Artikel "Semasa" Terkini
SG4 Wujud Kerjasama Perkasa Kaum Wanita
KUALA TERENGGANU, 8 November - 'State-Government 4' (SG4) melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sedang melakukan perbincangan bagi menjalin kerjasama untuk memperkasakan kaum wanita.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, usaha itu bakal menaikkan martabat wanita ke mata dunia jika direalisasikan dengan baik.
"Dalam perbincangan bersama negeri Kelantan, kami mengutarakan isu memperkasakan lagi wanita membabitkan di masa depan.
"Sekarang ini dua buah negeri telah melancarkan Dasar Wanita iaitu negeri Terengganu dan Kelantan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program kunjung hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim di Mabna MBI Kompleks Kota Darul Naim, pada semalam.
Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim dan Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu, Wan Hilmi.
Mengulas mengenai perbincangan itu, Sakinah berkata, kunjungan hormat itu juga adalah untuk saling bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan.
"Hubungan dua buah negeri di antara Terengganu dan Kelantan yang bakal memberi manfaat bersama," ujar Sakinah lagi.
08 Nov 23
209
PAS Umum Calon PRK Kemaman 16 November
KUALA TERENGGANU, 8 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dijangka bakal diumumkan pada 16 November depan.
Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu akan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, majlis pengumuman calon tersebut kemungkinan diadakan di Chukai, Kemaman.
“Saya difahamkan, cadangan tarikh pengumuman calon ialah pada 16 November depan.
“Apapun kita tunggu pengumuman rasmi dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atau kepimpinan PAS negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, PN masih belum muktamadkan siapakah calon yang sesuai bertanding pada 2 Disember depan.
Apabila ditanya sama ada adakah beliau calon yang bakal bertanding di PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat kepimpinan tertinggi parti.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.
08 Nov 23
214
Musim Tengkujuh Dijangka Bermula Sabtu Ini Hingga Mac 2024
KUALA TERENGGANU, 7 November - Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 dan sehingga Mac 2024.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata dalam sepanjang tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku .
"Semasa fasa awal MTL dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia," katanya menerusi kenyataan itu.
Jelasnya, hujan lebat berterusan boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir dan sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
"Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.
“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba," katanya.
Situasi itu berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.
Sehubungan itu, Met Malaysia menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkannya melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
07 Nov 23
470
Terengganu Bakal Bangunkan Industri Hidrogen Hijau
KUALA TERENGGANU, 7 November - Kerajaan Terengganu sedang mengorak langkah bagi membangunkan industri hidrogen hijau yang mampu menjadi sumber pendapatan baharu negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa usaha sedang digarap termasuk perbincangan bersama pakar dari Korea Selatan dalam bidang terbabit.
Katanya, langkah tersebut akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat Terengganu di masa depan.
"Kerajaan Terengganu juga telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Sarawak yang melaksanakan inisiatif penyimpanan karbon serta ekonomi berasaskan hidrogen.
“Isi perbincangan tersebut adalah berkaitan dengan ‘Initiative Towards Green Economy in Sarawak – Hydrogen Roadmap'," jelasnya.
Ahmad Samsuri berkata demikian di laman Facebook rasminya selepas bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari di Petrajaya, Kuching, Sarawak semalam.
Ujar Ahmad Samsuri, perbincangan itu adalah lanjutan daripada pembentangan Primier Sarawak pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang di pengerusikan oleh Perdana Menteri pada minggu lepas.
“Perbincangan itu adalah bagi mengetahui bagaimana Negeri Terengganu dapat sama-sama menerokai ekonomi baharu ini dan membentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara Terengganu dan Sarawak.
"Insya-Allah negeri ini sedang bergerak ke arah ekonomi hijau yang akan mendatangkan manfaat kepada negeri dan rakyat Terengganu.
07 Nov 23
1124
TI Properties Catat Keuntungan Lebih RM2 Juta
KUALA TERENGGANU, 7 November - TI Properties salah satu anak syarikat yang berada di bawah Terengganu Incorporated berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 2,039,652 juta pada tahun 2022.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya berkata ia adalah satu pencapaian yang membanggakan dan berharap syarikat itu akan terus melakar kejayaan.
