Artikel "Semasa" Terkini
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
KUALA TERENGGANU, 20 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) terus menjadi daya tarikan pelancongan berteraskan pendidikan apabila mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi melebihi 74,000 orang.
Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu berkata, jumlah kehadiran itu bermula Januari hingga Ogos tahun ini dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga 150,000 sebagaimana yang disasarkan tahun ini.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PSKT kerana telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan berteraskan pendidikan (edu-tourism) yang mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan 'Spark Your Creativity Challenge 2023', di sini, semalam.
Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya turut menyeru agar ibu bapa terus menjadikan PSKT sebagai pilihan untuk membawa anak-anak bagi meluangkan waktu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
"Banyak aktiviti menarik yang disediakan agar anak-anak kita dapat menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing dalam subjek berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," ujarnya.
20 Sep 23
246
Rakyat 'Nazak' Dengan Kenaikan Harga Barang
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kenaikan harga barangan terutama barang basah sejak kebelakangan ini benar-benar menghimpit hidup rakyat dan mereka meminta kerajaan melakukan sesuatu agar kenaikan harga itu dapat dikawal.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di pasar-pasar sekitar bandar raya ini mendapati berlaku kenaikan harga barang basah yang agak tinggi.
Beberapa pengguna yang ditemui mengharapkan kenaikan harga barang itu hanya bersifat sementara dan kerajaan terus memantau isu berkenaan
Seorang suri rumah, Nora Ismail, 58, berkata, pengguna perlu bijak membeli barang secara berhemah dan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat.
“Kenaikan harga barangan sekarang ini sangat memberi kesan kepada pengguna, cuma beli apa yang perlu, pengguna perlu bijak berbelanja, kita hendak marah peniaga juga tidak boleh kerana mereka juga beli daripada orang tengah.
“Kerajaan kena pantau harga, buat sesuatu untuk rakyat, semoga ada kebaikan kepada kesemua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Azrul Mohd Azhar, 45, berkata, kenaikan harga barang basah merungsingkannya sebagai seorang peniaga makanan.
“Saya jual makanan pagi seperti nasi lemak, nasi minyak dan lain-lain yang kebanyakkan berasaskan barangan basah seperti beras, ayam serta sayur-sayuran.
“Kenaikan harga barangan sudah pasti memberi kesan kepada jualan saya dari segi modal dan keuntungan, sebagai contoh kalau dulu dengan RM100 boleh beli barang-barang untuk masak nasi sekarang kena keluarkan RM130,” ujarnya.
Katanya, walaupun keuntungan sedikit terjejas dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan yang dijualnya kerana kesiankan pelanggan.
Nor Azrul yang membuka kedai makan berhampiran Pasar Chabang Tiga berharap kerajaan terus memantau harga barang kerana ada peniaga menaikkan harga barang dengan alasan mereka turut membeli pada harga tinggi daripada pemborong atau orang tengah.
“Pengguna kena pandai pilih, cari tempat-tempat yang jual murah, kadang ada juga peniaga yang ambil kesempatan dan ini sebenarnya tidak patut,” ujarnya.
19 Sep 23
416
Penjawat Awam Perlu Keluar Daripada Zon Selesa
KUALA TERENGGANU, 19 September – Ketua jabatan dan semua penjawat awam di negeri ini diingatkan agar jangan berada di zon selesa atau masih demam 'work from home' seperti Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dan bekerja secara silo.
Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, ia selaras dengan hala tuju baharu kerajaan Terengganu iaitu, pentadbiran negeri akan masuk ‘gear 3’.
Katanya, pentadbiran lebih agresif dan bergerak laju berbanding penggal lepas akan dilaksana dalam usaha merangka pelan secara komprehensif sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad samsuri Mokhtar.
“‘Move on’ dan kembali kepada kebiasaan dan pantas dalam menangani situasi. Banyak telah kita belajar semasa PKP, seperti membuat keputusan yang cepat, boleh bekerja dengan situasi bertekanan tinggi, dan mesyuarat secara 'online' malah PKP mengajar kita era pendigitalan yang sangat efisen.
