Artikel "Semasa" Terkini
KPDN Lancar Ops Manis Tangani Isu Kekurangan Gula
KUALA NERUS, 3 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Ops Manis bagi menangani isu kekurangan gula di Negeri Terengganu dan Kelantan.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Dato' Azman Adam berkata, operasi khas khusus di dua negeri itu dilaksanakan dalam tempoh seminggu dahulu dan akan melihat apa tindakan selanjutnya.
"Ops Manis ini adalah salah satu operasi yang kita mulakan pada hari ini untuk menguruskan isu-isu berkaitan dengan bekalan gula.
"Objektif utama Ops Manis adalah untuk memulihkan bekalan dan memastikan semua tempat ada gula tidak kira di bandar mahupun luar bandar.
"Selain memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh penjual tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna, " ujarnya kepada pemberita semasa memantau bekalan gula di sebuah gudang pemborong di Gong Badak, hari ini.
Menurut beliau, pasukan penguatkuasa KPDN di kedua-dua negeri terbabit juga akan buat pemantauan secara terperinci bagi memastikan bekalan gula sampai kepada pengguna seperti yang dijadualkan.
"Semalam kami telah mengadakan mesyuarat tergembar dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama gula iaitu MSN dan CSR dan mereka memberikan komitmen untuk memastikan pengguna tidak menghadapi masalah besar berkait dengan bekalan gula.
"Justeru, pemborong yang dapat bekalan gula diharap dapat edar dengan segera dan beri penekanan kepada pelanggan biasa. Peruncit pula jangan sorok bekalan dan jual dengan harga tinggi. Kalau ada yang buat kita akan ambil tindakan tegas, " ujarnya.
Menurut Azman, di Kelantan pihaknya menerima 11 aduan membabitkan kesalahan menyorok, enggan menjual dan meletakkan harga mahal.
"Di Terengganu, setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan gula dan keadaannya masih terkawal, " jelasnya.
03 May 23
448
Karnival TMBS Kembali Gegarkan Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini kembali menemui pengunjung pada hari esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menjemput kepada semua masyarakat setempat yang berada di sekitar Kuala Terengganu khususnya di DUN Batu Buruk untuk hadir bagi memeriahkan karnival tersebut.
Katanya, karnival TMBS itu bakal diadakan pada hari khamis yang merupakan hari cuti peristiwa bagi Negeri Terengganu.
"Program yang bertempat di Dataran Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), Kuala Ibai itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 sehingga 6 Mei ini.
“Di samping, turut diserikan dengan pameran daripada agensi kerajaan, berkanun dan swasta kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya pada hari ini.
Tambah Dr Khalil, semua aktiviti dan acara yang dipertandingkan sesuai kepada semua lapisan umur dengan pengisian yang menarik disediakan.
“Antaranya pertandingan sukaneka wanita, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi.
“Pelbagai hadiah dan cabutan bertuah juga turut disediakan seperti motosikal, televisyen, mesin basuh dan banyak lagi.
“Pada hari akhir karnival turut diadakan Jamuan Raya Aidilfitri peringkat DUN Batu Buruk dengan jemputan artis terkenal, Iwan Syahman," ujarnya.
03 May 23
793
Mazli Mazlan Dilantik Ketua Polis Terengganu Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Mei- Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Terengganu baharu bagi menggantikan DCP Dato' Rohaimi Md Isa, berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan Rohaimi yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Mazli menandatangani dan menerima penyerahan dokumen serah terima tugas selaku Ketua Polis Terengganu yang ke-31 daripada Rohaimi disaksikan Pengarah Logistik dan Teknologi PDRM, Dato'Seri Sahabudin Abd Manan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Mazli menzahirkan komitmen meneruskan legasi usaha-usaha cemerlang yang dilaksanakan kontinjen Terengganu.
"Saya baru memulakan tugas hari ini, tetapi sebabagi anggota polis, misi tidak ada perubahan iaitu menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam.
"Saya juga akan meneruskan semua agenda yang telah dirancang sebelum ini samada dalam pencegahan jenayah ataupun dalam usaha mengurangkan indeks jenayah.
"Lebih-lebih dalam memastikan indeks jenayah yang rendah itu kekal dan diturunkan lagi supaya memberi impak kepada rakyat," katanya.
Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Azizah Malisa Ramli dengan Datin Nur Izzati Dato' Shafii sebagai Pengerusi PERKEP Terengganu baharu.
Penyerahan tugas itu disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM Bukit Aman, Datin Seri Nor Aidila Abdul Majid.
03 May 23
1172
Majlis Daerah Marang Raih Anugerah Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Majlis Daerah Marang (MDM) mencipta nama di peringkat antarabangsa setelah meraih Anugerah Emas Di Geneva, Switzerland baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan tahniah kepada MDM yang diketuai oleh Pengarahnya Zuwislan Awang atas anugerah tersebut.
