Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan lebih RM24 juta kepada 4,887 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga Ogos 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata skim pembiayaan TUGAS itu diwujudkan khas bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melancarkan aliran tunai syarikat mereka.
“Pinjaman berbentuk patuh syariah ini tidak akan membebankan usahawan kerana mereka hanya perlu menjelaskan bayaran berdasarkan jumlah pinjaman dan tiada sebarang faedah dikenakan.
“TUGAS yang menggabungkan skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU) dan lain-lain dilihat sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ladang Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambahnya, YPU turut menawarkan Geran Perniagaan di bawah TUGAS dengan had maksima sehingga RM5,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
“Antara geran perniagaan yang boleh dipohon adalah Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU ( D-Hati),”ujar beliau.
Ariffin juga berkata YPU dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) turut membantu peniaga kecil dan penjaja melalui Dana Khas iaitu Dana PUTERA dengan jumlah bantuan tidak melebihi RM1,500 dalam bentuk tunai atau peralatan.
04 Oct 23
702
Pusat Cari Kerja Terengganu Jadi Rujukan Negeri Lain
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Pusat Cari Kerja Terengganu mendapat perhatian dan menjadi rujukan negeri-negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata ini merupakan pengiktirafan yang baik kepada usaha murni ini.
Katanya, usaha tersebut melalui kerjasama Pusat pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu.
"Bagi menghadapi cabaran 2023, pihak kerajaan amat prihatin terhadap mereka yang penganggur dan kurang bernasib baik.
“Kita berharap mereka yang belum bekerja untuk tampil ke program karnival, 'outreach' dan program lain yang berkaitan di negeri ini.
"Ia bertujuan supaya memberi peluang kepada mereka untuk mencuba nasib dan terus berusaha mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs ‘Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Terengganu Digital (TD1303), Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.
Tambah Ariffin, program Karnival Kerjaya MyFutureJobs tersebut telah bermula pada 30 September sehingga 1 Oktober 2023.
“Alhamdulillah, seramai 199 orang rakyat Terengganu telah hadir pada hari pertama dan sebanyak 181 temuduga telah dijalankan.
“Karnival ini adalah inisiatif kerajaan negeri, melalui T-HRDC bersama PERKESO sebagai sekretariat Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata, ia bertujuan bagi mengambil pedekatan proaktif turun padang bersama majikan membawa peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakyat Terengganu kerana tidak melepaskan peluang keemasan ini.
“Semoga dengan platform serta peluang yang diberikan ini, dapatlah diguna sebaik mungkin,” ujarnya.
03 Oct 23
422
Fokus Peluang Kerja Bagi Elak 'Brain Drain'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri memfokuskan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dalam semua bidang berdasarkan tawaran kerja yang ada.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk menggelakkan 'Brain Drain' daripada berlaku di Terengganu.
Katanya, beliau memahami fenomena tersebut yang melibatkan pengaliran keluar tenaga profesional dan berkemahiran tinggi ke luar Terengganu disebabkan mereka lebih tertarik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dan pengalaman kerja yang lebih luas di bandar-bandar besar.
"Melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) kerajaan sedang memperkemaskan kolaborasi bagi melihat perkara ini.
"Usaha pemadanan pekerjaan secara bersasar sedang dijalankan melalui maklumat yang dibekalkan oleh agensi seperti PERKESO melalui portal MyFuture Jobs dimana kemahiran pencari kerja akan dipadankan dengan tawaran kerja aktif yang ada," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, promosi peluang kerja ini disampaikan melalui program kerjaya yang diadakan dari semasa ke semasa.
Tambah beliau, setakat ini belum ada program khusus bagi menangani masalah "brain drain" secara terperinci. memandangkan fokus pasca Covid lebih menumpukan kepada mendapatkan penempatan kerja bagi semua rakyat tanpa mengira kelulusan.
"Namun, dengan pembangunan teknik bersasar yang sedang dijalankan ini diharap dapat membantu pemadanan pekerja berkemahiran tinggi dengan lebih baik," katanya.
