Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Negeri Pulihkan TTI Yang Rosak, Terbiar
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menyelesai pelbagai masalah yang melibatkan kerosakan pembangunan dan monumen terbiar di Taman Tamadun Islam (TTI) selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Pengurus Besar TTI, Ahmad Bukhori Ghazali berkata banyak inisiatif serta peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pembangunan TTI supaya bertambah baik.
Katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM5 Juta pada bulan April lalu bagi memperbaiki segala kerosakan dan penambaikan Taman Tamadun Islam di sini.
“Pihaknya juga telah menyenaraikan kerosakan yang perlu diperbaiki melalui peruntukan tersebut antaranya atap di Dewan Pusat Konvensyen kerana merupakan pusat utama TTI.
“Selain itu, penambahbaikan Masjid Kristal dan sebahagian bangunan di Taman Monumen yang memerlukan peruntukan yang besar kerana kepakaran kontraktor tertentu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Jabatan di TV Darul Iman di sini pada hari ini.
Tambah Ahmad Bukhori, pada tahun 2018, TTI juga menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bagi memperbaiki Masjid Kristal sehingga berjaya dibuka semula dan menjadi tumpuan dunia hingga kini.
Selain itu, pihaknya juga mendapat peruntukan bagi memperbaiki tebing sungai yang berdekatan Terminal Feri yang rosak disebabkan banjir besar.
“Isu berkenaan TTI sentiasa mendapat perhatian Kerajaan negeri kerana ia merupakan mercu tanda bagi negeri Terengganu dalam sektor pelancongan, ketamadunan dan sebagainya di sini," katanya.
Menurutnya, pada tahun lepas salah satu monumen di TTI yang mengalami kerosakan pada atap telah tular di media sosial.
“Perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri dan terus memberi peruntukan menerusi Jabatan Pelancongan bagi memperbaiki kerosakan tersebut.
“Isu tersebut telah selesai diperbaiki pada bulan Disember 2022 yang lepas berkat peruntukan kerajaan negeri dan usaha pelbagai pihak,” ujarnya.
14 Jun 23
446
Akademi DUAT Bantu Sempurnakan Ibadah Korban
KUALA NERUS, 13 Jun - Kerajaan negeri melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) memperkenalkan pendekatan secara menyeluruh bagi membantu rakyat Terengganu membuat persiapan Hari Raya Aidiladha secara lebih terancang dengan penganjuran program-program berkaitan Fiqh Ibadah Korban.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, inisiatif itu membolehkan rakyat negeri ini tanpa mengira latarbelakang menyertai mana-mana program Fiqh Ibadah Korban yang terdekat seterusnya membolehkan mereka membuat persiapan dengan rapi dengan ilmu yang disampaikan.
"Saya yakin bahawa program sebegini memudahkan orang ramai mengulangkaji kembali modul Fiqh Ibadah Korban sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya pada Majlis Perasmian Diskusi Fiqh Korban bertempat di Masjid Seberang Takir, dekat sini, semalam.
Tambahnya lagi, variasi program disusun setiap kali tibanya hari kebesaran umat Islam dengan jemputan pakar-pakar dan figura agama yang tersohor, misalnya program kali ini menampilkan Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Abu Usamah Muhammad Hanafiah.
Mohd Nor juga menyatakan hasratnya agar Akademi DUAT tampil sebagai platform Dakwah Islamiyyah yang kontemporari demi menyuburkan lagi syiar Islam di negeri ini.
"Akhirnya, diharapkan setiap peserta akan bijak merancang amalan-amalan sepanjang Hari Tasrik dan lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan di dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita.
"Di samping itu, begitu juga dalam menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan tentang perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam," katanya.
14 Jun 23
313
FAM Puas Hati Persiapan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan rasa berpuas hati terhadap persiapan yang dilaksanakan oleh Terengganu sebagai tuan rumah bagi perlawanan antarabangsa Malaysia di sini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata FAM turut memaklumkan bahawa Pasukan Bola Sepak Malaysia yang diketuai Jurulatih Kim Pan Gon memuji keadaan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Katanya, pada hari ini, beliau telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertempat di Wisma Darul Iman di sini.
"Delegasi tersebut diketuai oleh Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin serta rombongannya pada pagi ini.
"Kehadiran mereka bersempena perlawanan antarabangsa Malaysia pada malam esok dan 20 Jun nanti.
"Ketika ini skuad Malaysia sedang berkampung dan menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebelum turun beraksi pada malam esok," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, semoga sesi latihan skuad Harimau Malaya berjalan lancar dengan kemudahan yang disediakan sekali gus meraih kemenangan.
"Ayuh semua penyokong dan peminat Harimau Malaya untuk turun dan beri sokongan kepada mereka pada malam esok," ujarnya.
