Artikel "Semasa" Terkini
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
MARANG, 6 Jun – Mencipta wau yang bukan sahaja mampu menegak dan menongkah angin tetapi juga dengan hiasan yang indah serta berseni menuntut kemahiran yang tinggi.
Tidak ramai yang berminat dan mampu menguasai warisan ini, justeru mereka yang meneruskan usaha sebegini lazimnya warga tua yang melakukannya kerana minat dan bagi menambah rezeki.
Namun bagi warga emas berusia 70 tahun, dia tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk menyertai Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 bertempat di Kampung Surau Haji Yaakob, di sini hari ini.
Abdullah Mohd dari Kampung Rusila berkata minat mendalam terhadap wau sejak dari zaman kanak-kanak memberi semangat kepadanya menyertai pertandingan itu.
“Wau telah sebati dalam hidup saya sejak dari usia kanak-kanak, selagi masih sihat dan mata masih ‘cerah’… saya akan terus buat wau dan terbangkannya kerana ia bukan hanya memberi kepuasan peribadi sebaliknya saya anggapnya sebagai satu tanggungjawab yang harus terus dipertahankan.
“Arwah bapa pernah memarahi kerana terlalu taksub dengan wau tapi akhirnya memberikan kebebasan untuk saya meneruskan hobi ini,”katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Majlis perasmian Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang juga merupakan Ahli dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong.
Tambah datuk kepada 15 cucu ini, selain sayangkan seni warisan bangsa, permainan tradisional ini turut menjadi sumber rezeki keluarga sejak dirinya berusia belasan tahun lagi iaitu sekitar tahun 60-an lagi.
Sementara itu, Mohd Nor berkata semua pihak khususnya anak muda perlu mempunyai keinginan dalam diri untuk memartabatkan khazanah warisan bangsa ini.
“Nasihat saya, ini adalah peninggalan nenek moyang kita yang harus dipertahankan. Paling tidak pun, jadikannya hobi untuk kita luangkan pada masa lapang supaya warisan ini sentiasa berkekalan.
“Pertandingan ini juga ternyata berjaya memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum,” katanya
06 Jun 23
173
Perantau Utama Keperluan Kebajikan, Bantuan Perniagaan
KUANTAN, 5 Jun- Rata-rata anak Terengganu di perantauan mengemukakan persoalan berkisar kebajikan serta peluang mendapatkan bantuan dalam membangunkan perniagaan mereka.
Setiausaha Agong PERANTAU, merangkap Setiausaha Sekretariat Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan, Awasi Mohamad memaklumkan, selain itu ramai dikalangan anak rantau ingin mendapatkan maklumat berkenaan isu-isu pengundi baru dan isu-isu kebajikan pengundi di musim pilihanraya.
"Sebenarnya, ada beberapa perkara yang sepatutnya ditanyakan seperti program yang telah dijalankan kerajaan negeri, kerana banyak program libat urus yang dilaksanakan selama sepenggal ini.
"Apapun, ini kali pertama kita menerima respon yang amat luar biasa. Saya nampak perubahan yang besar, khususnya di negeri Pahang ini besar dan untuk dapatkan respon sebegini adalah sukar.
"Banyak yang datang hari ini daripada pelbagai golongan. Saya mengharapkan ramai yang profesional akan tampil untuk meningkatkan percambahan idea serta komunikasi dua hala antara anak-anak rantau dan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Dialog Bersama Pimpinan Terengganu dan Anak Perantau Pahang yang berlangsung di Dewan Atabara, di sini hari ini.
Program dialog itu menampilkan panel terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.
Hadir sama meraikan perantau dan diberi penghormatan menyampaikan ucapan penutup ialah Ahli Dewan Negara, Senator Dato'Husain Awang.
Turut hadir, Pengerusi Perantau Pahang, Dr. Hasbullah Mohamad.
Majlis anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu menghimpunkan lebih 200 perantau dan menjadi salah satu medium perantaraan kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat serta bantuan kepada anak-anak negeri di perantauan.
05 Jun 23
93
KMI Healthcare, PKENPs Tandatangan MoU Untuk Pembangunan Kesihatan di Perlis
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad dan Pembangunan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata usahasama dengan pihak PKENP ini bakal menjadi tanda aras kepada kerjasama yang berterusan antara dua negeri.
"Dengan kepakaran dan kualiti perkhidmatan daripada pihak KMI Healthcare dan TDM Berhad ianya bukan sahaja dapat memenuhi permintaan dan menambah pilihan perkhidmatan perubatan dalam negeri.
"Ia juga berupaya menjadikan satu mercu tanda baharu di Utara tanahair," ujarnya di Majlis menandatangani perjanjian itu di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam.
MoU berkenaan turut disaksikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.
MoU tersebut adalah bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hospital swasta atau fasiliti kesihatan di Perlis yang akan ditentukan perinciannya selepas penyelidikan yang lebih rapi dilakukan oleh kedua-dua pihak.
Sementara itu, Tuan Mohd Shukri berkata, hospital yang mesra ibadah ini mampu menarik ramai rakyat Perlis untuk mendapatkan rawatan di sini.
