Artikel "Semasa" Terkini
Jasad Lelaki Lemas Ketika Memancing Udang Ditemui
BESUT, 24 September - Jasad seorang lelaki lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik sewaktu mengail udang di Sungai Kampung Tok Gong, Kuala Besut berjaya ditemukan pada pagi tadi.
Mayat Muhammad Hussin Jusoh, 46, dari Kampung Telaga Papan, Semerak ditemui pada jam 7.45 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Penolong Penguasa Bomba Daerah Besut, Mohd Tarmimi Musa, anggota Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) telah membuat rondaan pada jam 7 pagi di sekitar tempat mangsa dipercayai jatuh.
Katanya, mangsa kemudiannya telah dijumpai pada jarak 250 meter dari lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta merta selepas pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mayat dan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk pengecaman bersama pihak waris. \
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Besut bagi tujuan post mortem," ujarnya
Mohd Tarmimi ketika ditemuramah.
Tambah Mohd Tarmimi dalam kejadian pada 23 September jam 2 pagi, Hussin memancing udang bersama seorang lagi rakannya di sungai terbabit.
Namun begitu jelasnya, berlaku air pasang, bot fiber yang dinaiki mereka berdua dibawa arus lalu terbalik di bawah jambatan sungai Tok Gong.
"Rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berpaut di ranting pokok berhampiran jambatan, walau bagaimanapun mangsa gagal menyelamatkn diri," jelasnya.
24 Sep 23
645
Raja Muda Rasmi Kursus Pemimpin Pengakap Udara
KUALA NERUS, 24 September - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Kursus Pemimpin Pengakap Udara Peringkat Kebangsaan 2023 Kali Ke- V di Dewan Sri Nariah, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini hari ini.
Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut oleh Yang di Pertua Dewan Undangan negeri, Dato' Yahaya Ali, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej.Jen.Prof Dato' Dr Mohd Zin Bidin (B); Pengerusi Majlis Pengakap Negeri, Tan Sri Dato' Abdullah Taib, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Mohd Azizi Zulkifli.
Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata Pengakap Udara bukanlah satu pergerakan berasingan.
"Ia adalah satu aliran pengakap yang melibatkan diri dalam kegiatan udara serta menerapkan dimensi mengutamakan keselamatan sebagaimana di dalam bidang penerbangan.
"Di kalangan penerbang dan ahli udara, sikap atau 'attitude' yang baik sebegini dikenali juga sebagai 'airmanship'. Oleh itu, Pengakap Udara, di samping melalui latihan kepengakapan, juga harus melalui latihan 'airmanship' yang akhirnya dapat membentuk budaya keselamatan (safety culture) yang baik," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap penganjuran kursus ini sedikit sebanyak akan membantu menubuhkan dan menguruskan pasukan-pasukan Pengakap Udara, dan memperhebatkan lagi pertumbuhan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
24 Sep 23
455
Pelumba Terengganu Cemerlang Sarung Jersi Raja Bukit
KUALA TERENGGANU, 23 September – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama setelah memperoleh jersi polkadot (raja bukit).
Peringkat pertama perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi 2023 bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km.
Aiman Zariff berkata, walaupun menghadapi kesukaran terutama untuk melepasi 30 kilometer terawal, dia bersyukur berjaya mendapatkan rentak tidak lama selepas itu.
“Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat sebelum menghadapi LTDL, ia membantu saya keluar daripada masalah.
“Seperti menyertai Tour Of Iran, Tour Gateh De Terengganu dan pelbagai lagi latihan bagi menghadapi perlumbaan berprestij ini.
“Motivasi untuk LTDL 2023 ini berbeza dengan sebelumnya kerana pengalaman yang saya dan perlumbaan bermula di Terengganu.
“Insya-Allah saya akan lakukan terbaik sepanjang LTDL 2023 ini,” jelasnya.
Dia berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Penyarungan Jersi dan Penyampaian Hadiah Petronas Le Tour De Langkawi 2023 Peringkat Pertama bertempat di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Peringkat Pertama LTdL 2023 menyaksikan pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn membolot dua jersi iaitu jersi hijau (juara keseluruhan) dan jersi oren (raja pecut).
Manakala, jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dimenangi oleh Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan.
