Artikel "Semasa" Terkini
Jumlah Mangsa Banjir Seberang Takir Meningkat
KUALA NERUS, 21 November - Berikutan hujan lebat yang berterusan, jumlah mangsa banjir di Seberang Takir terus meningkat.
Pengerusi JPKK Pak Tijah, Zainal Lasim memaklumkan sejumlah 300 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Tok Jembal setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 154 orang semalam manakala di beberapa PPS lain juga berlaku pertambahan.
"Waspada dengan keadaan cuaca monsun timur laut yang dan percaya keadaan yang lebih teruk berlaku jika 'trend' hujan ini berterusan.
"Ketika ini pihak Tenaga Nasional Berhad tidak memutuskan bekalan kerana pencawang elektrik berada di tempat tinggi namun sentiasa berjaga-jaga dengan segala kemungkinan," ujarnya ketika ditemui di PPS SK Tok Jembal selepas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi PPS tersebut hari ini.
Seorang mangsa banjir, Rohani Abu Bakar ketika ditemui berkata, persediaan menghadapi banjir tahun ini lebih awal dari tahun-tahun lepas dan tahun ini adalah paling teruk.
"Tidak sangka, dulu taman ini sekitar 80 buah rumah sahaja dimasuki air tetapi banjir kali hampir 200 buah terlibat dan tidak dapat menggunakan bilik air serta tandas," katanya.
Sementara itu Guru Besar SK Teluk Ketapang, Rosita Ahmad berkata,murid-murid yang bersekolah akan ditempatkan sementara di dalam makmal bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
"PPS di SK ini juga berlaku pertambahan iaitu 40 orang berbanding 16 orang semalam," tambahnya.
21 Nov 23
625
MB Terengganu Puji Petugas, Kerjasama Agensi Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memuji kerjasama agensi dalam menghadapi banjir di negeri itu.
"Saya rasa pengurusan terbaik, semua agensi dan individu yang bekerja menangani bencana ini melaksanakan tugas dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam kunjungannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini.
Tambahnya, situasi itu dapat dilihat dalam kunjungannya ke PPS SK. Bukit Gasing awal pagi tadi yang memperlihatkankerjasama dari semua pihak berjalan lancar.
"Cuma, kita hendak pastikan bekalan terutama bahan makanan dalam keadaan boleh digunakan.
"Saya rasa, bekalan telah dihantar lebih awal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ia tiada masalah (sekiranya banjir berlarutan)," ujarnya.
Dalam pada itu, calon PAS bagi Pilihan Raya Kawasan (PRK) Kemaman itu menegaskan proses kempen yang dijalankan tidak akan mengganggu tugasan dalam menguruskan bencana banjir di negeri itu.
"Tiada, tiada (timbul isu), insya-Allah.
"Dari segi kempen, tetap akan dijalankan melalui pelbagai cara.
"Jentera parti melaksanakan tugas dengan baik sekali. Mereka telah merancang dua minggu sebelum penamaan calon dan bekerja dengan baik," katanya.
21 Nov 23
162
Banjir : Ular Sawa Jadi Tetamu Tidak Diundang
SETIU, 21 November - Dalam keadaan musim hujan dan berhadapan banjir seekor ular sawa menjadi tetamu tidka diundang dianggar mencapai berat 100 kilogram (kg) yang telah menelan tiga ekor kambing dimiliki seorang penternak di daerah ini.
Haiwan reptilia itu telah berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Setiu di Kampung Kubang Puyu, Chalok di sini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd. Nizu Husien berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran ular sawa sepanjang kira-kira 6 meter (m) di kandang kambing jam 9.15 pagi.
Susulan kejadian itu beliau menghantar seramai empat anggota ke lokasi dan berjaya menangkap haiwan tersebut.
"Ular sawa ini dibawa balik ke pejabat APM Setiu dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya," ujarnya ketika dtemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Dalam pada itu, Mohd. Nizu turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran tetamu tidak diundang berkenaan dan meminta agar orang ramai tidak bertindak sendiri menangkap haiwan berkenaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu penternak, Shukri Ab. Rashid, 49,berkata kehadiran ular sawa itu disedari ketika pergi ke kandang haiwan ternakannya, kira-kira jam 8 pagi tadi.