"Selain daripada memberi manfaat dari sudut kesihatan, saya juga mengharapkan peluang pekerjaan dapat disediakan khususnya buat warga Perlis.
"MoU yang termeterai pagi ini dapat menatijahkan hubungan yang erat di antara kedua negeri ini dan seterusnya paling penting menjadi antara pilihan utama rakyat Perlis dan penduduk sekitarnya dalam menerima penjagaan kesihatan," ujarnya lagi.
Manakala Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, Perlis menjadi pilihan atas dasar permintaan masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri.
"Di tambah lagi ianya adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik lima Tahun KMI Healthcare untuk memperkembangkan perniagaan kesihatan kami supaya lebih berdaya saing.
“Dalam masa yang sama, KMI juga ingin mengimbangkan kedudukan hospital di jaluran Pantai Timur Malaysia, khususnya bandar-bandar utama seperti di Kuala Terengganu, Kuantan dan InsyaAllah di Kemaman dan juga Kelantan," katanya.
04 Jun 23
400
Remaja Ditemui Lemas Dalam Sungai
HULU TERENGGANU, 4 Jun - Remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Dusun di sini telah ditemui mati lemas pada Ahad.
Mayat Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dari Kampung Dusun di sini ditemui kira-kira jam 1.05 petang dalam keadaan terapung di kawasan Sungai di Kampung Temir kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata mayat mangsa ditemui oleh orang kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Polis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam, Rela dan agensi-agensi lain termasuk penduduk kampung yang turut serta membantu dalam operasi mencari mangsa sejak petang Jumaat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.
Menurutnya lagi, susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan tepat jam 3 petang.
Pada Jumaat lalu, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi-manda di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dipercayai dihanyutkan arus deras ketika sedang berenang menyeberangi sungai tersebut bersama seorang rakan.
04 Jun 23
609
Himpunan Perantau Eratkan Kerajaan Dengan Rakyat
JITRA, 4 Jun – Himpunan perantau yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu di setiap negeri dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama anak-anak Terengganu yang berada di perantauan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, matlamat utama majlis perantau diadakan adalah untuk mengenali dan menjalinkan hubungan yang baik dengan para perantauan.
Katanya, di samping kerajaan negeri ingin mendengar pandangan daripada anak-anak perantau sendiri terhadap kepimpinan negeri Terengganu.
“Kami juga akan menerangkan pencapaian dan kejayaan yang berjaya diraih oleh kerajaan negeri kepada golongan perantau supaya mereka tidak ketinggalan mengetahui isu semasa terkini.
“Terutamanya pencapaian kerajaan negeri yang berjaya menunaikan keseluruhan 20 manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog dalam Program Jelajah Pimpinan Bertemu Anak Terengganu di Perantauan bertempat di Kolej Heights Utara Café, Kedah di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.
Tambah Wan Sukairi, kejayaan itu sekali gus menunjukkan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) sentiasa komited dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.
"Pada majlis yang diadakan di Dewan Kolej Utara Café itu turut berlangsung majlis jamuan hari raya serta cabutan bertuah kepada perantau yang hadir.
"Program itu berakhir pada jam 5 petang dengan kehadiran peserta melebihi 200 orang," ujarnya.
04 Jun 23
417
SAR Cari Remaja Dikhuatiri Lemas Masuk Hari Ketiga
HULU TERENGGANU, 4 Jun - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki melayu yang dikhuatiri lemas memasuki hari ketiga diteruskan pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata operasi SAR berkenaan digerakkan dengan kekuatan 77 anggota dan pegawai polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam bagi mengesan remaja terbabit.
Katanya, operasi yang memasuki hari ketiga hari ini menumpukan kawasan berlubuk berkedalaman lebih lima meter dan dipercayai lokasi mangsa berada.
"Selain menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, kami juga menggunakan tiga jentera berat untuk menarik timbunan buluh hanyut di kawasan berkenaan" katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Hasmerra, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa tersangkut pada tunggul kayu dan rimbunan buluh berdasarkan penggunaan kaedah anjing pengesan sejak semalam.
Sementara itu, dalam kejadian sekitar jam 4.00 petang Jumaat lalu, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Dusun.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dipercayai dihanyutkan arus deras ketika sedang berenang menyeberangi sungai tersebut bersama seorang rakan.
04 Jun 23
194
Perantau Sedia Mengundi, Puas Hati Pentadbiran Kerajaan
IPOH, 4 Jun – Anak-anak Terengganu yang menetap di Perak dan Kedah bersedia untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Hasil tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman pada Program Jelajah Pimpinan Bertemu Anak Terengganu di Kolej Height Utara Jitra, Kedah kelmarin dan Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak semalam, rata-rata mereka bersemangat untuk membuang undi.
Mengulas mengenai program itu, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohamad Nordin Jaafar, 21 berkata majlis tersebut amat baik dan memberi banyak manfaat kepada golongan perantau.
“Khususnya maklumat dan penerangan berkaitan dengan negeri Terengganu dari sudut perkembangan terkini, isu semasa, bantuan dan sebagainya.
