Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Terus Bertatakrama Julang Semangat Federalisme
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan Terengganu akan terus bertatakrama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semangat federalisme sentiasa subur walaupun ada halangan-halangan tertentu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan semangat itu akan digarap bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi membolehkan negara bergerak ke depan.
"Pada penggal yang lepas, kita menerapkan pendekatan BPMS ini di peringkat negeri, antaranya dengan memastikan semua rakyat yang layak mendapat bantuan, menerima bantuan tanpa mengira warna politik, kerana mereka semua rakyat di bawah naungan Negeri Terengganu.
"Pandang ke depan, kita akan terus melaksanakan dan mempromosikan pendekatan ini, dalam apa jua urusan di peringkat negeri sehinggalah di peringkat persekutuan.
"Bak kata orang lama-lama esa hilang, dua terbilang (ertinya ; terus berusaha dengan keazaman hingga tercapai cita-cita)," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini
Menurut Ahmad Samsuri, semangat federalisme yang termaktub jika disandingkan dengan BPMS, sudah pasti akan memberikan suatu harapan baharu dalam budaya pentadbiran dan politik negara.
"Kita akan terus bertatakrama dan bersikap professional, serta saling hormat-menghormati bidang kuasa yang telah digariskan dalam perlembagaan.
"Kita juga perlu menanamkan dalam diri kita bahawa semua yang kita buat ini adalah untuk kebaikan rakyat, negeri dan negara," tambah beliau.
Sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mahu peruntukan atau bantuan tertentu tidak disalur ke negeri yang berbeza aliran dengan kerajaan Persekutuan.
04 Oct 23
203
Tun M Calon PN di Kemaman Hanya Khabar Angin
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Berita PAS-PN akan meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman nanti hanyalah khabar angin.
Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini PAS belum memutuskan lagi calon yang bakal bertanding di parlimen berkenaan.
"Saya tidak dengar ura-ura, saya hanya terbaca dalam surat khabar dan media sosial sahaja (sedangkan) tiada perbincangan dan kami belum 'sit down' di kalangan pemimpin tertinggi untuk berbincang bagi menghadapi PRK ini termasuk bagi menentukan calon.
"Juga tidak dibincangkan lagi negeri mana yang akan membantu (kempen) di peti-peti undi di Parlimen Kemaman nanti," ujarnya ketika ditemui pemberita ketika Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebelum adanya sebarang keputusan maka spekulasi akan terus disebarkan dan segala kemungkinan boleh berlaku.
"Selagi tidak dinamakan calon jadi ia terbuka.
"Namun setakat ini kita akan mengekalkan kerusi tradisi, calon adalah daripada PAS," ujarnya.
Menjawab mengenai keputusan PAS untuk tidak melakukan rayuan sehingga timbul pelbagai tohmahan dan tanggapan daripada segelintir pihak, katanya perkara itu tidak boleh dihalang.
"KIta tidak dapat menghalang mana-mana individu membuat tanggapan atau tohmahan, situasi yang dihadapi sekarang sama dengan Kuala Terengganu, kita ambil langkah taktikal pada waktu itu dengan bersedia menghadapi PRK.
"Cuma situasinnya berbeza kerana PRK Kuala Terengganu sama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, tetapi fakta kes itu tetap sama jadi tidak adil kalau Kuala Terengganu kita tidak rayu dan tiba-tiba di Kemaman kita membuat rayuan.
"Apa yang paling penting kita hadap pilihan raya ini dengan segera supaya masyarakat Kemaman tidak tertunggu-tunggu siapa yang mewakili mereka kerana proses rayuan mengambil masa yang lama...jika dibiarkan sehingga bulan Januari akan timbul cerita lain di saat menghadapi banjir dan sebagainya," ujarnya.
