lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?
Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?
KUALA TERENGGANU, 10 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu memaklumkan, operasi khas motosikal secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sewaktu penganjuran program RXZ Members 5.0 pada 8 dan 9 September lalu ekoran aduan daripada orang awam. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, orang awam memaklumkan segelintir penunggang motosikal tersebut telah memandu secara melulu dan merbahaya di jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jalan-jalan negeri. “PDRM bertugas dan berfungsi untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Terengganu dan Malaysia amnya. “Ekoran dari rungutan dan aduan tersebut, pihak polis telah membuat pemantauan serta pemeriksaan dan mendapati sememangnya benar terdapat segelintir penunggang motosikal ini telah melakukan kesalahan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa,” ujarnya pada sidang media sempena Operasi Bersepadu-Operasi Khas Motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini. Katanya, sebanyak 185 pelbagai buah motosikal dan seramai 205 individu telah ditahan semasa operasi dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 83 orang. “Kesemua mereka telah di bawah ke IPK Terengganu untuk proses dokumentasi. Semasa proses dokumentasi pelbagai kesalahan telah didapati dan saman trafik dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu (39), nombor pendaftaran ‘fancy’ (103), tiada cermin sisi (146) dan ubah suai ekzos (4),” ujarnya. Sementara itu katanya, sebanyak (111) buah motosikal disita oleh JPJ dibawah seksyen 64 APJ 1987 (Kuasa menyita kenderaan motor) dan sebanyak (311) saman/notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. “Secara keseluruhannya sebanyak (292) saman telah dikeluarkan oleh Polis Trafik dan (311) saman/notis telah di keluarkan oleh pihak JPJ Terengganu,” jelasnya. Tambah beliau, perjalanan operasi tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “PDRM dan JPJ Terengganu melaksanakan operasi ini secara professional dan proses dokumentasi berjalan dengan lancar.  “Mana-mana motosikal yang tidak melakukan kesalahan serius telah dilepaskan manakala motosikal yang tidak memenuhi justifikasi dan spesifikasi akan melalui proses pemeriksaan lengkap oleh pihak JPJ dibawah Seksyen 64 APJ 1987,” jelasnya.
10 Sep 23
2193
Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia
Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia
KUALA TERENGGANU, 10 September- Seramai sembilan pelajar berjaya dihantar ke Universiti Ez- Zitouna, Tunisia bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan Yayasan Terengganu. Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lima pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan terbabit mendapat tajaan sebanyak RM18,000 setahun untuk setiap orang bagi tempoh pengajian selama empat tahun peringkat ijazah pertama di universiti tertua dunia itu dalam bidang pengajian Islam. “Mereka telah terpilih sebagai penerima sulung Skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Tunisia bagi tahun 2023. “Kesemua pelajar telah berangkat ke Tunisia pada 9 September (semalam) dengan diiringi Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Dr Hazwan Abdul Rahman,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Beliau berkata, dengan adanya Skim Pinjaman Boleh Ubah itu diharap membantu pelajar golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar terutamanya anak Negeri Terengganu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. “Dengan tahap pendidikan yang baik sudah tentu dapat menghasilkan pelajar yang berjaya seterusnya dapat menyumbang jasa dan bakti kepada negeri dan negara apabila mereka menamatkan pengajian nanti,” katanya. Difahamkan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad  Samsuri Mokhtar serta rombongan telah mengadakan lawatan rasmi ke universiti tersebut pada Mac tahun lalu. Susulan lawatan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dijalin antara kerajaan negeri dan Universiti Ez Zitouna bagi membolehkan pelajar cemerlang Terengganu dapat melanjutkan pengajian di universiti ternama itu.    