Katanya, Inovasi Adjustable Loader yang dibawakan oleh MDM telah membanggakan Negeri Terengganu apabila menggapai Anugerah Emas dan 3 Anugerah Khas dalam pertandingan 48th International Exhibition of Invention of Geneva di Switzerland.
“Pertama kali penyertaan terus menempa nama di peringkat antarabangsa.
“Pastinya ia adalah hasil usaha keras ahli pasukan yang berani mencuba dan tidak kenal erti putus asa,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya semalam.
Tambah Dr Samsuri, sebanyak 1,002 penyertaan yang melibatkan 46 negara pada pertandingan tersebut.
"Pertandingan yang berlangsung lima hari dan berakhir pada 30 April 2023 di Geneva, Switzerland," ujarnya.
Untuk rekod, MDM menerusi kumpulan VCLEAN yang mempertaruhkan inovasi ‘Adjustable Loader’ merupakan satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf daerah yang berjaya mewakili negara dan juga Kerajaan Negeri Terengganu.
03 May 23
405
Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Landa Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di negeri Terengganu hingga jam 5 petang, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan bahawa amaran keadaan cuaca tersebut membabitkan tujuh daerah di negeri ini.
"Daerah yang terkesan adalah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, amaran ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas METMalaysia.
02 May 23
211
Kesan Strok Haba Kepada Manusia
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Strok haba berlaku apabila badan seseorang itu kekurangan air hingga suhu di dalam badan meningkat menyebabkan individu terbabit berpeluh lebih daripada biasa.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Noriah Mahmud berkata sekiranya pendedahan badan kepada cuaca terlalu panas ia menyebabkan kehilangan air badan yang banyak.
Maka katanya, ia boleh mengakibatkan kesan yang buruk seperti kekejangan otot, kelelahan dan peringkat yang lebih teruk apabila sistem badan sendiri gagal mengawal suhu badan.
“Justeru, berlaku peningkatan badan yang sangat tinggi sehingga terjadinya strok haba.
“Strok haba merupakan satu keadaan kecemasan yang perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan sebarang kemungkinan sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemubual oleh Terengganu FM pada hari ini.
Dalam pada itu ujar Dr Noriah, antara gejala dan simptom strok haba adalah suhu badan tinggi iaitu suhu badan teras 104'F (40'C) atau lebih tinggi, yang diperoleh dengan termometer rektum, adalah tanda utama strok haba.
"Keadaan mental atau tingkah laku yang berubah seperti kekeliruan, kegelisahan, ucapan yang tidak jelas, kerengsaan, kecemasan, kejang dan koma semuanya boleh disebabkan oleh penyakit panas.
"Seterusnya, perubahan pada pola peluh disebabkan oleh cuaca panas menyebabkan kulit terasa panas dan kering dengan sentuhan," jelasnya.
Menurut beliau lagi, kadar jantung pantas juga boleh berlaku disebabkan denyutan nadi yang meningkat dengan ketara kerana tekanan haba.
Ujarnya, strok haba boleh diramal dan icegah melalui langkah yang telah diwawarkan dan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) dengan mengurangkan aktiviti luar rumah ketika suhu panas.
"Selain itu, pakai baju longgar dan pakaian ringan kerana apabila pakaian ketat tidak akan membenarkan tubuh anda menjadi sejuk dengan effisien.
"Di samping, minum banyak air supaya anda kekal terhidrat dan menstabilkan suhu tubuh yang normal.
"Serta melindungi diri daripada selaran matahari kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan tubuh untuk menyejukkan diri dan pelbagai lagi langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan diri dari terkena strok haba," tambah beliau.
02 May 23
518
Tips Guna Elektrik Berhemah Semasa Cuaca Panas
PETALING JAYA : Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkongsi beberapa tips kepada pengguna mengenai penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titis panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.
TNB melalui kenyataan memaklumkan, penggunaan elektrik kemungkinan meningkat disebabkan cuaca panas yang dihadapi ketika ini iaitu semasa pengguna sedang berada dalam sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, antara langkah penjimatan diambil oleh pengguna adalah menerusi ruang tamu, luar rumah, bilik tidur, dapur dan bilik mandi. “Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan di ruang tamu dan luar rumah adalah mematikan penyaman udara, kipas serta lampu di dalam bilik yang kosong.
Selain itu, mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.
“Di bilik tidur, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik pada waktu malam dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik selain kerap diselenggara.
“Di bahagian dapur, elakkan meletak petis sejuk di tempat yang panas seperti tempat terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak dan susunkan barang-barang di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan ia untuk membiarkan pengudaraan udara sejuk.
“Elakkan juga suis alat pemanas air di dalam bilik mandi terbuka tanpa digunakan. Selain itu, mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air bagi membantu badan terasa lebih segar,” katanya.
Saranan TNB tersebut merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Tambahnya, pengguna digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang atau melalui portal dan aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik secara langsung.
“Layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak,” katanya. – UTUSAN
02 May 23
275
Terengganu Inc Taja Hakim Danish
KUALA TERENGGANU, 30 April – ZK Racing mengumumkan bahawa Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menaja pelumba cilik dari Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli untuk saingan musim ini.
Penajaan ini melibatkan perbelanjaan Hakim Danish di dalam Kejohanan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan juga Kejuaraan European Talent Cup.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata keputusan itu dibuat kerana melihat potensi yang sentiasa ada dalam diri Hakim Danish serta keazamannya untuk berjaya.
Katanya, kejayaannya itu akan membawa kebanggaan kepada rakyat Terengganu dan Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara.
“Terengganu Inc percaya dengan membina hubungan melalui sukan ini dapat membawa perubahan positif kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Dalam pada itu, Hakim Danish meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih diatas penajaan tersebut.
“Saya akan terus memberikan yang terbaik dari segi prestasi diri dan motivasi untuk melangkah lebih tinggi dan berjaya dalam karier saya,” ujarnya.
Red Bull MotoGP Rookies Cup ialah siri perlumbaan motosikal yang dipertandingkan bagi penunggang muda tidak berpengalaman dalam Grand Prix motosikal.
Untuk makluman, Hakim Danish merupakan pelumba negara pertama yang mencipta sejarah setelah menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2014.
30 Apr 23
740
Singapura Puji Sektor Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 April - Kerajaan Singapura memuji negeri Terengganu sebagai model tadbir urus yang cemerlang dalam sektor pelancongan.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman berkata melihat potensi pelancongan dan kerjasama ekonomi boleh dijalin dengan kerajaan Terengganu.
Katanya, Pulau Redang dan Pulau Perhentian merupakan antara destinasi yang menjadi pilihan pelancongan warga Singapura.
“Melalui pertemuan dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kunjung hormat pada 19 April lepas.
“Pelbagai perbincangan telah diadakan mengenai kerjasama di pelbagai sektor termasuk pelancongan, teknologi pertanian dan sebagainya.
“Pihak kami juga sedia menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu untuk melawat Singapura,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Kunjung Hormat Menteri Besar Terengganu di Laman Facebook Rasminya baru-baru ini.
Tambah Dr Maliki, ia amat seronok melawat negeri Terengganu yang indah, dan saya berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Terengganu atas layanan yang baik kepada kami.
Tambahnya lagi katanya, beliau akan sentiasa mengingati slogan terkenal Terengganu dengan perasaan sayang iaitu ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangya baik-baik’.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semoga jalinan kerjasama antara Terengganu dan Singapura dapat terus diperkukuhkan dan diperluaskan untuk manfaat rakyat kedua-dua pihak.
“Jika ada umur yang panjang, harap kita dapat bertemu lagi dan selamat menikmati keindahan negeri ini,” ujarnya.
29 Apr 23
1004
Projek Jangka Panjang Air Marang Siap 85 Peratus
MARANG, 28 April – Projek naik taraf bekalan air Marang untuk penyelesaian jangka masa panjang yang bernilai hampir RM60 juta kini siap 85 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata projek bermula tahun lepas itu mengambil sedikit masa kerana terpaksa melalui laluan sukar seperti merentasi sungai dan jalan raya.
“Kami akan cuba sedaya upaya bagi memastikan kontraktor dapat menyelesaikan gerak kerja dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
"Insya-Allah selepas selesai, masalah air yang berlaku akan dapat diatasi," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan & mendengar taklimat di Pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) Daerah Marang, Rhu Rendang di sini semalam.
Tambah Dr Mamad, Marang merupakan satu-satunya daerah di Terengganu yang masih belum mempunyai loji air sendiri sejak sekian lama.
Disebabkan itu jelasnya, penggunaan air di Marang terpaksa bergantung dengan sokongan air dari loji daerah lain.
“Ini mengakibatkan berlaku masalah gangguan air di beberapa kawasan terutamanya pada musim perayaan dan waktu puncak akibat pertambahan penggunaan serta penduduk," katanya.
Mengulas mengenai penyelesaian jangka pendek yang diambil pihaknya berhubung masa air di Aidilfitri, beliau berkata Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyediakan 34 tangki statik bersama dua buah lori.
"Ia khusus untuk beberapa tempat di daerah Marang yang mengalami masalah bekalan air.
"Selama ini, Marang menerima bantuan bekalan air daripada Kuala Terengganu namun akibat permintaan yang tinggi bekalan tersebut tidak dapat ditunaikan dalam jangka masa itu.
“Ia menyebabkan beberapa tempat di Marang seperti Rusila, Bukit Payung dan beberapa tempat lagi tidak dapat bekalan air.
“Manakala di kampung Wakaf Tapai juga mengalami nasib yang sama yang menerima bantuan air daripada Hulu Terengganu,” ujarnya.
28 Apr 23
327