lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
MARANG, 9 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak gundah gulana dengan angka 126 yang didakwa boleh meruntuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada. Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui hujung pangkal angka tersebut sehingga boleh menimbulkan keresahan pihak tertentu. “Saya tidak tahu daripada mana datang nombor itu jadi tak saya pun tak boleh komen lebih sebab tak tahu hujung pangkal. “Tapi pada saya ini adalah satu perkara biasa, sejak 10-15 tahun dulu kita dah dengar perkara seperti ini, kejadian 16 September, mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan pelbagai lagi dakwaan. “Jadi tak kan lah bila kita dengar perkara serupa pada waktu ini kita gundah gulana dan sedih,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Beberapa hari lalu tular angka 126 yang dibayangkan sebagai akuan bersumpah (SD) 126 ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri baharu. Ia mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan penyokongnya yang rata-ratanya risau jika benar. Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada sebarang usaha digerakkan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumpul SD Ahli Parlimen untuk menukar Kerajaan Perpaduan. Beliau berkata, tumpuan dan istiqamah PN adalah menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
09 May 23
1589
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
MARANG, 9 Mei - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu membuat kejutan penyertaan nama-nama besar ke dalam parti itu di seluruh negara. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang merangka strategi sebelum mengisytiharkan kemasukan individu-individu terbabit. “(Kemasukan nama-nama besar) insya-Allah ada, kita akan menyusun gelombang ini untuk seluruh negeri. “Nama individu itu tak boleh diumumkan lagi, nanti tak ‘supsrise’, benda ni kena ada kejutan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Mengulas mengenai agihan kerusi antara komponen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri memaklumkan ia belum selesai sepenuhnya sekali gus menafikan Bersatu Terengganu hanya diperuntukkan empat kerusi. “Libat urus antara negeri-negeri telah dilakukan, tinggal lagi perbincangan kesemua kepimpinan tertinggi daripada setiap parti dalam PN untuk memuktamadkan agihan keseluruhan kerusi itu. “Kita sedang cari tarikh yang sesuai untuk membincangkan perkara itu memandangkan kita masih dalam suasana Aidilfitri, visi PN adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimun,” katanya.
09 May 23
399
Proklamasi Melayu Tiada Kaitan Dengan Kejatuhan Kerajaan
Proklamasi Melayu Tiada Kaitan Dengan Kejatuhan Kerajaan
MARANG, 9 Mei - Proklamasi Orang Melayu cetusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada sebarang kaitan dengan ura-ura pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proklamasi 12 perkara itu digerakkan oleh bukan ahli parlimen atau pihak yang mempunyai kuasa untuk merubah kerajaan. “PAS menyokong proklamasi itu dan ia jelas tidak ada kaitan dengan apa yang didakwa. “Orang yang ada dalam jawatankuasa tersebut semuanya bukan ahli parlimen, tak ada kena mengena dengan dewan rakyat dan dewan negara, ini tak memberi kesan kepada kedudukan kerusi-kerusi dalam parlimen,” katanya. Naib Presiden PAS itu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Menurut Ahmad Samsuri, proklamasi berkenaan bertujuan membincangkan isu kepentingan kaum Melayu. “Kita menyokong dan bertemu Tun M bagi membincang 12 perkara (untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini dan menggesa perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi tujuan itu),” jelasnya. Baru-baru pemimpin kanan DAP mendakwa, Proklamasi Orang Melayu hanya bermatlamat untuk menukar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, menyifatkan proklamasi itu hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan orang Melayu. "Proklamasi Orang Melayu tidak lain selain propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat kerajaan perpaduan,” dakwanya.
