lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Pusat digesa agar mewujudkan Kolej Matrikulasi di Terengganu dalam masa terdekat. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa perancangan untuk mewujudkan institusi berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK) pada tahun 2009. "Sejak RMK-9 dahulu kerajaan mengumumkan untuk membina tiga buah Kolej Matrikulasi baharu yang akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah. "Di Kelantan telah pun siap dan telah pun dibuka, tetapi di Terengganu sampai sekarang masih tidak ada lagi. "Saya berharap kalau boleh dalam masa terdekat ini ada (dibina) satu dahulu pun tidak apa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Dewan Rakyat, di Putrajaya, semalam. Tambah Ahmad Amzad, pendidikan di Terengganu sehingga hari ini sentiasa cemerlang dengan mencatat keputusan terbaik dalam Peperiksaan Awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sebagainya. Untuk rekod pada tahun 2016, telah dijanjikan untuk dibuka di Ajil dan pada tahun 2017 dijanjikan pula untuk dibuka di Serating, Marang.
13 Sep 23
1479
Terengganu Tarik Pelaburan, Cipta Pekerjaan
Terengganu Tarik Pelaburan, Cipta Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 13 September – Terengganu kini komited melaksanakan beberapa pelaburan, program dan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bakal memberi kesan ekonomi ketara kepada negeri menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara yang seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan. Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha ECERDC dalam menarik pelaburan dari pelbagai sektor ke Terengganu. “ECERDC membuka peluang pertumbuhan (ekonomi) dengan menarik pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk minyak, gas dan petrokimia. “Saya juga berbesar hati kerana Terengganu berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur melalui kerjasama erat kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.   Tambah Ahmad Samsuri, terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat pelaksana East Coast Economic Region untuk Negeri Terengganu. “Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari ECERDC, Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Ekonomi (MoE) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). “Hadir sama beberapa Jabatan dari Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Kerjasama Awam Swasta dan Jabatan Perdana Menteri di Menara PJH, Putrajaya," ujarnya. Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan.    
13 Sep 23
1730
96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP
96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP
KUALA NERUS, 11 September – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) telah melantik 96 pelajar dari lapan buah sekolah rendah sekitar Mukim Batu Rakit sebagai  di bawah program Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023. Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, setiap peserta terpilih akan dibekalkan dengan ilmu asas pendidikan alam sekitar bagi meneruskan usaha menyemai kesedaran melestarikan alam sekitar di kalangan generasi muda.  Katanya, program pendidikan alam sekitar tersebut merupakan kesinambungan daripada program sama yang dilaksanakan pada tahun lalu.   “Sebagai duta, pelajar terbabit diharapkan mampu membuat perubahan peningkatan kesedaran alam sekitar disekeliling mereka melalui pelaksanaan amalan memulihara alam sekitar di dalam diri di samping berkongsi amalan tersebut kepada rakan sebaya dan masyarakat setempat.  “Setiap peserta didedahkan dengan pembelajaran berterusan di dalam aspek kitar semula dan kelestarian ekosistem.  “Selain daripada perkongsian berkenaan pengelasan sisa buangan, mereka juga turut mengikuti aktiviti pembelajaran interaktif mengenai kepentingan menghijaukan bumi.    “Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023 adalah salah satu daripada komitmen berterusan INSTEP ke arah masa hadapan yang lebih lestari melalui perubahan minda hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah Idris, INSTEP sebagai organisasi yang mementingkan kelestarian alam sekitar, sentiasa komited di dalam misinya ke arah pencapaian taraf Kampus Hijau.  “Di samping pemasangan bumbung solar di dalam kampus, INSTEP juga giat menjalankan aktiviti penanaman pokok di sekitar kampus.  “Penjagaan pokok tersebut dilaksanakan secara semula jadi melalui kaedah siraman air hujan yang dikumpul melalui sistem penuaian air hujan dan juga menggunakan baja kompos yang dihasilkan oleh mesin pengompos makanan INSTEP,” ujarnya.    
