Artikel "Semasa" Terkini
Mangsa Banjir Terus Meningkat ke 1,418 Orang
KUALA TERENGGANU, 21 November – Mangsa banjir terus meningkat sebanyak 1,418 orang yang melibatkan 396 keluarga di Terengganu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari empat daerah.
Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.
Setakat jam 6.00 pagi, sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka keempat-empat daerah berkenaan.
Marang daerah yang terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa sebanyak 132 orang dari 32 keluarga dan ditempatkan di tiga PPS.
Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 686 mangsa daripada 185 keluarga yang berada di tujuh PPS.
Manakala, Kuala Terengganu merekodkan seramai 574 mangsa daripada 173 keluarga yang ditempatkan di empat PPS," menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya, Setiu pula menempatkan seramai 26 penghuni daripada enam keluarga dan dibuka dua PPS dalam daerah berkenaan.
Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
21 Nov 23
208
Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat, 11 PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 20 November - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus mencatat peningkatan kepada 1070 mangsa daripada 321 keluarga di tiga daerah setakat jam 8 malam hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, sebanyak 11 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu tujuh di Kuala Nerus, Kuala Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).
"Kuala Nerus merekodkan mangsa teramai dengan 564 orang terjejas selepas kediaman dinaiki air.
"Semua mangsa daripada 166 keluarga kini ditempatkan di tujuh PPS di daerah berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak semalam.
Secara keseluruhan, hujan melanda di seluruh Terengganu bermula awal pagi tadi dengan penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200 milimeter di sekitar daerah Kuala Terengganu.
Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa tempat di Terengganu.
20 Nov 23
236
Sungai Terengganu Lepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU,20 November - Paras air Sungai Terengganu di Parit Utama, Padang Kemunting (Kuala Nerus) telah melepasi tahap bahaya apabila mencatatkan bacaan 3.85 meter(m) berbanding tahap bahayanya ialah 3.8m.
Rekod tersebut dicatatkan setakat jam 3 petang tadi berdasarkan data dikongsi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my.
Manakala dua lagi sungai di negeri ini masing-masing melebihi paras amaran dan waspada iaitu Sungai Chalok di Jambatan Setiu merekodkan bacaan 8.26m melebihi tahap amaran 7.7m dan Sungai Setiu di Kampung Besut mencatatkan bacaan 16.52m melebihi paras waspada iaitu 16m .
20 Nov 23
1731
Pihak Lawan Tak Tenteram Apabila Dr Sam Jadi Calon
KEMAMAN, 20 November - Kalangan pimpinan UMNO ramai yang terkejut serta mungkin tidak menjangkakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipertaruhkan oleh PAS sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, sehingga timbul suasana tidak tenteram dalam kem kerajaan gabungan parti tersebut.
Ahmad Samsuri berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri dalam kalangan parti UMNO mengenai situasi tersebut sehingga mengeluarkan pelbagai kenyataan seperti perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar,.
Katanya, ada juga pihak lawan menyatakan beliau tamak jawatan sedangkan perkara itu merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi negara.
"Terkejut di belah belah sana, (kerana) mereka (UMNO) tidak menjangkakan, orang Terengganu kata 'settok' dalam keadaan demikian macam-macam keluar (daripada) pemikiran dan (pelbagai) persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa orang menteri yang berkenaan.
"Mungkin 'stres' dalam keadaan begitu, lari habis perancangan dia, maka timbullah kenyataan-kenyataan demikian," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program sembang santai yang disiarkan melalui platform media sosial, di sini, hari ini.
Justeru, Ahmad Samsuri menasihatkan pihak lawan agar menghadapi PRK kali ini dengan penuh tenang serta bersaing secara sihat.
"Nasihat saya kepada mereka 'cool down'. rileks, jangan rasa 'stress' jadi kita hadaplah pilihan raya ini dengan penuh ketenangan, insya-Allah," ujarnya.
20 Nov 23
200
Mangsa Banjir Meningkat 893 Orang
KUALA TERENGGANU, 20 November – Seramai 893 orang mangsa terjejas banjir yang melibatkan 267 keluarga di Terengganu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari tiga daerah.
Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.
Setakat jam 6.15 petang, sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka ketiga daerah berkenaan.
Kuala Nerus merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 529 mangsa terlibat daripada 157 keluarga yang berada di enam PPS.
Manakala, Kuala Terengganu mencatatkan seramai 354 mangsa daripada 107 keluarga yang ditempatkan di dua PPS," menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya, Setiu pula menempatkan seramai 10 penghuni daripada tiga keluarga dan dibuka satu PPS dalam daerah berkenaan.
“Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
20 Nov 23
324
Pembudayaan Inovasi Sektor Awam Mampu Tambahbaik Penyampaian Perkhidmatan
KUALA TERENGGANU, 20 November- Pembudayaan inovasi di sektor awam mampu menambahbaik penyampaian perkhidmatan untuk manfaat rakyat dan negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembudayaan inovasi mampu mengubah masyarakat daripada masyarakat pengguna semata-mata kepada yang aktif menyumbang dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu.
“Seterusnya akan mencorak revolusi digital dan teknologi yang dapat menyumbang dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI.