21 Nov 23
1446
UniSZA Pindahkan Pelajar Yang Terlibat Banjir ke Asrama
KUALA NERUS, 21 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak sedang giat memindahkan pelajar ke asrama selepas rumah sewa mereka dinaiki air.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama selepas kediaman mereka dimasuki air.
“Syukur Alhamdulillah, setakat ini proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan.
"Petugas banjir UniSZA membawa 49 pelajar yang menyewa di sekitar Kuala Nerus ke asrama pelajar kampus di Gong Badak selepas dihubungi mangsa yang terlibat dan kita sentiasa bersedia untuk membantu dan menjaga keselamatan pelajar”, katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengangkutan bagi warga UniSZA yang terjejas.
Untuk sebarang urusan berkaitan hal ehwal banjir, sila hubungi Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan mengikut kampus di Talian 24 Jam iaitu Kampus Gong Badak (09 668 7750) dan Kampus Besut (096993222 - Pos Pengawal) dan (01158883389 - Bilik Gerakan).
21 Nov 23
249
Dr Sam Seorang 'Strategic Minded' - Bekas SU Agung UMNO
KUALA TERENGGANU, 21 November - Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai seorang mempunyai pemikiran strategik.
Annuar berkata perkara itu dapat dilihat apabila beliau duduk bersama Dr Sam sekali gus meninjau pemikiran calon PAS PRK Kemaman itu.
"Saya pernah berbincang dan bertanya kepada Dr Sam mengenai apa rancangan Kerajaan Terengganu apabila stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diwujudkan.
"Dr Sam secara tuntas menjawab pertanyaan saya dan saya sebagai perancang asal menyokong jawapan tersebut.
"Sekali gus dapat saya simpulkan beliau mempunyai pemikiran yang sangat strategik dan bijak," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika wawancara Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Studio PAS kawasan Kemaman di sini kelmarin.
Tambah Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, pada awalnya Terengganu mempunyai lima stesen namun Menteri Besar itu menggunakan kepakarannya sehingga berjaya menambah kepada enam stesen ECRL di Terengganu.
Beliau berkata, Dr Sam telah merancang sekurang-kurangnya empat daripada stesen tersebut dijadikan sebagai kargo.
Katanya ini kerana, industri kereta api tidak membangun daripada penumpang sahaja.
Tetapi jelas beliau, industri tersebut membangun kerana logistik pengangkutan.
"Kaedahnya, stesen itu mesti ada fasiliti untuk mengawal kargo.
"Saya melihat dengan jelas bahawa Terengganu ada perancangan yang tepat menjadikan empat stesen bagi menguruskan kargo.
"Strategik ini akan membawa wajah baharu yang besar maknanya dengan kehadiran ECRL kepada Terengganu," ujarnya.
21 Nov 23
168
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Rasmi 'The Payang Hotel'
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan pembukaan 'The Payang Hotel', di Kampung Cina, hari ini
Turut berangkat, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Ab. Rasid Jusoh dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.
Sementara itu, Pengarah The Payang Hotel, Azizatul Asma Tan Sri' Dato Abdullah berkata, sempena dengan pembukaan hotel tersebut, pihaknya menawarkan harga bilik yang cukup istimewa antara RM130 hingga RM250.
"The Payang Hotel menawarkan 44 bilik merangkumi penginapan perseorangan hingga keluarga dan promosi ini hanya dalam tempoh tertentu sahaja,"ujarnya.
Berkongsi tentang keunikan dan keistimewaan 'The Payang Hotel', Azizatul berkata orang ramai akan merasai pengalaman yang unik sebaik sahaja melangkah masuk hotel tersebut.
"Berkonsepkan 'chinese colonial' ditambah pula dengan seni bina Terengganu, dua elemen ini dapat dilihat di setiap penjuru hotel, membuatkan tetamu seolah-olah masuk ke dalam ruangan privasi yang penuh dengan keunikan budaya dan seni bina halus pada setiap sudut.
"Peralatan yang digunakan juga mempunyai harga premium hingga 'luxury'. Kami menjanjikan sebuah eksplorasi budaya dari sudut penginapan hinggalah kepada makanan yang disajikan," katanya.
