lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

3 Sekolah Di Kuala Terengganu Tutup Akibat Banjir
3 Sekolah Di Kuala Terengganu Tutup Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU , 20 November- Tiga buah sekolah di sekitar daerah ini terpaksa ditutup apabila mula dinaiki air sejak awal pagi tadi susulan hujan lebat yang melanda sejak semalam. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata tiga sekolah yang terjejas banjir di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.  “Kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air dan menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa menyebabkan pihak pengurusan telah memutuskan untuk tidak membenarkan murid-murid hadir ke sekolah yang terjejas kerana isu keselamatan mereka. "Bagaimanapun, semua guru dan murid yang terlibat akan belajar seperti biasa melalui mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR,”katanya. Dalam masa sama, jabatan juga sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah yang lain kerana hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan segera kepada ibu bapa untuk tindakan mereka. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu, bermula semalam hingga hari ini. MetMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan, ia membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
20 Nov 23
4137
Kerajaan Negeri Sokong Sebarang Usaha Bantu Pendidikan
Kerajaan Negeri Sokong Sebarang Usaha Bantu Pendidikan
KEMAMAN, 20 November – Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha bagi membantu para pelajar dalam pembangunan pendidikan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata ia berikutan program penyerahan Dewan Terbuka kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini. Katanya, terima kasih kepada semua hadirin yang turut menyertai dalam detik bersejarah ini dan semua yang terlibat dalam merealisasikan projek ini. “Penyerahan tersebut turut memberikan semangat baru kepada komuniti pendidikan kami. “Dewan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang kesungguhan kita dalam melahirkan generasi yang cemerlang,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok (SKBM) bertempat di Dewan Terbuka SKBM pada Ahad. Turut hadir dalam majlis ini adalah pegawai-pegawai daripada Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKK) Bukit Mentok. Mengulas lanjut mengenai program, ia telah berlangsung dengan meriah pada hari berkenaan. Majlis yang dinanti-nantikan ini telah dirasmikan dengan penuh kemuliaan oleh, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Tuan Kahar Abdul Latif. Tambah Hafiz, Dewan yang baru diserahkan ini diharapkan memberi manfaat kepada para pelajar. Sekali gus, menjadi tempat berlangsungnya pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan. "Saya yakin, dengan sokongan semua pihak, Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok ini akan terus bersinar dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan. "Mari bersama-sama menjadikan dewan ini tempat yang memupuk ilmu, kreativiti, serta semangat kebersamaan dan selamat maju jaya buat semua para pelajar," ujarnya. Sementara itu, majlis penyerahan ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong kemajuan pendidikan di daerah ini. Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok kini memiliki kemudahan yang lebih baik untuk memberi pendidikan yang berkualiti kepada pelajar-pelajar. Diharapkan dapat mencorak masa depan yang lebih cerah bagi generasi mendatang.
20 Nov 23
223
Kerajaan Negeri Arah Agensi Terlibat Gerakkan Aset Bantu Kawasan Terjejas Banjir
Kerajaan Negeri Arah Agensi Terlibat Gerakkan Aset Bantu Kawasan Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan negeri telah mengarahkan semua agensi berkaitan segera menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir. Timbalan Pengerusi Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata ia bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera. "Saya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, susulan banjir yang sedang  melanda di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. "Ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS," ujarnya ketika dihubungi. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, berkata secara umumnya, hujan turun menyeluruh di Kawasan Negeri Terengganu bermula awal pagi tadi. Katanya, penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200mm di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang. "Setakat pagi ini, beberapa kawasan telah dinaiki air antaranya Kampung(kg) Tok Adis, Jalan kamaruddin, Jalan Pusara, Rhu Rendang, Pasar Payang, Kg. Che Kundur, Gong Badak, Merchang, Jalan Kg Paloh, Jalan Sultan Omar, Tok Jembal. "Sehingga jam 12 pagi, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah di buka iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal(54 keluarga, 124 mangsa), Dewan Flat Batin Perdana( 4 keluarga 25 mangsa dan SK Chendering (9 keluarga 35 mangsa)," ujar beliau. Tambahnya lagi, tiga buah sekolah iaitu SK Losong, SK Tok Dir dan SK Seri Budiman terpaksa ditutup kerana dinaiki air setinggi 1 kaki (0.3M), ditutup dan semua guru dan pelajar melalui proses PDPR. Dalam masa sama, pihak JPNT turut memantau banjir di sekolah berkenaan dan juga sekolah-sekolah lain. Sementara itu, Hanafiah menyarankan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah segera sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka. "Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh arahan pihak berkuasa "Saya minta mereka yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.Jaga keselamatan diri dan keluarga," ujarnya. TNB dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya menutup semua suis utama di premis masing-masing sekiranya air mula meningkat dan diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara. Mereka juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine menerusi talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline jika terdapat pepasangan TNB yang terputus atau tumbang bagi tindakan segera, demi keselamatan awam selain terus memantau keadaan setiap pepasangan dari semasa ke semasa.
