Artikel "Semasa" Terkini
Pelumba TSG Rampas Gelaran Raja Bukit
HULU TERENGGANU, 7 September – Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya merampas kembali gelaran raja bukit (jersi polkadot) saingan peringkat keempat setelah kali terakhir dimenangi olehnya pada saingan pertama.
Pada saingan pertama, beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit).
Pada saingan keempat, Aiman juga berjaya mempertahankan gelaran individu terbaik keseluruhan (jersi biru) selama empat hari pertandingan berlangsung.
Beliau yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 berjaya mencatat masa cemerlang 3:15:28 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Aiman berkata perjalanan perlumbaan pada hari ini sangat mencabar dengan laluan berbukit melalui tiga pendakian yang sukar.
"Saingan terhadap pelumba lain juga kuat sekali gus bagus bagi semangat dan motivasi saya dalam persediaan untuk ke Langkawi nanti.
"Di samping, saya berharap jersi biru (kategori individu terbaik) terus menjadi milik saya sehingga saingan terakhir pada hari esok," katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pulau Poh, Tasik Kenyir pada hari ini.
Peringkat keempat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula daripada Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu ke Pulau Poh, Tasik Kenyir yang melibatkan laluan sepanjang 147.65 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.
07 Sep 23
512
Langkah Segera Diambil Selesai Isu ‘Tol’ Pulau Kapas
MARANG, 7 September - Kerajaan negeri telah mengambil langkah segera bagi menyelesaikan aduan pelancong berhubung isu ‘tol’ atau bayaran berganda di beberapa kaunter sebelum dibenar masuk ke Pulau Kapas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya mengambil maklum rintihan rakyat yang berbangkit di media sosial.
Katanya, sebarang kesulitan dan birokrasi akan diatasi secara berhemah dan tidak membebankan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh yang mempunyai kepentingan berkaitan Pulau Kapas.
“Perjumpaan dengan pemegang taruh telah berjalan di Majlis Daerah Marang dan perbincangan berlangsung secara harmoni.
“Saya ambil maklum soal harga tiket bot dan pembayaran 'fee' yang dicajkan dan setiap jalan penyelesaian akan dipermudahkan agar pengunjung tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Razali dan Timbalannya, Sulaiman Sulong berbincang bersama Majlis Daerah marang bagi menyelesaikan isu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, setiap permasalahan prasarana seperti caj tempat letak kereta, penyediaan letak kenderaan yang tidak mencukupi serta tandas rosak dan tidak bersih akan diberi perhatian.
“Begitu juga dengan fasiliti pulau yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf serta tahap keselamatan akan diambil perhatian utama dan khusus.
“Saya akan berhubung dengan kementerian berkaitan di Kerajaan Persekutuan untuk berbincang lebih lanjut serta langkah susulan terbaik dicapai kelak,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada pengunjung kerana memilih Pulau Kapas untuk datang bercuti dan beriadah bersama keluarga serta prihatin dalam menambah nilai fasiliti sedia ada.
07 Sep 23
783
ILMAM Perkukuh Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 7 September - Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) negeri Terengganu mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi bertujuan menjalin hubungan dan berkongsi maklumat terkini pertubuhan tersebut.
Sempena kunjungan tersebut Dr Muhammad Khalil mengharapkan ILMAM Terengganu melahirkan ramai lagi graduan kerana mereka adalah aset ilmuan negeri Terengganu.
"Semoga dengan kunjungan ini, sedikit sebanyak membantu ILMAM dalam melahirkan ramai lagi graduan kerana mereka ini adalah aset kepada negeri apabila pulang ke tanah air bersama ilmu di dada," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Sementara itu Setiausaha ILMAM Terengganu, Khairul Ammarnuzam Khamaruzan berkata ahli ILMAM Terengganu berdaftar berjumlah seramai 59 orang dan dijangka bertambah sedikit masa lagi.
Justeru beliau menyeru lepasan pusat pengajian tinggi Mesir dari Terengganu menyertai ILMAM seberapa segera yang boleh bagi membina jalinan hubungan ukhuwwah Islamiyah sesama ahli dan mengatur agenda bersama kerajaan negeri bagi membina Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera.
Katanya ILMAM menyediakan borang permohonan ahli secara atas talian untuk memudahkan mereka berkenaan mendaftarkan diri.