14 Jun 23
180
YIT, PUSPEN Jalin Kerjasama Tambahbaik Darul Barakah
Oleh : Suhaimi Taib
BESUT, 13 Jun - Kerajaan negeri berusaha untuk menambahbaik Pusat Pemulihan Penagih Dadah secara holistik di Perkampungan Darul Barakah Cador, Kampung Temala, Pengkalan Berangan Marang dengan mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Raja di sini pada Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata dengan adanya kunjungan tersebut hubungan antara kedua agensi penting itu dijalinkan dengan bertukar-tukar fikiran bagi mengatasi masalah penagihan dadah di negeri ini.
“Pusat pemulihan dadah di bawah Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan dengan kerjasama erat antara kedua-dua agensi itu akan memberi impak yang baik untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika berucap dalam majlis taklimat di PUSPEN.
Turut serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Ustaz Mohd Soud Said dan beberapa pegawai dari YIT dan IMits.
Untuk rekod lawatan tersebut merupakan lawatan kedua kerajaan negeri bertujuan memperkukuhkan hubungan dan menimba ilmu serta pengalaman mengurus pusat pemulihan dadah di Terengganu.
Rombongan tersebut melawat asrama klien (pelatih), bengkel kerja besi, masjid dan pejabat pentadbiran PUSPEN.
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membenarkan masjid di PUSPEN didirikan solat jumaat sebagaimana masjid-masjid daerah yang lain.
13 Jun 23
497
Lebih 100 Peserta Jayakan ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’
KUALA NERUS, 13 Jun- Lebih 100 peserta menjayakan program ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’ anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, di pesisir pulau tersebut, kelmarin.
Antara yang mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua jabatan itu termasuk kakitangan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Perhilitan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengarah MPTNT, YM Tengku Mohd Arifin Tengku A.Rahman berkata, aktiviti berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan semangat kesukarelawanan antara penjawat awam Kerajaan Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan serta warga universiti.
Tambah beliau, pada masa sama inisiatif berkenaan juga selari dengan kesedaran MPTNT terhadap kelestarian alam sekitar.
“Aktiviti pembersihan itu membabitkan kawasan sekitar pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan pelarian Vietnam dan kawasan dasar laut meliputi Projek ‘First Asean Underwater Mini Landmark‘ (AUMIL), " katanya
Katanya, Pulau Bidong yang terletak di Terengganu mempunyai pemandangan yang cukup indah dan sesuai dijadikan sebagai lokasi pilihan untuk individu yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi.
“Selain itu, ia juga amat terkenal dalam kalangan pencinta sejarah yang mahu melihat sendiri tapak peninggalan orang hanyut Vietnam yang menghuni pulau berkenaan pada Ogos 1978 hingga 1991,” jelasnya.
13 Jun 23
221
PMINT Bangunkan Empat Projek Perumahan Komersial
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) kini membangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta melibatkan 223 unit rumah di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, berkata, projek yang melibatkan pelbagai jenis rumah dibangunkan di empat daerah itu bagi menampung permintaan dan keperluan pasaran ketika ini.
Menurutnya, empat projek tersebut ialah di Residensi Tembesu, Kuala Nerus melibatkan 96 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM38.3 juta.
"Kita juga ada 68 unit rumah di Perumahan KP Perdana Fasa 7, Kuala Terengganu yang bernilai RM26.45 juta serta 36 unit rumah di Bandar Baru Kerteh, Kemaman bernilai RM9.4 juta.
"Selain itu, kita turut membina 23 unit rumah bernilai RM8.6 juta di Seberang Paka, Dungun," katanya kepada pemberita.
Dalam masa yang sama PMINT juga memainkan peranannya dalam meninjau potensi untuk memajukan hartanah di Terengganu.
Tambah beliau, pihaknya melihat potensi dan peluang yang ada untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan komersial terutama yang bernilai lingkungan RM350,000 hingga RM500,000.
"Permintaan sangat tinggi terutama di kawasan Kerteh yang terkenal dengan industri petroleum dan gas kerana penduduk di kawasan itu memiliki kuasa beli yang tinggi,”katanya lagi.
Justeru itu, Wan Adnan yakin sekiranya projek perumahan komersial yang lengkap dengan infrastruktur akan melonjakkan permintaan hartanah di kawasan tersebut.
13 Jun 23
447
Pusat Sehenti NGO Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd telah melancarkan Anjung Sejahtera NGO Terengganu yang berfungsi sebagai pusat sehenti setempat (one-stop center) di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pusat tersebut boleh digunakan oleh mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melancarkan sebarang aktiviti atau mesyuarat pertubuhan.
