Artikel "Semasa" Terkini
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
SETIU, 10 November - Linangan air mata membasahi pipi penerima dokumen hak milik tanah, Rohaya Mat Salleh, 41, selepas cita-citanya untuk memiliki tanah tercapai.
Ibu tunggal dari Kampung Bintang Bandar Permaisuri itu berkata, dia sudah lama berusaha untuk memiliki tanah tetapi baru sekarang memperolehnya daripada kerajaan negeri.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana mengurniakan tanah yang selama ini saya inginkan," jelasnya kepada media.
Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tapak rumah dan pertanian di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarong di sini semalam.
Rohaya menangis dalam kegembiraan apabila hasrat memiliki tanah tercapai di bawah pemerintahan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut menyokong kenyataan Rohaya adalah, Safie Hussin, 43, buruh binaan dari Kampung Alor Serdang dan Muhammad Ridhwan Othman, 29, mekanik dari Kampung Alor Pasir Bintang masing-masing dari Bandar Permaisuri.
Menurut Rohaya, dia berjanji akan berusaha membina rumah di atas tanah tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar tidak menjadikan tanah itu sebagai tanah terbiar
Terdahulu, seramai 418 penduduk di daerah ini menerima dokumen hak milik RTB bagi tapak rumah dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 271 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap (147).
"Jumlah penerima tersebut antara yang terbesar diagih dalam satu kawasan (di Daerah Setiu)," katanya.
Menurut beliau, banyak lagi urusan pemberian tanah belum selesai diagihkan kepada rakyat Terengganu.
"Urusa tersebut akan diselesaikan berperingkat dan berterusan dari semasa ke semasa.
"Kerajaan Terengganu yang memikul amanah akan menguruskan perkara ini dengan seadilnya dan harapan kerajaan kepada rakyat supaya tanah ini dimakmur dan dimajukan setelah mendapat geran hak milik, sesuai dengan syarat tanah yang diberikan," ujarnya.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jika syarat tanah untuk pertanian, rakyat diharapkan supaya memajukan tanah itu untuk mendokong visi dan hala tuju kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan.
"JIka syarat tanah untuk tapak rumah, bangunkanlah rumah di atas tanah berkenaan dengan kadar sederhana supaya tanah itu tidak dikategorikan sebagai tanah terbiar," ujarnya lagi.
10 Nov 23
570
Daging Kambing, Kacang Dal Antara Lapan Barangan Harga Kawalan Deepavali
KUALA TERENGGANU, 9 November- Lapan barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, berkuat kuasa bermula 9 hingga 15 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, barangan lain ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.
“Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Selain daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga,” ujarnya pada sidang media pengumuman SHMMP Deepavali 2023 di Mydin Mall di sini, hari ini.
Katanya, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global.
“Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.
“SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujarnya.
Tambah beliau, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.
“Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDN Terengganu akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” ujarnya.
09 Nov 23
336
Tiga Pekerja Dikhuatiri Tertimbus Dalam Runtuhan Bangunan Resort Persendirian
BESUT, 9 November - Tiga warga Indonesia dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan resort persendirian yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian dekat sini pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 7.34 pagi tadi.
"Seramai tujuh mangsa terlibat dalam kejadian itu dan empat mangsa berjaya diselamatkan dan mereka mereka hanya mengalami kecederaan dan luka di beberapa anggota badan.
“Manakala tiga mangsa lagi masih terperangkap di bawah runtuhan dan usaha menyelamatkan mangsa terlibat sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang terselamat telah dibawa ke Klinik Pulau Perhentian sebelum ke Jeti Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Besut.
Tambah beliau, JBPM juga telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan K9 serta Unit Udara untuk digerakkan ke lokasi kejadian.
09 Nov 23
407
Bayi 17 Bulan Maut Disyaki Didera Rakan Lelaki Ibu
BESUT, 9 November – Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa..
