lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP
Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam memeterai memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian bersama (MoA) bagi menjalin kolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan.  Melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggariskan beberapa aktiviti kolaborasi akademik dan memberi khidmat nasihat bagi program seperti Program Asasi, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.  Lain-lain, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Program STEM dan program-program pengajian kerjasama antarabangsa UMP yang boleh memberi impak kepada pembangunan modal insan Negeri Terengganu. Kerjasama ini juga bakal menyaksikan Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berperanan sebagai institut bahasa Mandarin yang menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dengan pelancaran tapak pengajaran Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Sekolah Menengah Imtiaz  Yayasan Terengganu.  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, MOU dan MOA yang dimeterai itu dijadikan platform untuk perkongsian ilmu khususnya program pendidikan yang berkait dengan bahasa antarabangsa.  “Pelaksanaannya menepati piawaian kerana menggunakan tenaga pengajar berkelayakan dari Republik Rakyat China supaya kaedah pembelajaran lebih sistematik, efektif, mudah dipelajari serta dikuasai oleh para pelajar. “Ini secara langsung, bertindak sebagai strategi serampang dua mata di mana dengan mengambil penutur jati Bahasa Cina untuk meningkatkan penguasaan bahasa Cina di kalangan pelajar,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Memorandum Perjanjian (MoA) Antara Yayasan Terengganu Dan Universiti Malaysia Pahang Serta Perasmian Tapak Pengajaran Confucius Institute di Wisma Darul Iman. Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menandatangani memorandum bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Maliaman Kasim. Hadir menyaksikan detik bersejarah ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Dato’ Yahaya Ali, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao serta Attaché Kedutaan China di Malaysia, Zhang Tian. Yahaya berkata, menerusi kolaborasi tersebut Negeri Terengganu turut mendapat kelebihan peluang pendidikan di universiti ternama di Republik Rakyat China serta akses kepada sokongan fasiliti dan kepakaran pendidikan di Universiti Malaysia Pahang.  Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi. Malah katanya, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara. “Dengan penubuhan tapak pengajaran ini, UMP menerima sokongan daripada Universiti Hebei bagi penyediaan tenaga pengajar bahasa Mandarin di sekolah menengah Imtiaz ini.  “Di samping peranan pengajaran bahasa, CI UMP juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya antara Malaysia dan China, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.  
31 May 23
804
JPJ Bersama Komuniti Dapat Sambutan Masyarakat Kampung
JPJ Bersama Komuniti Dapat Sambutan Masyarakat Kampung
SETIU, 30 Mei - Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turun padang mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang diadakan di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun, Batu Rakit, baru-baru ini. Lebih 100 pemilik motosikal terdiri petani, buruh dan nelayan hadir untuk memperbaharui semula cukai jalan motosikal masing-masing yang tamat tempoh. Usaha JPJ ini dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan selain tidak perlu turun ke bandar untuk menyambung cukai jalan juga mendapat maklumat mengenai perkhidmatan lain yang disediakan jabatan itu. “Saya amat berpuas hati dengan program ini dan berharap ia diadakan setiap setahun bagi memudahkan kami yang tinggal di kampung untuk perbaharui cukai jalan,” kata Encik Hasbullah Abdul Salam duduk di Kampung Bukit Nenasi, Batu Rakit. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail turut meluangkan masa bersama orang ramai sambil bertanya khabar. Beliau memuji jabatan yang sedia turun ke bawah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping dapat menyalurkan maklumat jabatan. “Kepentingan rakyat menjadi agenda utama kerajaan dan golongan yang tidak mampu diberi bantuan dengan apa cara sekali pun, contohnya hari ini JPJ dan Tabung Haji datang untuk memudahkan penduduk di sini berurusan dengan jabatan itu,” katanya. Sementara itu, urusetia program , Adli Ngah menyifatkan program sebulan sekali diadakan di DUN Batu Rakit ini telah mencapai matlamat jabatan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di luar bandar. “Daripada maklum balas yang kami terima, ramai meminta perkhidmatan JPJ ini di teruskan pada masa akan datang,” katanya.
