Artikel "Semasa" Terkini
Ribuan Anak Muda Dijangka Hadiri Himpunan Milenial Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu (UBSNT) menjangkakan ribuan anak muda akan menghadiri Himpunan Mileneal Terengganu yang dianjurkan oleh pihaknya.
Himpunan tersebut akan diadakan pada Sabtu di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus bermula jam 8 pagi sehingga 1.30 petang.
Sepanjang program berkenaan diadakan lbagai acara menarik diadakan antaranya pertandingan video pendek TikTok, Simposium Milenial Negarawan di samping akan ada pameran jabatan dan agensi.
Paling istimewa turut diadakan Town Hall Belia Bersama Menteri Besar Terengganu yang akan menjadi platform yang tepat untuk generasi milenial menyuarakan pendapat dan pandangan sentiasa tidak langsung memberi gambaran kerajaan hari ini sangat meraikan pandangan golongan berkenaan untuk turut terlibat memajukan negeri ini.
Sementara itu UBSNT melalui kenyataan yang dimuat turun di Facebook rasminya menyatakan takrifan mengenai golongan milenial berdasarkan Pew Research Centre bahawa golongan milenial secra umumnya merujuk kepada individu yang lahir antara 1981 hingga 1996 yang berusia antara 27 hingga 42 tahun.
Manakala yang lahir antara 1997 hingga 2012 pula dikenali sebagai Gen Z yang kini berusia antara 11 hingga 26 tahun.
Menurut UBSNT, sebenarnya tiada takrifan yang jelas mengikut disiplin ilmu kerana terdapat pelbagai pandangan justeru mengajak mana-mana anak muda tanpa mengira mana-mana kelompok hadir bagi memeriahkan program berkenaan.
Kehadiran anak muda ke program ini juga akan turut menjadi signal bahawa seluruh anak muda negeri ini mahu kerajaan hari ini terus kekal dipertahankan.
22 Jun 23
507
Ketua Pemuda PAS ‘Sekolahkan’ Ketua Pemuda Umno
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Terengganu berhubung laporan prestasi kerajaan negeri yang disifatkan tak tepat.
Mohd Harun berkata, Tengku Haphiz Tengku Putera seolah-olah tidak membaca dengan betul data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) sehingga menyebabkan beliau ‘tersalah tulis’.
“Sebelum tu, saya rasa hairan sebenarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam posting beliau menyenaraikan empat perkara. Tapi kenapa perkara keempat sahaja yang YM Tengku respon.
“Kalau YM Tengku betul-betul buka dan baca ‘Laporan Prestasi Tahunan Malaysia’ atau yang diterbitkan MIDA dari tahun 2013 hingga 2022, YM Tengku akan temui daripada mana datangnya angka RM11.59 bilion (2018-2022) dan RM5.34 bilion (2013-2017),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Harun, Ketua Pemuda UMNO Terengganu itu mungkin sibuk membuat persiapan sebagai bakal calon pilihan raya negeri sehingga tidak sempat menyemak dengan teliti.
“Tapi tak apalah, saya tolong nyatakan siap-siap. Pada 2013 pelaburan berjumlah RM0.18 bilion, 2014 (RM1.57 bilion), 2015 (RM1.40 bilion), 2016 (RM2.11 bilion), 2017 (RM0.07 bilion), jumlahnya RM5.34 bilion.
“Kemudian pada 2018 (RM4.90 bilion), 2019 (RM0.64 bilion), 2020 (RM1.91 bilion), 2021 (RM3.83 bilion), 2022 (RM0.31 bilion), boleh rujuk muka surat 133,139, 143, 145 dan 155 dalam laporan itu, jumlah keseluruhan RM11.59 bilion.
“Data ini ialah nilai pelaburan bagi ‘Projek Perkilangan yang Diluluskan’ atau ‘Approved Manufacturing Projects’,” jelasnya.
Tegas Mohd Harun, sangkaan melulu Tengku Haphiz bahawa PAS Terengganu nak mengatakan laporan MIDA itu palsu atau sabotaj sangat tidak betul.
“YB Batu Buruk memang merujuk kepada laporan rasmi yang diterbitkan oleh MIDA. Padahal yang YM Tengku rujuk tu bukanlah ‘Laporan’ sebaliknya adalah ‘Pengumuman/Siaran Media’.