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja, di sini pada 8 November yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di klinik itu.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada Selasa lepas untuk dijaga pada kira-kira 4 petang.
"Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada 7.30 pagi semalam bagaimanapun dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rozak, hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian bayi itu.
Namun begitu, beliau berkata, punca kebocoran usus belum dapat dipastikan sama ada di sebabkan trauma atau jangkitan kuman dan memerlukan sampel di hantar ke makmal.
Susulan itu, polis telah menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan dan akan direman hari ini.Pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh menghubungi ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222," katanya.
09 Nov 23
441
Kerajaan Negeri Lancar Kenyir Geopark
KUALA TERENGGANU, 9 November- Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pelancongan terus memperkasa kempen promosi Beautiful Terengganu menerusi penyertaan di World Travel Market (WTM London) 2023 yang berlangsung selama tiga hari berakhir 8 November lalu di ExCel Hall, London.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengetuai delegasi itu berkata, penyertaan Kerajaan Negeri diharap mampu melonjakkan lagi imej Terengganu sebagai destinasi percutian yang mampu menawarkan pelbagai keunikan dan keindahan Malaysia.
“Pada WTM London kali ini, Kerajaan Negeri turut mempromosikan produk-produk pelancongan eko yang terdapat di Terengganu selari dengan tema kempen promosi yang dibawa Tourism Malaysia, “Discover the charms of Terengganu’s Nature”.
“Selain melancarkan logo Kenyir Geopark sebagai usaha penjenamaan promosi destinasi pelancongan eko tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, penjenamaan semula kluster pelancongan iaitu Tasik Kenyir kepada Kenyir Geopark diharap dapat memberikan dimensi baharu pelancongan dalam mempromosikan Kenyir Geopark sebagai destinasi pelancongan eko terkemuka dalam negara.
“Diiktiraf secara rasmi sebagai tapak geopark pada 31 Mei lalu, Kawasan Geopark Kenyir berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau.
“11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah. Termasuk Gua Bewah sebagai tapak geoarkeologi terpenting dalam pembentukan geopark,” jelasnya.
Untuk rekod, seramai 2.8 juta pelancong telah hadir ke Terengganu sepanjang tahun ini (bermula Januari hingga Ogos 2023) , manakala statistik kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian dari tahun 2020 sehingga Ogos 2023 adalah seramai 431,656 pelancong. Sejumlah 96,298 pelancong asing turut direkodkan hadir kedua pulau tersebut pada tempoh sama.
09 Nov 23
286
Terengganu, Jepun Jalin Kerjasama Pelaburan
KUALA LUMPUR, 8 November - Terengganu menjalin kerjasama antara beberapa pelabur di Jepun melalui pertemuan dalam lawatan kerja di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata pihaknya telah bertemu dengan beberapa pelabur daripada Jepun yang bakal mendirikan kilang di Kemaman.
“Kilang tersebut berfokuskan pada ‘Lithium-ion batteries’ dan komponen utama untuk ‘Electric Vehicle (EV)’.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Meiwa Corporation yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pelaburan.
“Kita mengharapkan pelaburan ini dapat direalisasikan dan insya-Allah pada pertengahan tahun depan akan dimaklumkan keputusannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Nurkhuzaini, Meiwa Corporation telah ke Teluk Kalong iaitu lokasi kilang yang bakal dibina pada malam semalam.
“Pada hari ini kami bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur sebelum mereka berlepas balik ke Tokyo.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada EPIC, ECERDC dan MIDA yang banyak membantu bagi memudahkan dan merealiasasikn pelaburan ini di negeri Terengganu," katanya.
08 Nov 23
1104
Bacaan Qunut Nazilah, Solat Hajat di Masjid Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 November – Semua Masjid di seluruh Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah setiap kali lepas solat bermula Jumaat ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata arahan tersebut telah dimaklumkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid di lapan daerah negeri ini.
Katanya, ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.
