lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Proses Pengundi Lancar, Pengundi Luar Teruja Datang Awal
Proses Pengundi Lancar, Pengundi Luar Teruja Datang Awal
HULU TERENGGANU, 12 Ogos-Proses mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu(PRN DUN ke 15) yang bermula jam 8 pagi tadi, berjalan lancar dengan pengundi dilihat mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab pada jam 7.45 pagi. Tinjauan  di beberapa pusat pengundian di sini, mendapati kebanyakan pengundi yang keluar mengundi pada sebelah pagi terdiri daripada golongan warga emas, wanita dan pengundi luar. Anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau keadaan pusat pengundian bagi memastikan semua pengundi yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan. Suasana di sekitar pusat pengundian juga terkawal dengan kehadiran anggota polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut. Selain itu, kerusi roda juga disediakan bagi memudahkan pengundi yang uzur untuk memasuki pusat pengundian. Bagi Nurul Hasniza Shaari, 35, yang merupakan anak perantau berkata dia pulang daripada Shah Alam sejak dua hari lepas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi luar. Katanya, dia sanggup pulang kerana satu undinya, bakal menentukan  wujudnya perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi di negeri kelahirannya itu. "Balik untuk negeri tercinta dan memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk lima tahun lagi,"ujarnya yang membuang undi di SK Kuala Berang. Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang,  Dr Mamad Puteh tiba di SK Kuala Berang untuk mengundi jam 8.00 pagi tadi. Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.
12 Aug 23
155
Terengganu Umum Cuti Pada 13 Ogos
Terengganu Umum Cuti Pada 13 Ogos
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan Hari Kelepasan Am pada Ahad, 13 Ogos(Ahad) depan bagi memberi kemudahan dan peluang perantauan pulang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada 12 Ogos (Sabtu) sempena Pilihan Raya Umum DUN Terengganu kali ke-15.   Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan ini dibuat bagi memudahkan pengundi dari luar Terengganu yang bekerja di Terengganu untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing di Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.  "Pengumuman ini juga mengambilkira tugasan dan bagi memudahkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas sehingga lewat malam membantu SPR di seluruh negeri pada hari pengundian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau juga berharap pengumuman ini akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada semua yang terlibat dalam pesta demokrasi pada 12 Ogos 2023 nanti. 
11 Aug 23
406
Dr Sam Perlu Kekal
Dr Sam Perlu Kekal
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu dikekalkan untuk mentadbir negeri ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata beliau merupakan teknokrat yang profesional dan berkualiti, jadi tiada sebab untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri. “Dr Sam juga seorang yang tenang, tak gopoh dan tak bergaduh dengan sesiapa. “Ini sangat penting untuk menjamin kestabilan dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini. Tambah Dr Alias, Kerajaan Negeri telah menggariskan hala tuju jangka panjang yang jelas sehingga ke tahun 2030. “Pelbagai program/projek telah direncanakan untuk merealisasikan negeri ini sebagai negeri yang “Maju, Berkat, Sejahtera”. “Kerajaan Negeri memberikan komitmen yang penuh untuk melaksanakan dan menjayakan kesemua manifesto dan tawaran pilihan raya. “Ini menunjukkan sikap amanah yang tinggi dengan janji yang telah dibuat. “Kerajaan Negeri dibarisi oleh para pemimpin yang bersih, bebas rasuah dan salah guna kuasa. “Sehinggi kini tiada seorang pun yang didakwa atau disabitkan dengan apa-apa salah laku,” ujarnya.
11 Aug 23
622
Sogok Pengundi : PAS Masih Menanti Tindakan Terhadap BN
Sogok Pengundi : PAS Masih Menanti Tindakan Terhadap BN
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Parti Islam Se-malaysia (PAS) Terengganu masih menanti tindakan pihak berkuasa ke atas laporan-laporan yang dibuat berkenaan perbuatan rasuah terutamanya penyogokan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata tindakan segera itubadalah sangat penting bagi menjamin keabsahan keputusan pilihan raya. Katanya, di samping memelihara sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini. “Justeru, PAS Terengganu berharap agar pihak berkuasa tidak memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang dalam hal ini. “PAS memohon kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pengundi untuk terus memantau sebarang aktiviti berkaitan salah laku ini menjelang hari pengundian esok," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini. Tambah Dr Alias, jika ada, segera laporkan kepada pihak berserta dengan bukti-bukti yang berkaitan. “Penting bagi setiap rakyat bagi memastikan mereka yang menang sebagai calon pilihan raya adalah mereka yang bersih dan berintegriti untuk dijadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). “Kita tidak mahu calon itu menang kerana rasuah dan politik wang. “Pada ketika ini PAS Terengganu sendiri sedang meniliti beberapa insiden yang berlaku untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.  