“Sepatutnya YM Tengku rujuklah laporan yang sebenar. Untuk mudahkan YM Tengku, ini linknya : https://www.mida.gov.my/report/. Tapi kalau YM Tengku rasa berat nak baca laporan tebal-tebal ni, Pemuda PAS Terengganu sedia hantar wakil berjumpa YM Tengku untuk bantu YM Tengku baca dan fahami laporan-laporan ni.
“Lepas tu, kalau YM Tengku nak buat perbandingan, buatlah secara adil. Janganlah banding prestasi 10 tahun (2007-2016) dengan prestasi lima tahun. Kaedah perbandingan sebegitu tak betul dan buruk sekali rupanya,” ujarnya.
Mohd Harun turut berkata, data pelaburan yang diterbitkan oleh ECERDC dan MIDA ada perbezaannya.
“Masing-masing ada definisi, klasifikasi yang berbeza. Jadi, jangan campur aduk. Jangan hentam data MIDA atas data ECERDC dan sebaliknya,” tambah beliau.
Terdahulu, Tengku Haphiz menafikan pelaburan projek perkilangan di era kerajaan PAS Terengganu lebih tinggi berbanding tahun 2013-2017.
22 Jun 23
720
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.
Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering itu turut dihadiri Qari Antarabangsa, Dr Ahmed Nuaina bagi mengalunkan bacaan Al-Quran.
Majlis yang bermula pada jam 10.45 pagi itu berjalan dengan lancar dengan dihadiri sekitar 500 orang tetamu jemputan.
Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin terhasil setelah usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan khas selama tiga tahun.
Pasukan khas itu diketuai Penulis Mushaf, Ahmad Zafuan Dato’ Embong bersama empat lagi individu yang terdiri daripada Penulis, Pereka Seni Hiasan dan Pewarna Seni Hiasan Mushaf.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Mushaf Terengganu bukan hanya sekadar penukilan malah ia turut diakui pengkaji kerana mempunyai keunikan serta motivasi atau nilai tersendiri.
“Susunan tulisan lebih kemas dan mewah dengan perada emas selain kaya dengan lorekan seni bina rumah Terengganu yang bermotifkan bunga bungaan.
“Ini menggambarkan nilai tatatertib kehidupan dan budaya bangsa Melayu Terengganu dan menjadi identiti penting Terengganu di Nusantara," titah baginda.
21 Jun 23
628
Pelaburan Perkilangan di Terengganu Naik Lebih 100 Peratus
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Nilai pelaburan projek perkilangan di Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2022 meningkat lebih 100 peratus berbanding tempoh lima tahun sebelumnya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada 2018 hingga 2022 kerajaan Terengganu merekodkan RM11.59 bilion nilai pelaburan membabitkan 51 projek.
Katanya, nilai itu meningkat lebih sekali ganda berbanding ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan pada 2013 hingga 2017 iaitu hanya mencatatkan RM5.33 bilion dengan 41 projek.
“Secara umumnya ada lima sektor atau industri yang menyumbang kepada pelaburan di Terengganu iaitu pertanian, pembuatan, minyak, gas dan petrokimia, pelancongan dan logistik.
“Sejak tahun 2018, nilai pelaburan ini menunjukkan trend peningkatan saban tahun, pada 2018 sebanyak RM0.210 bilion, RM0.770 bilion (2019), RM2.950 bilion (2020), RM2.930 bilion (2021) dan RM3.740 bilion (2022),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Khalil menepis dakwaan songsang pemimpin UMNO.
Tambah Muhammad Khalil, kos pelaburan yang dibuat oleh anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc. seperti Golden Pharos, Primula Beach Hotel, TDM Berhad, Ladang Rakyat dan beberapa syarikat lagi sejak tahun 2018 sehingga sekarang sudah pun mencecah RM387.05 juta.
“Pelaburan ini adalah dalam pelbagai segmen antaranya ialah penjagaan kesihatan (RM178 juta), industri perladangan (RM150 juta), dan infrastruktur & kejuruteraan (RM40 juta),” jelasnya.
Dalam sektor pertanian pula ujarnya, ada 10 projek yang melibatkan nilai pelaburan berjumlah lebih RM850 juta.
“Bermacam-macam projek, antaranya lada hitam, benih kerapu, ladang napier, kambing tenusu, nanas MD2, kelapa, lembu semi-feedlot dan durian Musang King,” katanya.
