lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mangsa Banjir Menurun Ke 3,977 Orang
Mangsa Banjir Menurun Ke 3,977 Orang
KUALA TERENGGANU, 22 November - Mangsa banjir menurun kepada 3,977 orang berbanding 4,476 orang pada semalam. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari 1,060 keluarga yang ditempatkan 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam lima daerah terlibat. Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Dungun dan Marang. "Setakat jam 4.30 petang, Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,677 mangsa daripada 447 keluarga yang berada di 15 PPS. "Besut dan Dungun merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan jumlah mangsa direkodkan sebanyak 435 dan 23 orang daripada 95 dan lima keluarga. Kesemua mangsa tersebut ditempatkan di tiga PPS dalam berkenaan,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Manakala, Marang dan Kuala Terengganu merekodkan seramai 746 dan 1,096 mangsa daripada 189 dan 324 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS. “Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung. “Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujar kenyataan itu.                    
22 Nov 23
146
Sistem Estaff Menang Anugerah Persada Inovasi Terengganu
Sistem Estaff Menang Anugerah Persada Inovasi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November - Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu melalui penyertaan Kumpulan HR CLIQUE dengan produk ‘Sistem Estaff’ berjaya memenangi Anugerah Emas Persada Inovasi dan Anugerah Lima Bintang pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023. Ketua Kumpulan HR CLIQUE, Mohd Firdaus Ibrahim berkata, ‘Sistem Estaff’ dibangunkan secara dalam talian dengan menggunakan kepakaran ahli kumpulan bagi menyelesaikan masalah pengurusan maklumat sumber manusia yang melibatkan semua lantikan di Agensi/Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak sistematik. “Ia merangkumi hampir 13,000 orang warga kerja melibatkan semua status lantikan tetap, contract of service, contract for service, sementara dan Mystep/pekerja sambilan harian.  “Kami telah mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh jabatan dan telah menggembleng tenaga serta idea untuk memastikan hal ehwal pengurusan data sumber manusia bagi ketiga-tiga kategori Pihak Berkuasa Melantik (PBM) ini dapat diuruskan dengan sistematik dan efektif serta memudahkan pihak BPSM, Pejabat SUK Terengganu merancang pengurusan sumber manusia di bawah seliaannya. “Inovasi yang dihasilkan ini merupakan satu produk di bawah bidang inovasi penyampaian perkhidmatan (pengurusan) bagi kategori penciptaan dan sistem ini dibangunkan bagi menyelesaikan masalah ‘Pengurusan Maklumat Sumber Manusia Bagi Lantikan Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu Yang Tidak Efisien’,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman. Pada majlis tersebut, Kumpulan HR CLIQUE berjaya membawa pulang wang tunai bagi anugerah emas RM10,000, wang tunai insentif lima bintang RM1,000, piala pusingan dan piala anugerah emas, sijil anugerah emas serta sijil anugerah lima bintang. Mengulas lanjut katanya, ‘Sistem Estaff’ yang dibangunkan itu mempunyai tiga modul utama iaitu Modul Pengurusan Kakitangan, Modul Pengurusan Perjawatan dan Modul 3P (Permohonan Pengisian Perjawatan) yang membantu mengurangkan proses kerja dan menjimatkan kos operasi pentadbiran.  “Sistem ini telah meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kekangan sumber kewangan dan memantapkan proses kerja semasa yang kurang berkesan dan sistematik sekaligus membantu Pentadbiran SUK Negeri menjadi lebih efisien dan berdaya saing.  “Antara ciri-ciri keunikan sistem adalah capaian akses yang mudah, proses pengurusan kakitangan secara dalam talian, pengkalan data yang berstruktur, mampu menghasilkan keseluruhan laporan sumber manusia melibatkan semua status lantikan, mampu berkolaborasi dengan sistem lain dan sebagainya,” jelas beliau. Katanya, sistem ini berpotensi untuk dikomersialkan sekaligus dapat menjana pendapatan kepada Pejabat SUK Terengganu.  