“Serta memohon kepada Allah SWT agar memberikan keselamatan kepada umat Islam di sana,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Pertempuran antara Hamas, pihak berkuasa di Semenanjung Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.
Setakat ini, angka kematian penduduk Palestin akibat pengeboman Israel secara berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 10,328 orang.
08 Nov 23
385
Sultan Terengganu Berkenan Kurnia Hadiah Pertandingan Sultan Mizan Underwater Photography
KUALA TERENGGANU, 8 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award 2023.
Majlis yang bermula pada jam 3 petang itu berlangsung di Dewan Santapan Diraja Istana Syarqiyyah, di sini semalam.
Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Dalam majlis itu, Sultan Mizan bertitah, Terengganu sememangnya terkenal dengan adanya pulau-pulau yang indah antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah.
“Semua lokasi itu mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menjadi tarikan pelancong asing mengunjungi Terengganu.
“Oleh itu, Program Underwater Photography Award 2023 amat sesuai dianjurkan di negeri ini
“Ia secara tidak langsung mempromosikan sektor pelancongan negeri di mata dunia,” titah baginda pada majlis berkenaan.
Sultan Terengganu kemudiannya berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan dan turut berkenan melawat ruangan pameran fotografi pertandingan tersebut.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan.
Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat dari majlis sekitar jam 5.00 petang.
08 Nov 23
276
Banjir : MB Minta Rakyat Ambil Langkah Berjaga-jaga
KUALA TERENGGANU, 8 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi bencana banjir.
Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri bersama-sama agensi terlibat telah menggerakkan persiapan lebih awal hingga peringkat komuniti bagi tujuan tersebut.
"Kami telah mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkaitan persiapan banjir.
“Apa yang penting setiap kelompok masyarakat terutama rumah mereka yang berada di tepi sungai dan tempat yang sentiasa dinaiki banjir.
“Mereka haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dan keutamaan anak-anak mestilah sentiasa dalam pengetahuan ibu bapa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 dan sehingga Mac 2024.
Katanya, sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
08 Nov 23
234
Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Diwartakan Januari 2024
KUALA TERENGGANU, 8 November - Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 seperti perbomohan dan sihir akan diwartakan pada Januari 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada masa ini pindaan yang diluluskan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dalam proses untuk diwartakan.
“Kita baru sahaja bermesyuarat di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pemerkasaan Syariah di mana untuk Negeri Terengganu alhamdulillah, kita mempunyai enakmen jenayah syariah yang merupakan enakmen ibu yang telah diluluskan dan digunapakai sejak tahun 2001.
“Pada hari ini, kita telah membuat beberapa pindaan untuk diperkasakan enakmen tersebut, di mana pindaan-pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2022. Jadi ia masih lagi dalam proses untuk diwartakan dan akan digunapakai setelah melalui proses seterusnya dengan entiti yang lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, JHEAT, MAIDAM, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Pejabat Penjara Negeri Terengganu.
Mengulas lanjut katanya, pindaan tersebut yang pertamanya ialah melibatkan 17 peningkatan kadar hukuman.
“Di mana dalam enakmen yang lalu (enakmen 2001), hukuman-hukuman itu telah ada tetapi tidak boleh menjangkau hukuman ‘356’ iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
“Kesemua kesalahan-kesalahan takzir yang melibatkan unsur-unsur mempersendakan agama Islam, pemujaan, sihir dan seumpamanya kita tingkatkan semaksima mungkin. Maknanya, maksimum di situ ialah hukuman ‘356’ yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.
Tambah beliau, antara pindaannya juga dimasukkan seksyen-seksyen baharu dalam pindaan ini iaitu berkait dengan perbomohan dan sihir dikira sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman takzir.
“Ketiganya, ialah pindaan terhadap peruntukan sedia ada,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memartabatkan syariah Islam di Negeri Terengganu ini mengikut kadar kemampuan yang dimiliki.
08 Nov 23
311