lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empangan Kenyir Masih Selamat, Baikpulih Berterusan Sehingga Kini
Empangan Kenyir Masih Selamat, Baikpulih Berterusan Sehingga Kini
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Orang ramai khususnya penduduk Terengganu tidak perlu panik dengan kenyataan Empangan Kenyir antara lapan empangan berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi serta strukturnya. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh berbagai pihak sedang dilakukan. Jelasnya, bencana yang berlaku akhir bulan Februari dan pada awal bulan Mac 2022  telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur awam di seluruh Negeri Terenganu terutamanya di Daerah Hulu Terengganu termasuklah Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir. “Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah memohon peruntukan melibatkan permohonan pembaikian kerosakan jalan, cerun dan jambatan di seluruh negeri Terengganu di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR)  berjumlah RM135.642 juta dan pembaikian kerosakan infrastruktur pengairan dan saliran  di bawah skop JPS  berjumlah RM62.705 juta. “Lawatan Tapak dan Mesyuarat Status Kerja Baikpulih Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir oleh Tan Seri Ketua Setiausaha Negara telah diadakan pada 29 Ogos 2023. “Status terkini adalah peruntukan yang dimohon telah diluluskan. Sebahagian kerja-kerja pembaikian telah disiapkan dan akan diteruskan pembaikian …setakat ini, TNB mengesahkan ia masih selamat,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambah Hanafiah, sebelum ini berlaku kerosakan pada Stesen Kenyir  disebabkan kejadian tanah runtuh pada Februari 2022 sehingga operasi stesen terhenti selama 6 bulan. “Operasi penjanaan dan penghantaran telah dapat di pulihkan pada akhir Jun 2022 iaitu tiga bulan awal dari perancangan awal bagi menstabilkan sistem grid nasional dan bekalan untuk negeri Terengganu,” ujarnya. Terdahulu, sejumlah lapan daripada 41 empangan seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya. SItuasi itu disahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) hasil laporan status pemeriksaan keselamatan empangan-empangan itu oleh Pasukan Flying Squad yang dijalankan antara tahun 2021 dan 2022. Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.
03 Oct 23
714
Dana Khas Petroleum : 'Yang Didera Adalah Rakyat'
Dana Khas Petroleum : 'Yang Didera Adalah Rakyat'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - "Haruslah diingat, yang sebenarnya mengalami penderaan adalah rakyat, mereka telah menikmati sejak sekian lama," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi penjelasan berhubung terimaan Dana Khas Petroleum yang berkurang pada tahun ini.  Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu berkata, Terengganu hanya menerima bayaran dana khas (wang ehsan) berjumlah RM405 juta dari Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan enam kali pembayaran.   Katanya, jumlah yang diterima itu adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022. "Terimaan ini jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690. "Pembayaran itu dilakukan secara runcit iaitu kali pertama dibuat pada 30 Mac sebanyak RM50 juta, 18 Mei (RM100 juta) dan pada 14 Jun (RM50 juta). "Pada 14 Jun juga, sebanyak RM109 juta diterima bagi tujuan pembayaran Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara, seterusnya bayaran 1 Ogos (RM41 juta) dan 21 Ogos lalu (RM55 juta)," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) yang mengemukakan soalan berkaitan berapakah jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Ahmad Samsuri memberitahu pada tahun 2022, Kerajaan Negeri hanya menerima hasil wang ehsan berjumlah RM1,393,896,335 daripada Kementerian Kewangan Malaysia.  "Jumlah lima peratus hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan diperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957.  "Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan," katanya menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) mengenai berapakah jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022. Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri memandang kepada ruang untuk menambah baik dan meminda bayaran di bawah hasil cukai seperti cukai tanah, galian, parit dan tali air, hasil hutan, royalti dan cukai hiburan. “Termasuk bayaran-bayaran di bawah hasil bukan cukai seperti premium tanah, premium perhutanan, lesen dan permit serta denda dan hukuman,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) dan Zaharudin Zaid (PAS-Bukit Tunggal) berkenaan usaha dan perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baharu negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum.  
03 Oct 23
1982
Terengganu Peruntuk RM3.45 Juta Persediaan Hadapi Banjir
Terengganu Peruntuk RM3.45 Juta Persediaan Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan Terengganu bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi dengan peruntukan diluluskan setakat ini berjumlah RM3.45 juta sebagai persediaan banjir tahun ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri itu bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat. "Daripada jumlah yang diterima itu, RM1.948 juta ialah daripada kerajaan persekutuan manakala RM1.5 juta lagi dari kerajaan negeri. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Sementara itu bagi bekalan keperluan mangsa bencana pula, Hanafiah berkata agihan akan dibuat bermula minggu hadapan termasuk di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tambah beliau lagi, pada tahun ini, JKM juga telah menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir seperti tahun sebelumnya. "Latihan simulasi banjir di peringkat daerah juga telah selesai dilakukan dan kita berharap semuanya akan berjalan lancar apabila banjir melanda kelak. "Walaupun banjir telah menjadi 'rutin tahunan' di Terengganu, penduduk masih perlu diingatkan agar bersiap sedia untuk melakukan persiapan rapi terutama jika perlu berpindah ke PPS," katanya. Menurut Hanafiah, pada situasi banjir lepas, kadangkala berlaku kesulitan dalam soal memindahkan penduduk terjejas, kerana ada yang enggan berpindah walaupun sudah diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.  