09 May 23
351
Pelajar Besut Kedua Cemerlang Dunia
Pelajar Besut Kedua Cemerlang Dunia
KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Seorang pelajar yang berasal daripada Kampung Pengkalan Kubor Tembila, Besut meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dengan meraih tempat kedua peringkat dunia. Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan medapat keputusan cemerlang markah 98 peratus. Keputusan itu meletakkan dia berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi sesi Mac lalu. Safwa juga merupakan seorang hafizah al-Quran dan bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut yang memperolehi pencapaian cemerlang 12A ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika di tingkatan dua. “Pada awalnya saya tidak menjangka mendapat keputusan paling tinggi di Malaysia dan kedua Dunia kerana pertama kali menceburi bidang akaun di Universiti,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Safwa, dia merupakan seorang pelajar sains tulen serta agama namun ketika di UITM saya memilih bidang perakaunan berbanding bidang lain kerana minat serta kecenderungan saya pada subjek matematik. “Pengkhabaran itu diterima dua hari sebelum raya melalui e-mail dan sangat memberi nilai positif dalam hidup saya untuk terus melangkah ke hadapan. “Kunci kejayaan saya adalah 'habluminallah wa habluminannas' iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia sekali gus melaksanakan segala tuntutan dalam agama,” ujarnya. Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan luar biasa tersebut. “Sebagai pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian Saudari Safwa. “Semoga terus maju ke depan dan menjadi inspirasi kepada orang lain,” jelasnya.    
07 May 23
3746
MBKT Rangka Strategi 'Pulihkan' Stesen Bas Kuala Terengganu
MBKT Rangka Strategi 'Pulihkan' Stesen Bas Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) telah merangka beberapa strategi bagi memulihkan semula Hentian Bas Kuala Terengganu yang kini tidak semeriah dahulu. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pihaknya sedar peredaran zaman memberi kesan terutama apabila orang ramai semakin kurang menggunakan pengangkutan bas. Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menyulitkan para peniaga di hentian terbabit berikutan kekurangan pembeli. "Dahulu ramai orang gunakan bas, sehingga mendapat permintaan tinggi, jadi apabila ramai yang tidak menggunakanya jadi tidak ada lagi 'demand'. "Mengenai peniaga kita ada bincang di peringkat ahli majlis untuk bawa mereka ke Pasar Payang baharu, tetapi kapasiti yang ada tidak cukup untuk menempatkan keseluruhan peniaga jadi kita terpaksa 're-treat' balik serta cari strategi lain bagaimana untuk meningkatkan perniagaan mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak serta timbalannya Ahmad Shah Muhamed. Kata Rosli, beberapa masalah yang dibangkitkan di hentian berkenaan telah turut diberi perhatian seperti atap bocor, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan segera bagi membaikinya. Mengenai tandas pula katanya, ia akan dianiktaraf, sebelum ini dikatakan kotor kerana syarikat yang dilantik menguruskan tandas tidak mengambil kira keadaan apabila musim perayaan. "Sepatutnya mereka lebih sensitif perlu ambil kira keadaan yang berubah ketika musim perayaan," katanya. Dalam pada itu beliau menegaskan saman yang dikenakan pada kenderaan yang diletakkan di haluan yang salah adalah tindakan tepat tanpa kira waktu siang atau malam. "Ini bagi memastikan keadaan di hentian berkenaan terkawal dan selamat. "Diletakkan di tempat yang salah menyusahkan orang lain, apabila ditularkan adakah kita hendak menjaga nama satu orang sahaja sedangkan kita bekerja untuk pastikan bandar bersih dan selamat. "Jam satu, dua pagi kita telah ada petugas kerana matlamat kita bukan untuk berniaga dengan mengenakan saman sebaliknya hendak memastikan kesejahteraan bandar terjaga," ujarnya.  