03 Oct 23
189
Pelan Strategik Pertanian Akan Capai 100 Peratus Pelaksanaan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 55 daripada 58 program dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata menjelang penutup pelan tersebut Kerajaan Negeri akan melaksanakan 100 peratus daripada perancangan yang digariskan.
"Sejak dilancarkan pada bulan 4 Ogos 2019 dan bakal berakhir menjelang penghujung tahun 2023, sebanyak 55 daripada 58 program utama telah dilaksanakan dengan peratusan pelaksanaan sebanyak 95 peratus," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sementara itu Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata laporan pencapaian pertanian akan dikeluarkan dalam tempoh suku pertama tahun depan dan bakal dibentangkan dalam persidangan DUN.
"Kita (Kerajaan Negeri) sedang mengemaskini bengkel untuk menyusun dan memperbaharui perancangan pelan strategik bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu mulai tahun 2024-2028 dengan mengambil kira komponen yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) dan manifesto yang telah diumumkan kepada rakyat," ujarnya.
'Way forward' selepas ini katanya ialah yang untuk meningkatkan hasil pengeluaran tanaman, penternakan dan industri asas tani, kedua untuk memperkasakan aspek keselamatan serta kualiti makanan dan ketiga untuk melengkapkan rantaian nilai.
Menurutnya projek yang dimasukkan di bawah tajuk 'Quick Win' ialah projek yang tidak menelan belanja yang besar tetapi memberi hasil segera kepada rakyat.
"Hanya kita fokus kepada bantuan 'input touch point' kepada golongan sasar sama ada petani, penternak atau nelayan yang meliputi bantuan info peralatan dan mekanisasi.
"Yang kedua isu pembangunan infrastruktur termasuk pertanian, penternakan dan perikanan meliputi pembangunan taman kekal pengeluaran makanan, naik taraf dan sistem pengairan sawah padi dan ladang serta kebun penduduk dan yang ketiga menaik taraf sistem jalan pertanian dan sebagainya," jelasnya lagi.
Seterusnya kata beliau Kerajaan Negeri fokus untuk menangani bencana yang selalu menimpa sektor pertanian sama ada dalam bentuk bencana alam, wabak penyakit dan serangan hidupan liar yang memusnahkan sebahagian daripada hasil pertanian penduduk.
03 Oct 23
139
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Peningkatan pelaburan di Terengganu diharap dapat memberi pulangan serta hasil yang baik bagi meningkatkan pendapatan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, keadaan demikian sewajarnya menjadi faktor bertambahnya pendapatan di negeri ini.
"Kita sebenarnya sangat mengalu-alukan pelaburan dari luar untuk tujuan penambahan hasil bagi kerajaan negeri.
"Walau bagaimanapun kita melihat ia tidak besar sebagaimana pelaburan yang berlaku, mungkin hasil diperolehi hanya daripada premium tanah dan hasil-hasil cukai yang tidak besar.
"Oleh itu kita mengharapkan kontrak-kontrak yang dijalankan dengan pelabur asing ini memberi pulangan yang lebih besar kepada negeri kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Perbahasan Ke Atas Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, dengan meningkatnya pelabur ke negeri ini kerajaan negeri perlu mengambil kesempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Apabila bertemu dengan mereka yang menyatakan minat untuk melabur antara perkara yang dibangkitkan ialah adakah kerajaan Terengganu boleh menyediakan tenaga kerja untuk keperluan industri mereka," katanya.
Dalam pada itu katanya, DUN Telemong yang selama ini merupakan tempat yang paling kecil berlaku pelaburan berupaya untuk dijadikan sebahagian 'free trade zone'
"Kerana itu kita mengharapkan agar berlakunya sambungan lebuhraya antara Kuala Telemong dengan Jeneris supaya memberi suatu nilai impak yang lebih besar kepada industri di Hulu Terengganu agar ia selari dengan keperluan pertanian bagi membolehkan rakyat mengecapi kemajuan ini, insya-Allah," ujar beliau.
03 Oct 23
178
PETRONAS Serah Lapangan Terbang Kerteh Kepada Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Negeri bersetuju menerima semula tapak Lapangan Terbang Kerteh Kemaman dari PETRONAS sehingga tempoh 31 Mac 2026.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata untuk itu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi menyelaras, memantau proses penyerahan serta menilai model perniagaan, cadangan pengurusan sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang tersebut.