Katanya, pelbagai kemudahan yang disediakan seperti dewan mesyuarat besar dan kecil, ruang rehat yang selesa, pantry, bilik berhawa dingin, kemudahan komputer, printer dan juga internet.
“Dengan pelancaran pusat itu dapat meningkatkan kerjasama dan komunikasi antara NGO-NGO seluruh negeri di Terengganu.
“Ia sekaligus menjadikan pusat tersebut sebagai mediator atau penghubung antara NGO-NGO kepada agensi kerajaan,” jelasnya.
Beliau berkata ketika Majlis Pelancaran Anjung Sejahtera NGO Terengganu dan Perasmian Pejabat Urusan Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd bertempat di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Kubang Jela, Manir kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Tambah Wan Sukairi, Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu berperanan dalam usaha untuk memastikan kelancaran segala proses NGO di negeri ini.
Tambahnya, meliputi pelbagai sudut antaranya keperluan, pelaksanaan dan platform latihan secara bersasar, berperingkat dan bersiri.
“Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu juga membantu meningkatkan imej dan pencapaian belia, beliawanis, sukan dan NGO Terengganu menerusi jaringan media masa dan sosial serta pengaruh akar umbi majoriti belia Terengganu.
“Jalinan kerjasama strategik ini diharapkan mampu memperkukuhkan hubungan dengan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan belia secara holistik di negeri ini,” ujarnya.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi lawatan bersama tetamu kenamaan dan tetamu-tetamu jemputan ke Pejabat Anjung Sejahtera NGO Terengganu dan seterusnya lawatan ke Pejabat Urusan Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd.
13 Jun 23
203
Tabung Untuk Penyu Berjaya Kumpul RM20 Ribu
DUNGUN, 12 Jun - Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu sehingga kini berjaya mengumpul jumlah sebanyak RM19,552.73.
Jumlah tersebut diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk agensi swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, orang awam dan bayaran permit pengurusan penyu.
Tabung itu melalui usaha sama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
Selain itu, bersempena dengan Kempen Penggalakan ‘Terengganu Turtle Tourism’ yang akan diadakan pada 16 Jun ini, di Pantai Rantau Abang, Dungun.
Terbaru Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, Kuala Nerus turut bersama-sama mengambil inisiatif mengumpul dana untuk tabung itu dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,577.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, Aznordin Jahan berkata, Jumlah itu hasil pemberian daripada para guru, ibu bapa dan murid-murid.
"Usaha yang dilakukan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu bertujuan memumpuk semangat mencintai dan menyayangi haiwan ikonik Terengganu di kalangan murid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Salur Dana Tabung Amanah bersama 35 murid SK Tok Jembal di Santuari Penyu Rantau Abang, Dungun, semalam.
Tambahnya lagi, inisiatif itu akan diteruskan pada masa akan datang agar sikap pemurah sentiasa dizahirkan pada setiap murid.
Di samping itu ujarnya, pihaknya sentiasa menyokong terhadap usaha bagi pemeliharaan penyu di negeri ini.
12 Jun 23
325
Terengganu, TNB Genco Kaji Potensi Bina Loji Solar Terapung
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, kajian kebolehlaksanaan tersebut penting untuk mengenalpasti beberapa aspek kritikal sebelum projek loji solar terapung berkapasiti 1,000 mega watt (MW) itu diputuskan sama ada boleh diteruskan atau tidak.
“MoU ini perlu dibuat memandangkan projek yang dirancang itu besar, jadi TI buat MoU dengan TNB Genco iaitu pihak yang pakar dalam bidang ini.
“Lepas kajian selesai, kita akan buat beberapa keputusan penting terhadap perlaksanaan seterusnya termasuk mencari dan menentukan rakan kongsi yang berminat samada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita sendiri atau pelabur luar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Terengganu Inc berkata, projek berkeluasan 2,000 hektar dan dijangka bakal menelan kos lebih RM1 bilion itu dirancang untuk dibina di Tasik Kenyir sebagai mengoptimumkan penggunaan kawasan tersebut yang berkeluasan satu per tiga Singapura.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TI, Burhanuddin Hilmi berkata, kajian tersebut akan dimulakan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang dan dijangka bakal mengambil masa selama lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan.
12 Jun 23
478
Agihan Kerusi PN Selesai 97 peratus
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai 97 peratus setakat ini.
Katanya, beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat.
“Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima atau enam kerusi yang tidak selesai lagi. Pilihanraya pun belum lagi, ada masa lagi untuk kita selesai.
"Bakinya (agihan) akan siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini.
Sementara itu, proses agihan kerusi di Terengganu pula katanya sudah mencapai 99 peratus.
"Di Terengganu, agihan kerusi telah 99 peratus selesai. Satu kerusi je belum yang pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang," katanya.
12 Jun 23
156