Artikel "Semasa" Terkini
'Jangan Cetus Huru Hara Rai Kemenangan di Jalan Awam'
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Penyokong dan ahli PAS diingatkan agar tidak mencetuskan sebarang huru hara dan mengadakan perarakan konvoi sama ada malam menjelang hari mengundi atau meraikan kemenangan Perikatan Nasional di negeri ini nanti.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Kita telah membuat arahan kepada penyokong-penyokong dan ahli kita supaya tiada apa-apa konvoi kerana dikhuatiri akan menganggu ketenteraman awam apatah lagi menganggu lalu lintas.
"Sama ada sebelum malam (mengundi) atau selepas menerima kemenangan, itu merupakan arahan yang telah jelas," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.
Tegasnya, ahli PAS dan penyokong diharapkan terus menjaga disiplin agar tidak dilihat sebagai pihak yang mencetuskan keadaan huru hara.
"Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang terlalu 'excited' sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya ataupun menghuru-harakan keadaan dan kehidupan orang ramai khususnya.
"Boleh bergembira, mungkin boleh berkumpul di Dataran Jambatan Angkat itu tiada masalah jangan kita menganggu lalu lintas sahaja kerana ia mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang awam," ujarnya lagi.
10 Aug 23
414
Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli
HULU TERENGGANU, 10 Ogos - Dua hari sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke 15 (PRN15), Ibrahim Awang, 57, sanggup meredah perjalanan lebih tiga jam menaiki bot dan berjalan kaki selama dua jam untuk mencari penduduk Orang Asli Sungai Berua yang bekerja jauh di pedalaman sempadan Terengganu-Pahang untuk pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.
Dia yang juga pembantu Tok Batin Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua turut dibantu oleh beberapa orang asli lain termasuk anak-anaknya sendiri.
"Bagi memastikan semua 270 pengundi Orang Asli Kampung Sungai Berua menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, saya nekad untuk mencari mereka di Gunung Bewah dan hutan sempadan Terengganu-Pahang.
"Usaha itu dilakukan sejak beberapa lalu bagi memastikan semua mereka datang mengundi pada hari Sabtu ini dan saya melihat usaha itu amat berbaloi kerana semua Orang Asli kawasan ini pulang untuk mengundi," katanya kepada pemberita.
Katanya, walaupun mengambil masa lama berikutan jarak yang jauh selain bentuk muka bumi yang perlu ditempuhi, ia tidak mematahkan semangat untuknya menjejak anak-anak buahnya yang berada di luar kawasan bekerja mencari hasil hutan.
Ibrahim berkata, agak sukar untuk menjejak semua Orang Asli yang bekerja jauh di pedalaman, tetapi dengan kaedah tertentu mereka dapat ditemui dan dipujuk untuk pulang awal sebelum hari pengundian.
"Syukur Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan insya Allah pada hari pengundian nanti kami akan berkumpul terlebih dahulu sebelum bergerak ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tapah, menggunakan kenderaan sendiri selain bantuan kenderaan daripada perayu undi," katanya.
10 Aug 23
449
Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Orang ramai dinasihatkan merakam gambar atau video sekiranya melihat berlakunya sogokan atau aktiviti merasuah pengundi sepanjang kempen pilihan raya ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata semua pihak perlu berperanan bagi memantau insiden tidak sihat itu di tempat masing-masing.
"Dijangkakan pada hari akhir menjelang hari pengundian akan ada lebih banyak lagi aktiviti berupa sogokan dan politik wang ini, aktiviti rasuah akan berlaku secara berleluasa.
"Suka saya mengingatkan kepada pengundi sekalian untuk terus memantau insiden ini jika berlaku di tempat-masing sila rakam gambar ataupun bukti-bukti yang lain serta segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.
