Artikel "Semasa" Terkini
Program Hari Arafah Disambut Meriah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri melaksanakan sambutan Hari Arafah di seluruh negeri Terengganu melalui dua peringkat iaitu Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sambutan di peringkat negeri pada malam semalam adalah bagi menyeru kaum muslimin dan muslimat supaya berpuasa pada 9 Zulhijjah iaitu merupakan hari wukuf di Arafah.
Katanya, sambutan Hari Arafah di peringkat DUN pula akan dilaksanakan secara serentak di seluruh kawasan pada esok hari.
“Ia bertujuan bagi meraikan para jemaah muslimin dan muslimat yang turun ke masjid untuk berbuka puasa beramai-ramai sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadah yang dituntut tersebut.
“Semoga setiap perkata yang kita lakukan mampu memberatkan pahala amal kita di hari akhirat kelak, di samping mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu wata’ala," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Tengku Bijaya Raja.
Tambah Ahmad Samsuri, bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang penuh dengan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri.
“Keistimewaan tersebut ada pada 10 hari terawal Zulhijjah yang perlu kita ketahui keistimewaannya agar ianya menjadi motivasi dalam meningkatkan lagi amal ibadah kita,” ujarnya.
Mengulas lanjut, program yang bermula pada 7.30 itu diawali dengan Ceramah Khas Hari Arafah yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Program tersebut berjalan lancar dengan kehadiran jemaah sekitar 300 orang pada malam itu.
27 Jun 23
630
Amzad Fail Rayuan Pembatalan Kemenangan ke Mahkamah Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, rayuan itu akan dikemukakan secepat mungkin selepas Hari Raya Aidiladha.
"Kami juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Kecil tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.
"Jadi kalau Hakim bagi penggantungan penuh, keputusan hari ini tidak berkuat kuasa, jadi tidak akan ada pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kembali," jelasnya ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan calon PAS selepas calon BN, Mohd Zubir Embong mengemukakan petisyen pilihan raya di parlimen itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Pada PRU15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk calon BN, Mohd Zubir Embong.
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen BN Marang untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mahkamah menolak petisyen itu selepas menilai pihak pempetisyen gagal membuktikan wujud rasuah kepada pengundi Marang.
27 Jun 23
896
Tiada Bukti Rasuah, Kemenangan Presiden PAS Sah - Mahkamah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu adalah sah.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani ketika membacakan keputusan hari ini berkata, pihak pempetisyen gagal membuktikan terdapat unsur rasuah dalam aktiviti kempen pilihan raya Ahli Parlimen Marang itu.
Susulan itu, Hakim turut memerintahkan pihak pempetisyen yang mewakili calon BN Parlimen Marang, Jasmira Othman membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Abdul Hadi.
Sementara itu, Peguam Pempestisyen, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan penghakiman yang diberikan.
"Alasan-alasan oleh hakim mengambil kira pelbagai aspek dan meneliti dengan cermin keterangan setiap 10 saksi pempetisyen dan 3 saksi responden.
"Yang Arif turut melihat isu perundangan dengan begitu teliti sekali sehingga perkara yang kecil pun diambil kira," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Dalam pada itu, keputusan bagi petisyen Parlimen Kuala Terengganu sedang dibacakan oleh Hakim.
Berita lanjut menyusul.
27 Jun 23
553
Konsert Gema Islami Gamit Kehadiran Ribuan Rakyat
KUALA NERUS, 27 Jun - Kerajaan Terengganu sekali lagi berjaya menganjurkan acara hiburan penuh berprestij melalui penganjuran Konsert Gema Islami hingga mengamit kehadiran ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak lebih 1,000 rakyat hadir bagi memeriahkan acara muzikal Islami yang menampilkan selebriti tanah air iaitu Aiman Sidek, Iwan Syahman dan Ali XPDC.
Konsert itu turut menampikan tiga selebriti dakwah terkenal dan tidak asing lagi dalam negara iaitu Ustaz Haslin Baharin, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Zul Ramli.
Rata-rata rakyat sangat teruja dengan penganjuran konsert tersebut dan membuktikan kerajaan negeri tidak menghalang sebarang penganjuran hiburan berdasarkan garis panduan.
Dalam pada itu Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan program yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) itu menjadi model terbaik bagaimana bentuk program yang boleh dianjurkan di negeri ini.
"Mudah-mudahan program ini akan dapat diteruskan lagi untuk mendidik jiwa rakyat dan memberikan teladan dan juga menjadi model ikutan, berhibur tidak salah tetapi perlu ada caranya," ujarnya.
27 Jun 23
182
UAI Bakal Gegarkan TMBS Wakaf Mempelam Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Daie Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus (UAI) akan hadir bagi mengisi slot Forum Khas Bersempena Hari Arafah di Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Karnival TMBS itu diadakan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi.
“Program yang bertempat di Dataran Surau Al Iman Kampung Losong Panglima Perang itu akan berlangsung selama dua hari bermula 26 sehingga 27 Jun ini.
“Pelbagai aktiviti yang disediakan khusus buat kaum lelaki mahupun perempuan serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah menarik menanti pengunjung yang hadir.
“Hadiah utama iaitu beberapa buah motosikal, peti sejuk dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Wan Sukairi, semua aktiviti dan acara yang dipertandingkan sesuai kepada semua lapisan umur dengan pengisian yang menarik disediakan.
“Antaranya pertandingan sukaneka berasingan lelaki dan wanita, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pelbagai lagi pengisian.
