Artikel "Semasa" Terkini
Zahid Cakap Tidak Berlandaskan Fakta
KUALA NERUS, 4 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak kenyataan yang dilontarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada program yang berlangsung di Kemaman baru-baru ini.
Dalam program itu, Zahid mendakwa bantuan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan tidak diagihkan dengan tepat oleh Kerajaan Negeri.
Ahmad Samsuri menjawab mana-mana peruntukan yang diberikan telah diagihkan kepada mereka yang berkenaan.
“Begitu juga berkaitan peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri telah kami sampaikan kepada mereka dengan betul,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau tidak faham kenapa kenyataan sedemikian dilontarkan tanpa meneliti fakta terlebih dahulu.
“Saya yakin kenyataan itu tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pimpinan kerajaan negeri.
“Rakyat Terengganu lebih celik dalam memperolehi maklumat yang tepat pada waktu sekarang berbanding dahulu,” ujarnya.
04 Jul 23
529
Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat akan dipanggil Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kerana didakwa melakukan kesalahan menggunakan kaedah renjatan elektrik bagi menangkap ikan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkenaan akan dipangil hari ini bagi memberikan keterangan berhubung perkara tersebut.
"Apabila menerima laporan berkaitan video yang tular tersebut pada 3 Julai, pihak jabatan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan.
"Berikutan itu kita sedang melengkapkan siasatan dan Individu yang dikatakan terpapar dalam video berkenaan akan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kejadian tersebut, insya-Allah pada hari ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, siasatan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988.
"Iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang antaranya termasuklah dengan menggunakan racun, bahan letupan dan perlatan-peralatan mekanikal atau elektrik.
"Jika disabit kesalahan hukuman yang dikenakan ialah denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," ujarnya lagi.
04 Jul 23
4810
SPR Dijangka Tetapkan Tarikh Pilihan Raya Negeri Esok
PUTRAJAYA, 4 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan berbincang bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Rabu ini.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata satu Mesyuarat Khas akan diadakan pada hari tersebut bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Ke-15 seperti tarikh Writ Pilihan Raya.
Pada mesyuarat itu juga akan turut membincangkan Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut," ujarnya menerusi kenyataan tersebut, semalam.
Terdahulu SPR memaklumkan telah menerima notis pembubaan rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
04 Jul 23
136
Jeram Mawar Besar Kemungkinan Akan Ditutup Sementara-Ariffin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kawasan Perkelahan Jeram Mawar di Air Putih, Kemaman besar kemungkinan akan ditutup sementara daripada dikunjungi orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.
Katanya, ianya bagi memastikan tiada lagi kejadian sama berulang dalam masa terdekat susulan tragedi kepala air melibatkan sepuluh mangsa dengan sembilan daripadanya sekeluarga.
“Hujan lebat yang sering berlaku di kawasan hulu sangat berisiko menyebabkan berlakunya tragedi seumpama itu.
“Kita juga akan berbincang dengan pihak berkuasa apakah langkah keselamatan yang perlu diambil seterusnya selepas ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Dalam kejadian Sabtu lalu, sepuluh individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari FELDA Lepar Hilir, Kuantan, Pahang yang berkelah di jeram itu, dihanyutkan arus deras kepala air.
03 Jul 23
192
Payang Walk, Operasi Beca Warisan Tarikan Baharu Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 3 Julai- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melaksanakan program Payang Walk dan operasi beca warisan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu usaha untuk memperkasa destinasi ikonik itu yang juga merupakan aset pelancongan utama Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 8 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluluskan cadangan pihak MBKT untuk menganjurkan program Payang Walk dan operasi beca warisan di lokasi terbabit.
“Payang Walk merupakan konsep jualan dan aktiviti berkonsepkan pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu (setiap Jumaat) di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang).
“Antara segmen jualan dan aktiviti yang akan dijalankan adalah jualan barangan tempatan, makanan tradisional tempatan serta persembahan kebudayaan dan kesenian,” ujarnya pada sidang media program tersebut di Menara MBKT, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Menurut Ariffin, program Payang Walk dan laluan beca warisan di Pesisir Payang ini merupakan ‘pilot projek’ untuk melihat sejauhmana keberkesanannya sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan.
“Menteri Besar dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran program ini pada 21 Julai nanti dan kira-kira 100 peniaga akan mengambil bahagian.
“Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan beca secara percuma pada malam perasmian,” ujarnya.
Katanya, selain meningkatkan imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu dan memperkasa imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, tujuan penganjuran Payang Walk dan laluan beca warisan juga adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk.
“Selain itu, kita juga mahu mengalakkan ‘retail street culture’, mengekalkan warisan tradisi tempatan dan juga mempromosi agenda ‘car free day’,” jelasnya.
Sementara itu, Rosli berkata, laluan khas beca warisan dan hentian (pit stop) di sekitar Pasar Besar Kedai Payang diwujudkan adalah sebagai usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi warisan tradisi tempatan selain untuk mengangkat operasi beca sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong dan pengunjung.
“Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh tiga kilometer. Beca-beca sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama pihak MBKT dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
“Ketika ini di lapangan telah terdapat empat unit beca telah dinaiktaraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan unit lagi masih di peringkat ubahsuai,” ujarnya.
Menurut Rosli, di sepanjang operasi Payang Walk dan beca warisan ini, sebahagian Jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar di Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang akan ditutup sepenuhnya untuk laluan kenderaan bermotor.