04 Oct 23
275
Kuasa Bukan Lesen Anak Tirikan Pengundi Lawan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kemenangan dan kuasa bukan lesen untuk semua pihak menganaktirikan dan berlaku zalim terhadap penyokong parti lawan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebaliknya pihak yang berkuasa perlu adil kepada semua rakyat tanpa mengira sokongan politik mereka.
"Keadilan kita kepada semua rakyat, kita berlaku adil sama ada yang bersama dengan kita atau yang membangkang kita, kerana mereka adalah rakyat yang kita perlu jaga dan uruskan.
"Keadilan wajar diberikan pada yang selayaknya, tanpa mengira pendirian politik kepartian mereka," katanya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini
Mengulas lanjut beliau berkata, berdendam terhadap pihak lawan sehingga mengakibatkan pembangunan hanya dilaksana kawasan penyokong sendiri bakal menyeksa rakyat sekali gus merugikan negara dan negeri.
"Sikap tidak adil dalam tindakan akan hanya membawa negeri dan negara kita ke belakang dan akan terus tertinggal di kalangan negeri membangun, jauh sekali mencapai status negeri dan negara berpendapatan tinggi.
"Inilah masalah yang menghantui parti politik yang menyertai sistem politik demokrasi dalam negara kita sejak sekian lama.
"Sistem sudah baik, tetapi dicemarkan oleh tindakan ahli politik yang hanya mementingkan tindakan populis dan 'political survival', berbanding tanggungjawab mengurus tadbir seluruh rakyat dalam negeri atau negara, berbeza dengan negara-negara maju di dunia ini," katanya.
Jelas Naib Presiden PAS itu, perbezaan politik telah menjadi duri yang menyebabkan kesejahteraan rakyat terjejas, rantaian ekonomi terganggu dan merencatkan keharmonian dicapai.
"Suasana ini perlu berubah, dengan pemimpin yang diberi amanah menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dan berkhidmat dengan penuh ikhlas dan professional," tambah beliau.
Semalam, Ahmad Samsuri memaklumkan Terengganu hanya menerima RM405 juta dana khas (Petroleum) berbanding RM1.54 bilion yang sepatutnya menjadi milik rakyat negeri ini.
Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM1.374 bilion (2018), RM1.497 bilion (2019), RM1.226 bilion (2020), RM1.287 bilion (2021) dan RM1.394 bilion (2022).
04 Oct 23
247
Penguatkuasaan Syariah Dilaksana Berperingkat, Perlu Seimbang
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Agenda penguatkuasaan syariah kepada masyarakat dan pelancong muslim akan terus dilaksana secara berperingkat dan perlu ada keseimbangan dengan perkara lain.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata setiap tindakan yang diambil kerajaan negeri adalah berdasarkan perkara yang boleh dikompromi dan sebaliknya.
"Dalam konteks kerajaan kita sudah ada garis panduan pematuhan syariah kepada pelancong, program sukan dan seumpamanya, tetapi sebagaimana yang saya sebutkan tadi kita perlu bergerak seiring dan dalam perkara yang kita tidak boleh kompromi kita mesti tegas," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.
Jelas Dr Muhammad Khalil, pihaknya akan memastikan garis panduan pematuhan syariah kepada pelancong muslim bergerak seiring dengan perkembangan sektor pelancongan negeri kerana kedua-duanya saling berkait rapat.
Ini kerana kata beliau, walaupun perkara tersebut menjadi satu cabaran tetapi dalam masa yang sama ia perlu dilihat dari sudut yang positif.
"Bila kita bercakap pasal pelancongan, kita hendak pelancong datang ke tempat kita, tetapi dalam masa yang sama kita hendak menjaga adat dan nilai agama khususnya daripada pelancong asing.
"Sebab itu kadang-kadang kita berada dalam keadaan dilema, kita nak buka seluas-luasnya bimbang bermacam-macam perkara negatif yang boleh berlaku.
"Jika kita nak tutup orang kata kita ini negeri yang tertutup. Jadi kita perlu seimbangkan di antara kedua-dua perkara ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md. Noor yang meminta kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelancong Islam yang berpakaian mencolok mata ketika berada di tempat pelancongan di negeri ini.