20 Nov 23
302
Cabaran 4x4 KBS Zon Timur Terima Sambutan Mengujakan
Cabaran 4x4 KBS Zon Timur Terima Sambutan Mengujakan
KUALA NERUS, 19 November- Penganjuran Malaysia Active Motorsport @ Cabaran 4x4 KBS Peringkat Zon Timur 2023 yang berakhir semalam, menjadi tumpuan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 150 peminat kenderaan pacuan empat roda meskipun berlangsung dalam suasana hujan lebat. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, kehadiran peminat sukan permotoran itu dalam skala besar mampu mencapai objektif penganjuran iaitu memperkenalkan sukan pacuan empat roda di peringkat akar umbi dengan lebih dekat, selain memupuk ukhuwah di kalangan belia permotoran yang terdiri daripada berbilang kaum. "Syabas kepada penganjur kerana dapat mengumpulkan seramai 150 peserta dari Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan, bahkan turut dihadiri peserta-peserta dari negeri-negeri lain. Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. "Saya melihat sukan ini memberi peluang peminat, penyokong dan pelumba tempatan untuk bersaing sebelum membuat susulan ke kejohanan yang lebih tinggi dan dapat mencungkil bakat-bakat pelumba baharu. "Kepada yang menang, tahniah dan kepada yang belum menang, jangan cepat putus asa. jadikan kekalahan hari ini sebagai titik permulaan ke arah masa depan penuh gemilang," pesannya.  Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program berkenaan di Trek Kampung Bukit Datu, di sini semalam. Turut hadir dalam program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Sukan Pancuan Empat Roda Ummah Terengganu itu adalah Timbalan Pengarah JBS Terengganu; Mohd Qayyum Rahman, Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah Terengganu; Muhammad Muzammil Mokhetar dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia; Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.        
19 Nov 23
270
Hujan Tahap Bahaya Landa Terengganu
Hujan Tahap Bahaya Landa Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula hari ini hingga esok. Menurut MetMalaysia kawasan tersebut melibatkan tujuh daerah di negeri ini. Katanya, ketujuh daerah itu adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman,” menurutnya dalam satu kenyataan rasmi Jabatan Meteorologi pada hari ini. itu. Kenyataan itu turut memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Hulu Terengganu. Mengulas lanjut, hujan berterusan tahap bahaya ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan. Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia.            