07 May 23
1541
Garap Peluang, Adu Masalah Di Karnival TMBS
Garap Peluang, Adu Masalah Di Karnival TMBS
KUALA TERENGGANU, 5 Mei- Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk disaran mngambil peluang mengadu permasalahan kawasan mereka di Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) yang sedang berlangsung di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, program yang bermula semalam itu menyediakan pelbagai maklumat dan peluang yang perlu diambil masyarakat setempat. "Karnival ini diadakan untuk mendekatkan rakyat dengan seluruh agensi kerajaan dan pimpinan peringkat DUN. "Jadi, rakyat sepatutnya datang ke reruai disediakan untuk bertanya maklumat dan peluang selain mengadu permasalahan semasa mereka. "Dalam waktu sama, kerajaan negeri juga menggunakan karnival ini untuk menyatakan polisi dan tawaran semasa kepada rakyat di peringkat lebih khusus," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival TMBS DUN Batu Buruk, malam tadi. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, pemimpin masyarakat setempat serta wakil-wakil agensi terlibat. Tambahnya, kejayaan dalam membangunkan negeri merupakan usahasama kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mampu dijayakan oleh sebelah pihak. "Kita berada di landasan yang tepat walaupun ada kelemahan dan kekurangan, tetapi kita tidak patut menyekat landasan yang dibina dengan sebaik mungkin.  "Kita harap karnival ini menjadi cetusan agar rakyat menjadi lebih bersemangat dan pimpinan menjadi lebih dekat untuk mengeratkan persaudaraan dan penyatuan dalam negeri Terengganu ini," katanya. Dalam program selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti diadakan beserta tawaran cabutan bertuah berupa tiga buah motosikal kepada pengunjung.  
05 May 23
192
Tiada Lagi Isu Sampah Ketika Perayaan
Tiada Lagi Isu Sampah Ketika Perayaan
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Hasrat untuk memastikan masalah sampah yang sering kali menjadi isu ketika waktu perayaan akhirnya dapat diatasi setelah tiada aduan ditularkan di media sosial sebagaimana tahun sebelum ini. Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata kejayaan itu hasil daripada kesungguhan para wira yang tidak didendang iaitu petugas-petugas kebersihan yang telah bertungkus lumus menjayakan Pelan Tindakan ditetapkan. Justeru katanya, buat julung-julung kalinya seramai 196 para petugas termasuk tenaga sokongan menerima inisiatif sebagai bonus tambahan berjumlah RM58,800. "Masing-masing menerima RM300 atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan Bandar Raya Kuala Terengganu berada dalam keadaan bersih sepanjang perayaan. "Jadi, majlis hari raya yang diadakan pada malam ini sebagai tanda kebersamaan, jumlah yang diberikan dengan mengharapkan mereka akan bermotivasi dan terus cemerlang. "Kerana telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jadi kita hargailah mereka dahsyat mereka berkerja, sehingga berjaga malam selama dua hingga tiga malam dan pada hari raya tertidur atas jalan. "Ketika orang lain bertakbir raya, mereka pula meraikannya dan melaungkan takbir di tepi tong sampah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi Kerajaan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed Dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Mengulas lanjut katanya, bagi menjayakan tindakan kerja pembersihan itu seluruh tenaga MBKT yang ada dikerahkan bagi membentuk satu pasukan khas yang mantap. "Selain itu kita juga menyediakan 'tong roro' serta memastikan lori-lori yang digunakan dapat beroperasi dengan baik selama operasi dijalankan jika berlaku kerosakan akan dibaiki segera. "Bagi pihak saya sangat bersyukur dan saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar (Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam 'Mesyuarat EXCO' bahawa tahun ini kita sehingga tidak menerima lagi sebarang aduan," ujarnya lagi.  
04 May 23
606
Exco Kerajaan Terengganu Cedera Dalam Kemalangan
Exco Kerajaan Terengganu Cedera Dalam Kemalangan
KEMAMAN, 4 Mei - Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, cedera ringan selepas kenderaan dinaiki bersama tiga yang lain terbabit kemalangan petang kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang di Kilometer 127.7 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) arah Kuantan, dekat Temerloh, ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur menuju Kemaman. Selain Hanafiah dan pemandunya, Mohd Zubaidi Zahari, turut berada dalam kenderaan jenis Land Rover itu adalah dua rakan kepada ADUN itu. Mohd Zubaidi berkata, ketika kejadian kenderaan dipandunya berada di lorong sebelah kanan, sebelum sebuah lori membawa muatan buah-buahan tiba tiba memasuki lorong sama dari sebelah kiri. "Lori terbabit tidak memberi sebarang isyarat dan menghimpit kenderaan yang saya pandu menyebabkan kenderaan kami hilang kawalan lalu terbalik. "Saya dan dua penumpang lain hanya cedera ringan, manakala Hanafiah yang duduk di bahagian mengadu sakit pada bahagian belakang badan. Hanafiah diziarahi oleh rakan-rakan dikediamannya.  Sementara itu, Hanafiah yang diziarahi oleh rakan-rakan dikediamannya, Kampung Gong Pauh pagi tadi berkata, beliau dan pemandunya serta dua rakannya bersyukur kerana terselamat dan hanya mengalami kecederaan kecil selepas terbabit dengan kemalangan tersebut.