22 Nov 23
330
JKSTR Bangunkan Inovasi Penyampaian Lebih Berintegriti
JKSTR Bangunkan Inovasi Penyampaian Lebih Berintegriti
KUALA TERENGGANU, 22 November- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSTR) mengambil beberapa inisiatif dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang penuh dengan integriti.  Ketua Hakim Syarie negeri, Dato’ Wan Mohd. Zakri Wan Mohd berkata, selain mendokumentasikan Buku Pelan Anti rasuah Organisasi (OACP) JKSTR 2022-2026 pihaknya telah mengambil pendekatan membangunkan inovasi bermula tahun 2012. Katanya, dengan memsistemkan proses kerja, faktor kelalaian dan kecuaian oleh ‘human factor’ boleh diatasi bagi mengoptimumkan sistem penyampaian perkhidmatan. “Bidang perkhidmatan yang wujud di jabatan ini bermula daripada peringkat awalan di pendaftaran kes, Majlis Sulh, sebutan kes, perbicaraan, semakan kes dan rayuan.  “Malah di peringkat pentadbiran sekalipun, kami mempunyai cabaran yang tersendiri dalam memartabatkan dan menghayati integriti.  “Apa-apa keputusan mahkamah perlulah dijaga dari sudut kualiti dan keberkesanannya  bagi memastikan setiap keputusan berkenaan telah dibuat tanpa dipengaruhi unsur yang mempunyai konflik kepentingan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Integriti Dan Pelancaran Buku Kompilasi Inovasi dan Kreativiti JKSTR Tahun 2012-2023 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Bangunan Mahkamah Syariah, hari ini. Mengulas lanjut katanya, buku Kompilasi Inovasi Dan Kreativiti 2012-2023 tersebut mengumpulkan kejayaan 10 Kumpulan yang membangunkan 11 projek bagi memantapkan teras penyampaian perkhidmatan sehingga ke peringkat dunia selaras dengan cogan kata “Syariah World Class”. “Inovasi-inovasi ini juga sebenarnya merupakan satu alat untuk JKSTR kekalkan dan memaksimakan integriti dengan mensistemkan penyampaian perkhidmatan sepenuhnya sebagaimana hala tuju Pelan Strategik JKSTR 2019-2023,” ujarnya. Tambah beliau, menerusi inovasi yang dibangunkan Kumpulan Fountain Of Justice, JKSTR juga telah memenangi Gold Award di peringkat Antarabangsa dalam International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) yang diadakan di Beijing, China baru-baru ini. 
22 Nov 23
189
SRIDI, SMIDI Tawaran Baharu Pendidikan
SRIDI, SMIDI Tawaran Baharu Pendidikan
MARANG, 22 November - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam (SMIDI) merupakan tawaran baharu supaya masyarakat mempunyai pilihan sama ada belajar di sekolah arus perdana atau sekolah kerajaan Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata  ekolah berteraskan agama yang dibina kerajaan Terengganu itu turut mengajar mata pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. "kedua-dua jenis sekolah berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk menjadi pilihan rakyat negeri Terengganu yang berkembang dari peringkat pra sekolah dan akan berlanjutan ke peringkat universiti," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Wanita Cakna dan Cintakan Negara bertajuk Anak Muda Sayang Terengganu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini semalam. Turut hadir Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Wan Nur Sakinah Din, Timbalan Pengerusi NGO HANEES, Sumayyah Zakaria, Ahli Panel Forum, Dr Hamidah Harun. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil seterusnya berkata anak muda hari ini perlu berdisiplin, pandai membawa diri, cerdik dan tidak lagi bergantung pada ibu dan bapa. "Siapa yang ada disiplin, pengetahuan, pandai komunikasi, akan berjaya tapi yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut arus yang berlaku akhirnya terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya," ujar beliau. Justeru beliau menasihatkan supaya anak muda hari ini membuang keseronokan bersifat sementara dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran di samping tidak membiarkan agama dihina sesuka hati.
