Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Inc Santuni Penduduk Kampung Mak Jintan
KUALA NERUS, 17 April – Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) hari ini menyantuni penduduk di kawasan terpencil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bersempena Jejak Ramadan.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan mereka.
“Kita masih lagi mengekalkan tradisi dan amalan terdahulu iaitu Jejak Ramadan. Alhamdulillah bagi tahun ini kita berupaya peruntukkan sumbangan buat 30 keluarga.
“Nilai bagi program ini adalah sekitar RM15,000 termasuklah sumbangan peribadi daripada para kakitangan serta syarikat,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Mak Jintan.
Aktiviti ziarah ke rumah penduduk diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama warga penduduk yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Burhanuddin turut menyatakan Terengganu Inc amat berbesar hati memilih kampung Mak Jintan sebagai lokasi bagi Jejak Ramadan 2023.
“Tahun lepas kita ke satu kampung di Ajil, tahun depan insh-Allah akan teroka tempat lain pula yang memerlukan,” tambahnya.
Kesemua 30 ketua keluarga asnaf di kampung berkenaan menerima wang tunai dan barang keperluan harian.
17 Apr 23
478
Mangsa Bencana Pertanian Terima Bantuan RM891,880
BESUT, 17 April - Simpati dengan nasib yang menimpa 724 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar akibat musibah banjir, kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan berjumlah RM891,880 kepada mangsa bencana terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini.
Katanya, kesemua yang layak telah ditapis oleh Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Terengganu.
"Saya kira rakyat sangat beruntung kerana Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai Tabung Bencana Pertanian sendiri.
"Dalam masa yang sama kita turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang turut menghulurkan bantuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anun Man.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, daripada 743 memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan, 19 daripadanya ditolak kerana tidak cukup syarat.
"Antaranya sebagai contoh sektor penternakan lembu yang diternak secara lepas bebas, ada juga yang mengemukakan kepada kita angka sehingga beratus-ratus ekor tetapi tidak dinyatakan secara jelas di mana lembu itu ditenak.
"Kita tidak mengiktiraf kaedah penternakan seperti itu. Antaranya lagi permohonan ditolak kerana tidak mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan seperti tidak membuat laporan polis, selain itu juga perlu menunjukkan gambar di tempat berlakunya kejadian.
"Sebab kita menguruskan ramai rakyat, ada yang jujur serta ada yang mengambil kesempatan, kerana itu kita menetapkan peraturan walaupun dilihat agak menyusahkan tetapi dilaksanakan untuk kita menjaga kepentingan semua pihak," ujarnya.
Untuk rekod, sektor pertanian Terengganu mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh lima tahun akibat banjir besar pada 18 Disember lepas, setelah kali terakhir mengalaminya sebelum itu pada Februari 2022 yang hanya mengakibatkan sekitar RM2 juta.
17 Apr 23
754
Warga Emas Terharu Kerajaan Terengganu Bagi Duit Raya
MARANG, 17 April- Seorang warga emas menzahirkan kesyukuran kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 5,190 penerima Bantuan i-Fitri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.
Penerima bantuan, Mohd Ismail, 74, berkata, dia akan menggunakan pemberian tersebut untuk membeli baju raya buat dirinya selain lauk pauk yang akan dinikmati seisi keluarga pada pagi 1 Syawal.
“Terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini, boleh pak cik gunakan untuk beli kelengkapan raya kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita pada program penyerahan bantuan tersebut.
Majlis perasmian Porgram Penyerahan Bantuan i-Fitri DUN Rhu Rendang itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.
Bagi Yusof A. Ghani, 68, pula, bantuan i-Fitri amat bermakna buat dirinya memandangkan kos sara hidup begitu tinggi ketika ini.
“Biasanya tiap-tiap tahun pak cik dapat ‘duit raya’ nie dan gunakan untuk keperluan harian, tapi tahun nie amat terasa sebab semua barang mahal.
“Pakcik harap kerajaan negeri akan terus bantu rakyat melalui pemberian sebegini kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan seperti kami,” ujarnya.
Untuk rekod, Bantuan i-Fitri pada tahun ini melibatkan seramai 144,840 penerima yang layak bagi seluruh Negeri Terengganu.
Bantuan sebanyak RM300 untuk setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM43 juta.
17 Apr 23
577
UniSZA, UMT Terima Bantuan Zakat RM3 Juta
KUALA NERUS, 17 April – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima hampir RM3 Juta bantuan zakat.
Pada Majlis itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyampaikan 'Mock Cheque' wang zakat kepada kedua-dua Universiti tersebut.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abdul Ghaffar berkata, UMT sangat menyokong segala sumbangan dan usaha baik dari pihak kerajaan negeri mahupun di peringkat kerajaan pusat.
Katanya, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud telah menyediakan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini.
“Sebanyak 10 agensi telah menyumbang zakat untuk diagihkan kepada golongan pelajar asnaf UMT yang turut hadir bersama-sama kita pada petang ini.