"Kerajaan Negeri melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) untuk meneroka segala potensi serta merangka pelan pengoperasian lapangan terbang itu setelah penyerahan daripada PETRONAS," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Petama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Tingkat U2 Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat keputusan, bersetuju untuk menerima secara dasar cadangan penyerahan keseluruhan aset yang merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di lapangan terbang tersebut.
Katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju mengekalkan tapak lapangan terbang itu untuk aktiviti berkaitan penerbangan.
"Hasil kajian awal oleh Terengganu Inc yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas mendapati lapangan terbang itu tidak mempunyai potensi yang cukup baik untuk Kerajaan Negeri meneruskan operasi sebagai lapangan terbang dan aktiviti berkaitan penerbangan," jelasnya.
Katanya, jawatankuasa khas itu memutuskan agar Terengganu Inc meneruskan kajian lanjut untuk meneroka potensi dan bidang lain untuk pembangunan seterusnya tapak lapangan terbang itu.
"Saya ingin memberi komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan terus membuat kajian dan penilaian walaupun antara cabaran yang wujud adalah lebih kepada peningkatan kemahiran ekonomi ('economic upskill') dan pulangan pelaburan (return of invesment) sama ada kepada pihak kerajaan ataupun pihak swasta yang ingin meneruskan pelaburan di lapangan terbang tersebut," ujarnya lagi.
03 Oct 23
546
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pulau Duyong yang dikenali sebagai 'Lidah Terengganu' perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
"Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong.
"Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan 'river cruise'.
"Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan 'river cruise'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak.
"Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," ujarnya.
03 Oct 23
670
KDNK Perikanan Terengganu Naik 9.9 Peratus
MARANG, 3 Oktober – Kadar pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu (KDNK) dalam sektor perikanan meningkat sebanyak 9.9 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia satu jumlah peningkatan yang besar dan akan sentiasa berterusan.
Katanya, data dan fakta juga menunjukkan peningkatan dari segi pendaratan hasil laut.
“Untuk tahun ini, bermula daripada 5 Oktober kita akan turun lagi ke laut untuk melabuhkan tukun.
“Tahun ini kita ada sebanyak 45 lagi tukun yang akan diturunkan ke laut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas Bertempat di Taman Laut, Pulau Kapas semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Tambah Dr Azman, manusia hanya berusaha dan yang memberi adalah Allah yang maha pemberi rezeki.
“Usaha manusia adalah asbab, jadi kita tengok apabila terdapat kekurangan dalam sumber perikanan kita akan atasinya secara berperingkat dari semasa-semasa,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut akan terus berterusan supaya mendatangkan kegembiraan kepada nelayan-nelayan.
“Keceriaan itu mula ada pada wajah mereka dan kita harap ianya berterusan Insya-Allah,” ujarnya.
03 Oct 23
438
Kerajaan Negeri Sasar Cukupkan Keperluan Makanan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri berusaha mencukupkan keperluan tempatan dengan menaikkan kadar pengeluaran secara berperingkat sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antaranya dengan memajukan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
“Kita juga buat program khusus untuk pembangunan tanah terbiar, bagi bantuan modal kepada rakyat yang berhadapan dengan masalah modal, buat ladang kontrak untuk bantu dari segi pasaran, bantuan dari segi kaedah pemasaran dan banyak lagi.
"Kerajaan negeri juga fokuskan kepada tanaman yang menjadi keperluan rakyat,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang mengemukakan soalan mengenai apakah usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import ini di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Terdahulu, menjawab soalan lisan Ridzuan mengenai bagaimana kerajaan menangani isu kemasukan sayur-sayuran dan buah-buahan import yang mengganggu kestabilan pasaran produk tempatan, beliau berkata faktor kawalan dan keseimbangan serta diselaraskan dengan keperluan sangat penting supaya apa yang dibawa masuk akhirnya tidak mengganggu projek tempatan.
