lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Tambah Kawasan Penanaman Padi
Terengganu Tambah Kawasan Penanaman Padi
KUALA TERENGGANU, 16 September - Kerajaan Terengganu sudah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi bagi meningkatkan hasil bekalan beras di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama tidak ditanam padi justeru akan dibangunkan semula bagi tujuan berkenaan. Katanya, pihaknya juga sedang berkomunikasi dengan rakyat di kawasan tersebut bagi mencari tenaga kerja. "Oleh kerana, kawasan berkenaan sudah lama tidak diusahakan maka keluarga-keluarga di sana sudah bekerja di luar negeri dan sebagainya. “Nak cari orang untuk usahakan juga perlu ditangani dengan baik dan tidak mudah sebenarnya serta memakan masa," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang selapas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, di peringkat negeri Terengganu, kerajaan telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai jelapang padi tetapi tidak diusahakan dengan sepenuhnya. “Perkara tersebut telah kita laksanakan pada penggal lepas iaitu dengan mempertingkatkan jumlah kawasan ekar itu sendiri. “Namun, ada kekangan tertentu seperti kawasan pengairan dan sebagainya yang perlu dipertingkatkan. “Ada kawasan yang jelapang padi tapi sudah tidak ada pengairan yang sesuai maka ianya akan mengambil masa untuk kita mempertingkatkan kawasan pengairan. “Supaya kawasan jelapang padi itu dapat digunakan sepenuhnya,” ujarnya. Selain itu katanya, kerajaan juga fokus untuk menggunakan teknologi yang lebih efisien supaya meningkatkan hasil dengan baik. Beliau berkata, bagi mengatasi masalah beras, sudah tentu beberapa tempoh masa diperlukan.          
16 Sep 23
2386
Kejohanan Taekwando Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi
Kejohanan Taekwando Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi
KUALA NERUS, 16 September - Kejohanan Taekwando Tertutup Terengganu Kali-1 yang berjaya menarik lebih 800 peserta mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat anak muda dalam sukan taekwando di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata penyertaan mereka sekali gus diharap dapat menaikkan mutu kejohanan selain membantu mencari atlet atau bakat baharu untuk mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nanti. "Perjalanan acara pada hari ini cukup penting bagi persiapan menghadapi SUKMA 2024  dalam acara Taekwondo yang sebelum ini ditiadakan tetapi diadakan pada tahun depan. "Kejohanan ini membantu kita mencungkil bakat yang boleh diketengahkan kerana tanpa kejohanan atlet tidak boleh bersaing...untuk mereka memiliki kenyakinan ketika berhadapan dengan pihak lawan,"ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kejohanan Taekwondo Tertutup Terengganu Kali-1 bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir Presiden Persatuan Taekwando Terengganu, Dato Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Seberang Takir, Khazan Che Mat. Tambahnya, kerajaan negeri juga sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya mengharumkan nama negara. Justeru itu, Hishamuddin berharap Persatuan Taekwando dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan seterusnya berganding bahu untuk membentuk kekuatan bagi menguasai sukan tersebut di peringkat negara Sementara itu, Mohd Nasir berkata objektif penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menonjolkan kebolehan masing-masing di dalam seni mempertahankan diri taekwondo malah membentuk disiplin dan peribadi mantap bagi melahirkan insan berkualiti serta dapat berbakti kepada masyarakat. Tambahnya, antara kejayaan pasukan Taekwando Terengganu ialah membawa pulang pingat 14 pingat ketika pertandingan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Bangkok baru-baru ini. Justeru itu, beliau berharap penganjuran program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memantapkan sukan taekwando di Terengganu.