Tegasnya, adalah penting bagi setiap rakyat bagi memastikan mereka yang menang sebagai calon pilihan raya adalah mereka yang bersih dan berintegriti untuk dijadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Kita tidak mahu calon itu menang kerana rasuah dan politik wang, pada ketika ini PAS Terengganu sendiri sedang meniliti beberapa insiden yang berlaku untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Kita juga ada membuat laporan polis dan SPRM dan ini akan menjadi bukti selepas Pilihan Raya. Kemungkinan petisyen akan berlaku, adalah lebih baik perkara ini dihentikan sekarang.
"Jadi saya serulah kepada pihak sebelah sana jangan mengamakan budaya rasuah ini kerana kita ada mata-mata ataupun wakil kita yang sedang mengekori dan menyiasat perkara ini," ujarnya.
10 Aug 23
175
Terengganu Bangunkan Semula Strawberry Park Terbiar
KEMAMAN, 10 Ogos – Pusat peranginan terkenal yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu, Strawberry Park, Kijal bakal berubah wajah menjadi sebuah resort lima bintang selepas perjanjian membangunkan projek itu dimeterai.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026.
Katanya, ketika ini kerja-kerja kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dilaksanakan.
"Penjenamaan semula fasiliti resort yang berkeluasan lebih lapan hektar itu dilakukan oleh kerajaan negeri menerusi Terengganu Inc dengan kerjasama pemilik tapak iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
“Projek bernilai RM150 juta itu akan dibangunkan oleh syarikat pembangunan hartanah dan hotel iaitu iKHASAS Land Sdn Bhd dan pengoperasian resort oleh Courtyard by Marriot.
“Insya-Allah, apabila siap nanti, resort ini akan dilengkapi 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite’ berlatar belakang laguna yang sangat cantik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Strawberry Park, Kijal bertempat di Hotel World Kijal semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, resort tersebut juga akan dilengkapi dua ruang makan, bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang dan pelbagai kelengkapan lain seperti spa, ruang rekreasi air serta trek hutan.
Menurutnya, resort baharu itu dijangka menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai destinasi teko-pelancongan.
“Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah.
“Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai,” ujarnya.
Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan projek di atas tanah milik LTAWNT yang ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulkifli Ali dan iKHASAS Land Sdn diwakili Pengarah Utusan Kumpulannya, Ir Tan Chee Kian.
MoU kedua mengenai kerjasama projek ditandatangani Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Tan Chee Kian.
10 Aug 23
1730
'Perantau Pulanglah Mengundi'
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Anak-anak perantau dinasihat untuk pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan negara.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Alias Razak berkata beliau yakin rakyat Terengganu memiliki semangat demokrasi yang tinggi lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini merupakan pungutan suara rakyat bagi menyatakan kekecewaan kepada parti pemerintah di Persekutuan.
"Pengundi akan (tetap) balik mengundi untuk memastikan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen Kuala Terengganu akan dimenangi dengan majoriti yang lebih besar.
"Ini akan memberi penekanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan bagi diberikan kepada yang lebih berkeupayaan ataupun kepada parti yang lebih mampu mentadbir negara dengan lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, hari ini,
Menurutnya lagi, beliau mendapat maklum balas daripada anak Terengganu yang tinggi bersedia untuk pulang menunaikan tanggungjawab.
"Dengar khabarnya telah ramai yang ingin pulang dengan menyertai konvoi, berkongsi kereta dan beli tiket bas.
"Insya-Allah saya rasa melihat kepada trend pengundi awal semalam mencatatkan peratusan tinggi iaitu 97 peratus saya rasa ia akan mempengaruhi orang awam untuk melunaskan tanggungjawab mereka.
"Apatah lagu pengundi-pengudi PN sekarang ini benar-benar ingin menzahirkan sikap tidak puas hati dan sudah 'Fed up' dengan PMX ini, setelah lapan bulan tidak tahu ke mana hala tuju ekonomi, ini merupakan kegagalan kerana dalam tempoh lapan bulan tiada apa perubahan tanpa ada pelan 100 hari," katanya.
09 Aug 23
128
JKR Sedang Nilai Struktur Tanah di Flat Bukit Kecil
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses penilaian tanah terhadap dua runtuhan kecil di bukit berhampiran Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu di sini sebelum mengambil tindakan lanjut.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata kejadian itu sudah berlaku pada musim tengkujuh tahun lepas.
