lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat melihat kewibawaan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun berhadapan kekangan kewangan. "Saya lihat prestasi yang dicapai oleh kerajaan (tiga) negeri ini apabila kita (PAS) perintah sangat menarik walaupun dalam keadaan berhadapan masalah kewangan yang dinafikan. "Kita pernah mengalami bertahun-tahun masalah ini, apa yang penting rakyat memahami masalah ini (kerana itu) kita melihat gelombang rakyat itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan menolak parti lain dan menyokong kita (PN),"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Terengganu internasional Summit (TIS) 2023, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Abdul Hadi berpandangan selain 'gelombang hijau' yang berlaku di tiga buah negeri diperintah PAS, akan turut berlaku di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. "Gelombang ini masih ada (berlaku) sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi muda," katanya.  
01 Jun 23
219
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) dengan wahabi adalah sangat tidak tepat kerana menyalahi matlamat penganjuran program berkenaan bagi membincangkan 'kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran'. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini terutamanya daripada kalangan agamawan tidak perlu berkhilaf dalam masalah furuk dan berkelahi sesama sendiri hingga membiarkan musuh bermaharajalela. "Wahabi adalah mazhab akidah, satu tajuk yang sangat luas (perbincanggannya), ada yang tidak reti (faham) termasuk ulama yang tidak 'tafaqquh' (memahami) dan tidak mengaji dalam agama secara menyeluruh. "Itu yang menjadi masalahnya (perpecahan kalangan umat Islam) penjajah suka sangatlah, dia (golongan tidak faham seolahnya) dia kerja untuk penjajah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri program 'International Summit 2023', di dewan konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Sementara itu Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah menampilkan lapan tokoh pemikir dari luar negara serta dalam negara. Jelas beliau, antaranya ialah dari India, Dr.Zakir Abdul Karim Naik (India), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim (Sudan), Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (Oman), Dr.H.Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Dr. Mohamed Shahem Ali Saeed (Maldives). Manakala tokoh dalam negara pula ialah, Dato' Seri. Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh. Dalam pada itu, Muhammad Khalil menyatakan program tersebut mendapat sambutan luar jangka. "Kita jangka 500 orang akan hadir, tetapi yang hadir dan berdaftar hampir 900 orang," ujarnya.
01 Jun 23
1031
36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA
36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA
HULU TERENGGANU, 1 Jun - Seramai 36 usahawan di Dewan Undangan Negeri Kuala Berang menerima manfaat menerusi Dana Peniaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada kali ini. Adunnya, Dr Mamad Puteh berkata ia melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkan ke DUN-DUN di seluruh Terengganu buat pertama kalinya bagi memudahkan pengurusan bantuan tersebut. "Setiap penerima menerima bantuan peralatan maksimum RM1,500 bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan mereka di samping meringankan beban. “Saya berharap dengan bantuan ini semua usahawan dapat berniaga sebaiknya di samping mengembangkan lagi perusahaan melalui dana yang diperolehi," katanya ketika di Majlis Penyampaian Dana PUTERA Peringkat DUN Kuala Berang Bagi 2023 di sini hari ini. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri,  usahawan pada hari ini perlu menggunakan peluang sedia ada dengan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi. "Kita (usahawan) perlu berani mencuba untuk menceburi lapangan yang belum diterokai orang lain selaras pembangunan teknologi seperti jualan atas talian. "Mereka yang mempunyai peribadi cekal, berani berusaha akan berjaya dalam apa yang dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.
01 Jun 23
180
Terengganu Muliakan Ulama
Terengganu Muliakan Ulama
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri hari ini terus mempertahankan hubungan rapat dengan ulama yang telah bermula sejak dulu sebagaimana terpahat dalam sejarah. Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas faktor itu Terengganu mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulama bertaraf dunia sehingga pernah digelar serambi mekah setaraf Kelantan dan Acheh. "Kita berbangga kerana masyarakat Terengganu amat kuat pegangan agama dan tradisi pengajian agama, dalam hal ini telah menjadikan Islam sebagai suatu dasar atau pegangan rakyat (sehingga) telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu. "Bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi,"ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Terengganu International Summit (TIS) 2023 berkata demikian ketika berucap menyapaikan ucapan alu-aluan di program berkenaan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu telah lama berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul. "Ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat Melayu Islam Terengganu sebagai 'ad-deen' atau 'way of life' dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu selepas era penjajahan Brtish. "Hal ini boleh diperhatikan melalui kandungan Islam yang terdapat dalam Batu Bersurat merangkumi seluruh kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang pentadbiran, kekeluargaan, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya. "Begitu juga dalam Undang-undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta'diliis Suluk yang turut menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintah negeri,"katanya. Dalam pada itu beliau menyifatkan TIS pada tahun ini sangat tepat pada masanya sebagai platform membincangkan ancaman global dalam bentuk serangan pemikiran yang semakin hebat dalam dunia hari ini dan kehadiran tokoh pemikir dari pelbagai negara  ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan negeri. "Semoga dengan penganjuran persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu yang singnifikan ini, serta kerjasama semua pihak akan memberikan impak nasional kepada usaha memelihara kestabilan dan kesejahteraan negara berpandukan kepada ajaran Islam,"ujarnya.  
