Artikel "Semasa" Terkini
Berbaki Tiga Hari Kempen, PAS Sedang Mendahului
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Perikatan Nasional (PN)-PAS sedang mendahului dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi.
Katanya, dengan meletakkan sasaran untuk menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU (DUN) 12 Ogos ini, jentera parti perlu terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat.
“Alhamdulillah, saya sangat seronok bila saya dah pusing satu negeri, kempen kita berjalan dengan baik.
“Semakin dekat dengan hari mengundi, nak kata agresif pun tidak, kita ‘steady’ je, sebab kita ada jadual kempen bermula selepas penamaan calon 29 Julai lepas.
“Sebahagian besar calon-calon kami (PAS) mula menyantuni rakyat sejak awal pagi bermula dengan solat subuh di masjid, aktiviti ziarah serta lain-lain. Pada sebelah malam pula adakan ceramah dengan keizinan pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau yang juga calon PAS Alur Limbat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan di Kem Padang Midin, di sini, hari ini.
Ariffin berkata, berdasarkan pertemuan yang diadakan sokongan rakyat dilihat berpihak kepada PAS dan jentera parti juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh berkempen.
“Ini termasuk tidak boleh melakukan sebarang pemberian yang boleh dianggap rasuah, petugas kita memahami, kita hanya rayu undi dengan bawa risalah serta beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda untuk rakyat.
“Secara zahirnya, pendekatan kita diterima baik masyarakat dan tiada sebarang provokasi. Saya lihat di setiap DUN, dari segi undi kita tidak tahu, tetapi dari segi kempen kita mendahului,” ujarnya.
08 Aug 23
127
Kempen PH-BN Londeh Niat Jahat Sendiri
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kempen PH-BN yang menyatakan pentingnya memilih Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan daripada parti politik sama adalah strategi 'melondehkan kejahatan' sendiri.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata hujah kononnya bagi memastikan peruntukan dan pembangunan akan sampai ke Terengganu sebenarnya amat lemah kerana Terengganu adalah salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan dan hubungan ini dijamin oleh asas perlembagaan yang kukuh.
Katanya, Pemberian Persekutuan kepada negeri juga sudah pun termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan ini.
“Secara umumnya Terengganu menerima 10 jenis pemberian daripada Persekutuan yang kesemuanya berjumlah sekitar RM400 juta setahun.
“Pemberian ini termasuklah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri, Pemberian Di Bawah Senarai Bersama, Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup.
“Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (GTBKK) dan Pemberian Mengikut Bilangan Penduduk,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini.
Tambah Dr Alias, secara demokrasinya pula, tidak disyaratkan sedemikian (kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan).
Bahkan, dalam sesebuah kerajaan pun boleh terdiri daripada parti-parti yang bervariasi ideologi sementelah lagi kerajaan yang dibentuk di peringkat yang berbeza.
Selain itu, meletakkan syarat peruntukan akan disalurkan jika Kerajaan Negeri dan Persekutuan daripada parti yang sama merupakan suatu pencabulan demokrasi dan penafian hak yang nyata.
Seterusnya, sejarah juga menunjukkan bahawa sejak sekian lama Terengganu diperintah oleh BN di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini.
“Terengganu masih terkebelakang pada aspek sosioekonomi dan pembangunan berbanding negeri-negeri lain.
“Harus diketahui juga bahawa sejak 2018 sehingga 2022, Kerajaan Negeri menerima Dana Khas / Pemberian Khas daripada Persekutuan berjumlah lebih RM6.3 bilion atau secara purata RM1.2 bilion setahun.
“Pemberian yang sudah menjadi amalan sejak lebih 20 tahun ini sepatutnya diteruskan dan ditambah baik,” ujarnya.
Namun, PM ke-10 menerusi Ucapan Belanjawan 2023 dan sikapnya sehingga kini secara terang- terangan cuba untuk mengelak daripada Kerajaan Negeri menerima sepenuhnya dana ini.
08 Aug 23
257
Malapetaka Buat Negara Jika Pengundi Diugut, Dipaksa
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Malapetaka besar buat negara jika benar dakwaan wujud anggota keselamatan beruniform di Terengganu dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini, ujar Menteri Besar Terengganu.
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau berharap pendedahan anggota keselamatan diugut tentang kerja dan imbuhan yang dibuat di media sosial itu tidak benar.
“Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara.
