lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Hari Penyu Sedunia : Tabung Amanah Penyu Berjaya Kumpul RM53,057
Hari Penyu Sedunia : Tabung Amanah Penyu Berjaya Kumpul RM53,057
DUNGUN, 17 Jun - Tabung Amanah Penyu Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak RM53,057 dalam tempoh sebulan. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata pelancaran Tabung Amanah Penyu tersebut bersempena dengan Hari Penyu Sedunia pada tanggal 16 Jun 2023. Katanya, pelbagai pihak yang terlibat seperti syarikat dan agensi korporat serta orang perseorangan dalam membantu usaha murni tersebut. “Antara penyumbang terbanyak adalah ‘The Taaras Beach & Resort’ dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang masing-masing menyumbang sebanyak RM30,000 dan RM10,000. “Beberapa anak syarikat Terengganu (GLC) juga turut serta dalam menghulurkan sumbangan seperti Terengganu Incorporated, Primula Beach Resort, Hotel Paya Bunga dan Duyong Marina Resort. "Diharap usaha ini mampu menjadi titik permulaan kepada semua pihak, dalam memastikan kejayaan kempen penggalakan penyu Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Presiden Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Tambah Bijaya Raja, program ini melalui usaha sama Jabatan Perikanan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Beliau berkata, usaha ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan penyu. "Antara lain, adalah bagi meningkatkan jumlah sumbangan Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu (TAPPT) di bawah Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) khususnya daripada sektor korporat dan orang perseorangan. "Kita mahu lebih ramai individu sedar dan peka terhadap usaha ini yang perlu digerakkan secara bersama bagi melestarikan produk pelancongan penyu di negeri ini," ujarnya.      
17 Jun 23
241
Larangan Jual Telur Penyu Tidak Jejas Pendapatan Pemajak
Larangan Jual Telur Penyu Tidak Jejas Pendapatan Pemajak
DUNGUN, 17 Jun – Larangan jualan telur penyu yang telah berkuatkuasa di Terengganu tidak menjejaskan pendapatan pemajak di negeri ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan beberapa pihak bertanggungjawab akan membeli telur daripada pemajak bagi tujuan penetasan dan pemuliharaan penyu. Katanya, kadar harga jualan telur penyu yang ditawarkan juga begitu menarik justeru bagi membantu mereka dari sudut pendapatan ekonomi. “Harga yang ditawarkan itu merupakan yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan amat berpatutan. “Kerjasama daripada pihak pemajak juga amat memberangsangkan dan rata-rata mereka menunjukkan reaksi yang positif terhadap usaha tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini semalam. Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Bijaya Raja, langkah itu selaras untuk memastikan populasi penyu di negeri ini sentiasa berterusan dan terpelihara. Untuk rekod, pada 15 November 2021, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan semua spesies telur penyu termasuk tuntung laut. Mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.    
17 Jun 23
141
Kerajaan Negeri Bantu 400 Ibu Tunggal Kemaman
Kerajaan Negeri Bantu 400 Ibu Tunggal Kemaman
KEMAMAN, 17 Jun - Kerajaan Negeri membantu lebih 400 orang ibu tunggal dengan pemberian baucer pembelian barang keperluan harian.  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Teknologi Maklumat II Negeri Terengganu, Ab Razak Ibrahim berkata, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban mereka. "Pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu termasuk golongan wanita dalam membantu mereka dari pelbagai sudut. "Bantuan khusus buat golongan wanita juga disediakan seperti Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin, Bantuan 'one-off' kepada Ibu Tunggal setiap tahun dan pelbagai lagi. "Selain itu, Tabung Siti Khadijah melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu juga dibina untuk membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, susah dan sebagainya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Ibu Tunggal Terengganu (HIT) Peringkat Daerah Kemaman 2023, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini kelmarin. Tambah Ab Razak, peluang pekerjaan yang khusus buat golongan wanita juga disediakan oleh kerajaan di negeri ini. "Seperti Peruntukan RM1 juta bagi meneruskan program 'Home Manager' yang menyediakan peluang pekerjaan khas untuk wanita," ujarnya. Beliau berkata, rakyat semestinya bijak menilai kepimpinan kerajaan yang sedaya upaya mengangkat Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.  