10 Sep 23
639
Rakyat Luar Puji Beras Ganu
Rakyat Luar Puji Beras Ganu
KUALA TERENGGANU, 10 September – Beras keluaran anak syarikat negeri menerusi Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) terus menjadi tumpuan bukan sahaja dalam Terengganu, bahkan turut mendapat permintaan daripada luar negeri. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati ramai antara mereka bersedia untuk menjadi pengedar bagi memasarkan beras tersebut di luar Terengganu. Hasil tinjauan juga mendapati bahawa rakyat negeri lain seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang serta Kedah menyatakan hasrat untuk memiliki beras tersebut. Mereka turut memuji usaha Terengganu bagi memastikan bekalan makanan kekal terjamin untuk manfaat kepada rakyat. Akaun TikTok, AmyJohorean80's meminta untuk memasarkan beras Ganu ke Johor manakala Hasnah Isnin, berkata semoga beras Ganu dapat diperluaskan ke seluruh negeri dalam Malaysia. Sulaiman Aziz yang berasal dari Perak mengucapkan tahniah kepada kerajaan Terengganu, terbaik rakyat Ganu pilih kerajaan. Sementara itu, Nakin fd_ma12 mengucapkan tahniah kepada Dr Azman selaku exco pertanian yang banyak melakukan perubahan dalam industri makanan Terengganu. Ini selari dengan usaha kerajaan negeri bagi memastikan negeri ini terus menjadi negeri gedung pengeluaran keperluan makanan. Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama yang mengeluarkan beras sendiri dengan mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP menerusi jenama Beras Ganu.      
10 Sep 23
2692
Terengganu Dinobat Negeri Terbaik Amalan Pertanian
Terengganu Dinobat Negeri Terbaik Amalan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 10 September - Jabatan Pertanian Terengganu sekali lagi memenangi kategori negeri terbaik bagi pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di Malaysia bagi tahun 2022. Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, berkata pensijilan itu menjadi Petunjuk Prestasi Utama pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi menambah baik keselamatan dan nutrisi makanan rakyat. “Sebanyak 566 ladang di bawah subsektor tanaman memperoleh pensijilan MyGAP sepanjang tahun 2022 dan telah meningkat dari tahun 2021 yang merekodkan hanya 416 buah sahaja. “Kejayaan tersebut bukan kejayaan kami tetapi merupakan hasil usaha pengusaha dan para petani di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) hari ini. Tambahnya, dengan kemenangan tersebut, beliau yakin Terengganu akan lebih inovatif untuk menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti untuk bersaing dengan produk negeri lain termasuk dari luar negara.. Menurut beliau, kini ramai pengguna mencari produk yang selamat dimakan seperti produk organik sesuai dengan peningkatan taraf hidup terutama tahap kesihatan "Semua nak kata produk mereka selamat bebas daripada racun dan logam berat tetapi siapa yang mengesahkannya… itulah diwujudkan pensijilan MyGAP melalui amalan pertanian baik (APB). "Saya difahamkan terdapat lebih 100 produk di seluruh Malaysia yang dalam senarai menunggu termasuk ujian makmal untuk menerima pensijilan MyGAP yang mana syaratnya hampir sama seperti syarat-syarat sijil halal. MyGAP merupakan merupakan skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja. Untuk rekod pensijilan MyGap semakin meningkat, 2018 Terengganu hanya 141 sijil, kemudian bertamabah ke 211 pada 2019, manakalan 2020 (315, 2021 (416) dan 2022 (566).
10 Sep 23
3015
Melon Manis Terengganu Akan Dipaten
Melon Manis Terengganu Akan Dipaten
KUALA TERENGGANU, 10 September - Melon Manis Terengganu (MMT) kini dalam proses pendaftaran sebagai penunjuk geografi harta intelek (GI)  dan setelah diluluskan, nama MMT  tidak boleh digunakan oleh negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, apabila kelulusan ini diperolehi, MMT akan menjadi ‘signature’ produk ataupun ikon kepada pertanian Terengganu. Menurutnya, proses ini sedang berjalan dan kertas ke arah itu telah diangkat setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.  “Ada dua produk pertanian yang dalam proses untuk dipatenkan dan inysa-Allah selepas diluluskan maka rasmilah secara inteleknya bahawa nama Melon Manis Terengganu dan Sweet Nira Terengganu adalah milik negeri Terengganu.  “Selepas dipatenkan seperti  Harum Manis Perlis, penggunaannya akan jadi lebih meluas lagi,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Tambah Dr Azman, kini Terengganu turut memasarkan hasil Melon Manis untuk pasaran antarabangsa berikutan  banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara seperti Dubai, Singapura dan Hong Kong . Katanya, MMT yang dihasilkan di tempatnya boleh mencapai kemanisan sehingga skala 14 dan buahnya juga rangup serta tahan lama. Buah yang direka khas untuk industri pertanian Terengganu  juga mempunyai khasiat tersendiri termasuk bersifat antioksida, baik untuk kesihatan kulit, menguatkan antibodi badan, mengandungi vitamin A dan C, serta pencegah penyakit kronik seperti kencing manis, angin ahmar dan jantung.