03 Oct 23
276
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif tersebut bertujuan membangunkan prasarana infrastruktur pusat tahfiz yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.  "Bantuan ini juga membantu kos pengurusan dalam meringankan beban kepada pengusaha tahfiz. "Antara keberkesanan inisiatif adalah membangunkan prasarana dan infrastruktur pondok supaya lebih selesa digunakan disamping membantu pengurusan tahfiz membeli bahan bantu mengajar yang diperlukan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambahnya, bantuan inisiatif itu juga membantu menambahbaik tempat-tempat riadah dan menyelesaikan bil-bil utiliti yang berkaitan pengurusan pondok," ujarnya.  
03 Oct 23
173
Program Bersih Pulau Dilaksanakan Berterusan
Program Bersih Pulau Dilaksanakan Berterusan
MARANG, 2 Oktober – Program pembersihan semua pulau di Terengganu akan dilaksanakan secara berterusan setiap tahun. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lepas program itu dijalankan di Pulau Redang, pada tahun ini pula di Pulau Kapas. “Program tersebut bertujuan bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya persekitaran yang perlu dijaga dari segi kebersihan.  “Selain itu, rakyat boleh mengambil manfaat daripada laut dari pelbagai sudut antaranya, sumber makanan, pendapatan hasil dan sebagainya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas Bertempat di Taman Laut, Pulau Kapas di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof. Tambah Dr Azman, negeri Terengganu mempunyai keistimewaan dan anugerah semula jadi yang dikurniaan oleh Allah SWT. Antaranya, laut di negeri ini mempunyai keluasan yang paling besar di semenanjung Malaysia, pantai yang paling panjang serta mempunyai pulau paling banyak. Mengulas lanjut mengenai program Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas, ianya telah berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober 2023. "Selain dari bersih pantai, penyelam juga membersihkan kawasan batu karang dari pukat hantu dan pelbagai unsur asing yang merosakkan alam sekitar.  “Program tersebut berjalan lancar dan jumlah peserta melebihi 120 orang. “Peserta tersebut terdiri daripada komuniti setempat, pengusaha-pengusaha resort, para pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat,” ujarnya.  
02 Oct 23
378
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Tanam Pokok di Pantai Batu Buruk
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Tanam Pokok di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini hari ini. Program tersebut merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya  Kuala Terengganu dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan  Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Penasihat undang-undang negeri, Dato’ Razali Che Ani; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan. Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri amat menyambut baik usaha-usaha dilaksanakan dalam menyokong agenda nasional melalui “Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” menjelang tahun 2025. "Kawasan penanaman pokok telah dipecahkan kepada tujuh zon dan jumlah penanaman pokok adalah sejumlah 3,000 pokok dengan anggaran jarak sepanjang 11.3 KM. " Antara spesis pokok teduhan yang dipilih adalah Pokok Ketapang, Pokok Rhu Pantai, Kelapa Pantai dan Ambang-Ambang," ujarnya. Tambah beliau, pemilihan pokok dari spesis ini dibuat berdasarkan peranannya sebagai lindungan semulajadi dan zon penampang bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam. Jelasnya, ia berfungsi sebagai benteng untuk mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut di samping pokok-pokok ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir.  
02 Oct 23
329
PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu
PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Yayasan PETRONAS terus komited dalam usaha menanam lebih banyak pokok  sebagai sebahagian usaha memulihara alam sekitar di negeri ini. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata sokongan itu dilestarikan melalui sumbangan cek dan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Burok ke Pantai Pandak dengan kerjasama kerajaan negeri  sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.  Katanya, program penanaman pokok ini adalah sejajar dengan aspirasi PETRONAS ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050.  “Inisiatif ini juga selaras dengan dengan Kempen 100 juta pokok di bawah program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,”katanya dalam satu kenyataan. Seramai 100 sukarelawan kakitangan PETRONAS terlibat di dalam aktiviti penanaman spesis pokok terpilih seperti pokok Ketapang, pokok Rhu Pantai, pokok Kelapa, dan pokok Ambung-ambung.  Di majlis tersebut juga, Mohamad Ahmad Shazly turut menyampaikan sumbangan cek Yayasan PETRONAS kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Amanah Warisan Kuala Terengganu berjumlah RM 297,500.00. Tambah beliau, pihaknya juga komited untuk menanam satu juta pokok di seluruh negara menjelang 2027 melalui program Menyemai Masa Hadapan yang dilancarkan pada 2020.