Daripada data ini beliau merasakan agak lucu jika masih ada pemimpin UMNO mengatakan ‘tiada pelaburan di Terengganu’, ‘PAS tak pandai tarik pelabur’, sebab statistik rasmi menunjukkan sebaliknya.
“Saya tahu bahawa kata-kata itu sekadar tuduhan semberono dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Kerajaan Negeri dan PAS menjelang pilihan raya nanti,” katanya.
21 Jun 23
1153
Stadium Terengganu Cipta Sejarah Baru Harimau Malaya
KUALA NERUS, 21 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) melakar sejarah baru sebagai kubu terkuat Harimau Malaya, selepas berjaya mencatat kemenangan terbesar di halaman sendiri.
SSMZA menjadi saksi amukan skuad Harimau Malaya setelah membenam Papua New Guinea 10-0 dalam aksi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, malam tadi.
Minggu lalu, skuad kendalian, Kim Pan Gon berjaya merakam kemenangan 4-1 ke atas negara yang menghuni tangga ke-134 dunia, Kepulauan Solomon.
Seramai 9,592 orang penyokong hadir semalam dan kebanyakan mereka mula membanjiri perkarangan gelanggang sekitar jam 5 petang semalam.
Skuad Harimau Malaya dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan.
Kemenangan sempurna Harimau Malaya itu dibantu empat jaringan Arif Aiman Hanapi serta hatrik Paulo Josue pada babak kedua.
Papua New Guinea bagaikan tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang berpesta gol pada perlawanan itu.
Kesemua penyokong di seluruh negara yang hadir pada malam itu menunjukkan reaksi positif dan berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Harimau Malaya.
21 Jun 23
379
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
EPIC dalan satu kenyataan berkata, perolehan paling tinggi sebanyak RM179.1 juta (52 peratus ) adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan
Selain itu katanya,perolehan juga dijana oleh perkhidmatan kejuruteraan sebanyak RM93 juta (27 peratus); operasi pelabuhan sebanyak RM60 juta (18 peratus); dan segmen tenaga solar sebanyak RM11 juta (tiga peratus).
“EPIC Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.“Pertumbuhan perolehan direkodkan adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) yang mencatatkan perolehan yang tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).,”menurut kenyataan itu.
Terdahulu, EPIC Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 42 syarikat yang dipengerusikan oleh , Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Pengerusi EPIC Berhad. Semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir.
Justeru itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,, Kumpulan EPIC mensasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta, 13 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.
“Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) dianggarkan naik 14 peratus, daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih daripada 2 kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta bagi TK2022.
“Dalam masa yang sama, PBKSB dijangka mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam aktiviti onshore dan offshore serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, pemasangan dua kren gantri (gantry cranes) di Dermaga Timur atau East Wharf yang bakal dijalankan pada hujung tahun 2023 akan meningkatkan jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB).
“EPIC Berhad kekal komited untuk mengikuti rancangan perniagaan strategik syarikat sambil memanfaatkan peluang kerjasama perniagaan bersama pemain-pemain industri yang muncul daripada pemulihan aktiviti sektor minyak dan gas, selain daripada pelaburan berpotensi bagi memajak tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong serta memanfaatkan kemudahan di Pelabuhan Kemaman,” katanya.
21 Jun 23
338
Hotel Paya Bunga Dinobat 'Best City Hotel'
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Hotel Paya Bunga yang merupakan milik kerajaan Terengganu berjaya memenangi anugerah 'Best City Hotel' mengatasi 4,000 penyertaan di Waldoft Astroria Palm Jumeirah, Dubai.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 4,000 penyertaan itu terdiri daripada 70 negara yang mengambil bahagian dalam International Travel Award.
Katanya, hotel yang dahulunya mempunyai pelbagai masalah dari sudut kerugian dan tidak dapat beroperasi kerana kerosakan teruk kini menjadi tumpuan dunia.
"Setelah kerajaan negeri mengambil alih pada tahun 2018, pelbagai kejayaan diperolehi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas pelbagai perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan.
“Hotel ini juga telah diperkenalkan dengan konsep patuh syariah pada awal pembukaannya dan pernah menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) pada tahun 2022,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh negeri Terengganu.