01 Jun 23
458
20 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Ditahan Maritim Terengganu
20 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Ditahan Maritim Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya menahan 20 nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk perairan negara pada jarak 116 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu, di sini semalam. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada pukul 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri sebelum itu. Katanya, 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam yang masing-masing berumur antara 18 hingga 49 tahun ditahan ketika berada di atas bot tersebut. “Maritim Malaysia Terengganu merampas bot dan peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan 300 kilogram, peralatan komunikasi dan navigasi serta 2,000 liter bekalan diesel. "Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairulanuar, pihaknya telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari ketika melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut. “Menyedari kehadiran Kapal Maritim, bot tersebut telah melarikan diri ke arah sempadan Vietnam namun gagal apabila berjaya ditahan. "Pemeriksaan turut mendapati tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia," ujarnya. Sementara itu, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.    
01 Jun 23
205
Pinggirkan Islam, Negara Dalam Bahaya
Pinggirkan Islam, Negara Dalam Bahaya
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Masalah dalaman serta perpecahan umat Islam hari ini adalah kerana tidak berpegang teguh dengan agama sekali gus menyebabkan kedaulatan negara berada dalam bahaya dan ekonominya dijajah. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu berpunca daripada propaganda barat yang menyebarkan Islamophobia menjadikan umat Islam tidak yakin dengan kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran global di zaman ini. "Berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana menganut pelbagai ideologi kerana kejahilan agama sendiri dan menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek. "Ada kalangan mereka yang kuat beribadat, tetapi memperjuangkan pelbagai ideologi dan teori yang asing daripada Islam yang gagal menyelesaikan masalah selepas memeperoleh kemerdekaan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama 'Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global' pada program 'International Summit 2023', di Taman Tamadun Islam Terengganu, di sini hari ini. Mengulas lanjut katanya, ada pemimpin negara umat Islam pula telah diatur dan dicatur mengikut didikan penjajah. "Ada pun kumpulan Islam yang asal memperjuangkan kemerdekaan telah disingkirkan oleh negara sendiri serta masyarakat yang jahil. "Pendikan Islam pula telah dilumpuhkan oleh kepungan penjajah menjadikannya sekadar bertahan dengan mempelajari Islam secara tidak sempurna. "Bahkan, juga telah melahirkan ramai dalam kalangan para ulama yang tidak memahami cabaran semasa dan asyik berkhilaf dalam masalah guru, berkelahi sesama sendiri, membiarkan musuh bermaharajalela dan tidak bertafaqquh dalam ilmu sehingga termasuk dalam sangkar musuh Islam," ujarnya. Tambah beliau lagi, masalah itu juga muncul kerana kegagalan ulama dalam memahami cabaran semasa menyebabkan tidak mampu menyatakan Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dunia hari ini. "Kerana tidak memahami adanya dalam Islam proses islah dan tajdid bagi menghadapi cabaran baharu," ujarnya. Oleh kerana itu, Abdul Hadi berkata Islam perlu kembali semula menjadi penyelamat dan perlu diyakini oleh penganutnya sendiri termasuk kalangan ilmuwan barat telah muda sedar kebenaran yang dibawa oleh agama wahyu ini. "Ramai kalangan ilmuwan barat yang menganalisi perkembangan tamadun manusia selepas kejatuhan tamadun terdahulu. "Kini mereka mengaku bahawa tamadun islam tidak boleh dimatikan cahayanya dan dianggap sebagai pencabar yang berbahaya kepada Tamadun Barat yang masih wujud dengan segala kelemahannya," ujarnya lagi.
01 Jun 23
321
Terengganu Alukan Kedatangan Ulama, Cendekiawan ke Darul Iman
Terengganu Alukan Kedatangan Ulama, Cendekiawan ke Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri mengalukan kedatangan alim ulama, ilmuwan dan cendekiawan ke bumi Terengganu bersempena program Terengganu International Summit (TIS) 2023.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) itu mampu mencapai objektif dengan tema ‘Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global’. “Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin mengalu-alukan kehadiran para pembentang, alim ulama, ilmuwan, cendekiawan dan semua peserta yang diadakan pada hari,” katanya ketika berucap merasmikan program terbabit di Dewan Konvensyen, TTI hari ini. Terdahulu, Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ucapan aluan berkata, persidangan itu diadakan bagi menyediakan platform kepada para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan peranan islam dalam masyarakat majmuk, politik dan kesatuan ummah.  “Dalam era globalisasi hari ini, terdapat banyak pengaruh dan fahaman yang walaupun dibalut cantik dengan nama dan istilah islamik, tetapi amalanya jauh dan asing dari ajaran islam. “Pengaruh dan fahaman ini jika tidak ditangani dengan baik, impaknya mampu mengubah struktur kehidupan umat islam, baik secara peribadi mahupun dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. Tambah Dr Muhammad Khalil, antara cabaran global yang dihadapi kini adalah dalam bentuk pemikiran termasuklah islamophobia, islam leberal dan pertelagahan sesama umat.  