“Semoga segala inisitif dan usaha murni ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan diharap lebih ramai lagi agensi yang turut sama menyumbang bagi membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar dan Ahmad Samsuri turut menyempurnakan penyampaian zakat, dermasiswa, geran penyelidikan dan bakul Rahmah kepada UniSZA, UMT serta masyarakat setempat di sini.
Sebanyak RM1,115,211 sumbangan zakat melalui 10 agensi kepada UMT manakala UniSZA pula menerima sejumlah RM1,758,517 daripada tujuh agensi.
Agensi-agensi tersebut terdiri daripada Malayan Banking Berhad (Maybank), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan lain-lain agensi terlibat.
Program penyerahan bantuan UMT diadakan di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin manakala majlis penyerahan bantuan UniSZA pula diadakan di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin.
17 Apr 23
478
222 Kompaun Dikenakan Kepada Peniaga Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 April - Sebanyak 222 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terhadap peniaga Bazar Ramadan setakat 14 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM24,800 atas pelbagai kesalahan yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Katanya, sebanyak 3,431 pemeriksaan telah dijalankan di 57 lokasi bazar Ramadan di negeri ini dan kesalahan yang paling banyak adalah tidak memakai apron/pakaian bersih dimana 113 notis telah dikeluarkan.
“Diikuti dengan kesalahan tidak menjaga kebersihan diri iaitu 49 notis, tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) serta notis lain-lain (11)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, semalam.
Menurut beliau, sebanyak 69 sampel makanan diambil yang mana 61 adalah sampel analisa mikrobiologi dan lapan lagi untuk sampel analisa kimia.
"Daripada 61 sampel analisa mikrobiologi, lapan sampel makanan tersebut mempunyai pelanggaran.
"Berdasarkan tahap penilaian kebersihan premis, sebanyak 99.5 peratus iaitu 3,416 premis mencapai tahap kebersihan melebihi 80 peratus,” ujarnya.
17 Apr 23
324
Rakyat Turkiye Hargai Sumbangan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Rakyat Turkiye yang menerima sumbangan melalui Tabung For Turkiye meluahkan rasa terharu, syukur dan menghargai usaha murni Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Salah seorang doktor pelatih di Hospital Bandar Raya Ankara, Nursima Dildali berkata, misi Tabung For Turkiye yang mempunyai nilaian lebih RM1.3 Juta itu merupakan perkara sangat luar biasa.
Katanya, penduduk di sini cukup terharu dan teruja apabila melihat kumpulan sukarelawan yang berasal daripada Terengganu menjalankan misi membantu mangsa gempa bumi.
“Kebaikan yang ditunjukkan bukan sahaja empati terhadap kami tetapi juga mengukuhkan ikatan antara komuniti Turkiye dan Malaysia (Terengganu).
“Belas kasihan dan sikap perpaduan pada saat krisis ini menunjukkan semangat kemanusiaan yang menyatukan kita semua," katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Sementara itu, Pakar Fisioterapi Rehabilitasi Pediatrik, Dilruba Akat berkata, ini adalah bencana yang sangat dasyat bagi kami yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun.
"Beribu orang mati, ribuan cedera, ribuan rumah musnah serta terdesak menunggu bantuan datang akibat kebuluran, wabak, kesejukan melampau dan banyak lagi trauma yang dialami oleh mangsa gempa bumi di sini.
"Kebanyakan mereka bekerja berhari-hari untuk mengeluarkan mayat anak perempuan, anak lelaki mereka yang masih hidup dan mengangkat konkrit dengan tangan mereka.
"Bantuan yang diterima amat memberi sinar harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan dan mewujudkan kekuatan rohani dalam diri kami.
“Kedatangan rakyat Terengganu memberikan sokongan psikologi terhadap mangsa di Turkiye.
“Keperihatinan yang ditunjukkan merupakan sumber motivasi yang sangat luar biasa bagi kami di sini," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang rakyat Turkiye, Taha Fahmi berkata, sumbangan tersebut memberi manfaat pada kami untuk meneruskan kehidupan seharian di sini.
"Misi tersebut sangat menakjubkan sekali gus mengukuhkan lagi ikatan antara dua negara dan rakyatnya," ujarnya.
Untuk makluman, pada 17 Mac lepas delegasi kerajaan negeri telah bertolak ke Turkiye dan Syria bagi menyampaikan sumbangan lebih 1.3 Juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit.
mage widget
17 Apr 23
284
Cahaya Al-Quran Penyuluh Pentadbiran Negeri
BESUT, 16 April – Peristiwa Nuzul Al-Quran dalam bulan Ramadan menjadi pengajaran bernilai buat umat Islam dalam mendepani kehidupan.
Penegerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mukjizat tersebut meliputi sekecil perkara sehingga pemerintahan negara.
“Wahyu Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad merupakan mukjizat ilmu kepada segala lapangan, bahkan mengangkat satu kelompok di padang pasir sehingga menjadi tamadun besar.
“Cahaya Al-Quran juga mengeluarkan kita daripada era jahiliyah kepada zaman keemasan ilmu dunia. Penting kepada kerajaan dan rakyat menjadikan ia sebagai petunjuk dan pedoman,” kataya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Perasmian Prihatin Ramadan Bersama Menteri Besar kawasan Besut di Masjid Ar-Raudhah, TUDM Gong Kedak, di sini semalam.