17 Jun 23
188
Aktiviti Bersih Pantai Didik Pelajar Hargai Alam Sekitar
Aktiviti Bersih Pantai Didik Pelajar Hargai Alam Sekitar
KUALA TERENGGANU, 17 Jun- Aktiviti  bersih pantai dapat memupuk dan mendidik pelajar menghargai alam sekitar yang bersih sekali gus mengekalkannya untuk dinikmati generasi akan datang. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Sains Terengganu (SESTER), Norlina Isa berkata program seumpama itu dapat mendidik jiwa anak-anak murid untuk menabur khidmat bakti kepada alam sekitar. "Seiring dengan matlamat SESTER untuk melahirkan murid yang berkemahiran dan berkebolehan dalam mendepani cabaran global. "Di samping mendidik murid untuk berjaya dlm bidang akademik, murid juga perlu diterapkan dengan pelbagai nilai murni, serta sentiasa sedar dan cakna terhadap alam sekitar," ujarnya yang mengetuai rombongan termasuk 41 orang pelajar sekolah berasrama penuh itu. Beliau berkata demikian selepas Gotong Royong Pembersihan Pantai "plogging" di Pantai Batu Buruk anjuran bersama Geng Plastik Ija dan SESTER semalam. Sementara itu Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata matlamat utama program hari ini adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai Batu Buruk.  "Serta menghapuskan semua kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di sekitar pesisir pantai batu buruk. "Seiring dengan saranan Datuk bandar MBKT yang telah melancarkan program 'clean up comittee' di kawasan jajahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada bulan Mei lepas, " ujarnya.  Program pembersihan pantai di Batu Buruk ini telah berjaya mengutip 387 kg sampah termasuk 58 kg botol plastik.
17 Jun 23
439
SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu
SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Terengganu Incoporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 untuk melaksanakan program rintis pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam negara, melibatkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pelaburan berkenaan sebagai sokongan untuk merealisasikan 'Kick Off TI-BSaS Aeronautics UAV In Scholl programme' dalam usaha membantu para pelajar mengembangkan kemahiran dalam ekonomi Revolusi Industi Keempat (IR4.0) . "SMK Bukit Sawa dianggap sebagai perintis untuk program ini  dengan kewujudan kelab  aeronautik sedia ada, Kelab Aeronautik Bukit Sawa (BSAS Aeronautik) yang mendidik pelajar tentang teknologi terkini kemajuan dalam industri penerbangan. "Program ini dijalankan selama empat tahun (2023-2026), menyasarkan pelajar Tingkatan 1 di SMK Bukit Sawa berikutan wujudnya mata pelajaran baharu dalam silibus akademik mereka; Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK),"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Mengulas lanjut Burhanuddin berkata, pihaknya dimaklumkan seramai tujuh pelajar telah direkrut bagi merealisasikan program tersebut.  "Antara komponen penting dalam program ini termasuk tunjuk ajar dalam bilik darjah, reka bentuk dan hiasan, latihan penerbangan dan pertandingan. "Di samping Terengganu Inc, program ini akan turut bekerjasama dengan beberapa pihak yang menyediakan sokongan dalam pelbagai bentuk antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBS), Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia dan lain-lain lagi. "Pihak kami bakal meningkatkan jenama syarikat menerusi tajaan ini, di samping pengiktirafan sebagai penyokong program Hi-Tech STEM yang selaras dengan 'Sustainable Development Goals (SDG) no.4 (Pendidikan Berkualiti) dan no.9 (Industri Inovasi dan Infrastruktur) yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme,"ujarnya.
15 Jun 23
260
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sepanjang tahun lalu anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah membelanjakan lebih RM 11 juta untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat pelbagai anggota masyarakat. Selain memberikan peruntukan kebajikan dan pendidikan rakyat, Terengganu Inc turut aktif menaja Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Terengganu Football Club (TFC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain. Presiden dan pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sebagai GLC, pihaknya peka terhadap pembangunan modal insan tempatan. "Inisiatif bersepadu ini telah disertai oleh anak-anak syarikat kumpulan dengan melibatkan semua lapan daerah dalam negeri Terengganu yang telah membantu anak-anak pelajar serta badan pendidikan yang memerlukan dalam bentuk tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk. "Antara sumbangan berimpak tinggi dalam kemajuan pendidikan pada tahun 2022 antaranya 'YT-TI Young Talent Scholarship programme' bagi menaja 10 pelajar tempatan yang berkelayakan daripada keluarga B-40 untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dengan peruntukan sebanyak RM500,000. " Terengganu Inc- UniSZA Islamic Investment Project iaitu pelaburan sebanyak RM300,000 bagi meneroka dan menyelidik panduan syariah dan ekonomi mampan serta memfokuskan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat dan program tanggungjawab sosial dan penerbitan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 'Kick-Off BSAS Aeronautics UAV in School-Programme' kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Tambah Burhanuddin lagi, antara sumbangan berimpak tinggi dalam membantu kemajuan pendidikan negeri ini diantaranya lagi ialah menyumbang dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program akademik bagi meningkatkan kemahiran dan komuniti setempat melalui peruntukan sebanyak RM200,000 . "Pihak kami turut menyumbang kepada 'National Stem Association Chapter' sebanyak RM110,000 bagi menganjurkan program peningkatan prestasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," ujarnya.  