Tambahnya lagi, perkara tersebut juga perlu menjadi tanggungjawab bersama.
"Kalau kita nampak kita boleh tegur tetapi jika sekiranya satu maksiat dan kemungkaran itu berlaku secara terang-terangan ini perlu ditegah dengan sekeras-kerasnya.
"Kita juga perlu bergerak seiring, bukan sahaja ada peraturan yang telah kita luluskan tetapi dalam masa yang sama wujudnya agenda penerangan dan dakwah secara berterusan, peraturan itu ada tetapi dalam masa yang sama kita juga mendidik masyarakat.
"Kita nak orang datang ke Terengganu, para pelancong khususnya supaya mereka tahu Negeri Terengganu ini ada peraturan," ujarnya.
04 Oct 23
117
Zon Larangan Merokok Bakal Diperluaskan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Jabatan Kesihatan negeri sedang meneliti cadangan peluasan kawasan yang digazetkan sebagai Kawasan Bebas Asap Rokok (BAR) di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, cadangan peluasan Kawasan BAR ini akan diperluaskan ke setiap daerah dengan matlamat sekurang-kurangnya setiap daerah mempunyai satu Kawasan yang digazetkan sebagai Kawasan BAR.
“Buat masa ini, hanya Taman Awam Batu Buruk sahaja yang yang telah diwartakan sebagai kawasan BAR di Terengganu pada 1 Julai 2017.
“Kawasan yang diwartakan adalah bermula dari Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang) termasuk kawasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), pesisir pantai hingga ke Taman Rekreasi Batu Buruk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambah Wan Sukairi, pihaknya komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bebas asap rokok bagi meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu dengan melindungi hak masyarakat daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap rokok.
04 Oct 23
265
Terengganu Belanja RM704 Ribu Selenggara Kemudahan Sukan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM704,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan melibatkan pembaikian padang bola sepak, futsal serta kemudahan sukan yang lain tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga akan terus komited untuk menambah baik serta membaik pulih kemudahan sukan yang mengalami kerosakan pada tahun mendatang bagi memastikan golongan belia dan remaja di negeri ini kekal cergas.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan enam projek selenggara dan baik pulih iaitu Kompleks Rakan Muda dan KSK Jertih, Besut, Velodrom Dungun, Kompleks Sukan Telemong, Hulu Terengganu, Kompleks Rakan Muda, Kemaman dan Gelanggang Futsal KOMBES,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk fokus kepada penyelenggaraan serta baik pulih kemudahan sukan sedia ada berbanding menambah fasiliti sukan tambahan bagi memastikan keperluan dan keselamatan golongan belia terjamin semasa bersukan.
“Kerajaan negeri juga amat menggalakkan pelaburan daripada badan swasta dalam menyediakan fasiliti sukan dalam Negeri Terengganu seperti dibuat di Dungun yang kini telah mempunyai dua padang sintetik yang dibangunkan oleh syarikat swasta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Dungun.
“Kedua-dua gelanggang ini iaitu Padang Bola Sintetik GD SOCCER yang dioperasikan oleh GD SOCCER ENTERPRISE di DUN Sura dan Padang Bola Sintetik Prestige Way Resources, Batu Tujuh, yang dioperasikan oleh syarikat Prestige Way Resources SDN.BHD di Dun Paka telahpun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia sebagai alternatif sukan dan rekreasi kerana padang sintetik ini dibina mengikut standard FIFA,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam Negeri Terengganu turut mengambil pendekatan sama dalam membantu merancakkan sektor sukan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negeri.
04 Oct 23
286
Naiktaraf Jambatan Manir Antara Keutamaan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Jambatan Manir perlu dinaiktaraf bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata berdasarkan kajian dan penelitian yang telah dibuat, jambatan tersebut sudah terlalu lama dan menjadi antara punca kesesakan teruk di jalan tersebut.
