lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam DUNGUN, 24 November - Kini tiba giliran 160 rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima dokumen hak milik geran kekal setelah masing-masing menjelasakn bayaran Borang 5A. ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, mengikut jumlah sebenar masih ada sebahagian lagi masih belum menyelesaikan bayaran bagi mendapatkan geran berkenaan disebabkan faktor ekonomi semasa. "Saya meminta kepada penerima Borang 5A ini untuk menyelesaikan bayaran dengan sedaya upaya, berusaha untuk menjelaskan bayaran ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Doukumen,  RTB bagi tapak kediaman dan pertanian, di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun, di sini, kelmarin. Turut hadir, ADUN Mantan Rantau Abang, Alias ​​Harun, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penolong Pentadbiran Tanah, Nasran Abd Halim. Mengulas lebih lanjut, Fadhli berkata seramai 160 penerima itu melibatkan 95 orang RTB ByPass Batu Tiong, 38 pula merupakan penerima geran RTB Pertanian Belakang Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Padang Pulut, penerima RTB Kampung Wa Sejahtera pula seramai 18 orang. Selebihnya tujuh orang menerima geran RTB Batu Putih dan dua orang merupakan penerima geran hakmilik RTB Pengkalan Jering. Dalam pada itu, Fadhli berkata pihaknya akan memastikan penerima RTB Tapak Kediaman akan cuba berusaha sedaya upaya bagi memenuhi hasrat memiliki rumah idaman masing-masing. "Insya-Allah akan berusaha untuk memohon peruntukan bagi keperluan infra bagi memenuhi hasrat peneima geran untuk membina rumah kediaman,''ujarnya.
24 Nov 23
341
Duta Qatar Kunjungi Abdul Hadi, MB Terengganu
Duta Qatar Kunjungi Abdul Hadi, MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November – Duta Qatar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Salah Mohammed Al-Sorour, membuat kunjungan hormat di Terengganu pada hari ini sempena lawatan kerja beliau ke negeri tersebut. Beliau telah mengadakan pertemuan bersama Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Abdul Hadi berkata antara topik yang dibincangkan adalah mengenai situasi terkini rakyat Palestin dan tindakan yang wajar dilakukan oleh pemimpin dunia Islam. “Saya juga merakamkan penghargaan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang menjadi pemain utama dalam menjayakan gencatan senjata di Gaza.  “Semoga pertemuan hari ini memberi natijah yang baik kepada hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Qatar,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang peluang yang berpotensi antara Qatar dan Terengganu. Katanya, ia bagi memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua Negara tersebut. “Terima kasih kerana sudi datang ke negeri Terengganu yang aman damai ini, sehingga bertemu lagi di masa hadapan," ujarnya.      
23 Nov 23
592
Dedah Isu Semasa Kepada Anak Muda
Dedah Isu Semasa Kepada Anak Muda
MARANG, 23 November - Anak muda pada hari ini perlu diberikan pendedahan mencukupi terhadap pelbagai isu semasa yang sedang berlaku di tanah air untuk memastikan mereka kekal terkini dan berwawasan. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia membantu mereka membentuk pandangan yang matang dan bersedia untuk berperanan secara positif, melalui kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap realiti sosial dan ekonomi di tanah air. "Program Anak Muda Sayang Terengganu ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan sifat patriotik, serta definisi yang tepat mengenai politik dan kepimpinan.  "Selain itu, bertujuan untuk menghapuskan stigma buruk mengenai politik dan kepimpinan, juga bagi melahirkan pelapis kepimpinan yang berilmu, kompeten dan berdaya tahan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Anak Muda Sayang Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Marang pada semalam. Menurutnya, Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman mengenai situasi politik negara, terutamanya di kalangan anak muda Terengganu. "Perlu difahami bahawa agenda utama dalam mengurus tadbir negeri tak lain tak bukan adalah untuk menyampaikan Islam. "Mengurus tadbir negeri daripada sudut pelancongan, ekonomi, undang-undang, hiburan dan banyak lagi, mengikut acuan Islam," ujarnya. Katanya lagi, wanita turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah negeri antaranya membantu untuk mengimbangi sudut pandang dan mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat.  "Memberikan perhatian kepada aspek-aspek kemanusiaan dalam pembuatan keputusan kerana wanita mempunyai kepekaan social yang tinggi.  "Wanita mendapat peluang untuk bersuara dan menyuarakan keperluan," katanya. Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agar menyokong dan memberi peluang yang setara kepada wanita dalam pentadbiran kerajaan.
