lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pelajar Maahad Tahfiz Al Busyra Johan Hafazan Kebangsaan
Pelajar Maahad Tahfiz Al Busyra Johan Hafazan Kebangsaan
MARANG, 22 Jun - Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Kuala Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya, 21 dinobat sebagai Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 20 Juzuk Berserta Tarannum (Hafiz) sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M. Anak jati Kampung Bukit Che Nik, Binjai Rendah, Marang itu berkata, dia muncul sebagai Hafiz Terbaik selepas mencatat markah tertinggi iaitu 97.85 peratus. "Saya merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Pengadang Baru, Kuala Terengganu. Berkat didikan dan ajaran guru di sana saya dapat menghabiskan hafalan al-Quran 30 juzuk dalam masa 3 tahun 10 bulan. "Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Ustaz Fakhruddin, Ustaz Malik Karim, Tuan Guru Jusoh Ismail dan guru tarannum saya yang lain atas teguran, tunjuk ajar dan didikan yang diberikan hungga ke hari ini," katanya ketika dihubungi wakil media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Ditanya apa yang menginspirasikan beliau sehingga bergelar Hafiz, katanya dia mendapat didikan Al-Quran sejak kecil dari ayahnya sendiri Yahaya Md. Din yang juga merupakan guru Al-Quran selain kakak sulungnya yang bergelar Hafizah seawal umur 15 tahun dan aktif menyertai musabaqah tilawah dan hafazan Al-Quran hingga peringkat kebangsaan. Beliau mula berjinak-jinak belajar untuk menghafal al-Quran bermula dengan juzuk Amma seawal umur 8 hingga 11 tahun dengan memasuki Pusat Elit Quran Centre (EQC) yang merupakan tempat ayahnya pernah mengajar al-Quran. "Alhamdulillah. Saat diinobatkan sebagai johan tu sungguh saya tidak sangka dan terkejut hingga mengalirkan airmata disebabkan ini adalah pengalaman kali pertama saya menyertai musabaqah mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan. "Kemenangan saya ini tidak dijangka malah saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi johan kerana persaingan dari sahabat-sahabat hafiz negeri lain sangat sengit. Perbezaan markah pun sangat tipis hanya berbeza beberapa peratus sahaja," tambahnya. Dia turut memberi sedikit pesanan motivasi kepada anak muda dan yang bergelar hafiz hafizah agar sentiasa belajar dan terus belajar kerana semakin kita belajar. "Sesungguhnya perjuangan menjadi seorang yang bergelar hafiz bukan sesuatu yang mudah dan menuntut mujahadah yang tinggi, pengorbanan masa tenaga, penat lelah dan air mata. Kerajinan untuk kita selalu istiqamah murajaah (mengulang) al-Quran tu sangat penting supaya hafalan sentiasa segar di ingatan.  "Harapan saya semoga kita semua berakhlak dan mengamalkan ajaran al-Quran dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga al-Quran ini menjadi saksi air mata, perjuangan, penat lelah, pengorbanan kita dalam menghafal dan mempelajarinya. Semoga al-Quran dapat memberi syafaat kepada kita semua diakhirat kelak", luahnya. Dengan kemenangan terebut, Fakhrurazi layak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM7,000 bagi menunaikan ibadah umrah. Terdahulu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sempena MTHQK yang berlangsung selama enam hari di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), Arena Butterworth, Pulau Pinang.    
