlaku kesesakan dan 20 kawasan hitam sering terjadi kemalangan telah dikenal pasti di seluruh Terengganu dalam Op Selamat.
19 Apr 23
177
Aliran Trafik Di Plaza Tol Kuala Terengganu Terkawal
KUALA NERUS, 19 April- Aliran trafik di susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini bergerak perlahan namun terkawal sekitar 11 pagi ini susulan pertambahan kenderaan yang memasuki Negeri Terengganu sempena cuti Aidilfitri.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati berlaku kesesakan kira-kira tujuh kilometer ke plaza tol berkenaan pada waktu tersebut.
Seorang pekerja swasta, Mohd Nahaqyu Mohd Hasari, 24, berkata, walaupun bilangan kenderaan meningkat di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), keadaan masih lancar sepanjang perjalanannya dari Johor Bahru untuk ke Kok Lanas, Kelantan.
“Saya dan tiga rakan bertolak pukul 4 pagi dan tiba di sini dalam pukul 11 lebih dan ambil peluang untuk berehat sekejap sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman kami.
“Kereta memang banyak tetapi tiada kesesakan luar biasa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Mohd Zainuddin Jaafar, 36, yang berkerja di Klang menasihatkan perantau yang belum pulang ke kampung halaman masing-masing agar merancang perjalanan sebaiknya.
"Seeloknya bertolak awal pagi dan sentiasa berhati-hati ketika memandu, berhenti rehat seketika sekiranya mengantuk, " ujarnya yang bertolak pulang ke Kuala Besut kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Plaza Tol Kuala Terengganu menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke sekitar daerah ini di samping menjadi laluan alternatif ke Negeri Kelantan.
19 Apr 23
380
Kerajaan Negeri Sumbang RM220,000 Kepada Mahasiswa
KUALA NERUS, 19 April – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu menyerahkan geran sumbangan aktiviti tahunan sebanyak RM220,000 kepada Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di sini semalam.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sebanyak 20 PERMATA Universiti (IPTA), 1 PERMATA Kebangsaan dan 1 PERMATA Universiti (IPTS) menerima sumbangan RM10,000.
“Majlis Iftar Perdana PERMATA yang dihadiri oleh 350 mahasiswa ini mendapat sambutan yang meriah daripada kalangan pelajar IPTA dan sebilangan IPTS di seluruh negara.
“Ukhwah yang terjalin dalam kalangan ahli PERMATA yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan universiti ini merupakan satu nilai murni yang sangat baik dalam kita menjaga keharmonian bermasyarakat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Perdana Permata Kebangsaan sesi 22/23 bertempat di Dewan Baiduri 2, Raia Hotel & Convention Centre di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Sementara itu, Yang Dipertua Permata Kebangsaan Sesi 22/23, Ahmad Zulfikri Redwan Zamri berkata kerajaan Negeri sentiasa menyokong setiap aktiviti kami dalam PERMATA.
Katanya, dalam membantu menjaga kebajikan seluruh mahasiswa,mahasisiwi dan anak-anak Terengganu di IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia ini.
“Kerajaan Negeri ibarat tulang belakang bagi PERMATA dalam menghulurkan bantuan dan membantu kami menjayakan setiap program.
“Setakat ini sambutan penyertaan ahli permata dari seluruh IPTA dalam Malaysia ini amat memberangsangkan dan setiap program dapat dijayakan dengan sempurna dengan bantuan semua ahli permata.
“Kata-kata sahaja tidak dapat saya ungkapkan betapa bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada PERMATA,” ujarnya.
19 Apr 23
1178
TDM Santuni 800 Huffaz
KUALA TERENGGANU, 19 April - Anak syarikat kerajaan negeri , TDM Berhad bekerjasama dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menyantuni 800 Huffaz di program Himpunan Huffaz 3.0 sempena Madinah Ramadan, di Dataran Drawbridge, baru-baru ini.
Himpunan bersebut berjaya mengumpulkan anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun dari sekolah bawah Yayasan Terengganu, sekolah bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu dan Sekolah Agama Tahfiz Swasta.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya menyambut baik misi dan visi Kerajaan Negeri Terengganu untuk menterjemahkan impian ‘Baldatun Toyyibatun Wa Robbun ghofur’ dapat direalisasikan dengan penuh kesedaran dan bertanggungjawab.
“TDM melalui kerjasama i-MiTS berbesar hati dapat mengumpulkan para Huffaz yang merupakan salah satu inisiatif ke arah pemantapan modal insan.
“Semoga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TDM ini dapat memanfaatkan semua pihak dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan tahfiz di Negeri Terengganu seterusnya menjayakan sasaran kerajaan untuk melahirkan lebih ramai huffaz profesional menjelang 2050,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah yang menyempurnakan majlis perasmian program tersebut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak TDM Berhad.
