lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Gelombang Ahli UMNO Sokong PAS Bakal Gugat Kerajaan Persekutuan
Gelombang Ahli UMNO Sokong PAS Bakal Gugat Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Perubahan Kerajaan Persekutuan yang disebutkan bukanlah khayalan ataupun mimpi di siang hari, Perlembagaan Persekutuan membolehkan ia berlaku mengikut aturan yang ditetapkan. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata apatah lagi jika perubahan itu diinginkan oleh majoriti rakyat. Katanya, petanda itu semakin memuncak dari hari ke hari.  “Sebagai bukti, dalam waktu kempen, gelombang perubahan itu mula menular dari satu tempat ke tempat yang lain, ramai akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PAS/PN. “Contohnya di DUN Tepoh, orang kuat UMNO di beberapa cawangan seramai hampir 100 orang telah mengisytiharkan keluar UMNO dan memberikan sokongan kepada PAS,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini. Tambah Dr Alias, keluarnya mereka daripada UMNO adalah kerana merasakan dikhianati oleh pemimpin atasan sendiri dan kerana tidak rela bersekongkol dengan PH terutamanya DAP. “Begitu juga di kebanyakan DUN lain dan gelombang penolakan terhadap BN-PH ini tidak terhenti di situ, ramai lagi dijangka akan keluar daripada UMNO sama ada secara zahir di pentas ceramah ataupun sebaliknya. “Kita juga mendapat banyak maklum balas daripada ahli UMNO yang masih kekal dalam UMNO,” katanya. Beliau berkata, mereka juga memilih untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini supaya menjadi isyarat dan teguran kepada kepimpinan UMNO untuk kembali kepada perjuangan asal UMNO. “PAS Terengganu sangat mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka dan semoga ia mampu menguatkan PAS/PN bagi membina negeri yang sejahtera,” ujarnya.        
07 Aug 23
189
Pengundi Awal Perlu Buat Pilihan Bijak
Pengundi Awal Perlu Buat Pilihan Bijak
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab pada Selasa (esok) diharap membuat keputusan tepat demi menentukan masa depan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15. Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta polis bersama pasangan masing-masing perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan bijak sebelum memilih calon. “Esok adalah hari mengundi awal. Dalam DUN Alur Limbat terdapat lebih daripada 100 pengundi awal, saya mendoakan pengundi-pengudi awal kita dapat buat pilihan yang terbaik tanpa takut kepada sesiapa. “Fikirkan sejenak apa yang berlaku dalam negara dan negeri kita, saya yakin sahabat-sahabat semua bijak pandai dan tahu untuk buat pemilihan yang sebaiknya,” ujarnya. Katanya, PRU (DUN) Ke-15 amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang mampan, berkebajikan, stabil dan bersih.  “Untuk itu, kita semua perlu memilih pemimpin dan parti yang benar-benar dapat bekerja buat rakyat dan negeri ini,” ujarnya. SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRU (DUN) Ke-15 membabitkan enam negeri dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini. Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.
07 Aug 23
105
UMNO Terdesak, Guna Warga Emas Cetus Perang Saraf
UMNO Terdesak, Guna Warga Emas Cetus Perang Saraf
SETIU, 7 Ogos - Tindakan UMNO BN yang memanipulasi kesihatan seorang wanita tua demi membangkitkan isu takfiri disifatkan sebagai terdesak untuk menyekat sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional. Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketandusan idea menyebabkan taktik perang saraf tidak bermoral itu dilakukan sebagai kempen jelik bagi mengalih perhatian rakyat terhadap masalah yang berlaku di peringkat nasional. "Perkara itu sengaja dicetuskan kerana tiada modal (bagi meraih undi rakyat) akhirnya ia ditimbulkan bagi mengalih tumpuan orang Melayu. "Dari segi untuk menyelesaikan masalah ekonomi, hilang hala tuju jadi dialihkan kepada isu-isu sebegini. "Sebenarnya makcik (yang dipergunakan) ini ramai yang kenal dan diketahui masalah nyanyuk kerana itu keluarga dia minta supaya jangan diviral untuk tujuan jahat, dirakam kemudian disebarkan jadi keluarganya sangat dukacita dengan pihak-pihak sebelah sana (PH-BN)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Ceramah Perdana, di Pasar Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, tohmahan mendakwa bahawa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menkafirkan UMNO adalah tidak berasas kerana isu takfiri itu terbit daripada kenyataan bekas pimpinan yang pernah bersama PAS dan telah pun menyertai UMNO. "Kita sentiasa berjumpa UMNO berbincang termasuk telah agenda menyatukan ummah dibincang secara bersama. "Dari segi logiknya di mana kita mengkafirkan UMNO? kalau kita boleh duduk berbincang sekali, malah pernah mengajak untuk bersama dalam Perikatan Nasional (PN)," ujarnya. Justeru katanya, rakyat jangan terpedaya dengan isu-isu serta provokasi murahan yang dicetuskan di kala rakyat pada ketika ini mahu melakukan perubahan besar negara bagi memastikan pentadbiran lebih baik dapat dicapai selepas Pilihan Raya Umum Dewan (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 12 Ogos nanti.