20 Jun 23
557
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan terhadap kepuasan pelanggan di jabatan mahupun agensi kerajaan masih di tahap sederhana. Ketua Pusat Pengajian (Sains Kejururawatan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Zainab Mohd Shafie berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Tahap Kualiti Perkhidmatan Terhadap Kepuasan Pelanggan Di Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuainya bersama tiga rakan penyelidik. Menurut beliau, keseluruhan kajian mendapati bahawa kualiti perkhidmatan dalam kajian ini adalah sederhana.  “Pihak jabatan perlu sedar masih lagi terdapat aspek lain yang perlu diperbaiki dari masa ke masa kerana masih wujud jurang antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang sepatutnya diterima,” ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian tersebut sempena Program Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera dan Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 di Duyong Marina, semalam. Katanya, hasil laporan kajian tersebut juga mendapati, masih banyak rungutan terhadap penyampaian kualiti perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memenuhi jangkaan pelanggan dan akan mempengaruhi tahap kepuasan pelanggan.  Katanya, kepuasan pelanggan merupakan isu penting dan kritikal bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi perkhidmatan.  “Malah kualiti sesuatu perkhidmatan adalah suatu proses berterusan untuk mengekalkan hubungan antara sesebuah organisasi perkhidmatan dengan pelanggan,” ujarnya. Justeru katanya, kajian ini membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan merupakan strategi perkhidmatan yang penting bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
20 Jun 23
193
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap parti supaya bertanding secara sihat dan berhemah. Baginda bertitah, mereka yang bertanding itu nanti turut perlu mempamerkan akhlak dan teladan yang baik. "Beta berharap agar tidak berlaku budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun, caci mencaci dan seumpanya. "Beta juga berharap agar selepas sahaja tamat pilihan raya dan apa jua keputusannya nanti, keseluruhan rakyat beta akan kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain," titahnya. Baginda bertitah demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini semalam. Sultan Mizan turut bertitah kepada rakyat negeri ini agar perbezaan fahaman politik tidak membawa kepada perpecahan dan menggugat asas penyatuan rakyat yang terdiri daripada 98 peratus merupakan Melayu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Syafie. "Kedudukan ini seharusnya menjadi asas penyatuan rakyat majoriti umat Islam Terengganu, berteraskan akidah yang satu dan teguh serta menjadi teladan kepada yang bukan Islam. "Ini bersesuaian dengan negeri Terengganu yang diberi gelaran 'Darul Iman," titah baginda. Dalam pada itu, baginda mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang telah mendoakan kesejahteraannya beserta keluarga dan seluruh kaum kerabat baginda. "Terima kasih juga kepada para penjawat awam, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, khasnya mereka yang berada di barisan hadapan serta anggota-anggota pasukan keselamatan, di atas tahap dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing. "Akhirnya, beta berdoa agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya. Kepada Allah beta berserah," titah Sultan Mizan. Terdahulu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 keputeraan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.  
19 Jun 23
645
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan di Terengganu
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan perasaan sukacita melihat perkembangan pelaburan di Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ini.  Baginda bertitah, projek 'Cristobalite' dan 'Ultra Purity Industrial Silica' di Marang dan Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi pembangunan perindustrian baharu berasaskan produk seramik kuarza di Cheneh, Kemaman merupakan pelaburan berimpak tinggi dijayakan kerajaan.  Titah baginda, kedua-dua pelaburan dalam bidang silika dan seramik itu bernilai RM3 bilion akan mewujudkan sebanyak 4,050 peluang pekerjaan. "Beta menyeru agar kerajaan negeri meningtkatkan usaha dalam mempelbagaikan sektor industri berimpak tinggi termasuk dalam bidang teknologi hidrogen, bioteknologi, petrokimia, besi keluli dan industri revolusi 4.0. "Tidak hanya bergantung kepada sumber petroleum dan gas, kerajaan perlu memberi penumpuan kepada pelaburan baharu seperti penerokaan sumber boleh diperbaharui yang berpotensi di negeri Terengganu," titah baginda ketika berucap Sempena Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini, semalam. Terdahulu, Sultan Mizan turut menyarankan agar pihak kerajaan dapat menyakinkan para pelabur tentang potensi dan kelebihan negeri Terengganu. "Terengganu telah bersedia menerima penggunaan teknologi secara 'precise agriculture' dalam membangunkan sektor pertanian. "Sektor perindustrian (juga) merupakan komponen yang penting dalam pembangunan ekonomi di sesebuah negeri. Negeri Terengganu juga amat mementingkan pembangunan sektor ini memandangkan permintaa yang tinggi oleh pelabur dari dalam dan luar negeri yang diterima oleh kerajaan. "Peningkatan pelaburan ini sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat setempat dan kawasan sekitar dengan limpahan ekonomi yang lebih komprehensif," titah Sultan Mizan.  
19 Jun 23
2326
Pasangan Suami Isteri Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Di LPT2
Pasangan Suami Isteri Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Di LPT2
HULU TERENGGANU, 19 Jun – Sepasang suami isteri warga emas maut manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, yang merupakan pesara kerajaan  dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau, Pengadang Buluh Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah  di bahagian kepala dan beberapa anggota badan. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Pengadang Buluh, Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu. “Ketika di lokasi kejadian, kenderaan pacuan roda terbabit telah merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang. "Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang. "Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,”katanya kepada pemberita. Hasmerra berkata, mayat Mohd. Ghani dan Minah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.  