10 Sep 23
1541
'RXZ Members' : Kerajaan Negeri, Polis Berunding Cari Solusi
'RXZ Members' : Kerajaan Negeri, Polis Berunding Cari Solusi
KUALA NERUS, 10 September - Kerajaan Terengganu akan terus berunding dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung penganjuran Himpunan 'We Are RXZ Members 5.0'. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa menghormati bidang kuasa agensi penguatkuasa termasuk PDRM. Namun katanya, pihak kerajaan negeri serta penganjur masih mengharapkan pertimbangan istimewa terhadap peserta-peserta yang hadir dari seluruh negara ke program terbabit. "Tetapi pihak kerajaan tidak boleh melangkaui kuasa pihak PDRM dan kita tidak meminta untuk batalkan sekatan jalan raya sebab itu merupakan bidang kuasa mereka. "Jadi, kita tidak berlawan dengan polis, cuma mengharapkan pertimbangan jadi rundingan itu terus berlaku. "Secara dalamannya pihak penganjur memang sudah memaklumkan kepada peserta supaya tidak melakukan perarakan, mematuhi peraturan jalan raya untuk diambil perhatian kepada setiap peserta yang inginn hadir ke program ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Penutup "We Are RXZ Members 5.0" di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut mengenai acara berprestij yang telah memasuki tahun kelima itu, Hishamuddin memaklumkan, selama ini pihak kerajaan telah memberikan kerjasama baik terhadap penganjurannya bagi memastikan ia terus diadakan di negeri ini. "Pihak kerajaan selama telah melibatkan semua pihak termasuk PDRM untuk mengadakan mesyuarat. "Pihak penganjur juga selama ini telah kerap kali mengadakan kunjungan hormat dan buat perbincangan secara khusus dengan pihak berkuasa. "Pada saya itu merupakan satu langkah positif daripada pihak penganjur selama ini dimana mereka tidak pernah mengabaikan kuasa yang ada pada pihak berkuasa malah telah memohon bimbingan termasuk meminta nasihat daripada PDRM dan JPJ juga turut terlibat dalam mesyuarat," ujarnya. Sementara itu pihak penganjur, Mohamad Faizal Mat Ali berkata apa yang berlaku adalah di luar jangkaan pihaknya. "Saya telah pergi untuk berunding namun apabila berjumpa dengan pihak berkuasa mereka mengatakan bahawa ini adalah arahan, insya-Allah saya cuba bertanggungjawab. "Sama ada program ini akan terus diadakan atau ini merupakan kali terakhir saya akan cuba fikirkan balik atau macam mana nanti untuk kita meneliti kembali untuk dilakukan penambahbaikan pada masa akan datang,"ujarnya lagi.  
10 Sep 23
3323
Penganjuran Tour Gateh D’Tranung Raih Pujian Ramai
Penganjuran Tour Gateh D’Tranung Raih Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penganjuran Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) menerima pujian ramai apabila berjaya mengadakan perlumbaan berkonsepkan 'Sport Tourism'. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata 'Sports Tourism' itu dengan melaksanakan siri jelajah berbasikal merangkumi semua daerah dalam negeri ini. Katanya, ia sekali gus dapat mempromosikan Terengganu di mata dunia melalui sukan berbasikal. “Penganjuran sebegini amat penting bagi para atlet kita terutamanya yang masih muda supaya dapat menimba ilmu dan pengalaman sebelum ke peringkat yang lebih tinggi. “Terengganu sentiasa mengalu-alukan sukan sebegini yang memberi manfaat kepada para atlet tempatan dan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh pengacara ketika siaran langsung di laman Facebook Tour Gateh D’Tranung 2023 bertempat di Jabatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Presiden, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Terdahulu ketika sidang media Tour Gateh D’Tranung 2023, Hishamuddin berkata program ini melibatkan seramai 164 orang pelumba dengan laluan sepanjang 650 kilometer. "Pertandingan disertai 27 pasukan antaranya sembilan kelab tempatan, 10 pasukan Sukan Malaysia (Sukma) dan lapan pasukan elit antarabangsa dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia. "Program ini anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) serta beberapa agensi yang turut terlibat," ujarnya.  