Katanya, TI Properties telah didaftarkan pada tahun 2017 dengan fokus bisnes berkaitan pengurusan aset dan fasiliti.
“Sehingga kini syarikat telah mengoperasikan Kuala Terengganu Drawbridge, Kuari di Tebing Tembah di Paka, Kerteh Industrial Park (KTIP) di Kerteh, Flat Hiliran Kuala Terengganu, Kijal Permai Apartmen di Kijal serta Pulau Poh Tasik Kenyir seluas 9.7 ekar yang akan bermula pada Januari 2024.
“Saya juga difahamkan TI Properties mensasarkan perniagaan baru iaitu Pengurusan Fasiliti Kesihatan di mana ianya adalah antara kerjasama dengan KMI Healthcare.
“Ini termasuklah merancang dan membangunkan fasiliti kesihatan baru atau memperbaharui fasiliti yang sedia ada, dan memastikan semua aspek infrastruktur kesihatan mematuhi standard dan peraturan industri ,”ujarnya.
Beliau yang mewakili Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika memyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu TI Properties Sdn Bhd & Pelancaran Pelaksanaan Inisiatif ESG bertempat di Perkarangan Ibu Pejabat TI Properties Sdn Bhd, di sini semalam.
Tambah beliau, dengan mewujudkan peluang perniagaan baru, tekanan terhadap kebergantungan kepada hasil pendapatan petroleum dapat dikurangkan.
Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya turut memuji inisiatif pejabat Baharu TI Properties yang menerapkan elemen-elemen ESG bagi menyokong usaha Kerajaan dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Kata beliau, antaranya adalah usaha untuk ke arah Zero Plastic, penggunaan Tenaga Solar bagi mengurangkan kos tenaga elektrik, Rain Water Harvesting yang mengumpul air hujan untuk kegunaan dalaman syarikat, Vertical Wall Garden yang diletakkan di bahagian lobi mewujudkan suasana hijau di dalam pejabat.
Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata pihaknya sentiasa menyokong hala tuju kerajaan negeri melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang mensasarkan penjanaan pendapatan baru yang mampan dalam Teras Strategik Ke-10.
“Ini termasuk memperkasakan Teras Strategik Ke-2 iaitu kelestarian pelancongan Terengganu dengan meningkatkan kualiti dan hasil produk syarikat seterusnya memberi pulangan dividen kepada negeri,”ujarnya.
07 Nov 23
657
PAS Yakin Pertahan Kemaman
MARANG, 6 November - PAS Terengganu yakin kerusi Parlimen Kemaman akan kekal menjadi milik parti tu pasca Pilihanraya Kecil (PRK) pada 2 Disember nanti.
Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang berkata, walau bagaimanpun pihaknya tidak akan memandang mudah cabaran parti lawan kerana banyak cabaran perlu dihadapi.
Katanya, parti lawan mempunyai sumber kewangan mencukupi berbanding PAS.
"Justeru PAS dan ahli parti perlu berusaha mencari sumber kewangan untuk memenuhi keperluan PRK itu termasuk dengan mengadakan Majlis Makan Malam bagi Mengumpul Dana PRK Kemaman malam ini (semalam)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis berkenaan di Dewan Dato’ Harun Taib di Rusila di sini malam semalam.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Dato’ Mohd Nor Hamzah, ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman dan kepimpinan PAS negeri yang lain.
Kata Husain, setiap ahli parti perlu berganding bahu bagi memastikan kemenangan di pihak PAS.
“Yang penting ialah semua ahli PAS mesti mencari sumber kewangan untuk membantu memenangkan parti dalam mana-mana pilihan raya termasuk PRK Kemaman pada 2 Disember ini,” jelas beliau.
06 Nov 23
251
Sultan Johor Berangkat Tiba ke Terengganu
KUALA NERUS, 6 November - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta rombongan berangkat tiba ke Kuala Terengganu, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda dengan pesawat khas, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu, pada jam 8.40 pagi ini disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Nara Setia serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron membacakan doa menyambut keberangkatan tiba Baginda di LTSM.