Peringkat kedua perlumbaan esok akan bermula di ‘Drawbrige’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2 km.
23 Sep 23
1662
Bincang Aktiviti Sukan Patuh Syariah Dengan Mufti- Hishamuddin
KUALA TERENGGANU, 21 September- Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri yang diterajui Hishamuddin Abdul Karim telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Terengganu, hari ini.
Hishamuddin berkata, pertemuan dengan Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron adalah bagi membincangkan garis panduan mengenai aktiviti sukan dan mendapatkan nasihat tentang pelaksanaannya agar selari dengan ketetapan syariah.
"Sekalipun tidak mampu memenuhi secara menyeluruh, paling tidak prosesnya bermula dari bawah dengan penuh berhemah.
"Pertemuan ini juga bagi menjemput pihak Jabatan Mufti Negeri Terengganu hadir ke program T-Fight sebagai pasukan pemantau untuk menggariskan panduan yang sebaiknya dalam acara Kejohanan T-Fight Festival 2023 yang akan diadakan nanti, " ujar beliau di laman facebook rasminya.
Katanya lagi, kesederhanaan pihak Kerajaan Negeri dalam menerima dan menyambut penganjuran sebegini hendaklah juga dihormati oleh pihak penganjur terhadap garis panduan dan ketetapan yang diberikan.
21 Sep 23
359
Terengganu Buka Kawasan Baharu Untuk Penanaman Padi
MARANG, 21 September - Kerajaan Terengganu sudah mengenal pasti dan membuka beberapa lokasi baharu yang dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya juga telah meneliti sawah padi berpotensi untuk diperluaskan bagi meningkatkan penghasilan beras.
Katanya, antara kawasan dibuka baharu ialah Durian Mentangau, Paya Dadong dan Skim Paya Paman.
"Di Durian Mentangau kira-kira 40 hektar kawasan padi yang dibuka dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta.
"Kawasan-kawasan ini sebelum ini telah dibiarkan kerana masalah pengairan, selepas itu kita bina dan naik taraf semula sistem pengairan sehingga mampu untuk bertanam semula.
"Strategi ini berjalan serentak kesemuanya sebab itu kita boleh tengok berlaku peningkatan dari tahun 2018, 2019 sehingga sekarang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Input Penternakan Ruminan 2023, di Dewan Sivik Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Tambah Dr Azman, antara usaha lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu ini termasuk menambah keluasan jelapang padi sedia ada.
"Perancangan besar kita adalah untuk menjadikan kawasan jelapang padi yang ada sekarang ini daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar dengan memasukkan lagi 5,000 daripada 7,000 yang berada di luar jelapang yang dinamakan sebagai Projek Kawasan bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga berusaha meningkatkan kesuburan tanah supaya penghasilan padi per hektar dapat ditingkatkan.
"Kawasan yang kebiasaan menghasilkan tiga metrik per hektar akan dinaikkan menjadi lima metrik, yang selama ini lima metrik boleh dinaikkan jadi lapan metrik tan per hektar.
"Antara strategi lain juga ialah menaik taraf infrastruktur pengairan, meningkatkan kesuburan tanah, melakukan kerja-kerja meratakan tanah sawah.
"Kita juga 'upgrade' kawasan yang bertanam sekali setahun kepada dua kali setahun, telah ada beberapa kawasan di sekitar Dungun, Kemaman serta di Kuala Nerus yang asalnya cuma bertanam sekali setahun, usaha ini dibuat dengan meningkatkan sistem pengairan sekali gus akan memperolehi hasil dua kali ganda," ujarnya.
Pada 15 September lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan kerajaan Terengganu sudah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi bagi meningkatkan hasil bekalan beras di negeri ini.
Katanya, kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama tidak ditanam padi justeru akan dibangunkan semula bagi tujuan berkenaan.
"Kita sedang berkomunikasi dengan rakyat di kawasan tersebut bagi mencari tenaga kerja kerana kawasan berkenaan sudah lama tidak diusahakan maka keluarga-keluarga di sana sudah bekerja di luar negeri dan sebagainya.
“Nak cari orang untuk usahakan juga perlu ditangani dengan baik dan tidak mudah sebenarnya serta memakan masa," jelasnya.