30 May 23
169
Kerajaan Terengganu Terus Bantu Peniaga Kecil
Kerajaan Terengganu Terus Bantu Peniaga Kecil
SETIU, 31 Mei - Kerajaan Terengganu memberi komitmen untuk sentiasa membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, ramai daripada golongan itu amat memerlukan bantuan kerajaan selepas terkesan dengan penularan Covid-19 dua tahun lepas, terutama mereka yang menjadikan peniagaan sebagai punca utama pendapatan. Katanya, antara usaha yang dilakukan kerajajaan negeri ialah mengekalkan suntikan dana sebanyak RM50,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). "Ini adalah satu peruntukan kerajaan Terengganu berbentuk geran kepada DUN untuk diberikan kepada usahawan yang layak pada kadar RM500 hingga RM1,000 seorang,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Program Dana Niaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) yang dibuat di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit Kampung Bukit Cempaka hari ini. Shafizi berkata, berdasarkan kajian, sebanyak 90 peratus usahawan menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat Covid-19, kajian itu juga mendapati usahawan memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk bantuan geran serta latihan dan bimbingan. Halimatun Mohamad@Naib, 41 atau lebih mesra panggilan “Kak Ani” yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan satay ayam dan satay daging menzahirkan penghargaan terima kasih di atas inisiatif kerajaan negeri dalam memajukan perniagaanya. "Saya banyak terima tempahan melalui kampus, sekolah, orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.
30 May 23
226
KPDN Jamin Bekalan Gula Cukup Menjelang Aidiladha
KPDN Jamin Bekalan Gula Cukup Menjelang Aidiladha
KUALA TERENGGANU, 30 Mei -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan  memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi bagi keperluan pengguna di  di seluruh negara menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha pada akhir bulan depan. Timbalan Menterinya, Fuziah  Salleh berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada dua kilang terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mengeluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong. "Kedua-duanya  akan mengeluarkan bekalan gula mengikut kapasiti ditetapkan iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 matrik tan. "Dan kita juga keluarkan arahan kawalan pengeluaran di mana kita boleh memeriksa  di kilang. berapa yang dikeluarkan dan berapa banyak kita hantar untuk keperluan pemborong,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula di sini hari ini. Sementara itu, beliau berkata, Ops Manis yang bermula pada 3 Mei sehingga 29 Mei 2023 yang lalu, telah berjaya menampakkan perkembangan yang amat positif. Menurutnya, ini terbukti apabila negeri-negeri yang mengalami gangguan bekalan gula telah pulih hampir 100 peratus. Justeru itu katanya, KPDN telah melanjutkan tempoh Ops Manis bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi menjelang Aidiladha. “Ops Manis yang sepatutnya tamat pada 29 Mei dilanjutkan  kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi menjelang tempoh perayaan itu,” ujarnya. Tambah beliau lagi, operasi yang dilaksana di Kelantan dan Terengganu sebelum ini telah diperluas ke seluruh negara berikutan terdapat aduan kes di beberapa negeri lain. Dalam masa yang sama, Fuziah juga menyeru supaya pengguna agar tidak membuat pembelian panik kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.  
30 May 23
318
Cuaca Panas Punca Induk Penyu Jantan Berkurang
Cuaca Panas Punca Induk Penyu Jantan Berkurang
SETIU, 30 Mei – Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda seluruh negara menyebabkan penghasilan induk penyu jantan semakin berkurangan. Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata setakat ini penghasilan penyu jantan di kebanyakan pusat konservasi hampir tiada atau 0 peratus. Katanya, keadaan itu dilihat melalui telur yang ditetaskan di kebanyakan pusat konservasi hidupan marin itu. “Suhu panas menyebabkan kecenderungan untuk menghasilkan induk betina lebih tinggi berbanding induk jantan. “Pengeraman telur penyu untuk menghasilkan induk jantan dan betina sedikit unik, berbeza dengan manusia,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Taman Laut di Pulau Redang, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. Tambah Uzair, bagi manusia, jika ayah menyumbangkan X (kromosom) maka akan mendapat bayi lelaki, jika Y (kromosom) akan dapat bayi perempuan. “Namun, untuk penyu pula penentuan jantina adalah ketika proses pengeraman telur itu di mana proses tersebut berlaku dalam tempoh dua bulan. “Dalam tempoh itu, ketika fasa selepas 40 hari pengeraman kita perlu pastikan suhu tidak terlalu tinggi kerana ia akan menyebabkan kita menghasilkan banyak induk-induk betina sahaja. Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan telur penyu yang dieram menghasilkan induk jantan termasuk meletakkan teduhan di kawasan pengeraman. “Selain teduhan, pihak kami juga akan memastikan kesemua telur yang dipindahkan ke pusat penetasan dieramkan dengan kaedah yang tepat dan betul,” ujarnya    
30 May 23
381
Maritim Terengganu Tenggelamkan Tiga Bot Nelayan Vietnam
Maritim Terengganu Tenggelamkan Tiga Bot Nelayan Vietnam
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu melupuskan tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Kapas, di sini. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, pelupusan tiga bot ini sebagai tukun tiruan merupakan sumbangan Maritim Malaysia Negeri Terengganu kepada pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem marin. Katanya, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara hasil Op Naga Barat dan Op Kuda Laut. “Pelupusan ini merupakan kali ke tujuh dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 13 buah bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini. “Sehingga kini, sejumlah 156 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairulanuar, kaedah tukun ini merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram. Beliau berkata, program pelupusan kali ini turut melibatkan kerjasama dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia. “Berdasarkan laporan kajian biodiversiti dan biomas ikan yang dijalankan telah mengenalpasti perairan Pulau Kapas sebagai lokasi yang produktif untuk pembinaan kompleks tukun tiruan. "Ia sebagai langkah pemuliharaan sumber perikanan terutama bagi perairan Marang," ujarnya.    