Baginda dan rombongan kemudian berangkat ke Istana Syarqiyyah, Chendering bagi menghadiri kunjungan hormat dan santapan pagi bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebagai rekod, Sultan Ibrahim telah diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 (Khas) pada 27 Oktober lalu.
Sultan Ibrahim akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tanggal 30 Januari 2024 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan sebelum ini.
Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
06 Nov 23
10471
Terengganu Sudah Banyak Maju - Tun M
KUALA TERENGGANU, 6 November - "Terengganu sudah banyak maju," ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah melihat perkembangan semasa dan pelan-pelan yang dirancang kerajaan negeri.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir mengadakan lawatan kerja ke Terengganu sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).
Pada lawatan tersebut, beliau telah berjumpa dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman pada pagi Khamis.
Tun Dr Mahathir berkata, buat masa ini banyak kerja-kerja kerajaan negeri sudah dilaksana dan sedang berjalan.
"Jadi tidaklah perlu banyak dibantu, kecuali bidang-bidang tertentu selain daripada yang sedia ada," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya.
Dalam siri lawatan itu, Tun Dr Mahathir turut menziarahi Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.
Ketika perjumpaan itu, beliau sempat berseloroh selepas 90 tahun lebih barulah dapat jejak kaki ke rumah kampung Presiden PAS tersebut.
"Didoakan semoga Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan, Insya-Allah," ujarnya
06 Nov 23
731
Graduan Hiba Dapat Khabar Duka 15 Minit Sebelum Terima Skrol
KUALA NERUS, 6 November – Siapa sangka hari yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan bertukar menjadi duka apabila bapa kepada seorang graduan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini meninggal dunia 15 minit sebelum majlis graduasinya berlangsung.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (dengan Kepujian), Haslina Kalang, 23, yang hanya menunggu giliran untuk menerima skrol mendapat panggilan dari jirannya di Tawau, Sabah pada jam 10.30 pagi memaklumkan tentang berita kematian bapanya Kalang Tona, 56, yang mempunyai sakit stroke.
Haslina berkata sejak dari awal lagi dia sudah berat hati untuk hadir ke konvokesyen hari ini kerana risau dengan bapanya
“Ayah suruh saya datang jugak konvokesyen dan dia nak saya naik ke pentas menerima ijazah.
“Saya tak sangka ayah pergi dulu sebelum saya naik ke pentas. Bagaimanapun saya kuat untuk naik juga sekejap menerima skrol,” katanya yang merupakan anak kedua dari lima beradik.
Menurutnya, dia berpuas hati kerana dapat menjaga ayahnya sepenuh masa sebelum ini sementara belum mendapat pekerjaan.
“Alhamdulillah, saya dapat berbakti kepada ayah dan saya redha dengan pemergian dia di hari konvokesyen saya hari ini” kata Haslina yang ditemani kakak sulungnya dari Johor ke majlis konvokesyen hari ini.
Haslina tiba di Terengganu dua hari lepas dan sepatutnya pulang esok ke kampung halaman sebaik sahaja selesai majlis konvokesyen hari ini.
Sementara itu, pihak UniSZA telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM 2,500 kepada Haslina untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah, hari ini.
06 Nov 23
653
MBKT Sedia Kemudahan BBQ di Pantai Seberang Takir
KUALA TERENGGANU, 6 November – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu(MBKT) telah menyediakan beberapa kemudahan tempat BBQ untuk orang ramai membakar ayam, ikan dan sebagainya di tepi pantai Seberang Takir sebagai tarikan terbaharu.
Menurut kenyataan di laman rasminya, MBKT menyediakan kemudahan ini di tapak santai dan perkhemahan di Pantai Seberang Takir, berlatarbelakangkan pemandangan Laut China Selatan yang indah dengan cara yang lebih tersusun dan teratur.
“Justeru itu, kami berharap agar kemudahan tersebut digunakan bersama-sama dan dikemaskan setelah selesai digunakan.
“Disamping itu, orang ramai perlulah menjaga kebersihan persekitaran agar sentiasa bersih, ceria dan menarik,”katanya.
MBKT turut menyediakan tong-tong sampah yang diperbuat daripada kayu untuk digunakan demi kebersihan pantai rekreasi berkenaan.
06 Nov 23
527