“Turut disertakan pengisian rohani di tapak program itu yang akan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang akan membawa tajuk kuliah iaitu ‘Lambaian Mekah Tetamu Allah' pada malam ini.
“Pada hari akhir karnival turut diadakan Jamuan Rakyat dan Forum Khas Bersempena Hari Arafah yang akan disampaikan Ustaz Azhar Idrus bersama Moderator, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah," ujarnya.
27 Jun 23
1267
DUN Terengganu Dijangka Bubar Esok
KUALA TERENGGANU, 28 Jun- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 dijangka dibubarkan secara rasmi, esok.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pembubaran itu akan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.
"Tiada sidang media, kita akan keluarkan satu kenyataan sahaja selepas mendapat perkenan Tuanku, mungkin dalam tengah hari.
"Selepas ini, pentadbiran akan dipikul kerajaan 'caretaker' dan mana-mana mesyuarat yang tidak memerlukan keputusan dasar, mesyuarat pelaksanaan akan terus dilaksanakan sebagaimana di peringkat persekutuan," katanya dalam sidang media ringkas di luar perkarangan istana, hari ini.
Tambahnya, Pilihan Raya adalah proses demokrasi bukan sahaja kepada memilih kepimpinan sesebuah negeri atau negara tetapi juga peluang kepada rakyat untuk membuat pemilihan.
"Sebagai pemegang taruh yang paling besar, rakyat perlu bersikap adil dan mengambil maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang pertimbangan.
"Kini, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pertimbangan mereka," katanya.
Mempunyai 32 kerusi DUN, Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menyaksikan PAS menguasai 22 kerusi, sekali gus merampas tampuk pentadbiran, manakala selebihnya dimiliki Barisan Nasional (BN).
Terengganu antara enam negeri yang akan mangadakan PRN bersama Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sambilan, Kedah dan Kelantan.
27 Jun 23
252
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Selasa (esok) bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun ini.
“Saya telah mendapat perkenan Tuanku untuk menghadap pagi esok pada jam 9 pagi di Istana Syarqiyyah, Chendering.
“Mengenai (tarikh pembubaran DUN), saya rasa lebih baik saya sembah maklum dulu kepada Tuanku, (jika tarikh itu dipersetujui), kemudian kita akan umum selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Ditanya tentang agihan kerusi, Ahmad Samsuri berkata bagi pihak PAS, ianya telah selesai dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS untuk diuruskan.
Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.
26 Jun 23
249
Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
KUALA NERUS, 26 Jun - Mengalu-alukan kedatangan kumpulan penghibur antarabangsa seperti kumpulan 'Coldplay' dalam kalangan pemimpin negara adalah seolah-olah seperti menggalakkan budaya hiburan melampau terus subur dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda negara ini.
Ahli Akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, orang ramai yang masih tidak memiliki kefahaman islam sebenar pada hari ini tidak sewajarnya didedahkan dengan kumpulan menyokong golongan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Bukan tidak boleh berhibur, tetapi benda-benda yang tidak boleh membawa kebaikan (dihalang) terutamanya serangan budaya barat ini melalui program hedonisme, ini cara untuk melalaikan (umat Islam) kita hari ini.
"Kalau kita terus suburkan program sebegini dia tidak akan membantu anak muda kita (menjadi lebih baik) yang memiliki akidah yang rapuh," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata tugas pemimpin mewujudkan suasana yang baik dengan menyediakan persekitaran yang tepat sebagai sebuah negara Islam.
"Kita kena ingat untuk jadi umat yang terbaik adalah dengan mencegah kemungkaran dan berimana kepada Allah, bukan tidak boleh berhibur tetapi perlu selari dengan syariat Islam," katanya.
26 Jun 23
153
Pengurus TFC Terima Pingat Kebesaran Negeri
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Pengurus Terengganu Football Club (TFC), Mohd Fadhil Wahab antara Penerima Pingat Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah di sini semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri kepada 166 individu terpilih.
Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.
Istiadat yang berlangsung di Balairong Seri itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Baginda ke-61.
Pada istiadat itu, seramai empat penerima dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (PJC), 147 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), dua penerima Bintang Lama Berjawatan (BLB) dan 13 penerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).
Untuk rekod, darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Terengganu dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada mereka yang telah menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negeri Terengganu.
26 Jun 23
190
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 26 Jun -Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-61 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Keberangkatan baginda diiringi
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin
dan paduka-paduka anakanda.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat.
Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000.Masing masing menerima sumbangan RM500 seorang.
Penerima melibatkan 100 yang berdaftar dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, 200 Orang Kurang Upaya(OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
Salah seorang penerima OKU, Norhayati Mohamed, 43, dari Alor Serdang, Setiu, dia menyifatkan peluang menjejakkan kaki ke istana menjadi kenangan paling berharga buatnya.
"Rasa tu bercampur baur..takut dan gembira dalam satu masa tapi ini saat paling indah dalam hidup saya," ujar ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu.
Sementara itu, Husna Abdullah, 43, berkata bantuan yang diterima pada hari ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
"Kali pertama saya dijemput ke istana dan menerima kurnia dari Sultan dan Sultanah Terengganu, cukup membuatkan saya rasa gembira," katanya.
Ibu kepada tiga anak yang berusia lima hingga 16 tahun berkata suaminya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja sendiri menyebabkan dia meluangkan masa setiap Jumaat untuk sebagai tukang urut refleksologi dengan elaun RM400 sebulan.
26 Jun 23
165