29 May 23
714
Peruntukan RM5.05 Juta Naik Taraf Kampung Budaya Terengganu
Peruntukan RM5.05 Juta Naik Taraf Kampung Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.05 Juta untuk projek prasarana di Kampung Budaya Terenganu (KBT) di sini. Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria berkata kontraktor binaan juga telah dilantik pada 11 Mei lepas bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan di KBT berkenaan. Katanya, kompenan penambahbaikan itu termasuklah dewan utama yang mana dijadikan sebagai pusat aktiviti utama di KBT ini. “Di samping, pembangunan landskap dan kemudahan pejalan kaki juga akan diubahsuai untuk keselesaan pengunjung. “Kerja-kerja awal bagi projek itu dijangka bermula bulan Julai ini dan dijangka siap pada Disember 2024 depan. “Pihak kami akan menyusun balik aktiviti yang sesuai dijalankan KBT ini sementara dalam proses pembinaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Media Sosial Media PELITER @ KBT 2023 bertempat di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini. Tambah Fadli Yusof, operasi serta aktiviti di KBT ini dijalankan seperti biasa namun beberapa bahagian terpaksa ditutup untuk proses pembinaan. “Pintu belakang dijangka akan dijadikan pintu masuk utama sementara pintu utama dalam proses penambahan baikan. “Pembangunan landskap lebih kepada tempat rehat, tempat duduk seperti wakaf untuk kegunaan dan keselesaan pengunjung supaya lebih santai,” ujarnya. Dalam majlis yang sama, turut berlangsung Penyampaian Hadiah Pertandingan Media Sosial Media PELITER @ KBT 2023 yang terdiri daripada influencer media sosial. Para pemenang dipilih melalui jumlah tontonan dan sukaan yang terbanyak dalam video yang mempromosikan PELITER di laman media sosial rasmi miliknya.  
29 May 23
388
GPFP Jalin Kerjasama Bangunkan Perladangan Hutan
GPFP Jalin Kerjasama Bangunkan Perladangan Hutan
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – GP Forest Plantation Sdn Bhd (GPFP) telah memeterai perjanjian bersama dengan BFC Research and Development Sdn Bhd (BFC) untuk pembangunan projek perladangan hutan di Terengganu. Pengarahnya, Datuk A Rahman Yahya berkata GPFP merupakan  anak syarikat di bawah Golden Pharos Bhd (GPB) yang mengusahakan projek perladangan hutan seluas 2,869 hektar bertempat di Hutan Simpan Jerangau, Dungun, Terengganu. Katanya, perjanjian itersebut merupakan susulan daripada lawatan wakil BFC ke ladang hutan milik GPFP tahun lepas yang memberi maklumbalas bahawa pengurusan ladang hutan GPFP memerlukan penambahbaikan yang bersesuaian. “Oleh kerana itu, BFC telah menawarkan kepada GPFP perkhidmatan teknikal sokongan secara kontrak bagi menyemak prosedur standard operasi bagi penanaman perladangan hutan. “Jika perlu, BFC akan turut membuat prosedur standard operasi baharu kepada GPFP untuk memastikan bahawa projek perladangan hutan ini dilakukan dengan mematuhi polisi dan syarat-syarat penanaman hutan,” katanya dalam satu kenyataan. A Rahman turut berkata perjanjian yang termeterai ini diharapkan dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan perladangan hutan yang berdaya maju di Terengganu. Tambahnya lagi, terbaharu GPFP telah mengadakan lawatan kunjung hormat ke syarikat BFC dan seterusnya menandatangani perjanjian ini bagi membolehkan segala kerja-kerja semakan dapat dilakukan dengan segera.