19 Nov 23
152
UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim
UMT, Penang Port Jalin Kerjasama Martabat Industri Maritim
KUALA TERENGGANU, 19 November- Universi Malaysia Terengganu (UMT) dan Penang Port Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan kecekapan bidang maritim dan pelabuhan. Kolaborasi itu dilakukan hasil siri kunjungan daripada kedua-dua pihak bagi melihat potensi dan peluang serta fasiliti yang boleh dimanfaatkan secara bersama. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama yang dimeterai itu merupakan suatu pengiktirafan daripada pemain industri yang meletakkan kepercayaan kepada UMT selaku sebuah universiti peneraju dalam bidang marin dan sumber akuatik. “Ini adalah komitmen UMT untuk membantu pihak industri dan negara amnya dalam memperkasakan pembangunan sektor industri maritim khususnya dalam penyediaan dan pembangunan sumber manusia yang tersedia dengan kemahiran teknikal yang tinggi yang diperlukan oleh sektor maritim negara.  “Sesuai dengan status universiti berfokus ilmu kelautan dan sumber akuatik, UMT telah dinamakan sebagai universiti peneraju bagi Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) bagi Kluster Maritim dan merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan graduan institusi pengajian tinggi tersedia dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam sektor maritim negara," ujarnya ketika berucap di majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangusng di kampus UMT, di sini. Majlis menandatangani perjanjian MoU itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Penang Port Sdn Bhd, Mohamed Shaffi Khatri Abdullah bagi mewakili agensi masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian. Katanya, selain mengutamakan akademik pelajar, UMT turut menggalas tanggungjawab dalam membantu memperkasakan pertumbuhan sektor maritim negara. “Kita mempunyai kepakaran dalam bidang maritim seperti pengurusan maritim, pengurusan logistik, perundangan laut, bidang teknikal maritim serta senibina kapal. “Sebagai sokongan kepada pembangunan industri logistik dan maritim negara, UMT juga telah berkerjasama dengan The Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILT Malaysia) untuk menubuhkan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) di UMT," jelasnya. Menurutnya, penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri (IcoE) Kluster Maritim di universiti itu bagi mendokong lima teras berkaitan industri maritim seperti pemerkasaan modal insan, pangkalan data maritim, jaringan industri, inisiatif perkongsian teknologi dan program endowmen. Mengulas lanjut katanya, kewujudan MaLTraC-CILT yang berfungsi sebagai pusat latihan profesional dan bertauliah di kampus itu secara tidak langsung membuka peluang kepada UMT untuk menonjolkan kepakaran yang boleh menyumbang kepada bidang maritim melalui Program Data Kargo Nasional dan juga penawaran perkhidmatan untuk industri logistik dan pengangkutan negara melalui penyelidikan, latihan dan forum perbincangan di kalangan pakar akademik dan industri serta badan profesional dalam ekosistem yang kondusif.  
19 Nov 23
226
Dr Sam Mahu Hantar Mesej Penting ke Parlimen
Dr Sam Mahu Hantar Mesej Penting ke Parlimen
KEMAMAN, 19 November - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman medan untuk rakyat memilih wakil yang boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat. Calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai fokus yang akan diberi keutamaan dalam membangunkan ekonomi daerah berkenaan. “Antaranya adalah memastikan penggunaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, memperbesarkan pelabuhan Kemaman dan pelbagai industri yang akan masuk ke daerah ini. "Perkara tersebut akan disusun dengan baik dan akan menjadikan Kemaman Sebuah tempat yang sangat berjaya maju,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni masyarakat dan melawat Markaz Unit Daerah Mengundi (UDM) Chukai, Kemaman di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai perkara telah dicapai di daerah Kemaman ini. Tambahnya lagi, Ahli Parlimen yang lalu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik yang telah menghantar mesej penting daripada Kemaman ke Dewan Rakyat. “Perkata tersebut tidak dinafikan tinggal lagi aspek yang perlu ditambah baik. “Di samping, perlu dilihat beberapa perkara yang sebelum ini dibuat keputusan di peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di daerah Kemaman dan daerah-daerah lain. “Namun, tidak dilaksanakan apabila bertukar kerajaan di peringkat Putrajaya baru-baru ini. “Oleh sebab itu, perlu dibuat rombakan pimpinan di peringkat pusat serta kita mahu hantar mesej yang jelas di dewan rakyat,” ujarnya.  