“Justeru, suka saya ingatkan kepada semua bahawa budaya kerja cemerlang ini perlu diterapkan dan segala gerak kerja perlu la selangkah ke hadapan daripada apa yang ada hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2023.
Pada majlis tersebut seramai 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman bagi bulan Julai, Ogos dan September tahun 2023 menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.
Menurut Tengku Seri Bijaya Raja, penganugerahan APC ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang terpilih malah sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dalam majlis yang sama, turut diserikan dengan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Kali Yang Ketiga (2023 -2025) dan Penyampaian Sijil Anugerah Pendigitalan Pengurusan Rekod Sektor Awam kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.
19 Sep 23
307
Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global
KUALA TERENGGANU, 18 September – Terengganu berpotensi besar dalam mempromosikan pelancongan Islam ke peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Terengganu mempunyai produk pelancongan yang hebat dan unik bertaraf antarabangsa.
Katanya, serta pelbagai tawaran lokaliti berasaskan pelancongan dan industri berkaitan yang memberi lonjakan kepada industri pelancongan global.
“Segala-galanya ada di Terengganu termasuk alam semula jadi, gunung-ganang, sungai, keindahan tasik, panorama yang memukau di pulau-pulau serta pesisiran pantai yang menakjubkan.
“Lebih-lebih lagi, aktiviti teras, hiliran dan sokongan berkaitan industri pelancongan dalam kepelbagaian terutama pelancongan Islam.
“Justeru, negeri Terengganu dapat menawarkan permintaan dan penawaran yang lebih meluas,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri makan malam World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 bersekalikan dengan persidangan Asia Islamic Tourism Expo-Exhibition and Conference Haji, Umrah dan Pelancongan Islam (AITEX) malam Jumaat lalu.
“Saya sangat teruja kerana WITA dan AITEX berupaya mengangkat pelancongan Islam dan menyemarakkan ekonomi dan pemasaran industri pelancongan Islam tepat pada landasannya, selepas mendepani cabaran hebat sewaktu COVID-19 lalu.
“Persidangan dihadiri pakar-pakar professional, peneraju dan usahawan hebat dari seluruh dunia berkongsi pandangan, pendapat dan perkongsian berkaitan pelancongan Islam.
“Penyediaan pameran dengan keluasan 7,157 meter persegi dan dipenuhi dengan pemeran dari negara Timur Tengah dan Asia,” jelasnya.
Beliau berkata, sudah tentu pakej seperti umrah dan pelancongan Islamik menjadi tarikan utama, di samping ruang khas untuk perbincangan mahupun MoU disediakan bagi menjalankan jaringan perniagaan masing-masing.
Beliau turut memuji penganjur kerana menawarkan 55 anugerah mengikut kategori yang sudah tentu memberi pengiktirafan, penghargaan dan motivasi kepada mereka yang terpilih.
“Terima kasih jua kerana saya berpeluang menyampaikan anugerah kepada pemenang bersama-sama tokoh tersohor dan negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir bersama.
“Suasana santai begitu dirasai apatah lagi diselang-seli nyanyian dan irama Islamik, persembangan kombo dan pertunjukan fesyen Muslimah dan pakaian batik Malaysia,” ujarnya.
18 Sep 23
592
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Pusat Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah
KUALA NERUS, 18 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.
Baginda berangkat tiba di iringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada jam 11 pagi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim serta pegawai daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.
Dalam majlis terbabit, Tuanku dan Sultanah berkenan melawat Kompleks Pentadbiran sebelum menyempurnakan perasmian tersebut.
Tuanku juga berkenan menurunkan tandatangan pada plak digital sebagai gimik pelancaran yang berlangsung di Dewan Perdana.
Susulan gimik tersebut, tayangan montaj perasmian dipersembahkan diikuti majlis santapan.
Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah pada kira-kira jam 12.30 tengahari.
Untuk makluman, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah merupakan pusat pentadbiran bagi bandar Kuala Nerus.