"Ini kerana Jalan dari Durian Burung ke Pulau Rusa telah di naik taraf kepada 'double carriage way' (jalan raya berkembar) dan menyebabkan berlakunya 'bottleneck' (kesesakan) di jambatan Manir kerana laluan di jambatan masih 'single carriageway' (selorong bagi sehala).
"Sehubungan dengan itu, Projek Menaik Taraf Jalan, Jejambat dan Jambatan di Laluan Jalan FT003: Dari Kg. Pulau Rusa Ke Bulatan Batu Enam Ke Persimpangan Laluan FT065 Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu telah mendapat perhatian kerajaan Negeri.
Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah meminda senarai keutamaan projek dari senarai ke sepuluh kepada menjadi senarai pertama keutamaan projek bagi Negeri Terengganu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
04 Oct 23
1336
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, Pasarnita Tanjung bakal tampil dengan identiti dan tarikan tersendiri tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada menerima beberapa proposal untuk menguruskan Pasar Nita.
"Kita dimaklumkan suasana Pasarnita suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.
"Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya
"Insya Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati.
Sementara itu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengkaji cadangan penyediaan perkhidmatan bas elektrik berhenti-henti bagi mengantikan bas lama milik Cas Ligas Sdn. Bhd.
Hanafiah berkata cadangan itu bagi mengurangkan jurang jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, kerana bas lama milik Cas Ligas telah berusia melebihi 15 tahun.
"Cas Ligas Sdn. Bhd. dalam proses mengemukakan kertas cadangan pembelian melalui kaedah sewa beli untuk penilaian kerajaan negeri," ujarnya.
04 Oct 23
1902
Terengganu Sasar 1 Juta Pelancong Ke Tasik Kenyir Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kerajaan Negeri menyasarkan satu juta kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan menambah nilai pelbagai aktiviti termasuk Geo Park Kenyir.
Ini kerana katanya, semua aktiviti dilaksanakan di Tasik Kenyir sekarang berbeza ketika negara menghadapi COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.
“Dulu pelancong takut berkunjung ke Tasik Kenyir secara berkumpulan, sekarang sudah tidak lagi kerana tidak ada lagi halangan untuk pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir,” jelasnya ketika ditimeui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, Rumah Bot di Tasik Kenyir masih tidak mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong setiap minggu.
Jelasnya perkhidmatan rumah bot itu hanya tertumpu kepada hari cuti mingguan sahaja termasuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sementara hari lain kedatangan pelancong agak perlahan.
"Kerajaan negeri akan merancang untuk menghidupkan aktiviti di Tasik Kenyir pada hari lain dan ia akan dimulakan tahun depan," tambah beliau.
04 Oct 23
135
Sultan Mizan Rai Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Pegawai Tadbir Negeri dan Pegawai Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, semalam.
Keberangkatan tiba Baginda ke Wisma Darul Iman diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra pada kira-kira jam 8.50 malam.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman,
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah, serta Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri, To' Puan Seri Nor Zaini Abd Latiff.
Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Yang Dipertua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta pegawai-pegawai tadbir negeri.
Acara dimulakan dengan lagu Selamat Sultan dipersembahkan selepas keberangkatan tiba Baginda ke dalam Dewan Besar pada jam 9.00 malam.
Sultan Mizan seterusnya berkenan memotong pulut kuning sebagai simbolik acara meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.
Majlis Santapan Malam berlangsung dengan iringan persembahan nyanyian oleh artis kelahiran Terengganu, Aiman Sidek dan Syafiq Farhain.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan kebudayaan persatuan yang dinamakan Gema TCS.
Di akhir majlis, Baginda berkenan menerima mengadap dan bersalaman dengan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri serta Pegawai-pegawai Hal Agama Islam Negeri.
Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat pulang dari Wisma Darul Iman pada jam 10.15 malam.
04 Oct 23
195