11 Aug 23
192
PDRM, SPRM Segerakan Siasatan Insiden Tentera Diugut Mengundi
PDRM, SPRM Segerakan Siasatan Insiden Tentera Diugut Mengundi
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - PAS Terengganu menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera setelah menerima laporan telah berlakunya insiden sogokan dan ugutan ke atas para anggota dan polis ketika hari pengundian awal baru-baru ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata kejadian yang berlaku di Kemaman berkenaan telah tular di media sosial melalui video dan tangkap layar yang jelas menunjukkan anggota keselematan tersebut telah diumpan dengan duit bahkan dipaksa mengundi parti tertentu. "Insiden ini sekiranya benar-benar berlaku bukan sahaja menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang terdesak untuk memenangi plihan raya bahkan sedang menjahanamkan agenda pemerkasaan demokrasi yang menjadi teras sistem pemerintahan dan pentadbiran negara ini. "Semua kita tahu rasuah politik yang terjadi ini antara punca yang menjahanamkan sesebuah negara ini yang perlu dielakkan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, apa yang berlaku itu benar-benar mengundang perasaan sedih kerana anggota keselamatan negara diperlakukan sedemikian. "Harapnya tidak akan berlaku 'double standart' dengan hanya menumpukan dan mengenakan tindakan kepada sebelah pihak sahaja, itu tidak adil. "Pihak yang bersalah tanpa mengira sebelah mana samada kerajaan ataupun pembangkang diambil tindakan dengan cepat dan sewajarnya," ujarnya lagi.
10 Aug 23
180
Pembaziran Projek Terbengkalai Kerajaan Dahulu Lebih RM1 Billion
Pembaziran Projek Terbengkalai Kerajaan Dahulu Lebih RM1 Billion
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pelbagai projek pembangunan terbengkalai yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini melibatkan anggaran jumlah keseluruhan RM1 billion. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Parti Islam Se-malaysia (PAS) mendapati banyak projek yang dimulakan sejak tahun 2004 terbengkalai di Terengganu. "Bila kita tengok kenapa terbengkalai kerana berlaku pertukaran Menteri Besar, sedangkan mereka dari parti yang sama cuma masing-masing tidak mahu teruskan kerana mahu ada (legasi) sendiri. "Bila PAS perintah, kita ambil tanggungjawab siapkan yang terbengkalai termasuk yang terbaru di Kijal iaitu Strawberry Park. "Kita jadi kerajaan kena laksana tugas dengan amanah tanpa pembaziran wang rakyat," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika disoal oleh moderator mengenai satu video tular mendakwa tiada pembangunan dibawa PAS sejak mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2018. Selain Ahmad Samsuri, turut hadir dalam program Murabbi Nok Jupe : Chat With Me 3.0 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu hari ini ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan perbelanjaan kerajaan negeri adalah dengan mengikut keutamaan dan keperluan yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. "Itulah keutamaan kita dan alhamdulillah projek yang terbengkalai sudah pun disiapkan dalam penggal ini. "Ini amanah Allah untuk kita selesaikan masalah negeri, bukan sekadar tunjuk bangunan tinggi tapi nak selesai masalah rakyat," ujarnya.  