12 Sep 23
255
RM3,000 Untuk Peserta Explorace Beliawanis Merdeka 2.0
RM3,000 Untuk Peserta Explorace Beliawanis Merdeka 2.0
  KUALA TERENGGANU, 12 September  - Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang diadakan pada jumaat ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM3,000 untuk peserta terbaik. Pengarah program, Sumayyah Hamzah berkata, program ini memasuki tahun ke dua penganjurannya berjaya menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada kaum wanita. "Hadiah untuk pemenang tempat pertama RM800,00, hadiah kedua RM600,00 dan hadiah ke tiga RM400, 00. "Manakala seramai 80 orang mendapat saguhati," jelasnya. Beliau yang juga  Setiausaha Nisa' Kawasan Kemaman berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini. Katanya, program ini merupakan tahun kedua diadakan  dan kali ini bertempat di Bandar Al- Wathiqu Billah, Kuala Nerus. "Tahun ni aktiviti lebih santai, cabaran dari segi kreativiti peserta untuk menyelesaikan tugasan explorace.  "Kalau tahun lepas, pergerakan peserta menggunakan kereta tetapi tahun ini peserta ditempatkan di satu kawasan dan pergerakan peserta berjalan kaki sahaja," ujar beliau.image widget
12 Sep 23
355
'Fly' Sekejap 'Tersangkut' Dua Tahun
'Fly' Sekejap 'Tersangkut' Dua Tahun
KUALA TERENGGANU, 12 September- Ditangkap kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sewaktu meraikan sambutan tahun baharu di ibu kota, Mat, 21 tahun, dikenakan hukuman di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah kategori pesalah muda. Akibat terikut-ikut rakan-rakan untuk mempamerkan aksi berbahaya, beliau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain mengakibatkan hukuman PKM sebanyak 120 jam agregat selama dua tahun. "Kini saya rasa menyesal sebab banyak rugi masa, setiap minggu dan waktu cuti saya kena melibatkan diri dengan pelbagai program khidmat masyarakat. "Walaupun hanya dikenakan PKM, ia berat sebab mengganggu rutin kehidupan tambahan pula, saya terpaksa berulang jauh setiap minggu dari tempat kerja ke Kuala Terengganu untuk menjalani PKM," katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-royong di kawasan Datara Pantai Batu Buruk, hari ini. Salah seorang lagi pelatih PKM, Wan, 19 tahun, yang merupakan seorang pelajar di sebuah pondok pengajian, menyifatkan bahawa hukuman begitu membebankan dirinya. "Saya belajar di hari biasa jadi saya terpaksa melibatkan diri pada hari minggu. Saya rasa terganggu dan ia memberi kesan kepada saya, kadang-kadang tekanan ada juga cuma ia tidak terlalu besar. "Ada juga kawan-kawan pandang serong, mujur mudir madrasah tidak mengambil tindakan selepas tahu saya dikenakan PKM. "Nasihat saya, kepada mat-mat rempit, sudah-sudahlah melanggar peraturan dengan melakukan aksi-aksi berbahaya kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri kita tetapi juga ibu bapa dan keluarga," katanya yang kini hampir setahun menjalani hukuman PKM selepas ditangkap di Rantau Abang, tahun lalu. Dalam program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu itu, seramai 12 pelatih PKM melakukan operasi pembersihan di sekitar kawasan rekreasi tersebut bagi melengkapkan jam agregat PKM. Menurut Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, sehingga Ogos 2023, terdapat sebanyak 44 kes yang aktif di Terengganu di mana statistik daerah Kuala Terengganu merupakan tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Marang (8 kes), Dungun (7 kes), Kemaman dan Besut (6 kes), Hulu Terengganu (3 kes) serta Setiu (2 kes). "Biasanya PKM ini adalah hukuman ringan bagi kesalahan seperti mat rempit, lumba haram, curi motosikal dan kesalahan-kesalahan kecil yang