21 Sep 23
1821
Lebih 70 Peratus Koperasi Di Terengganu Aktif
KUALA TERENGGANU, 21 September - Lebih 70 peratus atau 679 daripada 970 koperasi yang berdaftar di negeri ini bergerak aktif dan menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan gerakan koperasi negeri.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awg Ruslli Mohammad berkata, terdapat kira-kira 270,000 ahli koperasi di seluruh negeri ini yang berpotensi besar merealisasikan hasrat kerajaan itu.
"Koperasi yang aktif ini memang ada aktiviti, di audit dan bermesyuarat setiap tahun, dalam masa yang sama SKM akan membantu dari segi bantuan dana dan pinjaman.
“Mereka ini terlibat dengan banyak aktiviti termasuk pelancongan, pertanian, peruncitan dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Berhad Kali Ke-29 Dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis perasmian mesyuarat agung tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, koperasi di negeri ini mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang terutamanya dalam sektor pertanian serta pelancongan.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau dimaklumkan bahawa pelbagai dana, geran serta pinjaman ditawarkan oleh SKM yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi di negeri ini.
“Saya rasa sama juga di mana-mana negeri, koperasi ini ada yang aktif, kurang aktif dan ada yang hanya bergantung kepada pengurusan koperasi sahaja yang buat kerja.
“Ahli-ahli koperasi perlu beri pandangan dan cadangan, bukan sekadar bertemu sekali setahun dalam mesyuarat agung saja, supaya kita dapat cari jalan koperasi ini dapat terus diperkasa.
“Justeru, koperasi yang ada di Terengganu ini perlu merebut peluang kerana banyak dana-dana tertentu, geran yang disediakan di peringkat kementerian,” ujarnya.
21 Sep 23
314
Syarikat Kerajaan Terengganu Lancar Kereta Tenaga Solar
KUALA TERENGGANU, 19 September - Anak Syarikat Negeri, EPIC Berhad telah melancarkan EPIC Solar Car (ESCAR) hasil kolaborasi bersama EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) dan University College TATI (UC TATI).
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Ir Mukhtar Suhaili berkata ESCAR bertujuan untuk mempromosikan pembangunan mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui.
“Kenderaan ini dikuasakan oleh tenaga solar dan tidak menggunakan bahan api, justeru menjadikannya salah satu alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional.
“Diusahakan bermula pada bulan November 2022 oleh pasukan projek yang diketuai oleh Pengurus Besar ESSB, Fuaad Mohamed Nawawi dan Ketua Penyelidik UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Ruzlaini Ghoni.
“ESCAR pada awalnya dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya ke kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman dan digunakan sebagai kenderaan pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran tersebut, Pengerusi ESSB, YM Tengku Amran Tengku Awang, Pengarah ESSB, Hazri Jusoh, barisan Pengurus Besar Kumpulan EPIC, wakil-wakil ESSB serta UC TATI dan wakil Kelab Golf Rekreasi Petronas (KGRP).
Tambah Ir Mukhtar, projek tersebut masih dalam penyelidikan untuk meningkatkan kapasitinya dan ciri-ciri sedia.
Jelasnya, seperti pemantauan bateri dan sistem Penjejakan Penentududukan Global (GPS).
“ESSB dan UC TATI komited untuk menggalakkan pembangunan mampan dan akan terus berganding bahu bagi menginovasi lebih banyak kenderaan berteknologi canggih dijanakuasakan oleh tenaga solar.
“Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), khasnya SDG 11-Bandar dan Komuniti Mampan dan SDG 13-Tindakan Iklim," katanya.
Sementara itu Fuaad berkata berkata, inisiatif tersebut adalah inovasi terhadap kenderaan ringan iaitu kereta buggy yang biasanya digunakan di kelab-kelab golf dan kawasan pelancongan.
"Inovasi ini mengguna pakai tenaga elektrik yang disimpan dalam bateri di mana tenaga tersebut dijanakuasakan oleh tenaga solar, berbeza dengan kenderaan berasaskan petrol.
"Kenderaan ini akan membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekaligus membantu dalam penjimatan kos operasi," katanya.