10 Aug 23
264
'Siasat Segera Pembelian Bas Amfibia, Aktiviti Sogok Pengundi'
'Siasat Segera Pembelian Bas Amfibia, Aktiviti Sogok Pengundi'
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Beberapa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dilakukan terhadap isu sogokan pengundi dan salah guna kuasa kerajaan dahulu. Pengadu yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata kesemua laporan itu dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 11 pagi, khamis hari ini. “Laporan pertama berkenaan calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang melakukan tindakan berunsur sogokan kepada pengundi. “Sogokan tersebut dipercayai berlaku ketika aktiviti berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri dan pada hari pengundian awal, 8 Ogos lepas. "Laporan itu dibuat kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," jelasnya. Dia berkata demikian kepada pemberita bertempat di luar pekarangan pejabat SPRM, Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Irsyad, beliau meminta siasatan dilakukan segera supaya rakyat tahu adakah perkara ini benar-benar berlaku. "Sekiranya berlaku, maka ia amat memalukan negara kita kerana perkara ini sering disebut oleh Perdana Menteri kita sendiri dari sudut tatakelola melawan rasuah sehabisnya. "Isu tersebut tidak sepatutnya berlaku terutama daripada calon yang bertanding atas tiket BN di Ladang," katanya. Menurut Muhammad Irsyad, laporan kedua adalah berkenaan bas dua alam yang telah dibeli oleh Kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2014. "Terdapat maklumat baharu kita dapati ada beberapa keraguan berkaitan pelantikan kontraktor yang bertanggungjawab membeli bas tersebut iaitu syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd. "Untuk makluman, syarikat tersebut merupakan syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2014 iaitu pada tahun yang sama ketika bas dua alam dibeli oleh kerajaan negeri waktu itu. "Ia menimbulkan keraguan kerana pendaftaran dibuat pada bulan 3 tetapi mereka telah menerima proposal daripada syarikat itu pada bulan Februari lagi. "Sedangkan syarikat tersebut belum didaftarkan lagi pada bulan Februari dan bagaimana syarikat itu boleh menghantar proposal kepada kerajaan negeri dan diluluskan oleh MMKN," katanya. Selain itu, perbincangan untuk membeli bas dua alam ini melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan kejuruteraan Mekanikal, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu dan Pengarah JKR Negeri Terengganu. "Kesemua mereka sama-sama terlibat dalam persetujuan pembelian bas dua alam tersebut. "SPRM perlu siasat dengan teliti kerana pada bulan Disember 2018, JKR dan Jabatan Laut Negeri Terengganu mengesyorkan supaya bas ini tidak dioperasikan kerana tidak layak untuk berlayar," ujarnya. Dia berkata, macamana pada tahun 2014 bersetuju untuk membeli bersama MMKN tetapi pada tahun 2018 setelah kerajaan berubah timbul berlainan keputusan. "Minta siasat juga dalang syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan pada tahun yang sama pembelian Bas dua alam ini. "Kerana terdapat unsur-unsur sogokan sehingga terdapat tender RM3 juta lebih oleh Kerajaan Negeri. "Suatu jumlah yang besar jumlah dan tidak sepatutnya diberi kepada syarikat yang tidak sampai setahun. "Sampai hari ini juga, status bas dua alam masih lagi belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri kerana masalah tertentu," ujarnya.  
10 Aug 23
256
Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli
Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos- Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan beberapa agensi terbabit akan memuktamadkan kaedah penyelesaian sementara bagi kejadian tanah runtuh di Flat Bukit Kecil sebaik mendapat laporan penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, penyelesaian segera perlu dilakukan sebelum musim tengkujuh kerana dikhuatiri akan berlaku lagi runtuhan yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni di kawasan itu. Katanya, beliau telah meminta pihak JKR untuk membuat anggaran kos pembaikian segera itu dan dijangka laporan tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi. “Untuk menghadapi musim tengkujuh yang akan datang, saya hendak tahu daripada JKR apakah penyelesaian sementara sehingga kita menerima peruntukan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk kerja-kerja pembaikan penuh cerun tersebut. “Tanah runtuh ini kita perlu buat ‘protection’, jadi saya minta pihak JKR buat anggaran kos dan setelah laporan tersebut siap, kita akan tengok beberapa kaedah penyelesaian yang dapat dilakukan untuk menjaga kepentingan penduduk di sini,” ujarnya kepada pemberita ketika meninjau kawasan runtuhan terbabit bersama wakil JKT dan JKR, hari ini. Rosli berkata, runtuhan tanah itu berlaku pada musim tengkujuh tahun lalu dan pihaknya telah mengambil tindakan awal sebaik menerima aduan penduduk. “Kita terima aduan daripada penduduk dan segera kita turun bersama dengan JKR, bomba, polis dan agensi-agensi lain. Pada masa itu, kita ambil tindakan dengan meletakkan kanvas untuk elak berlaku runtuhan lagi. “Dalam masa yang sama kita telah minta JKR pusat untuk buat penilaian runtuhan yang berlaku dan akhirnya pada Mac lalu, JKR pusat telah turun dan buat penilaian dan mendapati ada dua lokasi runtuhan, satu yang kita nampak sekarang ini dan yang sebelah sana juga ada pergerakan tanah,” ujarnya. Katanya, berdasarkan anggaran awal oleh JKR, sebanyak RM3.1 juta diperlukan untuk kos pembaikian cerun ini. “Tetapi anggaran awal itu perlu dimulakan dengan kerja-kerja penyiasatan terlebih dahulu. Melalui data-data penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan, barulah JKR boleh tentukan skop metadologi dan komponen ‘protection’ cerun tu macam mana,” ujarnya. Menurut Rosli, pihaknya telah mendapat laporan daripada pihak JKR dan beliau telah memohon peruntukan pembaikian dengan JKT. “Alhamdulillah, pasukan JKT telah turun hari ini untuk menilai runtuhan yang berlaku dan kita berharap JKR dan JKT dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” ujarnya. Mengulas lanjut, punca kejadian tersebut kemungkinan disebabkan hujan lebat yang menyebabkan pergerakan air di dalam tanah seterusnya berlaku runtuhan. Justeru, beliau meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ternampak runtuhan yang berlaku.  