boleh dipertimbangkan. "Di Terengganu setakat ini, keadaan tidak membimbangkan berbanding negeri-negeri yang lebih besar. "Tetapi, kalau dilihat pada peratusan penduduk, ia tetap perlu diambil berat kerana kes sentiasa ada. Kita perlu melakukan sesuatu juga dan JKM sendiri cuba mengadakan program di peringkat kanak-kanak untuk mengelakkan perkara ini berlanjutan lebih serius," katanya. Tambah beliau, pelaksanaan hukuman PKM seharusnya dilihat sebagai alternatif yang baik kepada pesalah muda. "Saya suka melihat hukuman ini sebagai satu bentuk alternatif dan peluang kedua kepada pesalah-pesalah muda kita kerana dengan cara ini kita dapat mengelakkan mereka daripada berada dalam tirai besi di mana banyak stigma yang negatif di sana. Mazura (bertudung oren) bersama kakitangan JKM Terengganu melihat hasil kerja pembersihan pelatih PKM. "Dengan cara ini, mereka dapat peluang kedua dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa serta dalam masa sama, hukuman dapat dijalankan, untuk memberi pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan. "Walaupun dilihat seakan-akan mudah, tetapi mereka dapat pengajaran kerana pelatih perlu melibatkan diri bagi mengelakkan hukuman lebih berat dikenakan," jelasnya.  
12 Sep 23
445
Empat Negeri PN Bersetuju Wujudkan SG4
Empat Negeri PN Bersetuju Wujudkan SG4
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri di bawah Perikatan Nasional bersetuju untuk mewujudkan kerjasama antara negeri dikenali sebagai 'State-Government 4' atau SG4. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah dipersetujui untuk diwujudkan pada 2 September yang lalu. "Kerjasama strategik mengikut bidang kuasa (empat) negeri ini akan memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf (kehidupan) rakyat di negeri terbabit. "Dengan mengenalpasti aset, kekuatan, kerjasama strategik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri mendoakan agar agenda kebaikan rakyat di empat negeri ini dapat dijayakan dengan baik.  
11 Sep 23
26205
Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam
Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 11 September – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam urus tadbir bahawa tugas mereka sudah pun bermula dengan gaya pengurusan lebih baik. Menurutnya, jika penggal lepas semuanya dalam proses pembelajaran tetapi pada penggal kedua gaya pengurusan perlu berubah lebih laju, dan  bukan lagi dalam tempoh berbulan madu. Katanya, peranan semua pihak yang terlibat dalam urus tadbir negeri diperlukan secara kolektif, bagi mencapai objektif. “Jika pada penggal pertama masih fasa belajar,’ give and take’, ‘wait and see’ dan bersabar dengan kelemahan tetapi  penggal kedua ini semua Exco dan ketua jabatan, ‘should have shorter learning curve’. “Selepas hampir sebulan masa pembentukan kerajaan, kita tak mempunyai masa yang panjang untuk 5 tahun akan datang yang dijangka lebih pendek dari itu,” katanya dalam laman facebook rasminya pada hari ini. Sehubungan itu, beliau berharap Bengkel Hala Tuju Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang dianjurkan akan membina satu gerak kerja yang terbaik buat semua pasukan. “Cabaran yang kita hadapi juga ialah cabaran internal yang melibatkan rakyat dan pemegang taruh selain external.  “Jika tidak menukar mindset rakyat dan tidak menggunakan peluang, pergerakan kita akan lambat.” jelasnya lagi. Tambah Dr Ahmad Samsuri, bengkel kali ini turut memfokuskan bagaimana untuk memastikan kecekapan kelulusan projek dapat dilaksanakan dengan pantas.  “Sentiasalah berlapang dada, memberi jawapan yang cermat dan mempermudahkan urusan pelabur,”ujarnya.  