23 Nov 23
158
Perkukuh Kerjasama Banteras Ancaman Salahguna Dadah
Perkukuh Kerjasama Banteras Ancaman Salahguna Dadah
KUALA TERENGGANU, 23 November- Kerajaan negeri menyeru orang ramai berganding bahu membanteras penyalahgunaan dan  penagihan dadah bagi menyelamatkan moral generasi akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata menyelamat generasi akan datang daripada gejala najis dadah adalah satu amalan mulia dan mempunyai cabarannya tersendiri. "Usaha itu merupakan satu amalan jihad  yang mengundang pertolongan dan petunjuk Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemerkasaan Perkampungan Darul Barakah di Dewan Jamine 6, Hotel Paya Bunga di sini hari ini.  Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Zahanapi Sagaf, Timbalan Pengarah YIT, Dr Ahmad Fadhluldin Mohamad dan Timbalan Pengarah Pusat Kecemerlangan PITAS, Zulhilmi Abd Rahman. Bengkel berkenaan diadakan bagi membincang hala tuju perkampungan itu dan membuat analisis situasi semasa serta merancang pelan pembangunan Darul Barakah. Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Buruk berkata tiga perkara perlu diteliti dalam bengkel tersebut termasuk statistik penagihan dadah dalam negeri Terengganu, kedudukan semasa perkampungan itu dalam semua aspek dan  perancangan masa depannya. Untuk rekod, perkampungan itu adalah sebuah Pusat Pemulihan dadah secara holistik yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu bagi menunaikan janji Manifesto Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu. YIT mempunyai punca kuasa melaksanakan sepenuhnya polisi, visi dan misi pusat tersebut yang beroperasi mulai Jun 2021 di Jalan Cador, Kampung Temala, Pengkalan Berangan Marang. Pemulihan yang diketengahkan kepada penghuni pusat itu adalah dengan menggunapakai konsep secara holistik iaitu kemasukan dan menghuni di pusat tersebut dengan sukarela dan tiada paksaan daripada mana-mana individu atau agensi.
23 Nov 23
110
BN Dijangka Kalah Teruk di Kemaman - Kajian
BN Dijangka Kalah Teruk di Kemaman - Kajian
KUALA TERENGGANU, 23 November - Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengalami kekalahan teruk kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini. Ketua Jabatan Pengurusan Strategik Dan Advokasi Dasar TSIS, Eikhwan Ali berkata, sejumlah besar iaitu 63 peratus responden berpendapat demikian berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pihaknya. "Kemungkinan kekalahan UMNO-BN ini juga amat berasas jika dibandingkan dengan beberapa dapatan lain dalam kaji selidik ini. Antaranya ialah, hanya 21 peratus responden yang berpuas hati berbanding 62 peratus yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. "Dapatan ini dilihat berwibawa kerana selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43 peratus," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Jelas beliau, pada 18 November lalu, PAS menamakan Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr. Sam) sebagai calonnya manakala UMNO/BN pula menamakan calon lain untuk mewakilinya iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. "Walaupun mungkin dengan menamakan calon langsung daripada bekas pegawai tinggi kerajaan ini ada kelebihannya tersediri, namun berdasarkan kaji selidik ini, UMNO-BN harus sedar bahawa majoriti pengundi mahukan calon yang aktif dalam parti serta dekat dan selalu bersama mereka.  "Tindakan PAS/PN memilih Ahmad Samsuri sebagai calon pula dilihat lebih tepat dengan kehendak majoriti pengundi tambahan pula Menteri Besar Terengganu ini diakui mempunyai keperibadian yang baik dan suka menyantuni semua pihak sama ada kawan mahupun lawan," katanya. Sebanyak 68 peratus responden bersetuju calon yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman perlu terdiri daripada muka baharu yang aktif dalam parti dan berpendidikan tinggi. "Pada 29 Oktober hingga 17 November lalu, satu kaji selidik bertajuk 'Kecenderungan Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman' telah dilakukan menerusi temu bual secara dalam talian dan secara tatap muka.  "Kaji selidik yang menggunakan teknik persampelan rawak berstrata untuk pemilihan responden ini melibatkan seramai 1,356 pengundi berdaftar bagi Parlimen Kemaman," ujar beliau. Mengulas mengenai kekalahan teruk UMNO-BN di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan peringkat negeri baru-baru ini, beliau memaklumkan, 53 peratus responden berpendapat bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah puncanya.  "Diikuti 27 peratus responden berpendapat Datuk Seri Ahmad Said di mana responden berpendapat kedua-dua mereka perlu ditukar," katanya. 