“Sesungguhnya, manusia yang merdeka mungkin boleh dipaksa, ditahan dan diugut, tetapi jangan ingat ia boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, jika benar perkara itu terjadi, Malaysia akan bergerak ke belakang.
“Pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” tambahnya.
Terdahulu, tular satu gambar duit di dalam sampul beserta kapsyen daripada pengadu yang mengatakan anggota polis di sebuah IPD di Terengganu menerima RM200 seorang daripada calon Barisan Nasional N31.
Ujar pengadu itu lagi, semasa proses penerimaan duit anak calon BN turut hadir bersama dan telefon perlu diletakkan di tempat luar bilik.
Selain itu, semua anggota polis yang menerima duit itu diugut supaya mengundi calon BN jika tidak akan dipindahkan temoat kerja dan dikenakan tindakan, kata pengadu tersebut.
08 Aug 23
340
PRN Referendum Rakyat Kecewa, Tolak Kerajaan Madani
KUALA NERUS, 8 Ogos - Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 ini menjadi medan terbaik kepada 9.7 juta rakyat untuk mengemukakan referendum atau pungutan suara di enam negeri bagi menolak kerajaan Madani hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan besar PN akan menjadi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan setelah kecewa dengan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Ditambah dengan pembohongan sepanjang masa, kerana itu kita kena sedarkan rakyat agar mereka membuat pertimbangan bagi membuat keputusan lebih baik.
"Saya yakin mereka akan membuat keputusan yang betul kerana sudah tidak tahan dengan kerajaan sekarang ini.
"Rakyat menunjukkan kebencian kerana tidak ada usaha bersungguh-sungguh (dilakukan) untuk membantu rakyat jelata," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Petang, di The Payang Scout Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, calon PN DUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Mengulas Lanjut, Muhyiddin berkata selama ini penerangan PN kepada seluruh rakyat adalah berlandaskan fakta yang tepat dan benar.
"Dalam berkempen kita bercakap perkara yang benar supaya rakyat faham dengan kita memberikan penerangan yang jelas untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang tepat.
"Kita jelaskan kegagalan, mereka nak kekal tetapi mereka tidak (berusaha) untuk buat apa-apa (menyelesaikan masalah rakyat)," katanya lagi.
image widget
08 Aug 23
273
Proses Undi Awal Di Kem Padang Midin Berjalan Lancar
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 membabitkan pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan mereka di Kem Padang Midin di sini berjalan lancar.
Pusat mengundi awal di kem itu dibuka pukul 8 pagi dan proses pengundian awal di situ dijangka berakhir sebelum pukul 5 petang berikutan hanya membabitkan seramai 53 pengundi daripada 176 jumlah asal.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati, suasana agak tenang memandangkan rata-rata anggota dan pasangan yang hadir tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Difahamkan, sebahagian besar anggota telah menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih menerusi undi pos sekali gus mengurangkan jumlah yang berdaftar sebagai pengundi awal.
Terdahulu, calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman turut meninjau proses pengundian awal di sini sekitar jam 8 pagi tadi.
Beliau berharap semua anggota dan pasangan yang layak untuk mengundi awal dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
“Saya yakin mereka akan datang untuk mengundi. Memandangkan masih awal pagi dan hari ini hari bekerja, masih ada yang belum dapat keluar mengundi, InsyaAllah sebelum pusat pengundian ditutup mereka akan buat pemilihan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kem tersebut.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi undi awal di Terengganu mencatat 59 peratus setakat 11 pagi ini manakala Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mencatat 53 peratus.
Sebanyak 24 pusat mengundi awal dibuka di seluruh negeri ini dimana empat di Parlimen Besut, Setiu (tiga), Kuala Nerus (tiga), Marang (empat), Hulu Terengganu (dua), Dungun (tiga), Kemaman (empat) dan satu di Parlimen Kuala Terengganu.
08 Aug 23
654
Orang Awam Lapor Polis Calon BN Cuba Sogok Pengundi
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Satu laporan Polis telah dibuat terhadap calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi atau lebih terkenal dengan gelaran 'Mat Kerak' kerana dikatakan telah melakukan satu unsur sogokan dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15.
Pengadu yang juga merupakan pengundi bagi DUN Ladang, Mohd Hilmi Jusoh, 33, membuat laporan berkenaan kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Hari ini, saya membuat laporan berkenaan sogokan pilihan raya yang mana berdasarkan maklumat yang kita terima daripada facebook mengatakan bahawa satu unsur sogokan berlaku di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos, baru-baru ini.
