lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Muzium Angkat Martabat Singgang
Muzium Angkat Martabat Singgang
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berhasrat mengangkat martabat masakan 'singgang' ke peringkat yang lebih tinggi di samping memastikan warisan nenek moyang itu kekal terpelihara sepanjang zaman terutama dalam kalangan generasi muda hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata usaha dilakukan pihak LMNT dengan mengadakan pertandingan 'Juara Singgang' memberi impak yang sangat baik. "Pertandingan ini bukan sahaja sekadar hencak mencari juara tetapi mengangkat martabat agar ia menjadi tersohor dan mendapat pengiktirafahan. "Pernah dibuktikan melalui kajian di mana rempah ratus serta bahan yang digunakan dalam masakan singgang menjadi ramuan ubatan yang mujarab. "Terima kasih kepada pihak muzium kerana sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengangkat martabat 'singgang' ini, bagi memastikan ia mendapat sambutan dan menjadi menu yang popular dan dikenali oleh pengunjung dari luar negeri Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup  Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023, di Dataran Dato' Setia Wangsa, Kompleks Muzium negeri, di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah Muzium negeri, Fauzi Muda. Dalam pada itu fauzi berkata berkata program itu julung-julung kali diadakan selain bertujuan bagi mendedahkan bahawa Terengganu memiliki makanan berkhasiat sejak turun temurun. "Pertandingan ini mengumpulkan lapan daerah dalam negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah bagi memasak 'Ikan Singgang Aye Hitam'. "Dengan usaha dijalankan ini kita mengharapkan singgang akan menjadi pilihan pelancong selain daripada nasi dagang. "Pihak muzium akan sentiasa berusaha memelihara warisan nenek moyang ini yang sepatutnya menjadi kebanggaan kepada anak Terengganu," ujarnya. Untuk rekod, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azizah Mahmod pernah mengeluarkan kenyataan ikan singgang berupaya untuk merawat penyakit Covid-19. "Kerana mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob," ujarnya pada Mac 2020.  
13 Nov 23
267
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 13 November - Taman Tamadun Islam (TTI) menyasarkan kehadiran 1 juta pengunjung pada tahun hadapan. Pengurus besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya meletakkan sasaran itu melihat kepada jumlah pengunjung yang dicapai pada tahun ini dari Januari hingga November adalah lebih 600,000. "Kita hendak memastikan TTI ini bukan hanya akan menguntungkan kerajaan Terengganu tetapi turut memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat terutama masyarakat setempat. "Saya melihat ini satu cabaran bagi memastikan TTI ini muncul sebagai hab pelancongan negeri Terengganu yang terkemuka dan menjadi pilihan ramai. "Maknanya bila orang datang Terengganu dia akan terus memilih untuk datang ke sini, saya yakin dan percaya TTI masih dikenali ramai dan untuk memperkasakannya kita akan melakukan sesuatu dan akan memikirkan program yang 'wow', bagi meningkatkan jumlah pengunjung," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semasa hadir pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah sempena Watersport Festival, di sini, semalam. Dalam pada itu, Fadhil berkata adalah menjadi tanggungjawabnya setelah dilantik menjadi pengurus besar baru untuk menaikkan kembali TTI. "Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang telah memberi peluang dan melantik saya sebagai Pengurus Besar dan sudah pastinya banyak cabaran yang perlu saya buat kerana TTI ini namanya cukup besar. "Sudah pasti memerlukan kepada satu perancangan ataupun satu kerja yang perlu difikirkan bersama untuk memastikan ia mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri," ujarnya lagi.