"Terima kasih kepada TDM di atas sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam menjayakan majlis ini. Kita mahu melahirkan generasi pelajar yang berkemahiran dan dalam masa yang sama juga adalah penghafaz Al-Quran supaya mereka mampu menjadi pemimpin berkualiti yang berteraskan nilai Islam.
“Tanggapan masyarakat bahawa individu lulusan pendidikan tahfiz dan golongan huffaz hanya sesuai menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan agama sahaja harus diperbetulkan.
“Ramai huffaz telah menceburi kerjaya profesional seperti doktor, peguam, malah ada memilih dunia perniagaan dan mampu bergelar usahawan berjaya,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sempena himpunan tersebut antaranya santapan Zikir Qurani, Majlis Khatam Al-Quran dan tahlil, tazkirah, majlis iftar dan di akhiri dengan solat berjemaah maghrib dan isyak serta Tarawih.
19 Apr 23
120
PeliTer 2023 Catat Sejarah Baharu, 28,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 19 April - Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@KBT) yang berlansung di Kampung Budaya Terengganu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila merekodkan kehadiran seramai 28,000 pengunjung sepanjang lima hari .
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknolgi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah kehadiran orang ramai itu melebihi sasaran awal yang hanya menjangkakan kehadiran 20,000 pengunjung.
Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu disebabkan promosi yang dilakukan secara menyeluruh bukan sahaja mendapat liputan media arus perdana, tetapi juga turut ditularkan di media sosial.
"Selain itu faktor yang menyaksikan setiap malam penuh sesak dihadiri pengunjung adalah disebabkan keunikan pelbagai reka bentuk replika pelita yang mendorong peserta yang menyertai pertandingan fotografi serta video TikTok menghebahkan program yang diadakan itu dengan penuh kreatif.
"Dengan sambutan begini baik, pada tahun hadapan akan dikaji balik untuk ditambah baik, berkemungkinan ia akan diadakan lebih awal di Bulan Ramadan.
"Bagi menghidupan kembali tradisi yang sebenarnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerana kita tidak mengikut agama atau budaya lain, tetapi ia merupakan amalan yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang sering dipasang pada malam tujuh likur," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalm sidang media di malam kemuncak program yang diadakan itu, di Kampung Budaya Terengganu, Muzium negeri, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadhli Yusof Zakaria.
Mengulas lanjut katanya, dengan diadakan lebih awal pada tahun hadapan program berkenaan akan diadadakan dalam tempoh lebih lama berbanding tahun ini.
"Kita memlihi Kampung Budaya ini kerana merasakan di sini lebih ceria dan untuk tahun hadapan kita akan buat lebih baik.
"Program yang dilaksanakan ini juga menzahirkan kerajaan meraikan kepelbagaian rakyat Terengganu untuk mereka luangkan masa seketika selepas solat sunat Tarawih.
"Kemudian dapat menyambung kembali ibadat, dimana program PeliTer ini diadakan setakat pukul 11 malam sahaja tetapi untuk malam akhir ini kita lanjutkan sehingga pukul 12 malam dengan harapan kami agar rakat Terengganu bergembira dengan keterbukaan kerajaan negeri yang ada sekarang ini di semua peringkat," ujarnya.
19 Apr 23
208
Penyokong Terengganu, Melaka Dikompaun Kerana Merokok
KUALA NERUS, 18 April – Beberapa penyokong Terengganu FC dan Melaka United dikompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) atas kesalahan merokok di dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lalu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya telah mengeluakan 14 notis kompaun bernilai RM2,500 dalam Ops Gomo Asap Khas itu.
“Kedegilan perokok semakin menggusarkan terutamanya golongan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
"Hal ini kerana, asap rokok serta baunya yang tidak menyenangkan itu akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan tubuh badan kita," katanya melalui kenyataan media pada hari ini.
Tambah Dr Kasemani, orang ramai khususnya perokok perlu mengambil peluang kelebihan bulan Ramadan ini bagi memulakan azam untuk berhenti merokok.
Di samping itu katanya, mereka boleh mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di semua Klinik Kesihatan Daerah di negeri ini.
“Orang ramai juga dinasihatkan mengambil maklum bahawa kawasan stadium merupakan sebagai kawasan larangan merokok.
“Kesemua kesalahan boleh dibuat rayuan pengurangan dan bayaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah di Terengganu atau mana-mana Pejabat Kesihatan di seluruh Malaysia,” ujarnya.