20 Sep 23
1595
192 Kawasan Berisiko Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September- Sebanyak 192 kawasan disenaraikan sebagai titik panas atau ‘hotspot’ berlakunya bencana banjir di Terengganu sekiranya berlaku pertembungan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, daerah Kemaman merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 39 lokasi diikuti daerah Dungun (32 kawasan) dan Besut (29 kawasan) dan Hulu Terengganu (29 kawasan).
Menurutnya, sebanyak 27 kawasan lagi dikenal pasti di Marang, Setiu (21 kawasan) dan Kuala Terengganu /Kuala Nerus (15 kawasan).
"Kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.
"Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu.
"Selain itu, kita turut memberi tumpuan khusus di daerah Hulu Terengganu yang dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Hassan As'ari berkata, seramai 690 pegawai dan anggota termasuk aset sudah bersiap sedia berdepan banjir, yang dijangka berlaku lebih awal, tahun ini.
“Seramai 287 anggota membabitkan 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) juga akan digerakkan untuk membantu operasi di kawasan-kawasan yang agak jauh bagi memudahkan pergerakan menyelamat nanti,”katanya.
20 Sep 23
1789
Peniaga Terpaksa Naikkan Harga Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 September- Kenaikan harga barangan yang agak drastik sejak kebelakangan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan kepada pengguna, malah para peniaga juga tersepit dengan peningkatan melampau itu.
Rata-rata peniaga tertekan dengan kenaikan harga barang yang saban minggu berubah dengan harga berbeza yang semakin tidak masuk akal.
Kenaikan itu menyebabkan para peniaga tidak dapat mengelak menaikan harga barangan yang dijual mereka walaupun ada pelanggan yang merungut.
Menurut Fatihah Suhaimi, 20, yang membantu ibunya berniaga barangan runcit, berkata, mereka terpaksa menjual barangan berdasarkan harga semasa yang ditetapkan oleh pemborong.
“Sekarang jual apa-apa pun pun tidak ramai pembeli. Kita dapat harga dari pembekal sudah mahal, bukan sahaja beras, telur, gula, minyak yang naik, harga ketumbar yang dulu sekitar RM20 sekilogram sekarang dalam RM35, harga naik mendadak menyebabkan pembeli terkejut.
“Sedangkan kita ambil dari orang mahal juga, terpaksa jual mahal, kalau jual murah tidak balik modal,” katanya semasa ditemui di Pasar Chabang Tiga, semalam.
Katanya, dia kini hanya banyak berharap kepada pelanggan tetap membabitkan peniaga restoran dan kedai makan yang masih terus membeli bahan mentah di kedai ibunya.
Sementara itu, Mohd Ariffin Abdul Rahman, 63, sebagai peniaga sayur-sayuran dia turut terkejut dengan kenaikan harga yang terlalu tinggi ketika ini dan tidak pernah berlaku sejaknya berniaga kira-kira 30 tahun lalu.
“Saya harap kerajaan prihatin dengan isu ini, bila harga barang keperluan naik kena ambil berat tentang rakyat, prihatin kepada rakyat.
“Pada saya, kerajaan perlu selaraskan harga, kalau orang ramai kurang berbelanja, peniaga seperti kami yang susah,” ujarnya.
Manakala peniaga ikan, Abd Rahman Abdullah berpendapat, kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan mengambil langkah proaktif untuk terus memantau kenaikan harga barangan dalam pasaran sebelum terus meningkat dan mencapai tahap kritikal.
20 Sep 23
439
Sultan Mizan Rasmi Mercu Tanda Baharu Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan mercu tanda baharu bandar ini iaitu Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Dewan Banquet Tingkat 1 bangunan tersebut hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman serta kenamaan lain.
Sultan dan Sultanah kemudiannya berangkat melawat Pameran Jubli Perak Sempena 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Al Sultan, di aras bawah bangunan tersebut.
Terdahulu Ahmad Samsuri mempersembahkan ucapannya menyentuh latar belakang pembinaan bangunan tersebut.
"Bangunan kompleks pentadbiran MBKT mempunyai 30 tingkat dan merupakan bangunan yang tertinggi di negeri Terengganu.
"Menara ini dibina dengan kos hampir RM200 juta, telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 4 Julai 2022 serta memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 14 November 2022.
“Bangunan ini menempatkan hampir 1,000 kakitangan MBKT serta dilengkapi kemudahan fasiliti sokongan," katanya.
20 Sep 23
4890