13 Nov 23
263
Rakyat Puji Kerajaan Anjur Program Terap Amalan Hidup Sihat
Rakyat Puji Kerajaan Anjur Program Terap Amalan Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 12 November - Program dan aktiviti yang dianjurkan kerajaan negeri dalam mengalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat menerima pujian ramai daripada pelbagai anggota masyarakat. Salah seorang peserta Terengganu Drawbridge Half Marathon, Alia Amirah Amin, 36, berkata acara yang diadakan itu menjadi satu galakan kepada rakyat agar menjalani kehidupan sihat dan dapat menghindari diri daripada sebarang penyakit. "Bukan sahaja akan memiliki tubuh badan yang sihat dan bebas daripada penyakit, malah dapat melakukan aktiviti yang sangat menyeronokkan ditambah pula Terengganu kita ini memiliki pemandangan yang menarik. "Sambil berlari dapat menikmati keindahan alam ini dari Pantai Batu Buruk sehinggalah ke Teluk Ketapang dan juga ketika melintasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu ini, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan oleh kerajaan negeri. "Bagi memastikan hasrat untuk menjadi sebuah negeri maju dapat direalisasikan, sudah tentu rakyat juga perlu dipastikan berada dalam keadaan yang sihat. Bagi saya program seumpama ini sangat baik setelah lama tidak ada program seumpama ini terutama ketika dunia dilanda pandemik Covid-19," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program Terengganu Drawbridge Half Marathon, di Perkarangan Dataran Awam Pantai Baru Burok, di sini, semalam. Dalam pada itu Alia menyatakan usaha kerajaan memperhebatkan program seumpama itu membuktikan kerajaan negeri cakna serta mengambil peduli tentang rakyat. "Selain akan memastikan badan sentisa sihat, otak sentiasa cerdas untuk melakukan segala pekerjaan. "Sekali gus usaha ini juga akan menarik ramai pelancong untuk datang ke Terengganu bagi menyertai apa jua program dan acara yang diadakan kerana kita memiliki trek untuk berbasikal serta 'joging' yang tarikan keindahannya tidak ada di tempat yang lain," katanya. Seorang lagi peserta, Mohd Fadzillah Kasim, 40, berkata program terbabit dapat mempromosikan kehidupan sihat kepada rakyat dam ia juga akan mempopularkan Terengganu. "Apa jua program diadakan secara terbuka ia akan mendapat sambutan bukan sahaja dari rakyat Terengganu bahkan orang dari luar negeri ini. "Saya harap kerajaan negeri kekalkan serta perbanyakkan program seumpama ini dengan menjadikan lokasi yang menarik sebagai tempat untuk diajurkan acara seumpama ini. "Insya-Allah Terengganu sendiri sebenarnya memiliki ramai 'runner' serta bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan, apabila ada 'event' seumpama ini maka mereka akan lebih bersemangat untuk berlatih bagi menyertai acara ini," katanya.  
12 Nov 23
199
TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN
TTI Sasar Jadi Hab 'Jet Ski' ASEAN
KUALA TERENGGANU, 12 November - Taman Tamadun Islam (TTI) mahu menjadi hab jet ski Pantai Timur yang terkenal di peringkat ASEAN. Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, perkara itu dapat dicapai memandangkan lokasinya sangat sesuai untuk penganjuran sukan air yang lebih berpestij khususnya perlumbaan jet ski sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri. Ujarnya, kerana itu pada tahun ini TTI telah menganjurkan Terengganu Watersport Festival 2023 sebanyak dua kali iaitu pada 24 hingga 26 Februari dan kali ini, 10 hingga 12 November. "Jumlah pengunjung yang hadir pada kali ini seramai 20,000 orang sepanjang tempoh tiga hari ia diadakan, telah menarik kehadiran semua golongan yang meminati sukan air ini. "Kita mengharapkan agar melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, program ini dapat diadakan di peringkat ASEAN. "Agar berupaya menarik lebih ramai lagi pengunjung yang datang ke sini apabila diangkat ke peringkat lebih tinggi nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah sempena Terengganu Watersport Festival yang disempurnakan oleh Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Fadhil berkata acara berpestij itu pada kali ini disertai oleh 66 pelumba yang datang dari seluruh Malaysia. Selain itu katanya, pengunjung yang hadir berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti sukan air seperti perlumbaan perahu layar, perahu naga, pertunjukkan flyboard dan jet surfing, pertandingan memancing, 'hawker street & hawker stall' serta restoran terapung.  
12 Nov 23
256
Terengganu, Korea, China Bekerjasama Dalam Sektor 'Renewable Energy'
Terengganu, Korea, China Bekerjasama Dalam Sektor 'Renewable Energy'
KUALA TERENGGANU, 11 November – Terengganu menjalin kerjasama pelaburan melalui pertemuan kerajaan negeri bersama duta dan pelabur dari China dan Korea. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah bertemu dengan Duta Korea Selatan ke Malaysia H.E. Yeo Seung-bae pada Rabu. “Ia adalah perberbincangan lanjut mengenai potensi Terengganu membawa masuk pelabur Korea dalam bidang 'hydrogen energy', 'floating solar', pendidikan dan bahasa. “Ini juga adalah perbincangan kali kedua antara saya dan HE Duta Korea mengenai tajuk yang sama,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman telah mengadakan perbincangan bersama pelabur dari China pada Jumaat. Dalam perbincangan tersebut, beberapa potensi bidang yang mungkin dapat kita bekerjasama dengan pelabur ini. “Sepertimana yang telah disebut oleh Menteri Besar bahawa Terengganu akan memfokuskan dan memperkasakan dalam beberapa bidang. "Antaranya, pengeluaran Hydrogen Hijau, industri hiliran Silica dan pemerkasaan Infrastruktur Ekonomi Digital. “Ketiga-tiga bidang tersebut dipersetujui untuk diterokai dengan lebih mendalam. “Insya-Allah dalam masa terdekat ini kita akan mewujudkan persefahaman dan perancangan agar ianya berlaku pada awal tahun 2024 nanti,” ujarnya.  