Pusat pentadbiran terbabit berkeluasan 187.76 hektar yang menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus serta bangunan guna sama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang merangkumi enam jabatan.
Selain itu, ia juga menempatkan dewan serba guna dan pusat komersial.
Pusat pentadbiran itu dibina bermula Disember 2015 dan siap pada Oktober 2021 sebelum beroperasi sepenuhnya pada Februari 2022.
18 Sep 23
443
Hasmadi Pejuang Seni Warisan Ukiran Tembaga
KUALA TERENGGANU, 18 September - Anak jati Terengganu, Hasmadi Mohamad, 48, ingin terus memperjuangkan penghasilan seni ukiran tembaga menggunakan kaedah tradisional.
Hasmadi berkata, walaupun di era moden ini telah ramai yang menggunakan kaedah teknologi, namun dia tetap dengan pendirian menghasilkan ukiran tembaga tersebut menggunakan alatan dan tangan.
Dia yang berasal daripada Kampung Simpang Empat, Chendering melihat tidak ramai masyarakat setempat yang mampu menguasai kemahiran tradisional ini.
“Hal ini kerana, ramai antara mereka yang pakar telah berhijrah daripada kerjaya seni ukiran tembaga kepada kerjaya lebih senang yang mengikut peredaran zaman,” jelasnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita pada Festival Musing Ketang bertempat di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium, Bukit Losong di sini kelmarin.
Tambah Hasmadi, tempat penghasilan seni ukiran tembaga itu adalah kilang di Kampung Losong.
Jelasnya, kebiasaannya tembaga tersebut dijual melalui tempahan dan dihantar juga ke kedai-kedai yang menjual alatan tembaga.
“Selain tembaga, saya juga boleh mengukir bunga pada keris dan cincin dengan seni ukiran yang dipilih oleh pembeli.
“Setiap hari, saya boleh mengukir sehingga enam barang termasuk tembaga, keris dan sebagainya,” ujarnya.
Hasmadi telah terlibat dengan seni ukiran tembaga ini selama lebih 25 tahun dan kemahiran tersebut juga telah diturunkan kepada seorang anak lelakinya.
Mengulas mengenai festival terbabit, dia berbesar hati kerana dijemput untuk memeriahkan festival 'Musing Ketang' bermula 16 hingga 18 September.
18 Sep 23
491
Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu Labuh Tirai
SETIU, 17 September - Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2023 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong telah melabuhkan tirainya awal pagi tadi.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda dan Sultan Mizan Cup 2023 bertempat di TIEP, Lembah Bidong, Setiu.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Kejohanan Kuda Lasak tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula 15, 16 dan 17 September iaitu pada hari Khamis hingga Sabtu.
Seramai 129 peserta yang menyertai kuda lasak pada kali ini terdiri dari dalam dan luar negara.
Majlis penyampaian hadiah pada pagi ini, melibatkan empat kategori iaitu CEN 40 KM, CEN 80 KM, CEN 100 KM, dan CEI 1*100 KM.
Terdahulu, Menteri Besar telah menyempurnakan majlis pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2023 di sini.
"Kejohanan tahunan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan kuda lasak dan disertai oleh peserta dari seluruh Malaysia.
"Selamat maju jaya dan tahniah buat semua peserta yang terlibat dalam acara ini," ujarnya.
Majlis yang bermula jam 9 pagi itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik dan nyanyian oleh Suktra, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
Baginda sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para peserta dan bersalaman dengan para hadirin yang hadir sebelum berangkat pulang pada jam 10.30 pagi.
17 Sep 23
872
MB Mahu Menteri Perkasa Projek ECRL, Pelabuhan Kemaman
KUALA TERENGGANU, 17 September - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mahu Menteri Pengangkutan memberi tumpuan kepada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman bagi meningkatkan ekonomi Terengganu.
Katanya, hasrat itu telah disampaikan beliau kepada Anthony Loke dalam pertemuan rasmi yang diadakan di Ibu Kota baru-baru ini.