“Kita akui tidak mampu mengeluarkan produk dengan harga sebagaimana produk import yang lebih murah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu tahu bahawa produk tempatan kita lebih selamat khususnya yang mempunyai pensijilan MyGAP,” ujarnya.
Sementara itu katanya, Malaysia telah menandatangani Asean Free Trade Area (AFTA) dimana melalui perjanjian ini, import dan eksport buah-buahan, sayur-sayuran komoditi serta hasil ternakan di antara negara-negara asian adalah bebas.
“Jadi pengusaha Malaysia boleh import dari luar dan boleh eksport ke luar yang mana ada pro dan kontra sebenarnya daripada perjanjian AFTA ini,” ujarnya.
03 Oct 23
167
ADUN Terengganu Harap PM Lunas Bayaran Petroleum
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap agar Perdana Menteri dilembutkan hati untuk melunaskan baki bayaran Dana Khas Petroleum (wang ehsan) yang belum diterima kerajaan Terengganu.
Katanya, beliau berdoa agar baki RM1.096 bilion dapat dilunaskan pembayarannya sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
"Berbanding tahun lepas, ini merupakan yang terendah kerana jumlah terimaan belum sampai satu per tiga daripada jumlah sebenar.
"Sesuatu yang berat untuk Terengganu menguruskan negeri dalam keadaan ini, dengan harga minyak sekarang Terengganu patut dapat banyak.
"Kita sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang yang berkata akan berlaku adil dengan hak-hak negeri dan memberi peruntukan sama kepada pembangkang, itu kata-kata beliau sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri dahulu, dan kita harap ia dikotakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebagai langkah ke hadapan, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata kerajaan Terengganu akan berusaha mengurangkan kebergantungan kepada Dana Khas Petroleum.
Ujarnya ia bagi memastikan perancangan dan pembangunan negeri dapat berjalan lancar pada masa depan.
"Ketika ini kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati dengan berjimat-cermat dalam menguruskan negeri.
"Apabila kita dapat jumlah yang kurang, ia memang agak membantutkan perancangan dan pembangunan, tetapi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi perkembangan positif supaya kita tidak panik dengan perkara ini dan berdoa mudah-mudahan ia dapat diselesaikan segera.
"Beberapa sektor disebut beliau untuk mendapatkan pendapatan antaranya cukai pelancongan, cukai-cukai melalui pihak berkuasa tempatan dan tanah yang tidak menjejaskan rakyat, tetapi dikenakan kepada pihak-pihak yang membuat keuntungan untuk meningkatkan sedikit pendapatan negeri.
"Dr. Samsuri juga berpesan supaya kenaikan yang dilaksanakan bukan melibatkan umum iaitu rakyat," jelas ADUN Kota Putera itu ketika mengulas terimaan Dana Khas Petroleum tahun ini yang merupakan jumlah terendah diterima sejak 2018.
Menurut Nurkhuzaini, pengertian yang didefinisi oleh Menteri Besar dalam pendapatan baharu ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan dan ia membawa maksud yang besar.
"Ini portfolio yang agak mencabar bagi saya kerana untuk mengurangkan kebergantungan bermaksud, kita perlu mencapai sekurang-kurangnya separuh pengurangan kebergantungan.
"Ia agak baru dan saya kena sinergikan. Jadi, sekarang saya sedang mengadakan beberapa sesi 'brainstorming' dengan pakar-pakar untuk kita optimumkan pendapatan kita dalam pelbagai sektor.
"Hendak kata terlalu bercita-cita tidak juga, tetapi ia agak beratlah kerana asaran kita untuk 2024 ini ialah untuk meningkatkan lebih kurang RM500 juta, sekitar satu per tiga daripada nilai Dana Khas Petroleum yang patut diterima tahun ini," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan akan diwujudkan dalam portfolio Teknologi Hijau dan Ekonomi Digital disamping meneruskan pelaksanaan sedia ada sebelum ini.
"Kita akan wujudkan beberapa dasar baru seiring dengan matlamat negeri dan pada awal tahun depan kita akan umumkan beberapa langkah khususnya bagi ekonomi digital dan teknologi hijau ini," ujarnya.
03 Oct 23
276