12 Nov 23
348
Sumber Nadir Bumi Malaysia bernilai lebih RM800 bilion
Sumber Nadir Bumi Malaysia bernilai lebih RM800 bilion
KUALA TERENGGANU, 11 November – Malaysia dilimpahi dengan kekayaan sumber asli baharu seperti sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang bernilai lebih RM800 bilion.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata kerajaan seharusnya bersungguh untuk memanfaatkan sumber REE sebagai satu sumber baharu untuk pacu ekonomi negara.  “Industri nadir bumi merupakan industri yang amat kritikal dan strategik dalam pembangunan tenaga bersih, tenaga hijau, kenderaan elektrik, industri pemangkin, pertahanan, elektronik dan lain-tain.  “Potensi dan kebolehan yang ada pada Lynas akan dapat membantu negara untuk menarik pelaburan yang berpotensi tinggi bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika bual bicara belanjawan : Rakyat Terbela? di Gombak TV baru-baru ini. Tambah Amzad, REE merupakan komponen terpenting dalam penghasilan semikonduktor berteknologi tinggi yang bahagian penting dalam penghasilan supercharger, superbattery dan supermagnet. Katanya, negara mempunyai ramai saintis jurutera yang terlatih dan memperoleh ilmu serta pengalaman dalam pemprosesan nadir bumi ekoran kehadiran industri nadir bumi di Lynas di Pahang. “Memajukan REE memerlukan kemasukan pelaburan yang besar yang memerlukan usaha meyakinkan pelabur tentang risiko pelaburan. “Saya melihat keputusan pendidikan yang telah dibuat oleh UPM, UKM dan MARDI berhubung dengan Condisoil sangat berpotensi untuk pertanian negara.  “SIRIM, MARDI, UPM dan UKM telah menguji Condisoil dan mendapati ia selamat digunakan di dalam tanah, air, tisu tumbuhan dan juga makanan ruji kita,” ujarnya.      
11 Nov 23
272
PAS Mesyuarat Esok Tentukan Calon PRK Kemaman
PAS Mesyuarat Esok Tentukan Calon PRK Kemaman
KEMAMAN, 11 November – Parti Islam Se-malaysia (PAS) akan mengadakan mesyuarat pada Ahad, 12 November bagi menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.  Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata mesyuarat tersebut bakal berlangsung di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur. Katanya, bagaimanapun pihaknya akan mengumumkan calon tersebut pada Khamis depan di Chukai. “Jentera kami juga telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK ini. “Kita juga yakin dapat menambah majoriti lebih tinggi hingga 30,000 undian berbanding yang dicapai sebanyak 27,000 undi sebelum ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ceramah jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P040 Kemaman bertempat di Padang Astaka, Chukai semalam. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru. Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini. PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.    