23 Nov 23
284
Tragedi Tanah Runtuh Dapat Perhatian Wakil Rakyat
Tragedi Tanah Runtuh Dapat Perhatian Wakil Rakyat
MARANG, 22 November - Kejadian tanah runtuh berhampiran rumah Abang Mat Jahit di Kampung Gondang mendapat perhatian ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Sulaiman berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk menangani masalah tersebut. "Bagi memastikan keselamatan mangsa dan keluarga terjamin, saya telah menghubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan teknikal bagi menilai dan menangani isu tanah runtuh ini. "Keselamatan Abang Mat adalah keutamaan kami. Kami akan mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan keselamatan mereka sekeluarga," kata Sulaiman ketika melawat keluarga terbabit hari ini. Dalam pada itu, Mat Jahit menzahirkan rasa lega dan berterima kasih kerana Sulaiman memberikan perhatian serta tindakan segera terhadap masalah yang dihadapinya. "Saya sangat bersyukur kerana Ustaz Sulaiman mengambil tindakan segera. Ini memberi kami keyakinan bahawa masalah ini akan ditangani dengan berkesan," ujarnya. Sulaiman memberi komitmen untuk terus memantau perkembangan dan memberikan bantuan yang diperlukan bagi menangani isu tanah runtuh ini. Beliau juga mengingatkan penduduk setempat untuk sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi situasi yang mungkin timbul selagi proses penilaian dan penanganan sedang berjalan.  
23 Nov 23
128
Mangsa Banjir Disarankan Kekal Di PPS Sehingga Dibenarkan Pulang
Mangsa Banjir Disarankan Kekal Di PPS Sehingga Dibenarkan Pulang
Oleh: Syahida Mohd KUALA NERUS, 23 November- Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dinasihatkan untuk kekal di PPS walaupun air banjir dilihat sedikit menurun berbanding semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ustaz Khazan Che Mat berkata saranan itu sebagai salah satu langkah keselamatan semua pihak. “Ada dimaklumkan beberapa tempat banjir sudah mula kering dan kita lihat dahulu keadaan tempat tersebut jika semuanya sudah kembali kepada asal, mungkin kita akan tutup PPS ini dengan kadar segera namun mangsa masih dinasihatkan untuk kekal dahulu sehingga kediaman mereka betul-betul selamat dari banjir. "Sebahagian besar dari penghuni di PPS ini sudah terbiasa dengan keadaan ini dan ini bukan kali pertama kerana kawasan ini merupakan kawasan yang rendah dan air lambat keluar,"katanya kepada pemberita ketika ditemui. Tambah beliau, mangsa kebanyakannya adalah orang sama terkena banjir sejak tahun-tahun lalu. Sementara itu, Khazan berkata antara sebab utama banjir kali ini selain hujan lebat, sistem perparitan yang sempit juga  menjadi puncanya. "Masalah ini memerlukan sistem perparitan yang lebih efeksin kerana kawasan tersebut jiwa berlaku hujan lebat dalam tempoh setengah hari sudah menyebabkan  air bertakung kerana saluran yang sempit untuk menampung kapasiti air hujan yang turun," katanya lagi. Salah seorang mangsa banjir, Aimi Atiqah, 30, dari Taman Murni Permai berkata, banjir kali ini agak berbeza berbanding tahun lalu. "Biasanya sebelum ni walaupun rumah lain masuk air, rumah saya tak masuk air, tapi tahun ini agak besar sehingga masuk ke dalam rumah," ujarnya. Setakat jam 5 petang, seramai 110 buah keluarga melibatkan 402 orang mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal yang menempatkan mangsa dari tujuh buah kampung. disekitarnya.