“Penyediaan laluan khas beca dan penutupan jalan ini hanya pada hujung minggu sahaja iaitu setiap hari Jumaat petang hingga malam bermula jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam,” ujarnya.
03 Jul 23
369
Hulu Terengganu FA Juara Piala Menteri Besar
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Hulu Terengganu FA berjaya muncul juara Piala Menteri Besar Terengganu setelah menewaskan Marang FA 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kemenangan pasukan itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 pada aksi akhir tersebut.
"Tahniah Hulu Terengganu FA yang telah merangkul juara serta syabas juga buat pasukan Marang FA yang memberi saingan sengit.
"Tidak lupa juga buat semua pemain yang telah menyertai Liga Darul Iman ini dan berjaya memenuhi syarat penganjur untuk menampilkan imej patuh syariah dengan pemakaian menutup aurat sepanjang liga berlangsung,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan di laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.
Kemenangan Hulu Terengganu FA pada malam ini merupakan sejarah buat pasukan itu setelah hampir 20 tahun Pasukan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu tidak pernah mendakap Piala Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif namun Hulu Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke 38 menerusi pemain nombor 18, Muhammad Firas yang memanfaatkan hantaran cantik rakan sepasukannya.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan dengan beberapa percubaan dilakukan.
Memasuki masa tambahan, Marang FA berjaya menggamatkan sorakan lebih 2,000 penyokong di Stadium dengan gol penyamaan 1-1 menerusi pemain nombor 9.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan masih buntu dalam mencari jaringan selepas 120 minit berakhir sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
02 Jul 23
70
Presiden PAS Masuk Hospital
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilaporkan sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital.
Perkhabaran itu dikongsikan anaknya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerusi perkongsian di laman Facebook Rasminya pada pagi ini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk memohon orang ramai mengadakan solat hajat khusus dan mendoakan kesembuhan buat ayahandanya.
Katanya, kehadiran ayahanda ke pelancaran jentera pilihanraya Pemuda PAS Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran.
Namun, Ahli Parlimen Marang itu tetap menggagahkan dirinya untuk hadir.
“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi hospital Abdul Hadi dirawat, namun sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan.
01 Jul 23
291
Enam Beradik Korban Lembu Sado Hadiah Kepada Penduduk Kampung
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Enam beradik berkongsi rezeki dengan mengorbankan lembu sado jenis ‘charolais’ yang merupakan lembu kesayangan milik mereka untuk diagihkan kepada penduduk kampung di sini.
Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 30, berkata lembu sado seberat 950 Kilogram itu dapat memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang penduduk di Kampung Banggol Durian sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.
Katanya, mereka sekeluarga memilih lembu sado untuk dikorbankan pada tahun ini kerana berpuas hati dengan kuantiti daging yang banyak untuk diagihkan kepada penduduk kampung.
“Kami enam beradik sangat sayangkan lembu sado ini yang diberi nama ‘Rudy’ namun tujuan korban itu untuk melatih umat Islam melepaskan sesuatu yang disayangi semata-mata kerana Allah SWT.
“Kami menjaga Rudy ini selama lebih kurang dua tahun iaitu bermula umurnya 10 bulan sehingga 3 tahun 4 bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Banggol Durian di sini, semalam.
Tambah Salahudin, lembu sado ini sangat senang diuruskan dengan sekali makan dan duduk di kandang berbanding dengan lembu kampung yang lain.
Tambahnya, Rudy itu dibeli daripada kawannya di Gong Badak tahun lalu pada harga RM10,000.
“Tujuan saya beli ketika itu kerana mahu menyertai Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 bertempat Jabi, Besut.
"Lembu sado itu dinobatkan sebagai Prince of Sado bagi kategori junior dan menerima hadiah RM500,” ujarnya.
29 Jun 23
1195
Sultan Mizan Solat Aidiladha Bersama 2,000 Jemaah
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 2,000 jemaah di sini.
Turut mengiringi baginda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Solat Sunat Aidiladha itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah yang bertajuk Hakikat Hamba Dalam Ibadah Korban.
Khutbah menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Sultan Mizan sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin berserta anakanda baginda kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.
29 Jun 23
754
Cuti Umum Arafah Ruang Penghayatan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hari Arafah sebagai hari kelepasan bagi negeri Terengganu sejak 2020 lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata ia bertujuan bagi memberi ruang kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peristiwa besar tersebut.
Katanya, Rasulullah S.A.W meletakkan kedudukan hari Arafah sangat besar sehingga baginda memberikan khabar gembira kepada orang yang berpuasa pada hari itu.
“Pelbagai ganjaran diperolehi bagi mereka yang melaksanakan ibadah sedemikian seperti Allah S.W.T menghapuskan dosanya setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.
“Gambaran ini menunjukkan betapa agungnya kedudukan hari Arafah berbanding hari-hari yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Mohd Nor, puasa juga merupakan didikan terbaik dalam diri kita supaya dapat meningkatkan lagi ketakwaan kita terhadap Allah S.W.T.
Beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar menghidupkan hari Arafah yang besar kelebihan serta keistimewaan di sisi Allah Azza Wajalla.
“Semoga kita boleh menjadikan penghayatan peristiwa besar benar-benar hidup di dalam diri masyarakat kita melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti ini.
“Tahniah diucapkan kepada jawatankuasa program serta pihak masjid atas persiapan, kelancaran dan kecekapan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
27 Jun 23
298