04 May 23
488
Pemaju Janji Siapkan Segera Perumahan Gong Cempedak
Pemaju Janji Siapkan Segera Perumahan Gong Cempedak
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Pemaju Perumahan Gong Cempedak berjanji untuk memulakan kembali projek Perumahan Gong Cempedak fasa 3 yang sudah terbengkalai lama. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, pihaknya sebelum ini telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju swasta bagi memastikan nasib pembeli terbela walaupun ia bukan projek kerajaan negeri. "Kita telah melakukan rundingan di Kuala Lumpur dia bersetuju selepas raya hendak memulakan kembali projek ini, sebelum ini masalahnya ialah kekurangan kewangan, duit tidak cukup untuk memulakan kembali. "Memang dari segi kewangan dia tenat, bank dah tak nak bagi pinjaman lagi jadi dia cari 'partner' untuk meneruskan projek ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Tambah Dato' Dr Alias, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan projek tersebut. "Jadi buat masa ini bagi pihak Kerajaan negeri kita boleh  berunding bagi memastikan dia (pemaju) akan memulakan balik projek, saya yakin nampak kesungguhan dia itu ada termasuk mencari partner untuk 'support' dari sudut pelaburan. "Namun, kita akan sentiasa pantau agar projek ini siap," ujarnya lagi. Untuk rekod, projek swasta itu terbengkalai lebih 10 tahun kerana masalah kewangan yang dihadapi pemaju. Pihak pembeli memohon campur tangan kerajaan negeri bagi memastikan nasib mereka terbela. Sebelum ini, Dr Alias berkata pihaknya sudah mencari kontraktor penyelamat dalam usaha membantu menyiapkan projek itu.
04 May 23
766
Jenayah di Terengganu Berkurang
Jenayah di Terengganu Berkurang
KUALA TERENGGANU, 3 Mei- Kadar jenayah indeks di negeri Terengganu bagi tahun 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 17.75 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bekas Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa memaklumkan, penurunan tersebut direkodkan seiring peratus penyelesaian sebanyak 72 peratus. "Bagi jenayah kekerasan, terdapat sedikit peningkatan sebanyak tiga kes dengan iaitu sebanyak 4.9 peratus namun kejayaan kita menyelesaikan kes juga agak tinggi iaitu sebanyak 98.4 peratus. Jenayah harta benda pula menurun sebanyak 21.63 peratus. "Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu juga telah mencapai banyak kejayaan di dalam memerangi najis dadah yang merosakkan Negara" jelas beliau dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Polis Terengganu pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini. Tambahnya, sepanjang tahun 2023 JSJN telah berjaya menangkap seramai 11,087 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik, meningkat sebanyak 120 kes berbanding tangkapan seramai 10,967 orang bagi tahun 2022. "Manakala sebanyak 7 kes dibawah seksyen 39(B) berjaya dilaksanakan oleh JSJN Terengganu sepanjang saya bertugas sebagai Timbalan serta Ketua Polis Terengganu," katanya. Dalam majlis berkenaan, Rohaimi menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Terengganu baharu, berkuatkuasa hari ini. Mazli menandatangani dan menerima penyerahan dokumen serah terima tugas selaku Ketua Polis Terengganu yang ke-31 menggantikan Rohaimi yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dengan disaksikan Pengarah Logistik dan Teknologi PDRM, Dato'Seri Sahabudin Abd Manan. Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Azizah Malisa Ramli dengan Datin Nur Izzati Dato' Shafii sebagai Pengerusi PERKEP Terengganu baharu. Penyerahan tugas itu disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM Bukit Aman, Datin Seri Nor Aidila Abdul Majid.    
03 May 23
691