02 Oct 23
420
Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu
Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri mengoptimumkan potensi bandar baharu yang telah dirancang supaya dapat dibangunkan. Titah baginda, ianya untuk memastikan ruang bandar yang kondusif dan tersusun dapat direalisasikan kepada seluruh lapisan masyarakat. “Kaedah pembangunan secara penswastaan juga perlu diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan galakan serta promosi pelaburan pembangunan mendapat sambutan daripada pihak swasta sehingga pelaksanaan bandar-bandar baharu ini dapat dicapai.  “Beta amat yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta yang lebih aktif dalam pembangunan ini mampu memastikan keberhasilan agenda perbandaran yang berdaya huni dan maju dapat dicapai,” titah Sultan Mizan. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman semalam. Baginda bertitah, proses urbanisasi yang berterusan adalah merupakan salah satu agenda yang perlu dititikberatkan. “Proses ini melibatkan kerjasama semua pihak dalam memastikan anjakan paradigma bandar berasaskan dimensi bersepadu pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar. “Dalam usaha untuk mewujudkan bandar-bandar baharu sebagai sokongan kepada bandar sedia ada, pelbagai aspek baharu perlu diteroka dan diberikan fokus.  “Beta berharap agar elemen-elemen perbandaran utama seperti elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon dititikberatkan dan diperhalusi bagi tujuan pemakaian di peringkat negeri dan peringkat tempatan secara berterusan,” titah baginda.
02 Oct 23
193
RM314,000 Sumbangan Zakat Untuk 628 Pelajar Baharu UMT
RM314,000 Sumbangan Zakat Untuk 628 Pelajar Baharu UMT
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM314,000 kepada 628 pelajar asnaf baharu yang mendaftar pada sesi akademik 2023/2024. Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, setiap pelajar terpilih daripada program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian di UMT. “Dana zakat tersebut adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui skim potongan gaji kakitangan UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat. “Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, semalam. Menurut Dr. Mazlan, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar dan sebagai tanda keprihatinan UMT kepada pelajar yang kurang berkemampuan. “UMT sangat peka terhadap nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka yang memerlukan, dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, pelajar yang ditawarkan peluang pengajian juga mungkin resah untuk membuat persediaan pendaftaran pengajian. “Kita telah laksanakan beberapa inisiatif sebelum ini melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan mengadakan  kempen sistem potongan zakat ‘Cukai Kepada Zakat’ (C2Z) yang diperkenal beberapa tahun dahulu dan akhirnya membuahkan hasil dan dengan adanya inisiatif itu, kita dapat bantu asnaf pelajar melalui sumbangan zakat,” ujarnya. Katanya, kecaknaan warga UMT dalam membantu asnaf patut dipuji kerana jumlah kutipan zakat meningkat saban tahun.
02 Oct 23
295
Kadar Sewa Baharu : MDM Rancang Naik Taraf Pasar di Marang
Kadar Sewa Baharu : MDM Rancang Naik Taraf Pasar di Marang
Oleh : Fatimah Din  MARANG , 2 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) merancang untuk menaik taraf Pasar Marang bagi memastikan keselesaan setiap peniaga dan pengunjung berada pada tahap terbaik. Ketua Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah Marang, Mohd Khalid Awang berkata, antara usaha yang sedang digerakkan ialah pembinaan kiosk di tepi pasar bagi memberi peluang pada rakyat berniaga di masa akan datang. "MDM mahu membuat pembaharuan itu selepas kami menaikkan kos sewaan. "Hasil sewaan berkenaan perlu dipulangkan semula kepada rakyat dan peniaga, manfaatnya kepada masyarakat seperti digunakan untuk bayaran air, elektrik, kebersihan pasar dan sebagainya. "Sebenarnya, pihak kami telah pun membuat kajian dan mengadakan beberapa kali perbincangan bersama Ahli Majlis tentang tindakan ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang di pejabatnya baru-baru ini. Mengulas mengenai kenaikan kos sewa, beliau berkata sewa pasar di Marang di bawah seliaan MDM masih antara yang terendah di Malaysia sejak sewaan dibuka pada tahun 2000. "Ini baru kali ini pihak kami menetapkan kadar baharu, sebagaimana saya kata pun, manfaatnya tetap akan dipulangkan kepada rakyat. "Sebelum kita telah memaklumkan untuk menaikan sewa kepada RM100 bagi Pasar Wakaf Tapai untuk jenis petak perniagaan ikan, sayur manakala petak daging dinaikkan kepada RM50. "Begitu juga sewa di Pasar Bukit Payong naik kepada RM160 bagi petak ikan, RM120 bagi jenis petak kuih dan RM160 bagi jenis petak daging dan kuih. "Manakala di Pasar Marang dikenakan kadar sewaan RM100 untuk semua petak  ikan, kuih, daging ayam kecuali sayur sahaja kadar sewaannya RM100-120," jelasnya.    
02 Oct 23
1006