Pada masa yang sama, Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut menyampaikan sumbangan kepada 20 orang asnaf terpilih melibatkan semua DUN di Besut.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Besut menjadi destinasi terakhir jelajah Prihatin Ramadan bagi semua lapan daerah bagi Ramadan kali ini dalam usaha menyantuni rakyat Terengganu.
16 Apr 23
120
Hubungan Negeri, Pusat Diperkukuh Demi Pembangunan Seimbang
KUALA NERUS, 16 April – Hubungan proaktif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu diperkukuhkan demi mewajarkan hasrat pembangunan wilayah yang seimbang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata hubungan kedua-dua ini telah terpahat dalam perlembagaan Persekutuan menerusi konsep muafakat kuasa Kerajaan Pusat dan negeri.
Katanya, hubungan proaktif itu perlu diteruskan dalam mewujudkan pelbagai kerjasama demi kepentingan rakyat.
“Kunjungan Perdana Menteri pada hari ini jelas memberi gambaran kesungguhan semangat antara negeri dan Persekutuan.
“Di samping, hubungan akrab antara Pusat dan negeri memberi gambaran bahawa suatu kerjasama mesti berlaku yang memerlukan libat urus.
“Pertemuan, perbincangan dan perkongsian maklumat mesti dilakukan atas semangat saling percaya mempercayai antara satu sama lain,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani petang semalam yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.
Majlis yang dirasmikan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tambah Dr Samsuri, teladan profesional kepimpinan negeri dan Persekutuan atas konsep 'federalisme' akan memberi pengharapan kepada seluruh rakyat.
“Pemimpin tempat rakyat mengadu nasib, dan pemimpin jua lah yang bertanggungjawab memimpin rakyat untuk masa depan yang lebih baik," ujarnya.
16 Apr 23
184
Operasi Bazar Aidilfitri Dibenar Hingga 29 Ramadan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri akan terus mengekalkan tempoh operasi Bazar Aidilfitri yang dilaksanakan ketika ini iaitu sehingga malam 29 Ramadan sahaja sebagaimana perjanjian yang ditandatangani peniaga ketika memohon permit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, peniaga Bazar Aidilfitri diingatkan agar mematuhi peraturan itu bagi mengelakkan mereka disaman.
Katanya, operasi Bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal adalah tidak dibenarkan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
"Sekiranya pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri jatuh pada Sabtu, maka waktu pengoperasian Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, hari Khamis.
"Sama juga, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, waktu operasi Bazar Aidilfitri tetap dibenarkan sehingga Khamis sehingga jam 12 tengah malam," katanya pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, hari ini.
Katanya, tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
“Selain tindakan kompaun terhadap peniaga yang berniaga melepasi masa dihadkan, nama mereka juga akan disenaraikan hitam daripada berniaga pada tahun depan.
"Kami berharap para peniaga dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pekerja pembersihan dapat menjalankan kerja membersihkan sampah di bazar terbabit," katanya.
Tambah beliau, ketika ini seramai 2,224 pekerja pembersihan ditugaskan untuk mejalankan operasi pembersihan di Bazar Aidilfitri seluruh Terengganu.
16 Apr 23
1204
Gelandangan Dikejutkan Rezeki Sahur
KUALA TERENGGANU, 16 April – Seramai lebih 100 orang gelandangan dan pekerja syif malam mendapat manfaat melalui program kongsi rezeki oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu semalam.
Pegawai Media dan Tugas Khas PERKIM Terengganu, Amer Imran berkata, aktiviti santuni berbentuk agihan juadah sahur itu bermula sekitar Hentian Bas Kuala Terengganu.
Katanya, pihaknya mendapat makluman agak ramai golongan gelandangan yang berlindung di situ khususnya lewat malam.
“Menurutnya, program santuni gelandangan itu bermula pada 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.
“Bungkusan makanan dan minuman untuk bersahur itu diagihkan kepada mereka yang ditemui, termasuk yang sudah tidur untuk berkongsi rezeki” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Amer, program amal itu telah menjadi aktiviti rutin PERKIM sejak tujuh tahun lalu sebagai tanda keprihatinan PERKIM kepada kelompok masyarakat yang tidak bernasib baik.
Beliau berkata, di samping memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.
"Program itu anjuran bersama PERKIM Terengganu, kerjasama Kelab PERKIM UniSZA dan Majlis Belia PERKIM Terengganu.
“Agihan juga dilakukan kepada pekerja-pekerja yang bertugas larut malam dibeberapa lokasi kerja berdekatan.
"Program pada malam itu berakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebagai lokasi terakhir perkongsian juadah sahur," jelasnya.
Menerusi program ini, pelbagai pengalaman berharga diraih khususnya di kalangan remaja Kelab PERKIM dan Majlis Belia dalam kesusahan hidup sebahagian masyarakat serta nilai keprihatinan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan.
“Pembabitan dan pendedahan tentang kesedaran tersebut secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik,” ujar Amer lagi.
16 Apr 23
242