19 Nov 23
229
Undang-undang Syariah Cuba Dirobek Musuh
Undang-undang Syariah Cuba Dirobek Musuh
KUALA NERUS,19 November - Status undang-undang syariah berada di tahap membimbangkan apabila wujud usaha pihak tertentu yang cuba menggugat enakmen syariah di negeri dan negara ini. Peguam Syariah, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ada satu gerakan dikenali sebagai 'Stategic Litigation' yang berjuang puluhan tahun untuk merungkai sendi-sendi agama dan pelaksanaan syariah. "Ada satu kumpulan yang melakukan perancangan yang berstrategik daripada awal 90-an untuk mencari kes-kes atau membina kes-kes yang boleh mematahkan atau merungkaikan sendi-sendi syariah dalam negara kita. "Satu ketika dahulu kita boleh berbangga kerana negara akhirnya menerima perjuangan para pencinta pejuang undang-undang syariah dalam negara yang diketuai almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim yang meminda perlembagaan dengan memasukkan perkara 1A kepada perkara 121 perlembagaan persekutuan untuk memberikan bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah tanpa campurtangan mahkamah sivil," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus baru-baru ini. Turut menjadi panel dalam wacana terbabit, Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dan Peguam Bela dan Peguam Cara, Sallehudin Harun. Sementara itu, seorang peserta wacana tersebut, Ahmad Rozi Sakiman berkata seluruh masyarakat, khususnya umat Islam dalam negara ini perlu bangkit mempertahankan undang-undang Islam. "Kita perlu mengambil kefahaman dan kecaknaan terhadap setiap isu serta perihal berkaitan Perundangan Syariah, kesan-kesan dan implikasinya terutamanya kepada umat Islam. "Perbicaraan kes cabaran Nik Elin di Mahkamah Persekutuan pada 20 November (Isnin) nanti secara tidak langsung akan memberi impak kepada keutuhan Perundangan Syariah di negeri Terengganu ini khususnya, dan di seluruh negara secara umumnya. "Marilah seluruh umat Islam di seluruh pelusuk Malaysia, bersama kita hadir berhimpun di Pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pada pagi 20 November nanti (esok), sebagai tanda solidariti kita umat Islam, mempertahankan pelaksanaan Perundangan Syariah di atas tanah air kita ini," ujarnya lagi  
19 Nov 23
184
Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah
Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah
Oleh : Pak Abbas  KUALA NERUS, 18 November - Kerajaan Negeri memandang serius isu berkaitan individu yang mencabar Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) negeri Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata jika diperhalusi sebenarnya terdapat beberapa peruntukan dalam enakmen Kanun Syariah Negeri Terengganu hampir sama dengan peruntukan yang dicabar.  “Justeru, sedikit sebanyak, keputusan kepada kes itu akan memberi impak atau kesan kepada Perundangan Syariah di negeri ini,” jelasnya.  Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus pada Khamis, 16 November.  Mengulas lanjut mengenai program itu, Dr Khalil berkata ia bertujuan untuk mengajak seluruh umat Islam agar bersama-sama mempertahankan hak berkaitan Undang-Undang Syariah di Malaysia.  “Di samping, menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menanggani isu-isu yang timbul berkaitan kes Enakmen Syariah di Malaysia,” ujarnya lagi. Terdahulu, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah. Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat). Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual). Selain itu, memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja. Sementara itu, Setiausaha Agung PAS yabg juga Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin Zurina, ia sekali gus akan bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal. “Ini adalah isu umat Islam yang cukup besar dan ia boleh dianggap 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana menyentuh isu agama,” katanya.
18 Nov 23
208
Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS
Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS
KUALA TERENGGANU, 18 November - Banjir diramal melanda beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan mulai awal pagi esok, susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini. Perkara itu dimaklumkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini. Katanya, hasil simulasi model ramalan banjir, JPS meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di dua daerah di Terengganu termasuk Besut iaitu di kawasan-kawasan sekitar Kampung (Kg) La, Kg Seberang La dan Kg Pengkalan Nangka, selain Setiu (kawasan sekitar Kg Che Mohid), sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di kawasan terbabit. "Di Kelantan pula, kejadian banjir diramal boleh berlaku di beberapa kawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas. "Di Tanah merah, kawasan yang diramal dilanda banjir termasuk kawasan-kawasan sekitar Kg Kajang, Kg Nibong dan Kg Air Bujing. "Di Pasir Mas pula, kawasan sekitar Kg Kubang Rambutan; Kg Bagus; Kg Degung; Kg Limau Purut; Kg Pengkalan Telok; Kg Rasal; Kg Tersang; Kg Lubok Gong; Pekan Rantau Panjang; Kg Gelang Mas dan Kg Kalor," katanya menurut kenyataan itu. PRABN turut memaklumkan, kejadian banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. "Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. "Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," katanya.- BERITA HARIAN
18 Nov 23
971