"Kami dapat bertemu dan bersua muka dengan kepimpinan kerajaan negeri serta diberi peluang bertanya soalan kepada mereka," jelasnya.
Dia berkata demikian ketika ditemubual oleh pemberita selepas Program Perantau di sini.
Hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.
Wan Sukairi berkata, program perantau ini diadakan setiap tahun bermula pada 2019 bagi mendekatkan golongan perantau dengan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu.
"Program ini sentiasa mendapat sambutan dari sudut kehadiran, kemeriahan dan sebagainya setiap kali diadakan.
"Di samping, dapat mendengar luahan, kritikan serta cadangan daripada mereka untuk kebaikan negeri ini," katanya.
Sementara itu, seorang guru, Aisyah Khalees, 39 berkata program perantau secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim anak-anak Terengganu di Perantauan.
Beliau yang berasal daripada Kuala Terengganu itu telah menetap lebih 15 tahun atas faktor kerja di Perak.
“Pandangan saya terhadap kepimpinan kerajaan sekarang adalah sangat professional dalam mentadbir negeri Terengganu.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam membantu rakyat sekali gus menjaga kebajikan para perantauan yang tinggal di luar negeri Terengganu,” ujarnya.
03 Jun 23
588
Ops Motosikal: Polis Hulu Terengganu Keluarkan 116 Saman
HULU TERENGGANU, 3 Jun - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, mengeluarkan 116 notis saman atas pelbagai kesalahan, pada Ops Motosikal yang dijalankan di kawasan Kuala Telemong dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata saman tersebut dikeluarkan terhadap 70 penunggang motosikal melibatkan pelbagai kesalahan.
"Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 40 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar.
“Antara kesalahan lain yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, dalam operasi bermula dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam itu, diketuai Ketua BSPT IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail itu menyasarkan keselamatan penunggang motosikal.
Selain itu Hasmerra berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi motosikal dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan mat rempit.
03 Jun 23
150
TIS Dedah Islam Penyelesai Masalah Ummah
Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Resolusi Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu 2023 (TIS2023) di Taman Tamadun Islam di sini dengan tema Kesyumulan Islam Ketika Berdepan Cabaran Global mendedahkan bagaimana Islam membuka jalan penyelesaian semua permasalahan manusia di dunia hari ini.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir berkata resolusi sidang itu menjelaskan bahawa semua idealogi ciptaan manusia gagal secara total menyelesaikan masalah dunia sedangkan Islam berjaya membuktikan penyelesaian masalah manusia sejak lebih 1,000 tahun lalu.
"Ini kerana Islam dan manusia adalah ciptaan Allah, maka Dia Maha Mengetahui bagaimana cara menyelesaikan masalah mereka dengan Islam," katanya ketika ditemui di majlis tersebut pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Prihatin Terengganu (CCARE), Abdul Hamid Ismail yang juga peserta sidang kemuncak itu berkata tanggapan salah orang bukan Islam terhadap Islam tidak menjejaskan kemurnian Islam sebagai penyelesai masalah manusia dalam semua bidang.
"Masyarakat Barat dan Timur kini buntu mencari jalan penyelesaian masalah manusia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tetapi Islam menjelaskan bagaimana semua masalah itu boleh diselesaikan dengan jayanya," kata beliau.
Dalam pada itu, seorang peguam Abdul Haris Malek, berkata kupasan ahli panel memberi gambaran jelas bagaimana Islam memberi garis panduan komprehensif bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Penyelesaian yang diberikan Islam sesuai mengikut peredaran zaman dan kemajuan manusia di mana sahaja mereka berada," ujarnya.
02 Jun 23
250
TIS Seru Kebersamaan Realisasi Resolusi Persidangan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Kerajaan Terengganu meletakkan setinggi pengharapan agar resolusi yang disepakati dalam Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 (TIS2023) dapat difahami dan diterjemahkan dalam realiti semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penglibatan semua pihak diperlukan dalam menjayakan perkara itu.
"Seperti yang sedia maklum, merangkap tema 'Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global', saya berharap segala resolusi yang telah digariskan dapat dilumatkan dan difahami, serta diambil tindakan sebaik mungkin oleh semua pihak.
"Saya juga berdoa agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mewakili pihak penganjur, saya memohon kemaafan atas kekurangan.
"Kita berdoa semoga kelebihan-kelebihan yang ada dikurniakan balasan sebaik mungkin oleh Allah SWT," katanya ketika merasmikan penutup persidangan tersebut di Taman Tamadun Islam, hari ini.
Majlis yang berlangsung sejak pagi tadi menampilkan tiga wacana utama membabitkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam antarabangsa iaitu Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi dari Oman dan Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia) bagi wacana pertama bertajuk Fiqh Ta'ayush Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari.
Wacana kedua pula membawa perbahasan Uslub Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari dengan menampilkan Dr Zakir Abdul Karim Naik (India) dan Dr. Samia Raheel Qazi (Pakistan).
Ilmuwan dari Indonesia, Dr. Muhammad Hidayat Nur Wahid, Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammaed Ibrahim (Sudan), dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi pula membawakan wacana terakhir dengan tema Politik Islam dan Perpaduan Ummah.
01 Jun 23
143