19 Jun 23
447
TDM Sedia Rizab 514 Hektar Tanah Untuk Program 'Releaf Nestle' Malaysia
TDM Sedia Rizab 514 Hektar Tanah Untuk Program 'Releaf Nestle' Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), bahagian perladangan TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) berjaya menanam 2,000 pokok dalam usaha memartabatkan kelestarian bumi di Ladang Jernih, Kemaman. Ketua Pegawai  Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata projek bersama Nestlé Malaysia dengan rizab 514 hektar tanah untuk tanam 350,000 pokok bagi membolehkan matlamat Projek RELeaf Nestlé menuju tiga juta pokok tertanam di seluruh Malaysia pada awal 2025. Katanya, penglibatan TDM dalam Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan salah satu cara TDM menunjukkan sokongan kepada kempen “Road To 1 Million Trees 2023”, bersempena dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Terengganu. “Penanaman semula 2,000 pokok ini bukan sahaja akan menyumbang kepada penghutanan semula kawasan ini tetapi juga membantu memerangi perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen.  “Pokok-pokok ini akan menjadi bukti hidup kepada komitmen kita terhadap kemampanan dan yang lebih penting, akan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesis flora dan fauna sekaligus menyokong kepelbagaian biologi di rantau ini.  “Kerjasama ini akan sekaligus membuka mata lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha kami menghijaukan bumi demi masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, Program Penanaman Pokok Nestlé Cares Nationwide ini berlangsung secara serentak dengan penglibatan seramai 450 sukarelawan dari TDM Plantation, Nestlé dan Sime Darby Plantation (SDP), di lima lokasi iaitu di Ladang Jernih TDMP di Terengganu, Ladang SDP Carey Island di Selangor, Ladang SDP Gunung Mas di Johor, Ladang SDP Tenom di Sabah dan Hutan Simpan Bukit Bintang di Perlis.  “Antara pokok-pokok yang ditanam bagi menjayakan Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini terdiri daripada spesies asli seperti Sea Apple (Kelat Jambu Laut), Bitter Bean (Petai), Pongam (Mempari) and Sea Poison (Putat), dan lain-lain,”katanya.  
19 Jun 23
401
SUK, Exco Terengganu Terima Darjah Kebesaran
SUK, Exco Terengganu Terima Darjah Kebesaran
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini. Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah. Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah antara penerima penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.  Tengku Seri Bijaya Raja dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato' Seri. Manakala Mohd Nor pula merupakan antara penerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Dato'. Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut bersama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mendahului senarai penerima dengan anugerah tertinggi iaitu Datuk Bergelar, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng. Selain Tengku Seri Bijaya Raja seorang lagi penerima SSMZ ialah Pengarah Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Datuk Law Tien Seng. Selain itu, enam penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, manakala 27 lagi turut menerima DPMT ialah Mufti Terengganu, Prof Dr Mohamad Sabri Haron, Pengarah Yayasan Islam, Ishamudin Hashim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Anuar Awang. Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Abidin (S.M.Z) kepada 16 penerima. Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) turut dikurniakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut menerimanya bersama 11 penerima yang lain. Pada masa sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z) kepada 12 penerima, dua daripadanya merupakan ADUN Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik, Alias Harun bersama 12 penerima yang lain. Manakala enam lagi ADUN, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Ridzuan Hashim (Teluk Pasu), Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan), Ahmad Shah Muhamed (Bandar), Ab. Razak Ibrahim (Air Putih), Maliaman Kassim (Ajil) merupakan antara 36 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) .    
18 Jun 23
6645
TDM Terus Cemerlang
TDM Terus Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad yang merupakan anak syarikat (GLC) Terengganu terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam operasi kerja dan perancangan masa depan. Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim berkata prestasi TDM terus meningkat seperti pada tahun kewangan 2022, TDM berjaya mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM 614.4 Juta. “Bagi meningkatkan lagi prestasi kedua-dua sektor TDM iaitu perladangan dan kesihatan itu beberapa usaha telah dilaksanakan oleh TDM Berhad. “Sektor Perladangan, TDM dengan kerjasama Concord Biotech Sdn Bhd telah membina 2 loji janakuasa biogas di Kemaman dan Sungai Tong. “Loji janakuasa itu mampu menghasilkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 29,784,000 kilowatt per jam setiap tahun. "Selain itu, TDM bersedia untuk memulakan  program penanaman semulanya dengan menyasarkan 1,977 hektar tanah pada tahun kewangan semasa yang bertujuan untuk menambah baik profil umur pokok,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Bicara Jabatan di TV Darul Iman di sini baru-baru ini. Tambah Hamdan, dalam sektor penjagaan kesihatan pula kumpulan ini telah berjaya mengambil alih Hospital Pakar Tawau dan menjenamakan semula sebagai KMI Tawau Medical Centre. “Setelah mendapat permintaan yang tinggi, TDM telah mengambil langkah memulakan pembinaan sambungan baharu di KMI Tawau. "Pembangunan ini akan menambah kapasiti sebanyak 52 katil ke hospital dan dijadualkan siap menjelang 2024," katanya. Manakala, Pusat Perubatan KMI Kuantan akan meningkatkan kapasitinya dengan perancangan baharu untuk menambah 80 katil lagi. Beliau berkata, beberapa inisiatif pendigitalan seperti menaik taraf sistem maklumat hospital dan pendigitalan sistem rekod perubatan elektronik (“EMR”) telah dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penglibatan pesakit. “Projek perintis yang melibatkan iWard, penyelesaian pengurusan wad pintar, telah dijalankan di Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya," ujarnya.    