23 Nov 23
216
Dr. Sam Tak Kempen Sambil 'Menjamu', Elak Kesalahan
Dr. Sam Tak Kempen Sambil 'Menjamu', Elak Kesalahan
KEMAMAN, 23 November- Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Dato' Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dirinya bersikap ekslusif dalam berkempen berikutan tidak dilihat menghadiri majlis-majlis, jamuan dan ber'jalan-jalan' di kedai-kedai makan bertemu rakyat. Menteri Besar Terengganu itu sebaliknya bersikap cermat bagi memastikan kempen dilaksanakan PAS tidak melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Kita sangat berhati-hati ketika berkempen ini. Sebenarnya penjamuan, makan di kedai dan sebagainya tidak dibolehkan dalam peraturan pilihan raya menurut aspek larangan-larangan ketika kempen, sebab itu saya sangat cermat kerana lawan kita ini, dia tidak ikut peraturan dan apabila tidak puas hati, dia terus petisyen pilihan raya. "Jadi, kita sangat cermat untuk pastikan bahawa kita tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh dipertikaikan, itu antara sebabnya saya tidak berada di tempat-tempat makan dan seumpama dengannya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Walkabout di Mesra Mall, di sini semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu turut mengulas dakwaan terhadap kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen sekiranya dipilih. "Pada saya, itulah realiti yang perlu dihadapi bahawa apabila saya menjadi ahli parlimen Kemaman nanti, tugas mengurus tadbir negeri tetap berjalan seperti biasa di samping tugas-tugas yang lain. Itu realiti yang kita semua kena terima. "Bagi saya, ia tidak memberi apa-apa masalah kerana keempat-empat DUN di Kemaman ini sudah dimenangi oleh PAS, jadi dengan keupayaan ADUN dalam parlimen ini sangat baik dan sangat membantu tugas parlimen, ini termasuk parlimen-parlimen lain dalam negeri Terengganu," katanya.    
23 Nov 23
195
3,570 Mangsa Banjir Masih di PPS
3,570 Mangsa Banjir Masih di PPS
KUALA TERENGGANU, 23 November - Seramai 3570 penghuni masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah yang terlibat dengan banjir. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, kesemua mangsa tersebut terdiri dari 951 keluarga yang ditempatkan di 29 PPS dalam lima daerah terlibat. Katanya, daerah tersebut melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Dungun dan Marang. Setakat jam 10.00 pagi, Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,593 mangsa daripada 427 keluarga yang berada di 15 PPS. Besut dan Dungun merekodkan seramai 272 dan 23 mangsa daripada 60 dan lima keluarga yang ditempatkan di lima PPS dalam daerah berkenaan,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Manakala, Marang dan Kuala Terengganu pula merekodkan seramai 732 dan 950 penghuni melibatkan 183 dan 279 keluarga yang berada di 12 PPS. “Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung. “Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras sungai utama di Terengganu sudah mulai surut dan tiada yang melepasi paras bahaya kini,” ujarnya.                
23 Nov 23
103
Usahawan Terengganu Berpotensi Pasar Produk Halal Ke Peringkat Global
Usahawan Terengganu Berpotensi Pasar Produk Halal Ke Peringkat Global
KUALA TERENGGANU, 23 November - Usahawan Terengganu digesa mengambil peluang bagi memasarkan produk halal yang berkualiti ke peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata, kesempatan itu boleh diambil usahawan mikro negeri ini kerana Malaysia memiliki reputasi yang baik sebagai pengeluar produk halal berkualiti. "Kebolehpasaran dan penguatkuasaan produk halal ke pasaran luar memegang peranan kritikal dalam meningkatkan daya saing industri halal di peringkat global. "Dalam konteks pasaran global produk halal yang berkembang pesat, Malaysia sebagai negara dengan populasi penduduk Islam mempunyai peluang besar untuk menjadi pemain utama (industri halal). "Populasi orang Islam di seluruh dunia juga yang semakin meningkat, dijangka mencapai 2.3 bilion pada tahun 2030, membuka pintu lebar menjadikan Malaysia sebagai pelopor pasaran halal yang sangat besar," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Eksekutif Halal Negeri Terengganu 2023, di Hotel Tanjung Vista, di sini, semalam. Mengulas mengenai seminar berkenaan, Ariffin berkata ia merupakan rentetan dari Seminar Eksekutif Halal yang dibuat sebelum ini dan membincangkan pelbagai isu yang juga kerap timbul berkenaan kebolehpasaran produk halal di negeri ini secara khususnya yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. "Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan dan agensi pembimbing tentang perkembangan isu semasa berkaiatan halal. "Selain itu ia juga bertujuan untuk membuka mata dan memberikan sudut pandang baru dalam kalangan usahawan mengenai potensi kebolehpasaran produk halal (negeri ini) ke pasaran luar," katanya. Ujarnya lagi, topik yang disentuh dalam seminar berkenaan mengenai 'Peranan Eksekutif Halal Dalam Pemerkasaan Pasaran Halal' dan 'Potensi Kebolehpasaran dan Penguatkuasaan Produk Halal Ke Pasaran Luar'. "Kedua-dua perbincangan ini bertepatan dengan pertumbuhan pesat produk halal di peringkat antarabangsa," katanya.t
23 Nov 23
157