22 Nov 23
278
Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'
Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'
BESUT, 22 November - Sepasang warga emas dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, menarik nafas lega apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kawasan rumah mereka terjejas banjir akibat hujan lebat yang berterusan.   Fatimah Muhammad, 78, menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Azbi. "Syukur keadaan kembali seperti biasa, terima kasih kepada semua yang membantu. "Beberapa hari hujan turun tanpa henti hujan, saya tidak dapat makan dan tidur dengan tenang kerana risau banjir akan melanda," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman. Sementara itu, menurut Azbi, kawasan Kampung Tok Saboh mengalami kenaikan air disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna. "Oleh sebab itu saya menyewa jentolak untuk menggali parit dan membuka saluran air baru. "Hasilnya, air surut dalam masa satu jam selepas tindakan tersebut diambil dan kini kawasan perumahan tersebut dilindungi daripada bahaya banjir. "Alhamdulillah, air tidak akan memasuki rumah-rumah di sini. Saya akan terus berusaha untuk membantu dan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini," kata Azbi Salleh. Beliau juga memberi nasihat kepada semua warga Kuala Besut, khususnya yang mungkin terjejas banjir, agar bersedia untuk berpindah jika menerima arahan dari pihak berkuasa. "Pentingnya kerjasama untuk berpindah lebih awal demi mengelakkan kemungkinan kemalangan yang tidak diingini," katanya.    
22 Nov 23
296
Satu Sungai Lepasi Paras Bahaya, 3 Peringkat Waspada
Satu Sungai Lepasi Paras Bahaya, 3 Peringkat Waspada
KUALA TERENGGANU, 22 November - Satu sungai di Terengganu melepasi paras bahaya manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada susulan hujan berterusan sejak tiga hari lepas. Ia membabitkan paras air sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus merekodkan bacaan  3.93 meter (m) berbanding paras normal 1.5 m. Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my sehingga 9.00 pagi ini, tiga sungai di tiga daerah direkodkan melepasi paras waspada iaitu Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman. Sehingga jam 10.00  pagi ini, sebanyak 31 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di lima daerah. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah pada malam tadi yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.
22 Nov 23
267
Rakyat Tidak Setuju Tindakan BN Fail Petisyen - Kajian
Rakyat Tidak Setuju Tindakan BN Fail Petisyen - Kajian
KEMAMAN, 21 November - Hasil tinjauan mendapati sebanyak 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen membatalkan kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Kemaman yang lepas. Kajian yang dilaksanakan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) itu turut mendapati 53 peratus responden menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya terhadap keputusan petisyen adalah tidak konsisten. Jelas TSIS, 52 peratus responden pula beranggapan bahawa keputusan tersebut adalah didorong oleh motif politik. "Manakala, majoriti 58 peratus responden juga berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh Kerajaan Negeri kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan tidak menjadi masalah. "Antaranya, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang dikaitkan dalam dakwaan-dakwaan Pempetisyen adalah tidak menyalahi undang-undang atau ajaran agama. "Hasil kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 29 Oktober hingga 9 November," ujar TSIS menurut kenyataan media pada hari ini. Tambah TSIS, kajian itu dijalankan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu mengisytiharkan bahawa PRU Parlimen Kemaman (P.040) yang diadakan pada 19 November 2021 adalah tidak sah dan terbatal. "Parti dari BN mendakwa berlakunya perbuatan penyogokan dan rasuah, pihak TSIS telah melaksanakan kajian bagi meninjau persepsi rakyat terhadap keputusan ini.  "Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara dalam talian dan panggilan telefon serta secara tatap muka ini adalah melibatkan seramai 1,356 responden. "Ia terdiri daripada 1,279 orang Melayu, 71 orang Cina dan 6 orang India; 686 orang lelaki dan 670 orang wanita, iaitu bersifat representatif kepada komposisi sebenar pengundi bagi kawasan pilihan raya ini.   "Mengenai pilihan raya yang akan diadakan semula bagi Parlimen Kemaman (P.040) pada 2 Disember ini, sejumlah besar iaitu 74 peratus responden mengatakan bahawa mereka akan keluar mengundi," jelasnya. Justeru tegas TSIS, suatu undang-undang atau peraturan atau garis panduan yang jelas mengenai pemberian semasa pilihan raya ini perlu diperkenalkan dan dikuatkuasakan.