Pendaftaran boleh dibuat di https://ilmamterengganu2u.blogspot.com/?m=1
07 Sep 23
256
Saringan Kesihatan Pastikan Masyarakat Sihat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Konsep tawakal sebenar dalam perihal menjaga kesihatan ialah dengan berikhtiar melalui saringan dan pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan apabila memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, konsep berserah diri kepada Allah bulat-bulat adalah salah di sisi Islam dan tidak sepatutnya di amalkan.
Katanya, untuk sembuh dari penyakit setiap orang perlu beikhtiar mencari jalan dengan berjumpa doktor dan makan ubat serta mendengar nasihat mereka.
Menurutnya setiap orang tidak boleh lari dari ditimpa penyakit termasuk Nabi s.a.w. sendiri juga demikian.
"Tinggal lagi bagaimana kita menangani masalah penyakit tersebut sama ada kita menyerah bulat-bulat kepada Allah untuk disembuhkan atau kita berikhtiar berubat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Pharmacy Integrated Community Care di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Fatimah Muda dan kira-kira 30 peserta dari komuniti setempat.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengalu-alukan program komuniti sebegitu kerana segalanya perlu bermula dengan kesedaran dan diikuti dengan tindakan.
"Saya difahamkan dari program integrasi komuniti yang dilaksanakan oleh Unit Farmasi dan Unit NCD Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu ini, sebanyak 68 peratus peserta mencapai penurunan kawalan kencing manis, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 65 peratus," ujarnya.
Justeru Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan mengharapkan program itu dapat diperluaskan lagi agar memanfaatkan lebih ramai pesakit.
07 Sep 23
121
Pemimpin, Rakyat Perlu Saling Bantu Bangunkan Negeri - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 7 September – Pemimpin dan rakyat perlu saling membantu dalam membangunkan negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengemudi negeri ini, ibarat diamanahkan menjadi pemandu kepada sebuah bas.
“Diminta menjadi pemandu bukanlah kerana sebab pandai memandu, tetapi atas sebab-sebab tertentu dengan izin Allah SWT.
“Apabila membawa bas, maka ada syarat dan peraturan jalan raya yang perlu pemandu dan penumpang bas patuhi.
"Destinasi yang dituju juga adalah dengan persetujuan bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, jika nampak saya bawa laju atau terlalu perlahan, pasti ada penumpang yang mengeluh.
Maka, tanggungjawab penumpang juga untuk menasihati dan menyedarkan saya selaku pemandu.
"Apabila bas rosak di tengah jalan, bukan tugas pemandu untuk membaiki, mungkin ada di kalangan penumpang yang boleh membaiki.
"Setiap penumpang ada peranan masing-masing, sepertimana yang disebut di dalam Kitab Riyadhus Solihin, tajuk khusus 'Nasihat Kepada Pemerintah'.
“Banyak isu berkaitan pemerintah terutamanya bab amanah, paling banyak nasihat ini adalah kepada pemerintah.
“Doakan saya dan seluruh kepimpinan agar sentiasa dipandu dan diberi kemudahan dalam tindakan,” ujarnya.
07 Sep 23
190
Pelumba Basikal Puji Penganjuran Tour Gateh D'Tranung
DUNGUN, 6 September – Peserta Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) memuji penganjuran program berbasikal tersebut sebagai yang terbaik dan berprestij.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli berkata, laluan sepanjang pertandingan juga amat baik dan sesuai untuk laluan berbasikal.
Katanya, dalam satu Malaysia, hanya di Terengganu sahaja yang dapat dia merasai pengalaman luar biasa ini dengan suasana yang cantik sepanjang laluan.
“Saya sentiasa sokong penganjuran ini jika diadakan lagi untuk setiap tahun.
“Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelumba berbasikal di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Penamat Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 2 di Pejabat Daerah dan Tanah Dungun di sini semalam.
Aiman Rosli merupakan pelumba daripada TSS Racing yang telah memenangi jersi hijau (raja pecut) pada saingan kedua.
Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli
06 Sep 23
1260
Bantuan Kerajaan Negeri Ringan Beban 166 Penternak
Oleh : Nasrullah Kamaruddin
SETIU, 6 September - Bantuan input mampu meringankan beban 166 penternak di daerah dan Setiu yang terkesan akibat kenaikan harga harga makanan penternakan muktahir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan Terengganu memperuntukan bajet yang agak besar tahun ini bagi membantu pemain sektor pertanian.