29 May 23
207
YPM Sasar Kumpul Dana RM10 Juta Tahun Depan
YPM Sasar Kumpul Dana RM10 Juta Tahun Depan
KUALA TERENGGANU,29 Mei- Yayasan Pendidikan Maidam mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dapat dikumpul tahun depan menerusi pelancaran dana sumbangan pendidikan Yayasan Pendidikan Maidam (YPM). Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan Maidam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, dana sumbangan pendidikan YPM yang diperkenalkan tahun ini merupakan program tambahan yang menawarkan ruang kepada masyarakat untuk sama-sama menghulur tangan dalam pembangunan pendidikan di Terengganu. Katanya, dana tersebut akan diagihkan untuk bantuan berterusan bagi menjayakan program Skim Anak Angkat, Prihatin@School, Prihatin@University, Boleh YPM Tolong serta Infra dan Fasiliti Pondok. “Setakat ini, jumlah terkumpul bagi dana sumbangan pendidikan YPM sebanyak RM1,009,189 dan antara penyumbang utama adalah Bank Islam Malaysia Berhad, Manfaat Wakaf Pendidikan Almarhum Baginda Sultan Omar, Program Kolobrasi Akses Fikrah Islami Permodalan Nasional Berhad-MAIDAM dan GNI Pharma Sdn Bhd.. “Harapan kami agar lebih ramai lagi yang sudi menyumbang sama ada agensi negeri atau swasta agar lebih ramai yang boleh di bantu dan tiada yang tercicir dalam pelajaran.” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Dana Sumbangan YPM yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel, hari ini. Menurut beliau, fungsi YPM tidak bertindih dengan yayasan-yayasan yang sedia ada di Terengganu kerana fokus YPM untuk melengkapkan dan mengisi ruang-ruang penambahbaikan dalam pendidikan ke arah pendidikan berkualiti.  “Yayasan Pendidikan Maidam merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu yang beroperasi secara aktif bermula 1 Mac 2021 dimana agihan zakat bagi sektor pendidikan telah dimanahkan kapada YPM sebagai strategi fokus untuk memperkasakan pendidikan di Terengganu.  “Bagi tahun ini, sebanyak RM68.1 juta telah diperuntukkan di bawah agihan zakat dalam sektor pendidikan melalui YPM meliputi 13 program.  “Antaranya Bantuan Awal Pengajian, Bantuan IPT, Skim Ulama’, Bantuan Pengajian Islam, dan Bantuan Pengurusan Pondok. Fungsi kedua Yayasan Pendidikan MAIDAM adalah menguruskan Dana Tanggungjawab Sosial bagi tujuan pembangunan pendidikan,” ujarnya.  
29 May 23
281
50 Persatuan Motosikal Dalam, Luar Negara Sertai Terengganu Bike Week
50 Persatuan Motosikal Dalam, Luar Negara Sertai Terengganu Bike Week
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Lebih 50 Persatuan dari pelbagai negara, termasuk Thailand, Singapura dan Brunei menyertai Terengganu Bike Week 2023 (TBW2023) di Dataran Shahbandar di sini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof berkata Zakaria berkata program Terengganu Bike Week 2023 ini menghimpunkan lebih 2,000 motosikal dari pelbagai jenis model klasik dan baharu. Katanya, penganjuran Terengganu Bike Week 2023 hasil kerjasama dengan JPNT dan East Coast Motorcycle Club (ECMC).  “Program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 hingga 28 Mei itu menerima penyertaan di luar jangka oleh pengunjung. “Pada hari terakhir program, kira-kira 400 pengunjung TBW2023 hadir bersama-sama Pengasas ECMC, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu ke Kampung Budaya Terengganu bagi memenuhi jemputan JPNT," katanya dalam kenyataan media semalam. Tambah Fadli Yusof, pelbagai aktiviti kebudayaan yang dipersembahkan dalam program itu antaranya pentunjukan membuat kuih loklik dan mas jemput serta penyampaian sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau berkata, penglibatan tersebut pelbagai agensi dan persatuan motosikal di dalam dan luar negara itu sekali gus merancakkan agenda pelancongan dan ekonomi negeri Terengganu.  
29 May 23
1157