“Kreativiti dan inovasi adalah dua perkara yang sangat diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia dimana kedua-dua elemen ini memberikan impak yang besar kepada kemajuan seseorang individu dan organisasi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, kreativiti dan inovasi menjadi agenda yang besar dan sangat diambil berat oleh sektor kerajaan.
“Melalui inovasi, kita perlu menggunakan minda kreatif dan daya imaginasi tinggi, kedua-dua elemen ini sangat diperlukan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan berdaya saing selaras dengan gerakan Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.
Juteru beliau menyarankan semua penjawat awam harus menginovasikan sistem perkhidmatan yang lebih baik terhadap masyarakat dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa.
“Jangan pasif untuk mencadangkan sesuatu idea dan sistem baharu,” ujarnya.
20 Nov 23
121
'Orang Ramai Perlu Ambil Langkah Awal Hadapi Banjir'
KUALA TERENGGANU, 20 November - Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan mengambil langkah awal dalam situasi banjir.
"Orang ramai yang terlibat banjir segeralah berpindah di kemudahan iaitu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan kerajaan.
"Selain itu, kurangkan bergerak di jalan raya kerana banyak laluan yang ditutup bagi mengelakkan bahaya.
"Kita ada tutup beberapa laluan juga melibatkan beberapa lampu isyarat yang tidak berfungsi dan kita akan letak anggota trafik di setiap lampu isyarat tidak berfungsi bagi mengawal laluan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di PPS Tok Jembal, hari ini.
Keadaan banjir di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus semakin meningkat petang ini apabila berlaku pertambahan PPS dibuka kepada tujuh PPS melibatkan 325 mangsa berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu setakat jam 4.00 petang.
20 Nov 23
127
Amzad Sumbang RM10,000 Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 November – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim memberi sumbangan kecemasan peribadi sebanyak RM10,000.00 bagi membantu operasi dan mereka yang terjejas banjir di sini.
Amzad berkata ia bagi menggerakkan bantuan musibah banjir susulan beberapa kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah mula dinaiki air berikutan hujan peringkat merah selama dua hari di Kuala Terengganu.
Katanya, terdapat beberapa kawasan yang sudah dinaiki air termasuk kediaman Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus.
“Sebentar tadi saya dan semua kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Terengganu telah mesyuarat secara atas talian mengenai perkembangan banjir.
"Semoga Allah permudahkan segala operasi bantuan banjir dan semoga semua mangsa terlibat bersabar atas ujian ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Amzad, beliau dijadualkan terlibat dalam soal jawab lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini dan minggu ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu juga telah melancarkan Tabung Rayuan Derma Kilat Mangsa Banjir.
Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksana bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang melalui saluran yang betul.
Di samping, bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, dua PPS dibuka di Kuala Nerus iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal bagi menempatkan 124 mangsa daripada 54 keluarga manakala seramai empat keluarga membabitkan 25 keluarga ditempatkan di Dewan Flat Batin Perdana.
Sementara itu, PPS di Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu pula diaktifkan bagi menempatkan 35 mangsa membabitkan sembilan keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula semalam sehingga hari ini.
Dalam kenyataan semalam, ia memaklumkan amaran tersebut membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
20 Nov 23
304
Banjir : Terengganu Buka Tiga PPS
KUALA NERUS, 20 November - Sehingga jam 12 tengahari ini, sebanyak tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Terengganu melibatkan dua daerah bagi menempatkan 184 mangsa banjir hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, dua PPS di Kuala Nerus iaitu PPS Tok Jembal dan PPS Telaga Batin melibatkan 58 keluarga dan seramai 149 mangsa.
Manakala di Kuala Terengganu, PPS SK (Sekolah Kebangsaan) Chendering menempatkan seramai sembilan keluarga terdiri daripada 35 mangsa.
Dalam pada itu, hujan lebat berlarutan di beberapa tempat namun, terdapat kawasan-kawasan dinaiki air sejak awal pagi tadi didapati telah surut.
20 Nov 23
476
UMT Aktifkan Bilik Gerakan Bencana
KUALA NERUS, 20 November- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi memberi maklumat terkini dan bantuan kepada para pelajar dan kakitangan yang terjejas banjir.
Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, Bilik Gerakan Bencana dan talian hotline 24 jam ini dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pejabat Keselamatan.
Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.
"Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.
"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Sukan UMT turut dibuka bagi membolehkan para pelajar berpindah.
"Setakat jam 9.00 pagi ini seramai 20 orang pelajar telah berpindah ke PPS sementara tersebut dan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya telah disediakan kepada mereka," ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud turut menyediakan bantuan zakat berjumlah RM100,000 kepada pelajar UMT dan komuniti setempat yang terkesan akibat banjir di negeri ini.
"Bantuan ini merupakan sumbangan dari Etiqa Family Takaful Berhad bagi meringankan beban mereka yang terjejas serta kerugian harta benda.
"Manakala sumbangan derma siswa bernilai RM10,000 bagi pelajar bukan muslim turut disediakan oleh pejabat HEPA kepada mereka yang terlibat, " ujarnya.
Tambah Mazlan, melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.
"Pastikan sentiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, " ujarnya.
Katanya, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Bencana di talian 09-6685059/4118.
20 Nov 23
302