22 Nov 23
275
Mangsa Banjir Terengganu Cecah 4,476 Orang
Mangsa Banjir Terengganu Cecah 4,476 Orang
KUALA TERENGGANU, 21 November – Mangsa banjir terus meningkat sebanyak 4,476 orang yang melibatkan 1,170 keluarga di Terengganu. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari enam daerah. Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Dungun dan Marang. Setakat jam 10.30 malam, sebanyak 31 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka keenam-enam daerah berkenaan. Besut dan Dungun merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan jumlah mangsa direkodkan sebanyak 637 dan 23 orang daripada 148 dan lima keluarga. Kesemua mangsa tersebut ditempatkan di lima PPS dalam daerah tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,486 mangsa daripada 388 keluarga yang berada di 13 PPS. Manakala, Marang dan Kuala Terengganu merekodkan seramai 1,227 dan 1,095 mangsa daripada 307 dan 319 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS. Tambahnya, Setiu pula menempatkan seramai lapan penghuni daripada tiga keluarga dan dibuka satu PPS dalam daerah berkenaan. Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu. “Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.            
21 Nov 23
139
Utamakan Keselamatan, Elak Episod Malang Tidak Berbau
Utamakan Keselamatan, Elak Episod Malang Tidak Berbau
Oleh : Pak Abbas  KUALA TERENGGANU, 21 November - Rakyat diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika berlakunya banjir yang menyebabkan mangsa terpaksa berpindah.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, golongan terjejas banjir perlu mengutamakan diri serta keluarga terlebih dahulu sebelum menyelamatkan harta benda. Kata beliau, dalam masa yang sama pihaknya sentiasa menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir. "Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk sendiri menyediakan beberapa bot. "Ia bertujuan bagi memindahkan penduduk yang kediamannya terjejas banjir ke tempat yang lebih selamat seperti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata demikian ketika tinjauan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini hari ini. Tambah Dr Khalil, setakat pagi tadi Daerah Kuala Terengganu dan DUN Batu Buruk mengalami banjir yang teruk. "Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering menempatkan seramai 156 mangsa banjir sebanyak PPS dibuka. "Apabila mangsa banjir melebihi jumlah fasiliti yang disediakan, maka akan dipindahkan ke tempat yang kedua," ujarnya. Beliau berkata, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang seterusnya ke PPS ketiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tok Nasek.  
21 Nov 23
253
Bah di Terengganu Makin Buruk, 3,374 Mangsa Banjir di Lima Daerah
Bah di Terengganu Makin Buruk, 3,374 Mangsa Banjir di Lima Daerah
KUALA TERENGGANU, 21 November - Hujan berterusan selama dua hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di lima daerah terus meningkat di Terengganu. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan sejumlah 3,374 orang berada di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang hari ini. Kuala Nerus masih menjadi daerah mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,297 orang daripada 337 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS, termasuk di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan SK Bukit Nanas. Di Kuala Terengganu pula, seramai 851 mangsa daripada 252 keluarga berlindung di empat PPS manakala di Setiu, dua PPS dibuka menempatkan 26 mangsa daripada dua keluarga. Manakala di Marang, empat PPS yang menempatkan 826 mangsa daripada 32 keluarga. Sementara itu, Besut merupakan daerah terbaharu dilanda banjir, dengan satu PPS dibuka menempatkan 374 mangsa daripada 84 keluarga.
21 Nov 23
858