10 Aug 23
665
Pengundi Pengkalan Berangan Beri Petanda Positif Kepada PAS
Pengundi Pengkalan Berangan Beri Petanda Positif Kepada PAS
MARANG, 10 Ogos - Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 , Sulaiman Sulong menerima respon yang amat baik daripada para pengundi sepanjang tempoh kempen. Ujar beliau, faktor itu memberi peluang yang besar kepada PAS untuk terus mengekalkan kemenangan di DUN terbabit. “Kami melihat respons yang baik daripada para pengundi. Insya-Allah mereka terus memberikan peluang PAS untuk mewakili mereka di DUN ini dan juga seluruh Terengganu. “Kelmarin kami juga menyantuni 353 pengundi awal di Pangkalan Unit No.6, Pasukan Simpanan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia, Wakaf Tapai, sambutan daripada mereka terhadap kita sangat baik,” katanya ketika dihubungi media hari ini. Jelas Sulaiman, dalam tempoh beberapa hari lagi berkempen, pihaknya telah menyusun gerak kerja bertemu dengan para pengundi di kawasan DUN Pengkalan Berangan. “Alhamdulillah, kami PAS Pengkalan Berangan telah menyusun gerak kerja ini dari pagi, petang hingga malam untuk bertemu dengan pengundi di sini. “Kami merancakkan lagi dari sudut gerak kerja, bertemu dengan pengundi di semua tempat seperti pasar, kedai kedai dan sebagainya, yang dibantu dari kawasan-kawasan lain,” katanya. Untuk rekod, DUN Pengkalan Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Sulaiman dengan Nik Dir Nik Wan Ku. Sebelum ini, Nik Dir adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Ru Rendang pada PRU Ke-14, namun tewas kepada calon PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kini Nik Dir selaku Ketua UMNO Bahagian Marang mencuba nasib di Pengkalan Berangan.
10 Aug 23
309
Orang Lama UMNO Beralih Sokong PAS
Orang Lama UMNO Beralih Sokong PAS
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Trend terbaru pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 menyaksikan orang-orang lama UMNO telah beralih sokongan kepada PAS. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, maklum balas yang diterima itu merupakan perkembangan yang sangat menarik sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar. "Sokongan daripada orang-orang lama yang merupakan pengundi teras UMNO/BN ini nampaknya dah bersedia untuk meninggalkan ataupun tidak lagi menyokong parti tersebut dan memberi sokongan kepada PN/PAS. "Ini merupakan satu perkembangan yang sangat menarik dan positif kepada PN insya-Allah semoga dengan trend terbaharu ini akan menjadi satu lagi petanda ataupun hasilnya kita akan melihat kejatuhan UMNO/BN di Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, baru-baru ini. Tambah beliau, dengan perkembangan terbaru itu ia mendatangkan keyakinan kepada PAS untuk menang di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu. Dalam perkembangan sama, dalam tempoh kempen yang masih berbaki tiga hari memperlihatkan calon PAS terus bekerja keras mendekati pengundi. "Mereka telah turun hampir kesemua kampung dalam DUN masing-masing untuk menyantuni para pengundi sama ada calon yang lama ataupun pertama kali telah bekerja keras untuk menawan hati-hati pengundi," ujarnya.
10 Aug 23
704