18 Apr 23
237
300 Anak Yatim, Fakir Miskin Terima Kurniaan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
KUALA NERUS, 18 Mac- Seramai 300 anak yatim dan anak fakir miskin serta ibu bapa mereka menerima Kurnia Hari Raya daripada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Majlis Kurniaan Hari Raya, Berbuka Puasa dan Solat Terawih, semalam.
Keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Muda Terengganu ke Masjid Mengabang Telipot diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Ab Rahman bersama Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut mengiringi mereka adalah Ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan isteri serta pengiring-pengiring.
Keberangkatan tiba Baginda dan Paduka Anakanda-anakanda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, Dato' Zulkifli Ali dan isteri.
Dalam majlis tersebut, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat terawih berjemaah bersama rakyat.
18 Apr 23
284
Hanya Terengganu Wujudkan Tabung Bencana Pertanian
BESUT, 18 April - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung bencana pertaniannya sendiri dalam negara ini selepas mula diperkenalkan sejak lebih dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tabung itu menerima peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun sejak ia mula diaktifkan.
"Sejak 2020 sebenarnya Tabung Bencana Pertanian Terengganu ini telah banyak membantu petani, penternak, nelayan dalam kita berhadapan dengan musibah bencana yang tidak dijangka.
"Seperti berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, ombak besar, petir tanah runtuh wabak penyakit, binatang buas dan haiwan liar meliputi tiga sektor (perternakan, pertanian dan perikanan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata walaupun Tabung Bencana Pertanian yang diwujudkan itu peruntukanya sebanyak RM1 juta setiap tahun namun dalam berhadapan bencana besar seumpama tahun lalu ia tidak mencukupi.
"Jadi dalam berhadapan bencana seumpama bulan Februari dan Disember tahun lalu kerajaan negeri bersetuju untuk menambah jumlahnya berdasarkarkan musibah di luar jangka yang berlaku itu," ujarnya.
Dalam itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Terengganu akan sentiasa berusaha bagi menghasilkan pengeluaran yang mencukupi dan memberi jaminan bahawa bahan mentah terutama ayam dan daging segar berupaya memenuhi permintaan menjelang perayaan nanti.
"Insya-Allah mencukupi, kita sehabis daya berusaha untuk mengeluarkan makanan demi keperluan rakyat bukan setakat di bulan Ramadan dan musim perayaan tetapi sepanjang tahun," ujarnya lagi.
18 Apr 23
343
Bazar Aidilfitri: Peniaga Mengeluh, Pengunjung Hanya Ambil Suasana
HULU TERENGGANU, 18 April - Rata-rata peniaga bazar Aidlfitri mengeluh apabila jualan pakaian serta kelengkapan menyambut hari raya kurang mendapat sambutan meskipun Ramadan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.
Seorang peniaga, Norazuwa Kamaruddin, 38, berkata, kebiasaannya setiap tahun, jualan di bazar pasti mendapat sambu¬tan baik, namun berbeza tahun ini yang ternyata perlahan.
Katanya, pada tahun lepas dia mengaut keuntungan walaupun negara ketika itu baru keluar dari fasa PKP buat pertama kalinya.
“Kebiasaannya, pada minggu akhir, kami dah dapat kembali modal yang dilaburkan serta keuntungan jualan tapi kali ini ternyata jauh berbeza apabila modal masih lagi belum dapat sepenuhnya.
“Saya tak berani nak tambah stok kerana gagal pusing modal yang sedia ada lagipun orang ramai kurang membeli sekadar cuci mata sahaja,” katanya yang berniaga baju kanak-kanak dan alat kosmetik.
Dia yang dibantu kembarnya, Norazila Kamaruddin berkata, faktor kewangan mungkin menjadi penyebab orang tidak berbelanja ditambah pula harga barang sekarang yang mening¬kat.
"Namun, saya tetap bersyukur. Masih ada yang membeli dan berharap jualan akan bertambah baik dalam beberapa hari ini," katanya.
Seorang lagi peniaga, Rokiah Ibrahim, 55, memberitahu, dalam tempoh Ramadan ini jualannya merosot 60 peratus dan masih jauh daripada sasaran.
“Biasanya untuk tempoh ini jualan kita amat baik, tapi berbeza pada tahun ini mungkin sebab pada tahun lepas rakyat dapat keluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan terima pelbagai bantuan lain daripada kerajaan, maka kuasa membeli masih ada,” ujarnya.
Katanya, selain itu jualan secara atas talian yang jauh lebih murah menjadi pilihan orang ramai untuk membuat persiapan raya.
"Ini mengakibatkan sebahagian peniaga bazar Aidilfitri menanggung kerugian teruk ekoran barangan yang dijual tidak laku," tambahnya.
18 Apr 23
6272