16 Sep 23
787
Festival 'Musing Ketang' Angkat Budaya, Tradisi Terengganu
Festival 'Musing Ketang' Angkat Budaya, Tradisi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 September - Penganjuran Festival 'Musing Ketang' berjaya memperkenalkan budaya dan tradisi Terengganu kepada pengunjung serta pelancong luar. Timbalan Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata inisiatif itu bakal menyemarakkan kembali jati diri dalam kalangan masyarakat Terengganu khususnya generasi muda. Katanya, Musing Ketang merupakan dialek Terengganu yang membawa maksud berjalan ke hulu ke hilir dalam suatu tempat, ia bagi menjelaskan situasi pengunjung untuk berjalan-jalan di tapak acara ini. “Pelbagai aktiviti yang terdapat di sini antaranya demonstrasi pembuatan tikar kercut, ukiran tembaga, pembuatan replika bot tradisional, wau dan lukisan batik yang menjadi identiti masyarakat Terengganu. “Program Musing Ketang yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 September ini bertempat di Kampung Budaya Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Musing Ketang bertempat di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium, Bukit Losong di sini hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani. Tambah Sulaiman, jumlah pengunjung yang dianggarkan bakal hadir selama tiga hari festival berlangsung adalah seramai 10,000 orang dari seluruh negara sempena hari minggu dan cuti hari Malaysia, 16 September. “Pelbagai pertandingan juga disediakan buat pengunjung seperti pertandingan Ratu Cilik Kebaya, Wira Cilik Pendekar, Gasing Pangkah dan Musing Ketang Treasure Hunt. “Program ini juga dapat meningkatkan sumber pendapatan kepada agensi pelancongan dan perhotelan serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu. “Jualan makanan tradisional juga antara tarikan utama pengunjung ke festival ini,” ujarnya. Beliau berharap, orang ramai terutamanya masyarakat setempat tidak melepaskan peluang untuk hadir ke festival Musing Ketang ini dan merasai sendiri pengalaman luar biasa yang disediakan oleh penganjur.  
16 Sep 23
1262
Pengalaman Tun M Bantu 4 Negeri PN Tingkat Pelaburan
Pengalaman Tun M Bantu 4 Negeri PN Tingkat Pelaburan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Pengalaman yang luas dimiliki Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat membantu empat negeri naungan Perikatan Nasional (PN) dalam sektor pelaburan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui kerjasama ‘State-Government 4’ atau SG4 dapat kukuhkan lagi potensi yang ada di keempat negeri tersebut. Katanya, empat negeri ini diketuai oleh Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. “Saya rasa tidak ada rakyat Malaysia yang menafikan peranan Tun Mahathir dalam membangunkan Negara Malaysia. “Tun Mahathir juga mempunyai hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara seperti Jepun, Korea dan sebagainya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang selepas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, Mantan Pedana Menteri itu sentiasa memberi pesanan terhadap urus tadbir yang cekap. Tambahnya, usaha itu diperlukan oleh kerajaan negeri supaya segala kelulusan projek dapat dilaksanakan secara efisien. “Sekiranya tidak efisien boleh menyebabkan para pelabur hilang kepercayaan dan lari dari negeri tertentu. “Pada peringkat ini, kita meminta nasihat secara tidak rasmi dahulu daripada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu," ujarnya. Seterusnya, kita akan lihat keperluan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah beberapa penelitian dan kajian telah dijalankan.
15 Sep 23
481
Percepat Proses Bina Hospital Pakar Marang
Percepat Proses Bina Hospital Pakar Marang
KUALA LUMPUR, 14 September- Kerajaan Persekutuan digesa mempercepat proses membina Hospital Pakar di daerah Marang dan pembesaran Pusat Kesihatan Bukit Tunggal. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, gesaan tersebut dibangkitkan berikutan kapasiti Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang berfungsi sebagai nadi utama fasiliti kesihatan  awam Terengganu terlalu sesak. "Tiada lagi ruang tanah HSNZ untuk diperbesarkan atas faktor geografi kerana dikelilingi oleh bangunan dan laut. "Begitu juga, Pusat Kesihatan Bukit Tunggal berdepan situasi serupa justeru, saya berharap kerajaan menambah peruntukkan bagi membesarkan pusat kesihatan tersebut," katanya. Beliau berkata demikian semasa membahaskan kajian separuh penggal (KSP) rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam. Selain itu, beliau turut membangkitkan isu royalti sejauh manakah tangungjawab Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi yang dicanang selama ini.  "Saya memohon barisan kepimpinan Kerajaan Madani pada hari ini bersikap lebih matang dalam berpolitik agar semua pihak tidak dizalimi," katanya.