"Saya percaya lebih ramai penerima atau penternak yang akan menerima manfaat sekali gus membolehkan semua untuk terus aktif seperti biasa dan menghidupkan sektor pertanian dengan lebih besar lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 peringkat daerah Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesan daripada kos makanan yang meningkat menyebabkan binatang ternakan kurang berkualiti.
"Program ini antara inisiatif untuk membantu para penternak supaya isu pemakanan binatang ternakan bertambah baik dan para penternak dapat menghasilkan binatang yang berkualiti, sihat dan gemuk," jelasnya.
Tambah beliau lagi, sebelum ini dalam manifesto PAS tidak ada peruntukan untuk pertanian, tetapi untuk penggal baharu ini perkara tersebut dimasukkan.
"Rakyat golongan sasar adalah mereka yang berhak mandapat manfaat daripada apa yang telah dibawa dalam manifesto untuk penggal baharu," jelasnya.
Kata Dr Azman lagi, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan petugas, seramai 31 petugas veterinar ditambah.
"Dengan tujuan supaya mereka memberi fokus lebih kepada para penternak dan dapat mengenal pasti apa yang boleh dibantu.
"Staf ini juga akan memastikan para penternak boleh terus memelihara binatang dengan baik, apa keperluan yang diperlukan oleh mereka akan ditangani dengan cepat dan berkesan," katanya.
06 Sep 23
197
Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 6 September- Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Dato' Ahmad Amzad Hashim telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
"Ahmad Amzad memenangi Pilihan Raya Kecil P.036 pada 12 Ogos lalu.
"Upacara Mengangkat Sumpah dilafazkan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Johari Abdul bertempat di Kamar Khas, Blok Utama, Parlimen Malaysia, hari ini (5 September), " ujar kenyataan itu.
Dalam kenyataan tersebut, Johari turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Ahmad Amzad dan berharap agar beliau dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
06 Sep 23
278
Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar
KUALA TERENGGANU, 5 September - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu di Qatar sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa yang berlangsung pada 2 hingga 4 September baru-baru ini.
Dua pelajar sekolah tersebut membuktikan keupayaan mereka apabila Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan berjaya merangkul kejayaan sebagai Pendebat Terbaik Kategori Bukan Penutur Jati Bahasa Arab manakala rakannya, Abdul Muiz Hasanulddin meraih tempat kedua terbaik dalam kategori yang sama.
Kejayaan itu secara tidak langsung mengubat kesedihan pasukan Malaysia yang tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas tewas kepada pasukan Bahrain di pusingan ketiga.
Menurut Wan Amzar, mereka berdua telah terpilih menganggotai pasukan debat Malaysia selepas berjaya menjuarai pertandingan debat bahasa Arab kebangsaan pada tahun lalu.
Tambahnya, mereka telah menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama dua orang lagi murid dari Maahad Pontian Johor yang turut terpilih.
Wan Amzar turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan berkongsi terima kasih kepada kedua ibu-bapa, guru-guru, jurulatih-jurulatih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.
Sementara itu, Pengetua SMA(A)SZA , Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad yang bersama dengan kedua pelajar tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakan perjalanan mereka ke Qatar.
Dia juga berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada anak-anak Terengganu untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman facebook rasminya mengucapkan ucapan tahniah dan penghargaan buat kedua-dua pelajar SMA(A)SZA yang meraih kejayaan sekali gus meletakkan nama Terengganu di persada dunia.
"Syabas dah tahniah juga buat dua orang lagi ahli pasukan debat dari negeri Johor, para ibu bapa, guru-guru, jurulatih dan semua pihak di atas kejayaan yang membanggakan ini.
"Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, Alhamdulillah,"ujar beliau.
05 Sep 23
5616
Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang
DUNGUN, 5 September- Pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kedua Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23).
Kedua-dua pelumba tersebut berjaya mempertahankan jersi biru dan jersi putih dalam saingan hari ini.
Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km.
Pelumba TSG yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu berjaya memenangi jersi biru (kategori individu terbaik) dalam saingan hari kedua.
Semalam pada aksi saingan pertama, beliau membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat.
Manakala, Aiman Haiqal pula berjaya memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat kedua.
Semalam, dia juga mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi jersi putih pada saingan pertama.
Manakala, jersi merah jambu, yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi oleh pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.
Seterusnya, bagi jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) masing-masing dimenangi oleh pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli dan pelumba Armed Forces Cycling Team, Irwandie Lakasek.
05 Sep 23
594