01 Jun 23
349
512 Keluarga di Kota Putera Terima Bantuan Banjir RM512 Ribu
512 Keluarga di Kota Putera Terima Bantuan Banjir RM512 Ribu
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Seramai 512 Ketua Isi Rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menjadi mangsa banjir mengukirkan senyuman apabila menerima bantuan RM512,000 sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini berkata wang ehsan itu membabitkan mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Alhamdulillah semalam, jam 2.30 petang telah diadakan program sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Merdeka Kota Putera Square seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini. "Dalam program Himpunan Teguh Pertahan, Menteri Besar sudah berjanji untuk membayar kepada warga Besut sebelum berkakhir Mei yang membabitkan 5,391 KIR secara keseluruhan," ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini hari ini. Dalam pada itu katanya, mangsa yang tercicir untuk mendapatkan bantuan terbabit diminta tampil dan memaklumkan perkara terbabit kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan segera. "Tindakan seterusnya akan dilakukan secepat mungkin insya-Allah, kami dari kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan nasib rakyat Terengganyu sentiasa terjaga. "Diharap supaya terus bersabar dan pihak kerajaan sedaya upaya akan ikhtiarkan untuk memastikan semua mangsa banjir menerima bayaran tersebut," katanya. Sementara itu, mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan Nurkhuzaini memaklumkan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.
31 May 23
178
Terengganu Peruntuk Lebih RM22 Juta Bantu 4,829 Usahawan
Terengganu Peruntuk Lebih RM22 Juta Bantu 4,829 Usahawan
BESUT, 31 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM22,880,130 kepada 4,829 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga 30 Mei 2023. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata dana TUGAS ini  menunjukkan keperihatinan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu dan menyokong golongan usahawan yang komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan.  “Saya merasa amat terharu menyanpaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan saya dapat memahami kerpeluan mereka. “Semoga dengan pemberian Skim Pembiayaan TUGAS ini akan dapat membantu para usahawan bagi meningkatkan dan mengembangkan lagi operasi perniagaan mereka,” katanya. Menurut Mohd Nurkhuzaini, bagi tahun 2023, kerajaan negeri dalam pembentangan bajet 2022 telah memperuntukkan RM10 juta di bawah pembiayaan TUGAS. ”Bagi Tahun 2023 sahaja iaitu sehingga ke hari ini sebanyak RM4.4 Juta peruntukan TUGAS telah dikeluarkan bagi memberi manafaat kepada 1,428 orang usahawan,” tambahnya lagi. Sementara itu, bagi memastikan Skim TUGAS dapat dinikmati oleh semua golongan Usahawan maka selain daripada lapan Skim Pembiayaan yang sediada, YPU telah memperkenalkan satu skim baru pada Tahun ini iaitu Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU).  ”SPMU adalah merupakan salah satu usaha YPU untuk memudahkan usahawan kecil Terengganu untuk mendapatkan pembiayaan dengan had maksimum sehingga RM5,000 dan ia merupakan pembiayaan yang tidak memerlukan penjamin dengan kelulusan seawal 21 sehingga 30 hari sahaja,” ujar beliau.
31 May 23
387
Tasik Kenyir Kini Diisytihar Geopark Kebangsaan
Tasik Kenyir Kini Diisytihar Geopark Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sektor Pelancongan di Terengganu terus mendapat tumpuan setelah kawasan Tasik Kenyir kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-9 di bawah Program Pembangunan Geopark Malaysia dengan nama ‘Kenyir Geopark’. Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaaan Kali-1, Tahun 2023 semalam di Wisma Sumber Asli, Putrajaya. Katanya, pengiktirafan tersebut diperoleh selepas melihat kepada nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa dan pembangunan lestari dalam komponen pelancongan, warisan kebudayaan, pendidikan komuniti serta kebudayaan yang wujud di sana. “Pengisytiharan tersebut sekaligus memberi dimensi baharu kepada Tasik Kenyir yang sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Hulu Terengganu. “Ia juga  memberi nilai tambah terutama kepada sektor pelancongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan, penjanaan aktiviti ekonomi berkait pelancongan serta pembangunan sosial komuniti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.  Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan. Katanya, status Taman Geo Kebangsaan akan melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir dan secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli. Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna. Keluasan itu  merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau. Ini termasuk  11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah Ia juga adalah lokasi di mana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun dan fosil marin, Shikamaia Sp. (kerang gergasi) yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua berkenaan.  
31 May 23
1000