"Calon BN, Datuk Sabri yang berada di program tersebut iaitu program 'Tukar Minyak Hitam' bersama beberapa petugasnya yang dihadiri oleh 'rider-rider'.
"Calon itu berada di situ dan ada bukti bergambar menunjukkan beliau menuang sendiri minyak hitam ke dalam motosikal salah seorang penerima dan kita lihat ia satu unsur sogokan dan kita dapati ada dalam Seksyen 8,9, atau 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan larangan program penjamuan, pemberian hadiah dan perkhidmatan yang berlaku dalam program tersebut.
"Di gambar itu jelas pemberian dan perkhidmatan daripada calon BN itu sendiri, saya membuat laporan bertujuan supaya tindakan diambil kepada pihak berkenaan," katanya yang menyifatkan bahawa tidak adil sekiranya satu pihak patuh, manakala satu pihak lagi yang bertanding tidak patuh.
Sebelum ini, BN merupakan parti yang lantang dengan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi P036 Parlimen Kuala Terengganu, baru-baru ini dengan akta yang sama.
"Ini satu yang tidak adil bagi mereka melanggar akta yang mereka laungkan dan petisyenkan baru-baru ini," katanya.
Untuk rekod, bagi Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan.
Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada bakal pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan supaya pengundi mengundi mereka. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut:
“...dan tiap-tiap orang yang secara rasuah… memberikan atau mengadakan atau membelanjakan apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain bagi maksud untuk mempengaruhi...supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu….untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”
Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus operandi amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.
Manakala, Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Pengaruh tidak wajar, merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.
Dan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - penyogokan, penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah,pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.
08 Aug 23
2722
Polis Hulu Terengganu Tidak Terima Laporan Salah Laku, Khianat Sepanjang Kempen PRN15
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Polis Hulu Terengganu mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku proses berkempen yang dilakukan oleh parti yang bertanding sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke 15 (PRN DUN Ke 15) hingga hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, YM ASP Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, bagi Parlimen Hulu Terengganu tidak ada kes atau kertas siasatan dibuka.
"Setakat ini tidak ada aduan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah yang berlaku sepanjang tempoh berkempen daripada mana-mana parti politik yang bertanding.
"Secara keseluruhannya, kesemua parti yang bertanding menunjukkan pematuhan dan prestasi baik dalam tempoh berkempen dengan mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Pilihan Raya... saya berharap momentum ini dapat dipertahankan sehingga hari pengundian nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.
Menurut Raja Saripah Robiah, proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota).
"Alhamdulillah proses pengundian awal berjalan lancar yang mana pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi," ujarnya.
08 Aug 23
523
Ariffin Harap Majoriti Kemenangan PAS di Alur Limbat Bertambah
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dapat memberi majoriti kemenangan yang lebih besar kepada PAS-Perikatan Nasional (PN) di hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada 12 Ogos ini.
Pada PRU Ke-14, Ariffin daripada PAS menang dengan mendapat 13,330 undian ketika menentang Saiful Bahri Baharuddin daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 9,136 undi dengan majoriti undi sebanyak 4,194.
Sebelum itu semasa PRU-13, beliau yang pertama kali bertanding atas tiket PAS turut menang dengan majoriti 645 undi ketika menentang calon BN, Alias Abdullah.
“Saya telah diberi peluang oleh parti PAS untuk bertanding dalam PRU Ke-13, pertama kali masuk bertanding saya mendapat kemenangan tipis iaitu majoriti 645 undi. Ketika penggal pertama saya masih lagi jadi pembangkang.
“Pada PRU Ke-14, alhamdulillah diberikan undi yang besar iaitu saya menang lebih daripada 4,000 majoriti. Satu jumlah yang besar, bila saya menang kali kedua, saya diamanahkan sebagai exco kerajaan negeri iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri,
“Terima kasih kepada parti, kerajaan negeri yang telah beri peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian penggubal dasar Negeri Terengganu. Banyak yang saya belajar sepanjang lima tahun mentadbir negeri,” ujarnya.
Justeru katanya, beliau mengharapkan majoriti kemenangan pada kali ini akan lebih bertambah berbanding PRU Ke-14.
“Alur Limbat ini kawasan exco, macam-macam kelebihan yang boleh dibawa ke kawasan ini.
"Jadi kalau dulu kita dah undi PAS, dah beri kemenangan, kali ini saya berharap kita dapat tambah lagi majoriti kita," ujarnya.