07 Aug 23
307
Calon PAS Bukit Tunggal Terima Sokongan Padu Rakyat
Calon PAS Bukit Tunggal Terima Sokongan Padu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pemilihan calon baharu Parti Islam Se-malaysia (PAS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid dilihat bertepatan dengan aura yang dibawa beliau di sini. Ini terbukti apabila sambutan hangat diterima Zaharuddin sepanjang sembilan hari berkempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri pada 12 Ogos ini. Zaharuddin berkata walaupun kempen baharu memasuki hari kesembilan, namun sambutan diterima PAS begitu memberangsangkan dan amat positif. Katanya, sambutan tersebut bukan sahaja dari kalangan orang dewasa malah golongan muda. “Kita akan terus bekerja kuat sepanjang tempoh berkempen untuk meyakinkan pengundi tentang kemampuan serta keupayaan PAS mentadbir negeri ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas program bertemu rakyat di Kampung Pulau Ketam, Pulau Duyong semalam. Tambah Zaharuddin, kawasan Bukit Tunggal ini telah lama dimenangi oleh PAS sejak daripada 2004 sehingga sekarang yang diterajui oleh mantan ADUN, Dato’ Dr Alias Razak. "Antara yang perlu kita buat untuk menguatkan lagi sokongan rakyat di sini ialah dengan menambahkan lagi cawangan serta keahlian PAS di seluruh DUN ini. “Ia bagi memastikan kekuatan akar umbi dapat diperkuatkan sebaik-baiknya,” ujarnya. Hal ini kerana, kekuatan sesuatu parti itu dipengaruhi oleh ramainya bilangan ahli dan banyaknya cawangan yang berada di sesuatu kawasan.        
07 Aug 23
537
Calon PAS Rantau Abang Berpotensi Raih Majoriti Besar
Calon PAS Rantau Abang Berpotensi Raih Majoriti Besar
DUNGUN, 6 Ogos – Rakyat yakin calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang berpotensi memperoleh majoriti terbesar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini. Salah seorang pengundi DUN Rantau Abang, Muhammad Attif Hannan Arifin, 23, berkata, rakyat di DUN itu telah lama mengenali calon tersebut yang merupakan golongan agamawan. Katanya, calon tersebut pernah belajar di Yaman dan sekarang berkhidmat untuk masyarakat di DUN ini. “Ustaz Mohd Fadhli terkenal dengan sifat lemah lembut dengan senyuman manis serta mudah mesra dengan penduduk kampung di sini. “Saya juga bersetuju bahawa PAS meletakkan pemuda untuk menerajui kepimpinan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini. Terdahulu ketika pengumuman calon PAS, Mohd Fadhli berkata sokongan hebat orang muda terhadap PAS memberi keyakinan kepadanya untuk menjalankan amanah menerajui pimpinan. “Suasana politik tanah air di negeri ini dapat dilihat bahawa golongan muda lebih cenderung memilih Parti PAS. “Hal ini kerana, golongan muda zaman sekarang bijak dalam memilih parti yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah keburukan. “Saya sebagai calon baharu banyak lagi yang perlu dipelajari dan saya akan rujuk mereka yang telah lama dalam kepimpinan,” ujarnya.