15 Sep 23
1287
Kerajaan Terengganu Pertahan Itqanul Muluk Sebagai Asas Pemerkasaan Syariah
Kerajaan Terengganu Pertahan Itqanul Muluk Sebagai Asas Pemerkasaan Syariah
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan Terengganu mempertahankan Perlembagaan Itqanul Muluk Bi Ta' adilis Suluk sebagai asas pemerkasaan syariah di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, Perlembagaan Itqanul Muluk Bi ta’dilis Suluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul.  "Ruh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah meletakkan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu bahawa mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala’ dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah," jelasnya. Dr Muhammad Khalil membuat kenyataan tersebut sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah serta perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqanul Muluk Bi Ta'adil Suluk oleh Yang Dipertuan Muda Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man di sini semalam. Beliau turut menjujung kasih sambil berdoa semoga Allah Melimpahkan Rahmat dan Kurniaan-Nya Ke Bawah Duli Pemerintahan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Seterusnya Dr Muhammad Khalil berkata penguatkuasaan perlembagaan itu bertujuan untuk menyelamatkan negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah asing kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan hampir semua negara umat Islam dijajah oleh penjajah asing.  "Maka tindakan almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan politik yang sangat bijaksana demi menjaga dan memelihara bumi Terengganu," tambahnya. Di zaman sultan tersebut katanya, dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana  pelaksanaan hukum-hakam itu dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud al-Fatani dan lain-lain lagi.  "Almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syarak dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani," ujarnya lagi. Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata terdapat bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain.  "Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang pernah menceritakannya dalam ucapan beliau ketika merasmikan Perayaan 100 tahun Itqanul Muluk Bi ta’adilis Suluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012 tentang satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri," jelasnya Bagaimanapun tambahnya lagi pada tahun 1919, penjajah British membatalkan perlembagaan Itqanul Muluk. Katanya rentetan daripada itu ia telah membangkitkan penentangan rakyat Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bagi mengembalikan semula Terengganu kepada landasannya yang asal.  Menurut Dr Muhammad Khalil antara langkah awal ialah tindakan Haji Abdul Rahman menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut.  Tindakan tersebut katanya menimbulkan ketegangan dengan penjajah British sehingga tercetusnya peristiwa berdarah di Padang Kachung pada tahun 1928 yang  mengorbankan 12 orang syuhada dan berakhir dengan Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Mekah oleh penjajah British.
15 Sep 23
477
Terengganu Gesa Kerajaan Persekutuan Fokus Projek Tergendala
Terengganu Gesa Kerajaan Persekutuan Fokus Projek Tergendala
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan Terengganu mahu isu projek-projek tergendala yang dibahaskan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di peringkat negeri Terengganu, terdapat banyak projek dalam RMK12. “Katanya, pelbagai kategori antaranya ada projek yang lambat, terbengkalai, ada yang jauh lagi waktu untuk disiapkan dan sebagainya. “Jangan kita fokus hanya perkara baharu sehingga perkara lama ditinggalkan begitu sahaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang selapas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, RMK12 yang sedia ada di negeri Terengganu ini haruslah ditangani dengan serius. Tambahnya, supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual. "Walaubagaimanapun, apa yang dibentangkan itu adalah kajian separuh penggal yang bermakna RMK12 sedang berjalan. "Maka, di pertengahan tempoh rancangan itu dibuat kajian pelaksanaan projek-projek yang sedia ada. "Sekiranya ada beberapa penambahbaikan perubahan, maka akan disebutkan dalam perbentangan tersebut," ujarnya.
