Artikel "Semasa" Terkini
Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam
KEMAMAN, 18 November- Isu tempatan dan nasional menjadi fokus calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS akan perkukuh dan perkemaskan segala kerja kebajikan untuk rakyat.
"Isu tempatan dan isu nasional akan menjadi fokus kita dan saya percaya PAS mampu untuk menggerakkan isu tempatan mahupun isu nasional di Kemaman ini.
"Urusan banjir contohnya, kita tidak tunggu pilihanraya, sejak beberapa bulan lepas kita telah adakan simulasi, perbincangan, libat urus bersama dengan JPKK dan sebagainya, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kemaman di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini.
Katanya, isu tempatan meliputi urusan-urusan semasa yang diuruskan oleh pihak kerajaan negeri bersama ahli-ahli yang berhormat di kawasan masing-masing.
Sementara itu katanya, PAS juga akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU-15 lalu.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
18 Nov 23
210
PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah
KEMAMAN, 18 November- Pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kini bermula membuka tirai apabila proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.
PAS yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman diwakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.
Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata beliau mewakili rakyat Kemaman akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PAS.
"Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk kekalkan kemenangan)... insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 2 Disember nanti.
"Saya yakin dan percaya Dr Sam akan menang dengan bergaya dan capai sasaran 30 ribu majoriti iaitu lebih besar dari PRU15, ketika penyandangnya, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi pada ketika itu.
"Ia ditambah dengan majoriti yang PAS perolehi ketika PRN baru-baru yang mana keempat-empat DUN juga menang dengan bergaya," ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
18 Nov 23
176
Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi
KEMAMAN, 18 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletakkan jawatannya setelah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi malah Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.
Katanya, beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999).
"Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow).
"Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku.
"Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-Allah, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Proses Penamaan Calon Bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri secara berseloroh menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang itu tidak berasas.
"Mungkin (Datuk Seri) Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu.
"Saya percaya dapat mengurus dan mentadbir negeri dengan baik dan membawa suara rakyat ke Dewan negara jika diberi peluang," katanya.
Semalam, Azalina dalam satu program berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar dan mendesaknya meletakkan jawatan tersebut.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, PAS juga dilihat ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.
18 Nov 23
390
Pertembungan Dua Penjuru di PRK Kemaman
KEMAMAN, 18 November- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Perikatan Nasional (PAS-PN).
Manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mewakili parti Barisan Nasional (BN).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini pada jam 10.15 pagi ini.
Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, yang diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menyerahkan borang pencalonan jam 9. 04 pagi.
Diikuti Raja Mohamed Afandi, 66, empat minit kemudian dengan diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.
Sebaik proses pencalonan selesai pagi ini, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.
18 Nov 23
217
Selawat Dan Takbir Iringi Dr Ahmad Samsuri
KEMAMAN, 18 November - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon PAS-Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dekat sini, jam 8.30 pagi ditemani pimpinan tertinggi parti dan lebih 3,000 penyokong.
Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.
Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
PRK Parlimen bermula hari ini dengan proses penamaan calon dan diikuti kempen yang berlangsung sehingga proses pengundian pada 2 Disember ini.
Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
18 Nov 23
402
Konsert Coldplay Patut Dibatalkan - Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 November – Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan sepatutnya dibatalkan.
Mufti Terengganu, Prof Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.
Katanya, umat Islam perlu menzahirkan rasa simpati terhadap kesengsaraan serta kesedihan yang ditanggung oleh mereka di sana.
“Konsert ini sepatutnya dibatalkan ketika isu memboikot sumbangan terhadap Israel kini sedang heboh diperkatakan.
“Oleh itu, sumbangan kepada elemen-elemen negatif yang dikaitkan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta yang berkaitan juga perlu diboikot sama," jelasnya
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Sabri, dalam tempoh kempen memboikot atau himpunan sebagai tanda solidariti kepada saudara Islam di Palestin.
Beliau berkata, adalah perlu untuk umat Islam bagi meningkatkan lagi amal ibadah khususnya melibatkan tumpuan kita di masjid-masjid di negara ini.