06 Aug 23
569
Kerusi DUN Ajil, Maliaman Yakin Peroleh Undi Majoriti Lebih Besar
Kerusi DUN Ajil, Maliaman Yakin Peroleh Undi Majoriti Lebih Besar
HULU TERENGGANU, 6 Ogos - Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 (PRN DUN Ke 15 ), Maliaman Kassin yakin mampu mendapat majoriti yang lebih tinggi berbanding PRU14 lalu. Beliau yang juga Mantan Pegawai Pendidikan memperoleh 8,132 undian ketika menentang Ghazali Taib daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 8,128 undi dengan perbezaan majoriti empat undi sementara calon PKR, Zamani Mamat sekadar mendapat 679 undi. “Kita dah ada ‘fixed deposit’  sebanyak empat undi dan bergerak sejak kemenangan pada PRU14  lagi untuk berkhidmat kepada masyarakat. “Masyarakat dah melihat bagaimana khidmat sepanjang satu penggal dan  kita juga berlaku adil tanpa mengira status politik dari sudut agihan bantuan, khidmat bakti masa Covid-19 dan lain-lain gerak kerja ketika bergelar wakil rakyat. “Saya dapat lihat penerimaan rakyat diterjemahkan pada PRU15 baru ni di atas kertas undi yang mana di DUN Ajil sahaja kita dapat kemenangan untuk Ahli Parlimen Datuk Rosol Wahid yang bertanding atas tiket PAS lebih kurang 4,500 majoriti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini. Tambahnya, keputusan PRU15 adalah bukti penerimaan rakyat kepada PAS dan perubahan itu tidak boleh diabaikan pada PRN DUN kali ini. “Untuk PRN akan datang, kita harap momentum ataupun 'mood' pengundi itu  masih lagi kekal dan mengharapkan pengundi luar khususnya  akan balik mengundi. “Apapun, kita letakkan sandaran kepada Allah Taala... Insya-Allah lagipun kami bukan ego, yakin seratus peratus… tidak sebab kenyakinan ini berdasarkan takdir Allah Taala. “Sasaran asasnya kita nak mengekalkan kemenangan PAS di DUN Ajil selain menambah jumlah majoriti berdasarkan gerak kerja parti, masalah yang berlaku pada parti lawan, diharapkan kemenangan memihak pada PAS,” ujarnya. Kerusi DUN Ajil menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari serta penyandang kerusi tersebut daripada PAS, Maliaman Kassim dalam PRN DUN pada 12 Ogos depan.  
06 Aug 23
366
Politik Matang Sejahtera PAS, Redakan Sengketa Politik Terengganu
Politik Matang Sejahtera PAS, Redakan Sengketa Politik Terengganu
BESUT, 5 Ogos- Pendekatan politik matang dan sejahtera yang diamalkan parti PAS ketika mentadbir Negeri Terengganu memperlihatkan perkembangan positif apabila kempen yang memasuki tempoh seminggu berlangsung dalam suasana yang tenang dan 'sejuk'. Calon PAS bahagian pilihan raya N02 Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pendekatan tersebut diterapkan kepada semua peringkat kepimpinan. "Ketika saya menjadi wakil rakyat di sini pada penggal terdahulu, antara perkara utama yang dilakukan ialah meredakan sentimen kepartian dalam masyarakat. "Kalau di Besut ini, kalau kita tengok ketegangan politik amat ketara. "Dahulu terjadi pelbagai isu dan 'bertikam bayang' sesama sendiri, jadi saya berusaha mengurangkan perkara tersebut. "Orang UMNO kita buat kawan supaya ideologi perbezaan itu hanya semasa pilihan raya," katanya ketika ditemui semasa ziarah masyarakat di Kampung Persiaran Limbungan, hari ini. Menurutnya, sentimen itu berjaya diredakan apabila kerajaan negeri turut menggunakan kaedah yang sama terutama dalam pemberian kebajikan tanpa mengira perbezaan parti. "Janji apabila layak, mereka diberi bantuan. Dengan itu, rakyat menilai sendiri," katanya. Tambahnya, apa yang penting ialah masyarakat bersama-sama membangunkan negeri dan tempat masing-masing. Selain menjadi pelaksana kepada manifesto yang dijanjikan kerajaan negeri di peringkat DUN, Nurkhuzaini turut menyelesaikan isu tanah terkilan bagi lebih 1,000 penerima. "Kita berjaya menyelesaikan pemberian hak milik kepada 900 lebih penerima dan kini tinggal 300 lebih lagi senarai yang masih berbaki untuk diselesaikan selepas ini," ujarnya.  