15 Sep 23
151
Kejohanan Kuda Lasak Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Buka Tirai
Kejohanan Kuda Lasak Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Buka Tirai
SETIU, 15 September- Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu membuka tirainya pagi ini. Berlangsung selama tiga hari, seramai 105 peserta memulakan saingan pagi ini melibatkan tiga kategori iaitu 40KM, 30KM dan VIP 15KM. Pelepasan flag off disempurnakan Naib Presiden Persatuan Ekuin Terengganu, Nasir Taib di Terengganu International Endurance Park (TIRP), seawal jam 6.30 pagi hari ini. Dalam kejohanan berkenaan, kategori utama 80KM turut dipertandingkan dan akan bermula esok.          
15 Sep 23
914
Penguatkuasaan Undang-Undang Kurangkan Impak Perubahan Iklim
Penguatkuasaan Undang-Undang Kurangkan Impak Perubahan Iklim
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri akan memastikan penguatkuasaan undang -undang berkaitan alam sekitar diberikan keutamaan bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap ekonomi di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata sebagai Exco yang bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan negeri, beliau akan melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan impak perubahan iklim walaupun berhadapan dengan cabaran besar. Menurut beliau, akibat bencana alam yang melanda Terengganu pada awal Disember 2022 hingga 9 Januari 2023 lalu, lebih RM38.2 juta kerugian yang terpaksa ditanggung oleh orang awam yang terkesan akibat banjir.  "Kita akan memperkasakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga hidroelektrik. "Seterusnya memperkukuhkan pembangunan lestari di setiap peringkat dan menganjurkan kempen kesedaran terutama menerusi media sosial baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, pihaknya juga  akan mewartakan lebih banyak hutan simpan, pemuliharaan alam flora dan fauna serta mengamalkan budaya kebersihan dan budaya kitar semula. Jelasnya, jika berlaku peningkatan bencana alam sudah tentu menghalang pertumbuhan ekonomi termasuk aktiviti hiliran yang memberi impak besar kepada infrastruktur, pekerjaan, pelancongan, perniagaan, kewangan dan kerajaan. "Semoga kesedaran tinggi terus tersemat dalam diri kita semua bagi memastikan langkah yang bakal diambil berjaya mengurangkan impak perubahan iklim di Terengganu," ujarnya.  
15 Sep 23
124
SG4 Kukuhkan Lagi Potensi 4 Negeri PN
SG4 Kukuhkan Lagi Potensi 4 Negeri PN
KUALA TERENGGANU, 14 September – Penubuhan ‘State-Government 4’ atau SG4 akan mengukuhkan lagi potensi di keempat-empat negeri di bawah naungan Perikatan Nasional (PN). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama empat negeri ini iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan dilaksanakan secara berfasa. “Saya telah memberi arahan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari Rabu lepas. “Supaya semua exco dapat menghubungi rakan-rakan sekerja portfolio masing-masing di tiga buah negeri lagi untuk mengadakan perbincangan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang selepas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, melalui perbincangan itu, kita dapat merangka pelbagai usaha untuk pergi lebih jauh lagi dalam kerjasama tersebut. “Persetujuan di peringkat semua Menteri Besar dan ketua-ketua kerajaan sudah berlaku. “Waktu sekarang setiap portfolio hendaklah merangka apa yang boleh dibuat kerjasama dalam portfolio masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata, antara fokus yang diberi perhatian dalam pembentukan SG4 adalah pertanian, industri, pelancongan dan juga lain-lain kerjasama dalam memajukan anak syarikat negeri (GLC) masing-masing. "Untuk peringkat awal, kerajaan negeri Terengganu dan Perlis telah menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan sebuah hospital KMI di Perlis sebelum penubuhan SG4 lagi," katanya. Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.    
14 Sep 23
286