Katanya, pihaknya sudah menulis surat bagi permohonan peruntukan kepada Jabatan Kajian Tempatan (JKT).
“Susulan itu, JKT akan turun melihat bukit tersebut pada 10 Ogos 2023, esok untuk membuat penilaian bagi tindakan selanjutnya.
"Anggaran awal dibuat oleh JKR adalah sebanyak RM3.1 Juta kerana dikesan terdapat dua tempat berlaku runtuhan di bukit itu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Tambah Rosli, penentuan kos sebenar pembaikan hanya boleh dibuat selepas kerja-kerja penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan.
Seterusnya, pihak JKR akan menyediakan rekabentuk dan skop kerja perlindungan hakisan bukit berkenaan setelah kerja-kerja penyiasatan tanah dilakukan.
"Segala tindakan dan perlindungan komponen hanya boleh dibuat setelah kerja-kerja penyiasatan tanah dilaksanakan.
“Jadi tak semestinya Rm3.1 Juta, mungkin akan lebih atau berkurang daripada jumlah tersebut.
“JKR memerlukan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk memulakan kerja-kerja penyiasatan tanah,” ujarnya.
09 Aug 23
443
Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Hotel Paya Bunga (PB), milik penuh kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan pendapatan bagi tahun 2022 sebanyak RM15.7 juta atau 40.2 peratus berbanding 2021.
Pengerusi Lembaga Pengarah Hotel PB, Ahmad Shah Mohamed berkata, berdasarkan prestasi itu pihaknya menyasar pendapatan RM20.5 juta pada 2023 menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan.
Katanya, setakat Julai lalu, Hotel PB mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM10.3 juta dan jangkaan pendapatan itu realistik berdasarkan prestasi kewangan Hotel PB yang terus mencatatkan pertumbuhan memberansangkan.
“Pada tahun 2022, jumlah pendapatan Hotel PB adalah sebanyak RM15.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 40.2 peratus berbanding jumlah pendapatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM11.2 juta.
Disebalik kenaikan kos operasi seperti kenaikan harga barang dan gaji minimum, pihak pengurusan telah berjaya mengekalkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 juta setahun,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Shah, Hotel PB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2022 dan RM2.7 juta pada tahun 2021.
Beliau yang juga mantan ADUN Bandar memaklumkan, Hotel PB telah mendapat kontrak bekalan makanan dan minuman daripada salah satu anak syarikat Petronas pada Jun lalu.
“Kontrak ini akan terus mengukuhkan lagi prestasi kewangan hotel pada tahun-tahun akan datang.
Menurut beliau lagi, perkhidmatan yang terbaik dan kepuasan para tetamu hotel menjadi keutamaan kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan serta semua kakitangan.
“Baru-baru ini, Hotel PB telah mendapat anugerah Best City Hotel By Country oleh International Travel Award 2023 yang telah diadakan di Dubai.
"Kami akan terus mencari peluang perniagaan di dalam bidang hospitaliti terutamanya perkhidmatan bekalan makanan dan minuman, kemudahan dan pengurusan acara serta lain-lain bagi mengukuhkan lagi kewangan," ujarnya.
09 Aug 23
272
"Pelik, Peguam Pendakwaan Zahid Digugurkan" - Tok Li
KEMAMAN, 9 Ogos - Calon PAS-Perikatan Nasional (PN) Kijal, Dato' Razali Idris atau Tok Li mempersoalkan kenapa peguam pendakwaan yang lantang mendedahkan penyelewengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan dengan tiba-tiba menjelang keputusan terhadap 47 kesnya.
Katanya, perkara itu sangat pelik kerana tiba-tiba sahaja Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengeluarkan kenyataan Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai kes Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk bersara awal pada 3 April lalu dan berkuatkuasa pada 1 November ini.
"Semakin pelik apabila semua ini dikeluarkan pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, apa yang sudah berlaku sebenarnya?.