18 Jun 23
683
SMK Bukit Sawa Jadi Sekolah Pertama Perkenal Pendidikan Aeroangkasa
SMK Bukit Sawa Jadi Sekolah Pertama Perkenal Pendidikan Aeroangkasa
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa terpilih sebagai sekolah pertama dalam negara yang memperkenalkan program pendidikan aeroangkasa di peringkat sekolah. Guru Penasihat Kelab Aeronatik Bukit Sawa (Bsas Aeronautik), Badrul Hisyam Zakaria berkata, program pendidikan aeroangkasa itu akan dijalankan selama empat tahun (2023-2026) menyasarkan pelajar tingkatan 1 dalam menerap minat mereka dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) . Katanya, program tersebut telah dirangka bersama 'Malaysia Institute Of Aviation Technology (UniKL Miat) bagi memberikan pendedahan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan industri Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) . "Pelajar yang dipilih untuk menyertai program ini akan mempelajari teori berkaitan 'safety and regulation', reka bentuk UAV, sebelum mereka membina sendiri daripada formula dan 'design' yang telah dibuat. "Selepas hasil ciptaan itu berfungsi sepenuhnya, mereka akan menyertai beberapa pertandingan yang merupakan antara pendedahan yang akan diberikan kepada para pelajar yang terlibat selian mereka juga akan dibawa untuk terlibat dalam operasi sebenar industri UAV ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir Program 'Kick-Off TI-Bsas Aeronautics UAV in School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut Badrul Hisyam berkata, seramai tujuh orang pelajar terpilih sebagai kumpulan pertama menyertai program berkenaan. "Pelajar yang terlibat akan memiliki peluang bagi menyambung pengajian mereka dalam bidang ini sebaik sahaja mereka menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah,"katanya. Terdahulu syarikat pelaburan induk strategik Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menyumbang sebanyak RM45,000 bagi merintis program UAV yang pertama dalam negara. Menurut Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun bantuan sokongan kewangan secara 'one-off' itu diberikan bagi memastikan hasrat bagi mengembangkan kemahiran dalam revolusi industri 4.0 itu tercapai.  
18 Jun 23
439
Pelancongan Berkaitan Penyu di Terengganu Kembali Rancak
Pelancongan Berkaitan Penyu di Terengganu Kembali Rancak
DUNGUN, 18 Jun – Kerajaan Negeri bertekad untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman bersama dengan penyu (Terengganu Turtle Experience Tourism) di sini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kegiatan tersebut merupakan sektor ekonomi yang perlu diberikan suntikan baharu, dalam membangunkan sesuatu produk pelancongan. “Kita perlu pastikan ia dibina dalam kerangka ESG (Environmental, Social and Governance) yang menjadi kayu pengukur kepada tahap kelestarian sesuatu aktiviti perniagaan.  “Ringkasnya, aktiviti pelancongan berasaskan penyu perlu mengutamakan isu alam sekitar, komuniti setempat dan diurus tadbir dengan sistematik agar kekal lestari,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Tambah Bijaya Raja, program ini diadakan bersempena Hari Penyu Laut Sedunia pada tanggal 16 Jun 2023. Beliau berkata, program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Perikanan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). “Ia bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan penyu di negeri ini. "Di samping itu, inisiatif ini dilihat dapat mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan ikonik penyu yang terunggul dalam negara," ujarnya. Sementara itu, Terengganu kini berjaya merekodkan pengeraman dan penetasan 807,315 telur penyu Agar Dan Karah pada 2022 berbanding 600,667 pengeraman telur penyu spesis yang sama pada 2021. "Peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 206,648 pengeraman telur itu membuktikan Masyarakat terutama peniaga mula sedar tentang kesalahan menjual dan memakan telur penyu," katanya.  
18 Jun 23
788