"Kami berbincang supaya peranan ECRL membabitkan Permaisuri dan Jerteh dapat diperkukuh dan dapat digunakan juga sebagai hub kargo (berat medium dan kecil).
"Ini akan membolehkan negeri kita menyediakan kawasan industri yang sesuai di situ untuk meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat di dua daerah berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, perbincangan selama sejam itu berlangsung dalam suasana ceria dan positif.
"Ini adalah tanda bahawa perlunya sikap positif dalam hubungan Kerajaan Persekutan dan Negeri walapun pegangan politik berbeza.
"Hal ini juga berkaitan dengan kuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.
"Jadual Kesembilan (Perkara 74,77), Senarai I-Senarai Persekutuan 9 dan 10, Senarai II-Senarai Negeri 2 (a)," jelasnya.
17 Sep 23
856
'Explorace' Beliawanis Jadi Terapi Kesihatan Mental
KUALA NERUS, 17 September - Penganjuran Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 mampu menjadi terapi masalah kesihatan mental di kalangan kaum wanita di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Khairunnisa' Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, program itu amat baik untuk wanita muda serta golongan yang berumur.
"Aktiviti sukan dan rekreasi merupakan satu bentuk terapi yang berkesan dalam memupuk kekuatan diri secara berpasukan.
"Yang mana pentingnya dalam kita menjaga minda dan tubuh badan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Mawaddah negeri Terengganu berkata demikian ketika merasmikan program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 di Bandar Al-Wattiqu Billah, Kuala Nerus, pada kelmarin.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama menjaga minda dan tubuh badan kerana dua perkara tersebut adalah yang paling utama perlu dijaga.
"Paling penting melaksanakan amalan yang diredhai oleh Allah swt.
"Saya berharap agar program ini dapat diteruskan kerana ia sebenarnya bukan semata-mata untuk sambutan Hari Kemerdekaan.
"Program ini kena ada kesinambungan paling tidak diadakan di peringkat negeri sebulan sekali dan juga di peringkat daerah," jelas beliau.
16 Sep 23
272
Wanita Ajil Juara Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka
KUALA NERUS, 16 September - "Kami akui terkejut apabila diumumkan sebagai Juara Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0," kata salah seorang pemenang berkumpulan, Siti Zaharah Sudin, 29.
Katanya, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut kerana kumpulan lain dilihat lebih kuat.
"Terkesima, terkejut dan tak percaya apabila dinobatkan sebagai juara sebab rasa macam orang lain hebat lagi daripada kami," jelasnya.
Dia yang menetap di Kampung Merbau Pulas, Ajil, berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang di adakan di Bandar Baru Kuala Nerus, pada semalam.
Dia turut menceritakan bagaimana keterlibatan dalam explorace yang mana bermula dengan ajakan adiknya.
"Adik saya (Aisyah) nak sertai sangat explorace ini, pastu dia cari orang untuk cukupkan empat orang dan terbentuklah pasukan kami ini.
"Anyaman ketupat menggunakan reben paling mencabar sebab kami tak pandai menganyam ketupat nasi.
"Kalau ketupat palas kami pandailah tapi kami cuba siapkan jugak walaupun terpaksa gunakan stapler untuk siapkan sebiji sarang ketupat," ujarnya.
Justeru itu, dia berharap agar program itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
"Alhamdulillah sangat baik dan dapat menarik minat orang muda untuk sertai.
"Di samping bermain ada juga dapat ilmu dan dapat sihatkan badan.
"Berbaloi sangat hadiah yang dapat. Hilang penat walaupun pusing 'roundabout' Bandar Kuala Nerus.
"Kalah dan menang adat permainan dan jangan takut untuk sertai lagi program-program seperti ini akan datang," tambahnya lagi.
Katanya, pasukannya orang terdiri daripada Siti Aishah Sudin, 26, tinggal di Kampung Merbau Pulas, Mazila Muda, 40, Taman Hadhari, dan Norshahida Bbdul Manaf, 26 menetap di Kampung Tok Randok.
16 Sep 23
470