"Adakah ada tangan-tangan ghaib yang memaksa atau ada tekanan sehingga tiba-tiba ketua pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri kabiner kerajaan perpaduan ala madani tidak lagi mengendalikan kes berkenaan?
"Rakyat semakin tertanya-tanya walaupun jawapan sudah dikeluarkan secara umum,"ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.
Calon PN Kijal itu mengajak rakyat di negeri yang menghadapi PRN khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar membuat pertimbangan yang terbaik untuk memilih pemimpin berintegriti berdasarkan kes yang dihadapi Zahid ini.
Katanya, 47 kes dihadapi Zahid itu antaranya kes pecah amanah, didakwa menggunakan dana milik Yayasan Akal Budi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi.
"Polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Malaysia.
"Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
"Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.
09 Aug 23
295
Ahmad Said 'Tenggelam' Di Sebalik Tok Li
KEMAMAN, 8 Ogos - Poster gergasi calon PAS, Tok Li atau Dato' Razali Idris yang dipasang penyokong PAS di Kampung Bukit Kuang, Kijal menenggelamkan poster calon BN sehingga mencuri tumpuan orang ramai.
Pengarah Majlis Tindakan DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata billboard bersaiz 40x40 itu dihasilkan menggunakan duit ahli dan penyokong PAS serta orang perseorangan.
“Semangat penyokong PAS-Perikatan Nasional untuk merampas DUN Kijal daripada Dato’ Seri Ahmad Said cukup tinggi, ramai datang untuk sama-sama memasang poster in.
“Kami mula memasang billboard ini pada jam 11 malam dengan tenaga dalam 50 orang. Kira-kira dalam masa lima jam poster dan kerangka siap dipasang,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial poster gergasi yang memaparkan gambar Tok Li di sebelah poster Ahmad Said.
Poster ini menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dan memuji kekreatifan anak muda di DUN terbabit.
Sementara itu, mengulas tentang peluang untuk menang di Kijal, Tok Li berkata Kijal kini bukan lagi kubu BN, walaupun Ahmad menang di kerusi itu selama sembilan penggal sejak 1990.
Ujarnya, sokongan terhadap Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu dilihat semakin berkurangan setiap kali pilihan raya.
“Sokongan terhadap Ahmad juga jelas menurun ketika beliau bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tahun lalu.
“Ketika bertanding di kerusi Parlimen, beliau kalah bagi peti undi DUN Kijal, jadi DUN Kijal ini bukan lagi Kubu kuat BN dan sokongan rakyat mula berubah,” katanya.
08 Aug 23
1115
Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama
DUNGUN, 8 Ogos – Sepasang kekasih yang kononnya berhenti untuk tidur antara tiga pasangan yang ditahan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Pantai Dungun di sini.
Ketua Unit Penguatkuasaan (KUP) Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kesemua pasangan tersebut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Beliau yang mewakili Pegawai Agama Daerah Dungun berkata mengikut pertuduhan, dua pasangan ditangkap melakukan perbuatan tidak sopan di sekitar pesisir pantai manakala satu pasangan di dalam kereta.
“Berdasarkan fakta kes pasangan dalam kereta, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah daerah melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta mencurigakan di tepi pantai berkenaan.
“Anggota kemudian menghampiri kenderaan itu bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah pasangan sedang tidur di dalam kenderaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika siang media selepas Operasi Bersepadu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bersama Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun bertempat di sekitar pantai Dungun baru-baru ini.
Tambah Mohsein, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki adalah seorang duda manakala perempuan mempunyai status janda.
Susulan itu, pasangan terbabit ditahan dan dikenakan tindakan kaunseling serta diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, tinjauan turut dilakukan hotel-hotel di sekitar Dungun, namun tiada kes yang berjaya dikesan oleh pihak Penguatkuasa.
“Hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan.
“Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu melibatkan tujuh orang pegawai penguatkuasaan Syariah (PPS) (PAD) Dungun serta seorang PPS sukarela.
"Pola kes dalam Daerah Dungun menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan.
“Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Dungun melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya.
Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah ini.
08 Aug 23
718