21 Nov 23
7730
Banjir di Terengganu, 22 Sekolah Ditutup
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 22 sekolah membabitkan empat daerah ditutup sementara akibat banjir termasuk ada diantaranya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman @ Abdullah berkata, 13 sekolah terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh. SK Losong, SK Kampung Bukit Chendering, SK Bt Bayas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor dan SMA Sheikh Abdul Malek
Katanya, sembilan sekolah yang dijadikan PPS ialah SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek di daerah Kuala Terengganu, empat sekolah di Kuala Nerus iaitu SK Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang dan SK Tol Jembal, manakala di Marang hanya melibatkan SK Bukit Gasing.
“Pihak Jabatan mengesyorkan sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir agar mengambil cuti bencana.
“Begitu juga dengan sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai PPS dan menempatkan jumlah mangsa banjir yang ramai serta menggunakan bilik darjah yang banyak…mereka perlu mohon cuti bencana,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Azman lagi,kesemua murid dan pelajar akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR
"Sekolah akan dibuka semula apabila banjir pulih selepas mendapat nasihat daripada agensi berkaitan," katanya.
21 Nov 23
1531
90 Pemohon Terima Kunci Rumah Mampu Milik di Besut
BESUT, 21 November – Seramai 90 rakyat menerima Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata baki 10 keluarga lagi bakal penghuni fasa kedua akan menerima kunci dalam masa terdekat.
“Rumah bernilai lebih RM150,000 yang dibina biaya Kerajaan Negeri diberi milik kepada rakyat secara sewa dengan kos RM80,000 sahaja.
“Rumah yang dibina dengan berkonsepkan patuh syariah ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
"Rumah Mampu Milik Tempinis mempunyai reka bentuk Rumah Rahman yang pertama disiapkan di Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera, Mukim Kerandang bertempat di Tapak Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera, Besut di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Wan Sukairi berkata, kesemua penerima sangat gembira dan terharu apabila permohonan mereka untuk memiliki rumah diluluskan.
Katanya, keceriaan dan senyuman mereka juga adalah kegembiraan bagi pihaknya.
“90 buah rumah tersebut telah berjaya disiapkan sejak dari tahun 2020.
“Nabi Muhammad SAW bersabda, antara kebahagian manusia ialah mempunyai kediaman yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.
“Selamat memulakan kehidupan baru di rumah baru dan tahniah kepada anda yang terpilih," ujarnya.
21 Nov 23
485
Banjir Makin Buruk di Terengganu, Mangsa Meningkat
KUALA TERENGGANU, 21 November - Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa banjir di hari kedua meningkat kepada 1,482 mangsa daripada 410 keluarga setakat pukul 10 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata setakat ini, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu tujuh di Kuala Nerus, empat di Kuala Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang.
Katanya dalam kenyataan itu, daerah Kuala Nerus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan seramai 722 mangsa daripada 193 keluarga sudah dipindahkan ke tujuh PPS yang telah diaktifkan di sana.
“Sebanyak tujuh PPS yang dibuka di Kuala Nerus ialah Dewan Serbaguna Kampung Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang, Dewan Sivik Batu Rakit dan SK Tok Jembal.
“Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa ialah seramai 602 mangsa daripada 179 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.
“Di Setiu, terdapat dua PPS beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar yang menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.
Sementara itu, di Marang pula, terdapat satu PPS baru dibuka untuk 132 mangsa daripada 32 keluarga di SK Bukit Gasing.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca hujan berterusan di Terengganu hingga Khamis ini.
Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dan amaran semasa yang tepat melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.
Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MET Malaysia.
21 Nov 23
338
Cuaca Buruk di Terengganu, Kelantan Hingga Esok
KUALA TERENGGANU, 21 November – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan sehingga esok.
MetMalaysia memaklumkan, di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang
“Seterusnya di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh,” menurut MetMalaysia pada hantaran Facebook, hari ini.
Dalam masa sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Jeli dan Kuala Krai), Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Kuantan) sehingga esok
“Hujan berterusan juga dijangka berlaku di negeri Kedah (Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung) dalam tempoh esok hingga Khamis,” ujarnya.
21 Nov 23
340