Beliau melahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Hotel Paya Bunga yang berjaya membawa kegemilangan tersebut.
“Semoga terus cemerlang dalam menggapai pelbagai anugerah sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.
21 Jun 23
524
Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.
Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut hadir mengiringi, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan negeri, Dr Azman Ibrahim
Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan negeri, perwakilan pengarah dari pelbagai jabatan serta agensi negeri dan persekutuan turut hadir.
Sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Terengganu tiba di Meja Santapan DiRaja dan sebelum bersemayam, lagu 'Selamat Sultan' telah dipersembahkan.
Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Serti Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning.
Majlis Jamuan Negeri ini juga telah diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Syamel.
21 Jun 23
230
Kajian Buktikan Pentadbiran Kerajaan Negeri Berjaya
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Kejayaan kerajaan negeri telah dibuktikan melalui kajian yang dihasilkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan beberapa penyelidik yang lain.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata kejayaan itu juga dapat dibuktikan melalui pelancaran Buku Penyelidikan Strategik TSIS 2023 serta Buku Merealisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera.
“Kerajaan Negeri pada hari ini menekankan aspek kajian dan penyelidikan berkualiti dalam membangunkan sesebuah dasar dan menghasilkan suatu keputusan.
“Bagi kerajaan, kaedah seumpama kajian dan penyelidikan ini dapat memberikan gambaran situasi sebenar berkenaan keperluan rakyat.
“Secara lebih mendalam dan terperinci melibatkan pelbagai isu sosial, ekonomi, dan politik yang sebenarnya mempengaruhi kehidupan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakn Program Perasmian Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera & Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 bertempat di Duyong Marina di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.
Tambah Yahaya, kajian dan penyelidikan juga dapat membantu pihak kerajaan untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan perubahan serta peningkatan kualiti pentadbiran sebuah Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, selain dapat mengetahui kelemahan dan cabaran semasa, suatu tindakan susulan yang sesuai dapat diambil.
"Pembuatan sesuatu dasar dan strategi kerajaan yang efisyen sebenarnya bermula dengan kajian berkualiti yang mampu membekalkan ketepatan maklumat.
"Dari aspek pengagihan sumber kerajaan seperti kewangan, tenaga kerja, dan aset pula, penglibatan penyelidikan mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan sumber.
“Apa yang lebih utama, wasilah penyelidikan ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan akauntabiliti dan transparansi pentadbiran Kerajaan Negeri," ujarnya.
20 Jun 23
362
Harimau Malaya Kembali Lebih Garang Malam Ini
KUALA NERUS, 19 Jun – Harimau Malaya bersedia kembali dengan aksi yang lebih garang pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon menuntut anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih cemerlang menentang Papua New Guinea.
Beliau menasihatkan supaya para pemain konsisten dalam mendominasi permainan, mengekalkan rentak selain tidak melakukan kesilapan mudah.
Ketika ditanya berkenaan sejarah yang dimiliki oleh pasukan Papua yang berjaya mengikat pasukan singapura, Kim Pan Gon memuji prestasi baik yang ditunjukkan oleh pasukan itu.
Namun, beliau yakin anak buahnya itu akan cuba terus melakar kemenangan di laman sendiri dan menjadikannya sebagai kubu kuat yang menjadi tumpuan utama.
“Kita lihat mereka bermain menentang singapura lebih baik dari apa yang kita jangkakan.
“Fokus utama saya adalah untuk meneruskan rentak kemenangan, jadi tugas pemain perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
“Di samping, mengikut taktikal dan perancangan yang diatur, kita pernah dikalahkan skuad itu, tapi kita juga pernah menang, namun kali ini pemain lebih bersedia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Pra-Perlawanan antara Malaysia vs Papua New Guinea di Ar Ridayah Residence, Gong Badak di sini semalam.
Sementara itu, Kapten Papua New Guinea, Raymond Gunemba memuji skuad Harimau Malaya apabila menunjukkan peningkatan berbanding pasukan yang pernah dikalahkan oleh mereka pada 2016 itu.
“Saya rasa malaysia telah banyak meningkat dari tahun sebelumnya selepas menonton perlawanan menentang solomon.
“Ia akan menjadi satu cabaran yang sukar buat kami. Kami perlu melakukan persiapan yang rapi untuk perlawanan esok hari,” ujarnya
20 Jun 23
335