05 Aug 23
112
KMIKT Komited Tawarkan Perkhidmatan Lebih Komprehensif
KMIKT Komited Tawarkan Perkhidmatan Lebih Komprehensif
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT), anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. terus komited dalam memastikan perkhidmatan yang lebih komprehensif dapat disediakan kepada masyarakat setempat. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long berkata, ianya termasuk dengan pembukaan satu pusat dialisis di dalam fasiliti KMIKT pada tahun hadapan.  "Dengan adanya pusat dialisis ini, KMIKT yakin ia dapat menampung keperluan pesakit yang memerlukan rawatan buah pinggang.   "Usaha ini selari dengan visi syarikat untuk menempatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dibawah satu bumbung sahaja,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di KMIKT. Selain itu katanya, antara perancangan pada tahun hadapan juga adalah penawaran perkhidmatan baru seperti onkologi dan neurologi untuk menyokong perkhidmatan sedia ada. "KMIKT juga bersedia untuk melabur dalam teknologi yang moden dan terkini untuk memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan adalah bermutu tinggi dan berkembang mengikut peredaran zaman, " ujarnya. Tambah beliau, dalam memantapkan mutu perkhidmatan pelanggan juga, KMIKT berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti bagi semua pelanggannya selari dengan pengiktirafan ISO: 9001:2015 dan BrandLauerate BestBrand Award yang telah di terima pada tahun 2022. "Justeru itu, KMIKT kini terus komited untuk mendapatkan pensijilan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) yang merupakan satu akreditasi yang mengikut piawaian dan kualiti antarabangsa untuk sektor kesihatan.  "Dengan adanya akreditasi ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang selamat dan berkualiti adalah jaminan KMIKT kepada semua pelanggannya, " jelas Salina.  Mengulas lanjut, Salina memaklumkan, sejak penubuhan Servis Kardiologi dan Makmal Kateterisasi pada tahun 2020, seramai 3027 pesakit jantung telah berjaya dirawat sehingga Jun 2023.  "Angka ini dijangka akan terus meningkat berdasarkan permintaan yang sangat memberangsangkan daripada komuniti Pantai Timur.  "Antara rawatan bukan invasif yang ditawarkan di KMIKT adalah Angiogram & Angioplasti Koronari serta Kajian Elektrofisiologi Jantung, " ujarnya.  Menurut beliau, KMIKT merupakan satu-satunya hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan jantung di Negeri Terengganu.
04 Aug 23
190
Laporan Sudah Dibuat, Bila Zahid Akan Disiasat?
Laporan Sudah Dibuat, Bila Zahid Akan Disiasat?
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Setelah empat hari laporan dilakukan berkenaan ucapan berbaur rasuah yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, rakyat Malaysia masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, tindakan ke atas Zahid wajar dilakukan segera kerana ucapannya jelas bermatlamat meraih undi. "Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu telah membuat laporan berkenaan isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas. "Hari ini (semalam) sudah hari Khamis, kami masih belum menerima sebarang makluman dan perkembangn sama ada laporan ini sudah bermula siasatan atau pun tidak," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS semalam. Katanya, perkembangan semasa mengenai kes tersebut sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana ia membabitkan imej negara. "Saya harap kes ini perlu disiasat segera, sebagaima segeranya siasatan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah sebelum daripada ini," katanya lagi.
04 Aug 23
243
Terengganu Berkabung Selama Lima Hari
Terengganu Berkabung Selama Lima Hari
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mengampuni perkenan tempoh berkabung selama lima hari bermula hari ini, setelah kemangkatan Bonda Baginda, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah awal pagi ini. Melalui kenyataan dikeluarkan Dato' Pengelola Bijaya DiRaja, Pejabat DYMM Sultan Terengganu, tempoh berkabung adalah sehingga 7 Ogos 2023. Sehubungan itu, lelaki beragama Islam hendaklah memakai satu inci lilitan kain putih pada songkok, dan bagi lelaki bukan beragama Islam hendaklah memakai satu inci lilitan kain putih pada songkok serta selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri baju dan memakai tali leher berwarna hitam. Manakala, bagi perempuan beragama Islam hendaklah memakai tudung berwarna putih dan perempuan bukan beragama Islam hendaklah memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan. Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu mangkat pada jam 3.17 pagi, di Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarhamah dibawa ke Kuala Terengganu dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 2.45 petang tadi. Jenazah Allahyarhamah selamat dimakamkan pada jam kira-kira jam 6.10 petang di Makam DiRaja Masjid Muktafi Billah Shah. image widget
03 Aug 23
1493