Arinffin berkata, beliau yakin pengundi DUN Alur Limbat akan membuat pilihan yang bijak dengan terus memilih kerajaan yang dapat mentadbir Terengganu selari dengan prinsip maju, berkat dan sejahtera.
07 Aug 23
180
Calon PAS Kuala Besut Dikenali, Disukai Ramai
BESUT, 7 Ogos - Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh memiliki kelebihan untuk dipilih sebagai wakil rakyat pada 12 Ogos nanti berdasarkan tinjauan yang dibuat terhadap pengundi.
Hasil kajian secara rawak di peringkat akar umbi, rata-rata masyarakat cukup kenal dengan usahawan emas terbabit.
Rosmayati Johan, 60, yang merupakan seorang peniaga berkata, dia sudah lama mengenali calon PAS terbabit iaitu sebelum Azbi aktif berkecimpung dalam politik.
Rosmayati sedang bersembang dengan Haji Azbi, Calon N01
“Dia seorang yang baik dan berpewatakan rakyat, setiap kali bertemu rakyat senyuman tidak pernah lekang daripada bibir, beliau sangat layak untuk diangkat menjadi wakil rakyat.
“Saya harap beliau dipilih menjadi YB dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah peniaga yang tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat daripada BN sebelum ini,” katanya kepada media ketika berniaga di Pasar Minggu Kuala Besut.
Sementara itu, bagi Shaiful Amrie Aripin, 41, dia mahu memberi peluang kepada muka baharu untuk mewakili rakyat di DUN berkenaan.
"YB sebelum ini bukan tak bagus, tapi ada banyak isu yang tak mampu diselesaikan.
"Saya harap akan ada wakil rakyat, muka baru agar ada idea 'fresh' dan segala isu dapat dibangkitkan," jelasnya.
Mesra dengan anak muda
Menurut Nur Aninee Salehuddin, 37, sebagai peniaga dia menghadapi kesulitan apabila banyak harga barang naik mendadak dan berharap agar masalah itu dapat diatasi oleh kerajaan.
“Walaupun ini hanya pilihan raya negeri tetapi saya mahu ada perubahan selepas pilihan raya negeri nanti.
“Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti juga perlu meneruskan inisiatif pembinaan rumah mampu milik kerana masih ramai yang tidak memiliki rumah termasuk saya,” jelasnya yang tidak sabar untuk keluar mengundi.
07 Aug 23
708
Undi di Enam Negeri, Isyarat Kepada Putrajaya
BESUT, 7 Ogos - Parti Islam Semalaysia (PAS) menyeru semua pengundi di enam negeri yang bakal menunaikan tanggungjawab, 12 Ogos ini supaya menzahirkan isyarat amaran kepada Putrajaya dengan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN)/PAS.
Calon PAS yang bertanding bagi kerusi N02 DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan, undi untuk Perikatan Nasional (PN) adalah lontaran suara rakyat terhadap kesombongan dan kerakusan kepimpinan kerajaan hari ini.
"Kita bukan setakat mengundi calon sahaja, kesan undi kita akan mencorakkan pemerintahan bukan setakat negeri Terengganu, tetapi kita menghantar satu signal kepada Persekutuan bahawa kita tidak bersetuju dengan pemerintahan sekarang.
"Asasnya adalah prinsip perjuangan, yang kita lihat adakah kita mahu mengekalkan pemimpin sebegini? Bercakap bohong, janji tidak ditepati? Itu asasnya," katanya.
Menurutnya, setiap pengundi harus berfikiran jauh, bukan sekadar pada calon semata-mata, sebaliknya menilai misi dan ke mana sokongan serta dokongan calon dipilih yang akan dibuat.
Beliau mengajak seluruh pengundi, terutama di kerusi DUN Kota Putera supaya berfikir tentang perkara yang diutarakan.
"Bukan sekadar tentang Dato'Pehimi (calon BN) sahaja, tetapi masalahnya jika dia menang, dia akan memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada yang kita tahu korup, melakukan pembohongan, ugutan dan melanggar peraturan sesuka hati.
"Adakah Dato'Pehimi seorang boleh mengubah Dato' Seri Zahid (Hamidi)? Kena jentik sajalah.
"Saya rasa, lebih berbaloi kita (pengundi) bawa satu agenda lebih besar iaitu perpaduan ummah dan juga usaha menjatuhkan kepimpinan yang penipu itu," katanya.
07 Aug 23
247