11 Sep 23
2068
Tun M Puji Pelaburan, Tarikan Pelancongan Terengganu
Tun M Puji Pelaburan, Tarikan Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 September – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan. Tun Mahathir berkata sektor pelancongan juga begitu banyak daya tarikan dengan keindahan khazanah alam yang terdapat di negeri ini. “Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas jemputan ke Bengkel Hala Tuju Portfolio Exco Negeri Terengganu pagi tadi. “Dengan pengalaman yang ada dalam pentadbiran Kerajaan bolehlah saya kongsikan sedikit sebanyak bagaimana sesebuah Kerajaan itu dapat dibangun dan dijayakan. “Jika idea-idea baik dilaksana dan kena pada caranya saya yakin negeri ini dapat maju dan hebat setanding dengan negeri di pantai barat,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Tun Mahathir, kita juga perlu cekap dalam pentadbiran, orang politik perlu tahu bekerja dengan pegawai Kerajaan agar kerenah birokrasi dapat dielakkan dalam apa jua urusan Kerajaan. Beliau berkata, kelulusan sesuatu permohonan misalnya tidak perlu dilengahkan sehingga orang jauh hati berurusan dengan Kerajaan.  Katanya, ini penting terutama apabila berurusan dengan pelabur serta disiplin dan beramanah, budaya kerja baik perlu sentiasa jadi amalan. “Saya sempat kongsikan ketika menjadi Menteri Perdagangan dan Industri, saya dapati kakitangan suka pulang awal, seawal jam 3 petang.  “Bila ditanya kepada Ketua Setiausaha Kementerian, katanya mereka perlu pulang awal untuk elak sesak jalanraya. “Saya fikir ini sikap tidak beramanah dan berdisiplin, kerana itu selepas dilantik jadi Perdana Menteri, kad perakam waktu diperkenal supaya kakitangan bekerja mengikut waktu dan jadual kerja sepatutnya,” ujarnya. Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur diperkenal kerana budaya dan cara kerja yang wajar jadi contoh dalam usaha memajukan negara. "Selamat maju jaya diucap dan saya harap program sebegini mampu eratkan orang politik dan kumpulan pelaksana di peringkat Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan semua peringkat berada dalam landasan dan objektif yang sama,” jelasnya.  
10 Sep 23
4549
Kerajaan Terengganu Sedia Penempatan Baharu Pelajar di Mesir
Kerajaan Terengganu Sedia Penempatan Baharu Pelajar di Mesir
KUALA TERENGGANU, 10 September - Bangunan baru Wisma Darul Iman, Hayyu Sabik telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi bagi penempatan pelajar-pelajar Terengganu di Kaherah, Mesir. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bangunan tersebut dirasmikan oleh kerajaan Terengganu pada Mei 2022. "Inisiatif tersebut bertujuan bagi menampung kapasiti pelajar-pelajar Terengganu selepas bangunan lama di Mansourah dijual. “Seronok dan ceria nampaknya anak-anak pelajar kita di Kaherah yang berpindah ke bangunan baru," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Ahmad Samsuri turut memberi nasihat buat pelajar-pelajar supaya menjaga penempatan tersebut sebaik mungkin. “Ini adalah rumah kalian yang pasti akan diwariskan kepada adik-adik lain pula. “Terus fokus kepada pembelajaran dan pembangunan sahsiah serta kemahiran diri serta pulang berbakti kepada negeri nanti,” ujarnya.    
10 Sep 23
834
Maritim Terengganu Lupus Rokok Seludup Bernilai Lebih RM1.2 Juta
Maritim Terengganu Lupus Rokok Seludup Bernilai Lebih RM1.2 Juta
KUALA TERENGGANU, 10 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah melupuskan 379,400 batang rokok di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu pada hari ini. Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, jumlah rokok yang diseludup tersebut mempunyai nilaian lebih RM1.2 juta. Katanya, rokok yang dirampas pada April tahun ini merupakan rokok yang tidak bercukai. “Proses pelupusan dilakukan dengan menggunakan mesin pengisar dan sisa pelupusan. "Seterusnya akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sungai Ikan, Kuala Nerus,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairulanuar, proses tersebut disaksikan oleh pegawai penyaksi pelupusan di tempat kejadian. “Maritim Negeri Terengganu sentiasa melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bersama agensi keselamatan lain,” ujarnya.    
10 Sep 23
309