09 Sep 23
605
Aiman Zariff Takluk Tour Gateh D'Tranung
Aiman Zariff Takluk Tour Gateh D'Tranung
KUALA TERENGGANU, 9 September - Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menepati ramalan apabila berjaya memenangi juara keseluruhan kategori individu terbaik (jersi biru) semalam. Aiman berjaya mempertahankan kategori individu terbaik (jersi biru) sepanjang lima hari perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23). Anak jati Terengganu itu juga berjaya mempertahankan gelaran raja bukit (jersi polkadot) selama tiga kali pertandingan iaitu pada saingan pertama, keempat dan kelima. Beliau berjaya mencatat masa cemerlang 0:57:23 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini. Peringkat kelima perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula dan berakhir di tengah Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Perlumbaan melibatkan laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu ke tangki air, berpatah balik ke KTCC Mall melalui Pasarnita dan kembali semula ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebanyak 12 kali. Perjalanan tersebut melibatkan laluan sepanjang 145 km. Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan. Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba TSS Racing, Anuar Manan. Untuk rekod, Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui semua daerah di negeri ini serta menawarkan lima kategori utama. Lima kategori tersebut iaitu Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun.  
09 Sep 23
386
Dr Muhammad Khalil Hadir Forum Ustaz Azhar, Zizan
Dr Muhammad Khalil Hadir Forum Ustaz Azhar, Zizan
KUALA NERUS, 8 September - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syari'ah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama-sama kira-kira 10 ribu rakyat Terengganu memenuhi Masjid Al Ansar Kem Sri Pantai di sini semalam bagi mendengar soal jawab agama dan celoteh bersama Ustaz Azhar Idrus dan  artis popular Zizan Razak. Majlis anjuran Manis FM itu mendapat sambutan hangat sehingga kehadiran melimpah ke luar masjid menyaksikan pelbagai persoalan agama dijawab dengan baik oleh Ustaz Azhar dalam masa dua jam. Ustaz Azhar dan Zizan yang terkenal dengan kelucuannya menjadikan penonton tidak jemu memdengar celoteh mereka sehingga akhir majlis. Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator menceriakan majlis dengan pelbagai soalan menarik berkait dengan kehidupan umat Islam seharian.  Bagaimanapun banyak soalan janggal dikemukakan dalam majlis tersebut termasuk soalan makmum mengikut imam tidak menutup aurat, sama ada wujud orang bujang dalam syurga atau tidak dan suami kembali ke rumah isteri selepas setahun hilang, sedangkan isteri telah berkahwin lain dan soalan-soalan lain lagi. Zizan menerima sindiran dari Ustaz Azhar kerana masih belum berkahwin sehingga hari ini. Sementara itu beberapa hadiah turut disampaikan kepada mereka yang bertuah dengan menjawab soalan-soalan mudah dari Zizan dan Ustaz Azhar yang dikenali sebagai murabbi sejuta ummah itu.
08 Sep 23
416
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
KUALA TERENGGANU, 7 September- Seramai 143 pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 bakal berangkat ke institusi pengajian masing- masing termasuk di Jordan dan Mesir bermula 9 September ini.  Kesemua pelajar yang terlibat adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab melalui penulisan dan komunikasi serta memahami adat budaya dan nilai-nilai masyarakat di Timur Tengah. "Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang terlibat dengan penganjuran program ini termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Yayasan Terengganu, Maidam serta UniSZA yang telah memberikan kerjasama yang baik.  "Melalui program khas ini, pelajar mendapat pendedahan awal dalam mempelajari ilmu berkenaan 'bahasa pasar' dan juga budaya Timur Tengah kerana perkara ini tidak diterapkan semasa pembelajaran di sekolah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC Kemaman, hari ini. Satiful berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu anak Terengganu yang cemerlang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Ini termasuk peruntukan sebanyak RM5 juta setahun yang kita peruntukkan kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran bermula tahun 2018. "Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan," ujarnya.   
07 Sep 23
271