“Seharusnya kita umat Islam mengimarahkan masjid dan majlis ilmu untuk memperbaiki ibadah kita ke tahap yang lebih baik pada setiap hari dan tidak terhenti setakat itu sahaja.
“Usaha boikot pun tidak seharusnya dibuat secara bermusim dan secara berterusan.
"Ia bagi mengukuhkan lagi usaha kita ke arah membebaskan Palestin yang kini dibelenggu kezaliman,” ujarnya.
17 Nov 23
175
Razali Sedia Beri Keterangan Isu SPRM Dikawal Kerajaan
KEMAMAN, 17 November - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris bersedia dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjawab isu berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikawal kerajaan semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata pihaknya boleh membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah benar.
"Saya bersedia dengan hujah-hujah yang mengiakan (membenarkan) apa yang saya kata.
"Insya-Allah ibu pejabat polis daerah (IPD) Kemaman teleh telefon (menghubungi) saya dan bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memastikan perjalanan siasatan akan berkeadaan lancar selancarnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, semalam.
Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan berkenaan isu berkaitan Ketua Penerangan BERSATU itu telah dilaporkan kepada polis.
Mengenai satu hantaran yang dibuat pada Rabu melalui aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin 11 yang memaparkan kenyataan Razali sewaktu pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 10 November lalu yang menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa.
17 Nov 23
146
Peluang Ahmad Samsuri Bawa Isu Rakyat Lebih Luas
KEMAMAN, 17 November - Peluang untuk membawa isu rakyat akan lebih meluas jika calon PAS bagi PRK Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, pencalonan beliau di Parlimen itu tidak akan menjejaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, sebaliknya menambah ruang untuknya mengangkat permasalahan rakyat.
Katanya, prinsip yang dibawa dalam penampilan sulong sebagai ahli parlimen ialah memberikan khidmat terbaik termasuk dengan membawa permasalahan rakyat negeri dan negara ini ke peringkat lebih tinggi.
"Kita boleh membawa permasalahan Kemaman ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar saya percaya bukan sekadar isu daerah ini sahaja boleh dibawa tetapi isu-isu berkaitan seluruh negeri Terengganu.
"Jadi sudah tentulah peranannya ini besar serta sangat memberi impak dan manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi semasa sidang media, di Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen Kemaman, Di Dewan Terbuka Arena Square, di sini, semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini di peringkat parlimen telah ada tiga Menteri Besar masing-masing dari negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, yang turut berperanan sebagai ahli parlimen.
"Mereka masih dapat melaksanakan tugas dengan baik hatta di negeri yang dilihat sibuk sekalipun seperti Pulau Pinang dan Selangor dilihat mampu untuk menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli parlimen dan juga menteri besar," ujarnya.
17 Nov 23
154
Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 16 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Nama calon parlimen itu telah diumumkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, malam ini.
Pengumuman calon tersebut juga telah menamatkan teka-teki calon PAS bagi kerusi parlimen terbabit.
Sebelum ini, beberapa nama besar diramalkan menjadi calon PAS termasuk Tan Sri Annuar Musa.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September, yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15.
Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
16 Nov 23
808
Kerajaan Negeri Perhebat Program Perundangan Syariah
KUALA NERUS, 16 November- Kerajaan negeri akan memperhebat program berbentuk penerangan di semua peringkat dalam usaha memberi kefahaman mengenai perundangan syariah kepada seluruh umat Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya diterjemahkan melalui penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang julung kali diadakan.
"Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah semasa kepada masyarakat.
"Selain mengajak umat Islam untuk bersatu dalam memberi sokongan dan bersolidariti dalam isu pencabaran undang-undang syariah yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus di sini, hari ini.
Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini.
"Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri yang lain.
"Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu," katanya.
Pada program wacana tersebut, lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas isu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini.
Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha mengganggu gugat undang-undang Islam di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.
"Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
16 Nov 23
203