11 Nov 23
74
Kuala Nerus Juara Pertandingan Memasak Singgang Terengganu
Kuala Nerus Juara Pertandingan Memasak Singgang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kuala Nerus telah dinobatkan sebagai johan 'Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023'. Pertandingan kali pertama yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu itu menjadikan makanan tradisi turun temurun rakyat negeri ini sebagai menu untuk rakyat Terengganu beradu kemahiran dan kepakaran bagi menyediakan Lauk Singgang. Mewakili Kuala Nerus, Nor Mazura Abdul Malik berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertamanya berjaya menambat hari juri untuk muncul sebagai juara. "Terima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Nerus yang memberikan kepercayaan kepada saya bersama dua orang adik saya, Muhammad Faizal Izuddin, Ahmad Faez Saharuddin serta seorang anak perempuan saya Nurul Najwa Rosfaizal bagi menyertai acara ini. "Tiada apa-apa resepi rahsia, cuma kami cuba pertahankan masakan ini dengan mengikut betul-betul resepi orang Terengganu punya, saya tekun mempelajari cara masakannya. "Mungkin perbezaan yang saya lakukan ialah hanya meletakkan bawang putih sahaja bersama asam keping, lengkuas dan lada, bagi menyertai pertandingan ini saya mengambil masa seminggu untuk melakukan persiapan dan persediaan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas diumumkan sebagai juara pada Pertandingan Juara Singgang, di Dataran Dato' Setia Wangsa Kompleks Muzium negeri, di sini, hari ini. Perasmiaan penutup dan penyampaian hadiah itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan nasional negeri, Maliaman Kassim. Acara pertandingan berkenaan telah diadili oleh bekas tukang masak Istana Syarqiyyah. Nazrul Hazel Mohd Nor (Chef Nazrul) sebagai ketua juri. Juara dari Kuala Nerus itu telah memenangi wang tunai sebanyak RM1,000, sementara itu Marang pula telah muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM750, diikuti Hulu Terengganu di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM500. Manakala Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Dungun menerima sagu hati dengan masing-masing menerima wang tunai RM300. Dalam pada itu, Maliaman berharap agar pertandingan itu tidak hanya sekadar mencari juara tetapi mampu untuk mengangkat martabat makanan tradisi itu ke tempat yang lebih tinggi dan tidak hanya dikenali oleh rakyat negeri ini. "Terima kasih kepada pihak muzium negeri kerana mengadakan pertandingan seumpama ini dalam usaha mengangkat tradisi dan warisan makanan negeri Terengganu," ujarnya.  
11 Nov 23
567
2,000 Sertai Terengganu Drawbrdge Half Marathon
2,000 Sertai Terengganu Drawbrdge Half Marathon
KUALA TERENGGANU, 11 November - Seramai 2,000 peserta menyertai Terengganu Drawbridge Half Marathon yang julung-julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Ariffin berkata, program yang pertama kali diadakan itu mendapat sambutan tidak hanya daripada rakyat Terengganu bahkan dari seluruh negara. Ujarnya, acara larian itu bermula pada jam 6.30 pagi di Dataran Batu Burok. "Membabitkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (KM), 20 km dan 5 KM, bermula di sini melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu menuju ke Pantai Teluk Ketapang, acara larian ini tamat pada jam 9.00 pagi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang menyempurnakan perasmian penutup acara yang diadakan dengan penuh gilang gemilang itu. Dalam pada itu, Saiful Nizam berkata program berkenaan akan diadakan sebagai acara tahunan di masa akan datang. "Kita yakin akan menerima lebih ramai peserta, sebenarnya pada kali ini di awalnya kita menjangkakan yang akan menyertai seramai 1,000 orang, namun yang hadir adalah seramai 2,000 orang. "Ini merupakan satu kejayaan walaupun kali pertama ia dianjurkan, lebih menarik peserta dari luar Terengganu mereka bukan sahaja tertarik untuk menyertai acara ini semata-mata, dalam masa yang sama mereka membawa keluarga mereka untuk melancong dan menikmati keindahan negeri Terengganu," ujarnya lagi.  
11 Nov 23
655
34 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Ayam
34 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Ayam
KUALA TERENGGANU, 10 November- Sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjual ayam pada harga terlalu tinggi sejak penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuatkuasa 1 November lalu.  Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga tersebut tetapi maklumat berkaitan diperolehi hasil tinjauan daripada pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga. Menurut beliau, hasil pemantauan pihaknya mengesan sebahagian besar peniaga di pasar awam menjual ayam standard pada harga terlalu tinggi antara RM10.50 sehingga RM11 sekilogram (kg). "Kita telah membuat pemeriksaan dan telah keluarkan notis tunjuk sebab kepada peniaga untuk berikan maklumbalas kenapa peningkatan harga sedemikian. "Selepas kita mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis ada penurunan harga selepas itu, " ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, di Mydin Mall di sini, semalam.  Majlis pengumuman SHMMP Deepavali 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman. Katanya, tidak dinafikan terdapat paras harga terlalu tinggi bagi ayam standard di negeri ini dan ia membabitkan peniaga pasar basah yang mengalami masalah berkaitan kaedah perniagaan.  "Di pasaraya pula tidak ada masalah kerana dengan kaedah perniagaan yang digunapakai, mereka boleh tawarkan harga yang rendah berbanding penetapan harga yang dibuat sebelum ini. Justeru katanya, adalah penting untuk pengguna itu sendiri bersama-sama memainkan peranan bagi menurunkan harga mengikut permintaan pasaran.
10 Nov 23
352