15 Jun 23
395
Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu
Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu
KUALA NERUS, 15 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerima sambutan luar biasa oleh peminat pasukan Harimau Malaya di sini. Seramai 12,265 orang penyokong hadir menyaksikan Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia melawan Kepulauan Solomon di SSMZA, malam tadi. Kebanyakan penyokong dilihat mula membanjiri perkarangan gelanggang itu sekitar jam 5 petang semalam. Berdepan Kepulauan Solomon yang kini menghuni tangga ke-134 dunia, skuad kendalian Kim Pan Gon tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan. Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi positif selepas berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa itu. Di samping itu, kehadiran Ultras Malaya menggamatkan suasana di perkarangan SSMZA, malam tadi. Ultras Malaya yang dianggap nadi penting skuad Harimau Malaya menyanyikan lagu pembakar semangat buat pasukan negara sepanjang perlawanan berlangsung. Sementara itu, Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini, Selasa depan.          
15 Jun 23
279
KPDN Tahan Dua Lelaki Bersama 32,670 liter Diesel
KPDN Tahan Dua Lelaki Bersama 32,670 liter Diesel
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menahan dua lelaki yang membawa lari minyak diesel berkuantiti 32,670 liter. Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM510,434. Katanya, KPDN juga turut merampas sebuah lori tangki, beberapa tangki simpanan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel. “Serbuan itu dijalankan di sebuah tapak projek pembinaan menerusi Ops Tiris. “Operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Terengganu yang bermula kira-kira jam 3.30 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama dua (2) minggu sebelum itu,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Saharuddin, dua orang individu terbabit ditahan ketika ditemui di dalam premis bagi membantu siasatan. “Ia seorang lelaki warga tempatan berumur 30an yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan bersama seorang lagi individu berumur 40an yang juga warganegara,” katanya. Beliau berkata, minyak diesel, kenderaan lori tangki, tangki simpanan, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. “Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” ujarnya.      
15 Jun 23
365
Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT
Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kerajaan Terengganu akan meminta penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung video tular sekumpulan mahasiswa sedang rancak menari ketika berhibur.  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan kerana ternyata ia telah melanggar garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan negeri. "Tidak patut perkara ini berlaku di sebuah universiti, lagipun ia masih tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri walaupun dilakukan dalam kawasan persendirian (universiti) masih lagi terikat dengan garis panduan dan dasar-dasar kerajaan negeri,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri tidak menghalang sebarang acara hiburan ataupun konsert diadakan namun ia mestilah perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. "Kita telah mengedarkan  Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah kepada semua jabatan serta seluruh agensi kerajaan sebagai rujukan," ujarnya.
14 Jun 23
3077
SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang
SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras berjaya ditingkatkan saban tahun, jawab Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terhadap 'kerisauan' sebuah NGO dari Pulau Pinang. Kata Dr Azman Ibrahim, Kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk meningkatkan hasil padi negeri bersandarkan kepada Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. “Pada tahun 2018 SSL beras mencatatkan 43 peratus dan meningkat kepada 48 peratus pada 2019, 53 peratus (2020), 58 peratus (2021) dan 60 peratus (2022),” ujarnya bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa tanah sawah di Terengganu semakin susut disebabkan projek pembangunan dan komersial. Dalam kenyataan itu, CAP bimbang masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah terbabit, tetapi juga berlaku kepupusan tanah pertanian serta menjejaskan sumber makanan untuk rakyat dan masa depan sektor pertanian negara. Justeru Dr Azman memaklumkan, mengekalkan kawasan padi sedia ada merupakan antara strategi kerajaan negeri untuk mempertingkatkan hasil padi Terengganu. “Kerajaan Negeri mempunyai prosedur ketat untuk tukar syarat guna tanah. Pandangan Jabatan Teknikal seperti Plan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan lain-lain akan dinilai. Tanah yang digunakan sebagai kawasan pertanian aktif pengeluaran makanan tidak akan diluluskan untuk kegunaan lain seperti perumahan atau komersial,” tegasnya. Tambah beliau, dari aspek pembangunan infra pula, Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya. “Bagi tahun ini pula, lebih RM6 juta diperuntukan kepada JPS bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan sawah padi,” ujarnya. Selain itu katanya, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam proses perluasan jelapang padi Terengganu dari 5000 hektar kepada 10000 hektar.  “Kilang padi di Daerah Besut sebagai jelapang padi utama Terengganu yang dulunya hanya dua buah pada tahun 2018 sekarang telah menjadi empat buah kilang,” ujarnya.
14 Jun 23
295